Thursday 25 August 2016

ENTRI 195 : RAMUAN JUS LEGA.

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ 


Dalam lingkungan ahli keluarga tiada pengidap sakit jantung jadi kami tidak serius mencari info mengenainya.
Diluar jangka, seorang saudara yang masih muda tiba-tiba rebah dan kematiannya dikatakan berkaitan jantung.
 Cukup menginsafkan.
Penyakit sudah tidak lagi mengenal usia.
Takut betul sekiranya kita tidak tahu sudah jadi pengidap. Bila sudah serius, sudah terlambat pula untuk dirawat.

Saya ada terdengar mengenai jus ini melalui seorang jiran dan pernah juga membaca sekilas lalu dalam facebook. Setakat itu saja. Baru-baru ini terjumpa sepupu yang seusia dan mengadu sudah ada kolestrol tinggi. Beriya-iya suggest suruh buat jus ini kerana dia sudahpun amalkan. Kolestrol dijamin hilang terus dakwanya.
Konfiden betul.

Kolestrol kedengaran begitu menakutkan.
 Apa sebenarnya kolestrol itu?
Ia seperti lilin, lembut seperti lemak yang boleh ditemui didalam saluran darah dan kesemua sel badan. Sebenarnya kolestrol penting bagi tubuh yang sihat kerana berguna untuk hasilkan selaput sel dan sesetengah hormon serta menyumbang kepada peningkatan keupayaan mental dan lain-lainnya.
Apa yang menjadi bencana adalah ketika terlalu banyak kolestrol- ia meningkatkan risiko penyakit koronari jantung.

Makanan yang mempunyai kadar kolestrol yang tinggi adalah produk berasaskan binatang seperti daging, cengkerang, telur, mentega dan keju.

Jus lega.
Saya membuat sedikit pembacaan, ada juga yang berbeza pendapat. Ada yang mendakwa- jus seharusnya tidak bercampur air-mesti pati semata. Pada pendapat saya pula- semua bahan yang terlibat memang sudah diakui berkhasiat tinggi- sedikit atau banyak kuantitinya tidak menjejaskan khasiat penyembuhan yang terkandung. Bagi saya - ikut selera masing-masing. Kalau yang guna pati tanpa air- tentulah lebih kuat kesannya- mungkin lebih bagus untuk pengidap jantung kronik. Bagi yang belum ada serangan- dos yang lebih cair dan tidak begitu kuat mungkin sesuai- lebih untuk penjagaan dalaman.
Tidak perlu emosi dengan percanggahan yang tidak bawa manafaat-fokus pada yang lebih penting.


Salur darah yang tersumbat menyebab serangan jantung- tengok lemak-lemak yang menyumbat dalam arteri- dikumpul dari apa yang kita makan dari kecil sampai tua ya.
Lemak-lemak ayam...lemak pada daging...tetel...burger....lemak santan.... pergh.

Bahan ramuan:

 Bawang putih - Halia - Lemon - Cuka epal - Madu. 

Semua bahan diatas sangat bagus untuk penjagaan kesihatan, mencuci dan membuang kolestrol, melancar peredaran darah, membuang angin, menurun tekanan darah dan seribu macam lagi khasiat yang sedia diketahui umum.


Caranya :

Saya guna halia seberat 120 gm (terpulang pada masing-masing)- kupas kulit dengan belakang sudu- lebih jimat berbanding guna pisau- banyak yang terbuang. Hiris dan blend dengan 1 cawan air- tapis.


Bahan kedua- bawang putih, saya gunakan 3 labu- kupas dan blend juga dengan 1 cawan air- tapis.


Perah 4 biji lemon bagi memenuhkan 1 cawan.


Satukan jus halia. jus bawang putih, jus lemon dan 1 cawan cuka epal/ Apple cider iaitu perahan epal yang telah diperam menjadi cuka (tanpa alkohol) dan diguna sebagai tonik. Dijual dengan pelbagai jenama. Saya beli Heinz apple cider vinegar sebotol RM 8.30.

Masak dengan periuk tahan panas seperti kaca dengan api paling perlahan- saya masak 1 1/2 jam. Daripada 4 cawan cairan tadi berkurang menjadi lebih kurang secawan. Tutup api dan sejukkan.
Setelah sejuk- campurkan dengan 1 cawan madu. Jangan beli madu murah picit-picit kat kedai runcit tu sebab nanti bila simpan dalam petisejuk- akan ada serdak putih turun. Beli madu yang mahal sedikit.
Saya beli sebotol madu 350gm berharga RM 21.90. Lagi bagus kalau dapat madu asli.
Bila melibat madu- jangan guna sudu besi.
Kacau dengan sudip kayu dan tuang dalam botol. Simpan dalam petisejuk.


Aturan makannya- ada macam-macam yang saya jumpa. Tapi ikutlah naluri masing-masing
Boleh makan 1 sudu besar (sudu plastik) sebelum sarapan dan 1 sudu sebelum tidur malam. 
Remaja yang banyak lemak mungkin sudah layak dikerah minum. 
Jika ada makan ubat doktor- jarakkan 1 jam.

Ada juga yang saya baca- tambah jus bawang putih pada 10 minit terakhir semasa memasaknya- ikutlah citarasa masing-masing. 
Simpan bekas kaca- saya tidak ada jadi pakai bekas plastik saja. Harap tidak menjejaskan kualitinya.


Dalam internet sudah banyak dijual- RM 80 sebotol.
Saya pun buat kira-kira.
Modal saya adalah dalam anggaran RM 30.
Kos mungkin meningkat jika guna madu kualiti tinggi.


Sekian.
Cegah sebelum parah.

Friday 19 August 2016

ENTRI 194 : RESEPI KEK LOBAK MERAH 1.

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ 


Dendam kesumat beberapa hari lepas adalah untuk buat kek coklat-akhirnya menenong ke lain. Sejujurnya belum pernah buat, sebab itulah teringin sangat hendak cuba.
Resepi saya ambil dari internet.

Resepi kek carrot.

4 biji telur besar
1 1/2 cawan gula castor
2 cawan tepung gandum
1 sudu kecil soda bikarbonat
1 1/2 sudu kecil baking powder
1 cawan minyak jagung
2 1/2 cawan carrot
1 cawan walnut
sedikit esen vanilla
sedikit serbuk kayu manis
sedikit garam

Jenuh cari kat pasar mini terdekat tapi tidak jumpa- kakak owner kata takyah le kau cari..memang tidak ada- so abaikan serbuk kayu manis. Kacang walnut lagilah tidak nampak bayang. Exclusive kat shopping dan kedai bakery saja. Tidak mengapa. 
Bahan gantian sudah ada.

Panaskan oven selama 20 minit dengan suhu 180 celcius.


Bahan-bahan agak mudah didapati- telur, gula castor, tepung gandum, lobak merah, minyak jagung, soda bikarbonat, baking powder, esen vanilla dan sebagai ganti kacang walnut- saya ada kismis dan badam hiris-balance buat kuih raya.


Sebenarnya tidak dapat agak- berapa biji lobak merah yang bila sudah disagat akan dapat memenuhi sehingga 2 1/2 cawan.
 Bila sudah sagat- sebiji yang besar sudah cukup. 
Tapi sagat ke parut? sebab ada resepi kata kena perah sikit. Maknanya mestilah parut sebab bila parut tentu berair. Saya belasah pakai sagat saja.


Jangan lupa lengser loyang dengan marjerin atau butter dan alas dengan baking paper. Selain itu kita perlu sukat secawan minyak jagung, ayak tepung gandum bersama baking powder dan soda bikarbonat juga sedikit garam.


Mulakan dengan memukul telur bersama gula castor sehingga kembang. Bila sudah putih, masuk 1 penutup esen vanilla, pukul lagi. Kemudian masukkan minyak jagung, putar sebati.
Perlahankan speed dan masuk 1/3 tepung, putar hingga tepung hilang, masuk lagi separuh tepung, putar lagi dan habiskan baki tepung. Matikan mixer. Gunakan sudip kayu atau spatula- gaul rata hirisan badam, dan kismis yang telah dipotong dua. Masuk juga sedikit garam. Pastikan semua digaul dengan rata.


Akhir sekali, masukkan lobak merah. Kaup balik agar sebati- tuang kedalam loyang yang siap dilengser marjerin/ butter dan dah dialas baking paper. Set kan masa selama 1 jam dengan suhu 180 celcius.


Berbaki 25 terakhir- satu rumah wangi berbau wangi.
Kek naik dengan cantik..
Lalukan pisau disekeliling loyang untuk memudahkan kek dikeluarkan.


Kek ini tidak banyak ragam dan mudah . Jika lihat dari texture luaran, nampak berat macam kek kukus buah-tetapi sebaik dipotong- ia agak lembut-macam kek span.


Cantik dengan taburan carrot, cuma hirisan badam dan kismis kurang nampak..



Rasanya pun sedap.
Alhamdulillah.


Sekian.

Thursday 18 August 2016

ENTRI 193 : MOTIVASI DIRI.

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ 


Saya percaya setiap orang ada 'seseorang yang kurang menyenangkan', yang muncul sesekali malah ada yang berkali-kali dalam hidup mereka. 
Sebabnya kita hanya hamba yang punya banyak kelemahan-tidak mampu memaafkan dengan mudah hingga kadang-kadang menyimpan rasa nyampah bertahun-tahun. Pastilah tidak seronok bila terserempak tidak sengaja aduh mak rasa nak bagi flying kick sebab meluatkan! 
 Sebenarnya keadaan itu sangatlah tidak sihat . 
Bukan untuk dia saja, malah kita sendiri sudah cacat. 
Cuma tidak nampak sebab melibatkan hati. 
Rasa benci-tidak suka-sakit hati-tidak tenang-rimas-asyik mengelak-ha itukan simtom tipikal.
Sebab itulah kena selalu mendengar- membaca- input yang membawa kesedaran. 
 Masih berkisar mengenai buku prof. Dr.Muhaya Mohamad yang sampai ketangan saya tanpa disangka.
Tentunya percaturan cantik diatur Tuhan- alhamdulillah.

Prof. memetik penjelasan Imam al-Ghazali :

Persoalan- bagaimana tangani mereka yang kurang bermoral dari segi akhlak ataupun pakaian, kita rasa tidak suka dengan perangai/ cara mereka.

Cara kita bertawaduk adalah dengan memandang tinggi pada mereka.
Hmm.!

O Bila kita nampak orang muda- kita rasa mereka lebih baik sebab masih kurang dosa.
O Bila nampak orang tua- anggap mereka lebih baik kerana mungkin mereka lebih banyak beribadah
O Bila lihat orang jahat/ jahil- mereka lebih mulia kerana silap mereka adalah kurang ilmu sedangkan kita yang ada ilmu tapi masih selalu buat silap.
O Bila pandang orang kafir- kita rasa rendah diri kerana mereka mungkin tidak kafir selamanya.

Jadi maniskan muka pada orang yang tidak disenangi dengan niat supaya kita jadi baik-jadi contoh-supaya akhirnya orang itu respect pula pada kita.
Mudahlah untuk dinasihati nanti.
Gitu. 
Payah juga ya hendak pandang musuh dengan pandangan hebat. 
Lebih-lebih lagi kalau dia yang mula simbah api pada mangkuk minyak kita.
 
Boleh ?

Tapi mahu menyelit-nyelit juga pada yang pakainya ketat-ketat....ketawanya rabak-rabak....guraunya kasar-kasar, macam tidak boleh masuk pula!

Kata prof.- berhenti melihat kesalahan orang. 
Jaga silaturahim daripada sentiasa mahu berasa kita saja yang betul.

OK mari kita buat kaji selidik.
Kajian kes : ( berdasarkan sebuah kisah benar )

Individu terlibat- Puan A :
.  surirumah sepenuh masa
    .  sentiasa memerap dirumah
 .  anti sosial

Musuh ketat - Puan X :  
 .  surirumah sepenuh masa
            . suka bertandang kerumah orang
 .  suka bersosial hingga sentiasa kelihatan dimana-mana sahaja
        .  tidak menjaga aib walau kawan sendiri
         . status : isteri ustaz -pakaian sudah tentu sangat islamik.

Masalah timbul- bilamana Puan X melangkah masuk kedalam kehidupan Puan A tanpa kerelaan, bermuka tembok dan seperti tidak sedar perlakuannya mengjengkelkan.
Puan X juga suka menegur tanpa hikmah membuat jiran-jiran terdekat makan hati. Walaupun rumah Puan A agak jauh kerana tidak tinggal ditaman yang sama- tapi Puan X tetap meluaskan auranya. Ada 2 isu besar berlaku sehingga menghilang kesabaran Puan A membuat angin puting beliung meranap segala respect pada Puan X. Kita takkan ulas apa isunya demi menjaga aib beliau.
Persoalannya- Bagaimana harus Puan A ber reaksi? Mampukah maniskan muka dan pandang muka Puan X dengan pandangan hebat? Sehingga sekarang Puan A buat muka tidak ada feeling dan tidak berminat untuk berkawan- dan jatuh niat dalam hati -' aku tidak mahu rapat dengan X, bukan sengaja putus silaturahim tapi sebagai langkah berjaga-jaga supaya diri dan keluarga terpelihara dari fitnah..'

Boleh ke begitu prof.?


Sekian.

Sesungguhnya Allah lebih tahu.

Wednesday 17 August 2016

ENTRI 192 : CELIK MATA RESET MINDA.

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ 



Seharian membelek buku yang diberi sepupu kepada anak saya. Lain benar cara pemikiran insan yang tinggi ilmu, membuat kita bermenung mengenang diri sendiri.
Apa yang nyata, prof. ini seorang yang pandai memilih ayat yang tepat, kena dan sampai pada hati.
Terdapat 55 soalan dari pelbagai katagori yang diutara oleh pelajar especially student U. Oleh kerana saya pernah berada dalam kelompok itu, maka faham benarlah apa yang bersarang dalam minda mereka.
Ada yang tanya, cara hendak tackle pasangan yang diminati, (tidak lah kalau saya berada ditempat yang bertanya). 
Pada prof. - couple itu haram.
Ada cara selamat- seperti melalui orang tengah atau SMS atau layang surat atau e mail.
 Semua itu tidak mungkin sesekali saya lakukan!
Mati hidup semula pun tidak!
Hanya perempuan bermuka lawa saja yang layak.
Atau terlebih konfiden, ada juga.
Gitu.
Ada satu soalan yang sangat menarik perhatian.

Begini.

Saya seorang pelajar senibina di universiti. Jurusan yang saya ambil menuntut saya berjaga pada waktu malam dan kurang tidur pada waktu siang. Akibatnya saya mendapat pelbagai penyakit seperti gastrik, sakit kepala yang melampau, apendiks ,imsomsia dan kemurungan sehingga beberapa kali masuk ke hospital. Ditambah pula saya diuji dengan masalah keluarga. Kadang-kadang saya berasa ingin berhenti universiti. Tolong saya prof.

Reaksi spontan lepas membaca soalan ini-  hairan. (hendak ketawa pon ada, tapi hal masalah keluarga- saya simpatilah juga).
Jangan kelentong sudah.
 Saya ini mantan student senibina ok.

Of course prof. sudah jawab tapi teringin jugalah hendak menyibuk beri sepatah dua komen yang tidak diundang.
Dengar dik ya. Prof. itu top student. Sebab itu dia layak beri tunjuk ajar dan nasihat berguna kerana laluan yang ditinggalkannya boleh dijadi contoh kerana terbukti kejayaan dirinya sekarang. Walaupun keadaan terkini saya tidak sehebat prof. tapi saya juga pernah bergelar top student 2 tahun berturut-turut semasa belajar senibina dulu. Jadi situasi saya lebih dekat dengan dunia adik.

Pada saya- apa yang paling penting adalah time management. 
Kedua adalah minat yang mendalam (passion). Bila ada minat baru datang seronok.
 Tidak dinafikan course ini sangat meletihkan juga, mendatangkan stress. Itu sebab saya sudah beruban sejak anak dara lagi, pasal banyak fikir. 
Apapun, kalau minat semua boleh bertukar indah. Walaupun selalu sibuk, saya akan make sure setiap detik digunakan dengan betul. Dapat assignment kena terus bertindak. Tiada istilah- nanti dulu- dalam kamus hidup saya. Pagi dapat assignment- tengahari sudah di library. 
Jangan biasakan kerja last minute.
Disiplin diri sangat penting. Solat mesti jaga. Bila baca adik ini siap masuk hospital- heh serius ni. Rasanya saya tidak pernah berjaga malam, cuma sesekali tidur lambat bila sudah dekat submission.

Kesian juga ya. Kalau begini caranya, tidak usahlah siksa diri sesuatu yang kita tidak mampu. Tidak enjoy pun tidak ada faedah- hanya mendatang penyakit.
 Senibina atau architecture adalah pilihan pertama sebab saya rasa ada bakat dan kreatif. Itu penting- kenalpasti keupayaan diri sendiri, sebelum buat pilihan kerana selepas belajar, itu yang akan jadi kerjaya seumur hidup. Kalau masa belajar pun sudah nak terbalik apatah lagi alam pekerjaan yang sebenar. 
Tapi tidak mengapa. Berjuanglah hingga keringat terakhir. 
Ada diploma/ ijazah senibina tidak semestinya bekerja jadi arkitek. Kalau rasa terbeban, cari pekerjaan lain yang sesuai dengan diri -yang penting dapatkan kelayakan itu dulu iaitu segulung diploma/ijazah. Itulah yang akan menambah nilai diri kita walau berada dibidang lain. 
Walau selalu dipanggil best student, tapi saya cuma peringkat diploma saja. Selepas itu terus bekerja. Sebab apa? Sebab sedar saya tidak mampu jadi arkitek. Skop kerja arkitek itu tidak sesuai untuk jiwaku yang sentimental, kena turun padang ke site, kena bertekak dengan engineer, kena sumpah dengan clientmeeting dengan supplier, meeting dengan orang majlis, hai tidak minatlah!
Itu belum lagi proposal yang dihadap berminggu-minggu kena reject macam jentik semut yang terkial-kial naik panjat tepi seluar!
Uii komentar saya ini sudah melebihi prof. nampaknya, malah menyimpang lebih jauh.
Aura prof. macam sudah meresap-resap...
Ingat mahu kupas soalan lain juga tapi soalan budak senibina stress terlampau ini saja rasa macam tidak cukup ruang. Sori ya dik. 
Pasal caring la akak sharing.

Sambung sikit lagi. Sebab akak kan sudah jadi  emak-emak. 

Sebenarnya semua orang ada masalah cuma kita saja yang tidak tahu kerana mereka tidak bercerita. Ada orang nampak serba ceria sampai jeles kita dibuatnya, rupanya terpikul dibahunya masalah yang kita sendiri tidak sangka. Oleh itu belajar- jangan pandang masalah itu besar sangat....
Kalau dalam otak asyik fikir masalah masalah masalah, memanglah jadi masalah.
Cuba renung, apa agaknya yang cuba disampaikan Tuhan dengan menurunkan ujian itu.
 Adakah Tuhan mahu menyedarkan?
Terus bertindak- baiki diri. 
Jangan asyik cari salah orang dulu.
Itu peringatan buat diri sendiri juga.

Bak kata prof.- Celik mata-Reset minda..

Seronok dapat belajar sesuatu.

Sekian.




Wednesday 10 August 2016

ENTRI 191 : OBSES RAJA BUAH.

Dengan lafaz Bismillah bicaraku bermula....


Macam-macam promosi. 
Pesta disana sini menyebab tahap keterujaan naik melambung-lambung.
'Durian sudah melambak-lambak, sebutir pun belum dapat rasa..' saya berkeluh kesah mengharap ada yang simpati.

Bayar RM 10 makan puas-puas?
Tidak mahu yang itu.
Tekak ini cuma mahu sebiji dua.
Cuma sebiji dua!
Enaknya terbuai nikmat,  sesekali terbersin bila terkena durian berisi pahit...ahh!
Siapa yang dapat dustakan anugerah dari Tuhan?

Walau musim durian sudah kembali, ia masih dalam katagori 'mahal'- itu dalam perkiraan suami- suatu yang saya sangat pasti. Tunggu sampai harga benar-benar runtuh! 
Dia tidak pernah menuturkan tapi saya jamin itu yang selalu difikirkan.
 Tunggu sampai dapat harga RM 10 sekarung, masa itu mintalah berkarung-karung. 
Dia takkan merungut.
Tapi tekak saya sudah tidak sanggup.
 Bukan sekarung yang saya minta, cuma sebiji dua.

Bertambah malang, kelibat itu sentiasa menghantui.
Mengekori. 
Memandang luar, kanan durian, kiri pun durian.
' ....pejam mata bu.....' 
Bila sikecil berkata begitu- bermaksud ada gerai durian dihadapan. 
Oh tidak!

Sabtu lalu,singgah dirumah orang tua. Sebaik pintu terkuak, bau itu menerpa bersesak-sesak kelubang hidung. Asyik mahsyuk jadinya, terus meluru kedapur mencari. Dua biji tergolek disudut tepi tong beras, liur terkecur-kecur....
Mana atok? 
Mana nenek?
Kenapa 2 biji..? 
Kenapa tidak 20 biji?

Kesian sungguh pada mahkluk yang kemaruk ini.
Lalu pada satu perjalanan pulang.....
Sekilo RM 20? Sebelahnya sekilo RM 10, sebelah lagi sekilo RM 8.
Ah bolehlah....yang 8 ringgit itu.
Tersenyum-senyum sekejap menjengah buah yang elok-elok berharga mahal, sekejap kekiri membelek buah sekilo RM8 yang nampak macam anytime nak kena humban kat longkang.
Yang namanya Musang King, jeling pun jangan!
Tidak mengapa, murah pun boleh.

2 biji idaman kalbu sudah parking cantik dihujung kaki seat depan.
Kalkulator dalam otak pon mencongak- 2 biji RM 39, bermakna sebiji RM 19.50.
Mahal juga kau ya?
Saya mahu yang sekilo RM 8 tetapi dia beli yang baik sedikit.
Fikiran terus melayang-layang, menyedut-nyedut udara dalam kereta berbau haruman asli, 
sambil berkira-kira sebaik sampai depan pintu rumah, saya mesti pecah rekod Khairul Hafiz Jantan.
Larian kena pantas menerkam parang didapur!

Lalu dipetang yang hangat, dapat jua kuredakan keinginan yang sekian lama terpendam.


Durian banyak serat, ada folat untuk hasil sel darah merah, antioksidan, anti penuaan, potasium, posphor untuk gigi dan mulut, riboflavin untuk atasi migrain.
Paling betul dan benar adalah meredakan tekanan-sebab ada vitamin B6.
Begitulah.

Cerita 9 tahun lalu..

" Hah balik, kat rumah abah ni banyak orang hantar durian..."
" OK!"
Teruja!

Makan banyak.
" Orang mengandung boleh ke makan durian banyak-banyak..?" baru sedar diri.
" Boleh..." jawab atok baby dalam perut, selamba.
..dan konfiden.

Sebulan kemudian,

Ipar duai sibuk mengacah-ngacah baby yang comel, mengusap jari jemari yang kecil-kecil dan lengan yang lembut tetapi mengelupas.
" ...ada makan benda panas-panaskah...?"
Panas? 
"....macam durian.."
Er.


Sekian.