Tuesday 28 October 2014

ENTRI 100 : MAJLIS CUKUR JAMBUL.

Bismillah.


Alhamdulillah...
Berkat bekerjasama dan saling membantu, majlis cukur jambul anak saudara terbaru saya selamat dilangsungkan ahad lalu. Apakah makna cukur jambul ini sebenarnya? Adakah ia sekadar adat resam Melayu semata-mata?

Sebenarnya ia juga sebahagian dari syariat.
Rasullulah menyarankan agar bayi yang baru lahir dicukur kepalanya pada hari ke 7 kelahiran dan diberi nama yang baik-baik. Ia sebenarnya bertujuan membuang rambut yang tumbuh sejak dari dalam perut yang mengandungi kotoran kurang sihat bagi tumbesaran bayi. Malah hikmah dari segi kesihatan adalah agar dapat membuka rongga-rongga rambut yang seterusnya serta mengukuhkan pancaindera penglihatan, pernafasan dan pendengaran anak. Namun mengikut konsep asalnya adalah cuma antara ibubapa dan anak itu sendiri. Masyarakat kini pula memeriahkan lagi acara ini dengan mengadakan kenduri kendara, marhaban, bersalawat dengan tujuan untuk memperkenalkan orang baru dalam keluarga mereka. Menurut ahli agama, semua dibolehkan asalkan tiada berlaku pembaziran dan yang penting tiada yang melanggar tuntutan agama.

Jika nama bayi diisytiharkan pada hari ke 7- ibubapa akan mendapat pahala sunat itu.
Rambut bayi seharusnya dibotakkan sepenuhnya, ditimbang. Beratnya akan ditukar pada nilai emas dan jumlah itu akan disedekahkan. Itu baru menepati syariat.

Saya pula belajar sesuatu yang baru.
Saya ditugas menyedia peralatan yang perlu dalam acara memotong jambul bayi.
Yang ini adalah adat.


Tidak salah kita berusaha mengekal warisan budaya kita agar tidak pupus.

Guna kelapa yang muda kerana ia masih lembut. Sebelahnya adalah air tepung beras dan sedikit bunga rampai. Turut disertakan adalah sebilah gunting kecil dan sehelai daun untuk mencelup air tepung dan direnjis sedikit pada kepala bayi. 
(air tepung beras bersifat sejuk- mungkin akan memberi rasa nyaman pada kepala baby)
Rambut baby akan digunting oleh para tetamu, selalunya dimula oleh ahli kumpulan marhaban dan akan diletakkan kedalam kelapa yang masih berisi sedikit airnya.
Mengapa kelapa?
Mungkin kelapa itu sendiri bersifat alami, mudah didapati dan bersih juga untuk jadi bekas tadahan bagi menampung rambut bayi yang suci.
Mungkin.

Macamana hendak buat?


    Dapatkan kelapa yang masih muda.


Buang sedikit bahagian bawahnya untuk dapatkan permukaan yang rata supaya seimbang dan tidaklah bergolek-golek.


Dengan menggunakan marker, buat pattern seperti dalam gambar. Oleh kerana ini kali pertama saya membuatnya maka ramailah yang memberi tunjuk ajar. Guna pisau yang betul-betul tajam dan cucukkan ia mengikut garisan yang dilukis. Air mungkin akan keluar, buang sedikit dan teruskan potongan. Tidak susah kerana kelapa ini agak lembut.


Terbelah dua. Tinggalkan sedikit air. 
Rambut baby yang digunting tetamu akan diletak didalam bekas unik ini.



Ini pula bancuhan tepung beras dan air. Jangan cair sangat dan jangan pekat sangat. Dikepala baby nanti akan kelihatan macam pakai bedak sejuk.



Perlu juga bunga rampai yang terdiri daripada hirisan daun pandan dan bunga-bungaan dari perbagai warna dan direnjis dengan sedikit haruman minyak wangi. Jangan dedahkan terlalu awal bunga rampai sebab ia mudah kering. Selepas hiris, bungkus dalam suratkhabar dan simpan dalam peti sejuk. Keluarkan bila hendak digunakan.


Semua sudah siap, perlu diatur supaya ia nampak presentable. Terfikir mahu alas dengan daun pisang supaya nampak lebih hijau.


Sebab semua daun pandan sudah habis dihiris, saya gunalah pucuk daun lengkuas yang memang  cantik dan sangat sesuai untuk diguna bagi mencelup air tepung beras. Oleh kerana kelihatan agak plain, saya dapatkan reben merah dan diikat pada daun tadi. Saya tabur-taburkan balance bunga rambai pada sekeliling bekas air tepung beras agar dulang nampak penuh dan menarik.

Siap.

Selain majlis cukur jambul, ia turut bersekali acara akikah. Maka of courselah ada daging kambing.
Daging kambing masak kari.
Ramai puji sedap sebab daging tidak berbau malah sangat lembut.
Apa rahsianya?
Saya lihat cara ia dibasuh.

2 ekor daging kambing yang telah siap dipotong diramas-ramas dengan satu dahan daun kari yang dilerai-lerai (daun kari yang banyak). Kemudian campur 1 kampit tepung gandum dan belahan limau purut atau apa-apa jenis limau. Gaul rata dan biar bahan-bahan tadi meresap hamis kambing. Biarkan 15 minit, campur air dan gaul-gaulkan. Basuh dan toskan. Daging siap untuk digunakan.


Sekian.
2 hari penat tak hilang.

No comments:

Post a Comment