Friday 28 November 2014

ENTRI 106 : KOTAK FIUS.

Bismillah.


3 orang warga asing, masing-masing dari Indonesia, Korea Utara dan Mynmar maut dalam letupan lombong arang batu di Serawak dipercayai akibat kerosakan kipas angin yang mencetuskan kebakaran gas didalam terowong sedalam 451 meter.
Kipas angin yang rosak itu menghasilkan percikan api.
Kipas rosak.
Percikan api.
Jantung saya tiba-tiba saja berdebar..
Kotak fius yang melekat utuh didinding depan rumah sudah 2 minggu menghantui benak.
Kadang-kadang ia berdesir.
Bunyi yang beberapa saat itu menakutkan.
Terlintas juga dihati, ada kemungkinankah ia hasilkan percikan api?
Mungkin!

Bunyi pertama dikesan oleh anak-anak sewaktu mereka bermain diluar.
Saya katakan pada sikecil, jangan berdiri dekat kotak itu. Takut-takut ada arus eletrik. Dia mengangguk faham.
    " Ibu jangan beritahu ayah ya!" pesannya.
Mana boleh  tidak beritahu sesuatu seserius itu!
   " Cikgu kata, kalau kena karan boleh mati. Jangan beritahu ayah ya ibu...ya ibu..."
Pandainya budak ini .

Saya rasa dia tahu apa yang ayahnya akan lakukan.

Suami terus dapatkan tangga dibilik belakang. Suis utama ditutup. Saya tidak melihat pun apa yang dibuatnya. Muka anak bongsu saya terus menjadi serius. Dia marah kerana saya tidak menepati janji. Alahai anak, jauh dilubuk hati ibu ini sentiasa menitip doa agar tiada apa-apa berlaku pada ayah awak yang sedang memandai-mandai diluar sana tu!
Tiada sebarang perubahan juga.
Bunyi desiran itu jarang-jarang sebenarnya. Dalam sehari adalah sekali dua. Bila ia berlaku, cepat-cepat saya tutup suis tv, sius kipas, wifi- bagi meminimakan penggunaan eletrik. Dan ia terus hilang begitu saja.. 

Namun pagi semalam, semasa menyapu diruang depan, tiba-tiba bunyi itu menjelma. Darah berderau laju. Kisah letupan diterowong muncul semula,  ah tidak boleh jadi. Terus saya kedalam. Cepat-cepat mencari bil-bil yang tersangkut pada dinding tepi cermin sebelah pintu bilik air. Membelek-belek dan mencari-cari. 
Macamana hendak contact pihak terbabit. Saya jadi kalut. Tiba-tiba teringat jiran saya Zarah yang sudah pun berpindah. Dua bulan lepas kotak fiusnya dicuri. Apa tindakan dia ya? 
 10 minit kami berbual. Kata Zarah, suaminya yang uruskan. Nanti dia call balik.
          " Ibu ni, sampai ke Perak ibu telefon. Cari sajalah dalam bil eletrik. Kan ada nombor aduan kerosakan..."
Oh ya ke?
Kenapa ibu tidak jumpa?
Sebab ibu tidak pernah pegang bil.

Cari balik.
15454.
Tekan pula butang 1. Selang seminit, tekan lagi butang 1.
Suara seorang perempuan dihujung talian.
   " Puan. Segera offkan suis utama. Keadaan ini agak bahaya. Bila-bila masa boleh berlaku percikan api. Kami takut berlaku litar pintas. Bunyi itu akan keluar bila tinggi penggunaan eletrik dalam rumah. Lampu dalam rumah ada gangguan..? Kadang-kadang berkelip-kelip...?"
   " Ya...ya.." jawab saya takut-takut.
  " Puan offkan suis utama dulu ya. Stand by telefon. Bantuan akan tiba  dalam masa 2 jam..."
Saya terduduk.
Seperti tersedar bahawa situasi kami sebenarnya dalam bahaya!

Masih menunggu.
Betul ke dalam masa 2 jam?
Ke janji Melayu.
Kata Zarah, suaminya buat aduan sebelah pagi, menjelang maghrib baru pihak terbabit sampai.
Hish kesian pula anak berpanas tanpa kipas.
Kesian pula kat saya kerana terlepas cerita Korea.. k.. tak penting.

2 1/2 jam kemudian,


Bantuan sampai- bantuan sampai.
Jiran depan rumah memanjangkan leher.
Tidak bayar bil lah tu.

Dalam masa 5 minit, semuanya selesai.


Lega sungguh!
Kotak kecil hitam segera ditukar baru.
Barulah hidup kami aman damai ever after.
Alhamdulillah.



Sekian.
Jangan pandang remeh hal-hal yang berkaitan dengan keselamatan nyawa.




Saturday 22 November 2014

ENTRI 105 : JADI KE SAMBAL HITAMKU?

Bismillah...


Makanan orang Pahang.
Katanya sangat sedap.
Tergodalah jugak.

Lalu depan rumah mantan tukang kebun sekolah.
Mata melirik nakal kearah pokok belimbing buluhnya di halaman rumah..
Kurang menjadi pula buahnya kali ini.
Tapi bukan nak pakai banyak pun.
Tebalkan saja muka tu ....
Dapat barang 10 butir pun sudah ok .

Semangat pulak rasanya.
Bahan-bahannya pun simple sahaja.
Tapi rasa was-was bab belimbing ni.

-Belimbing rebus tapi tidak payah bubuh air-
Aih mau tak poning kepalo den!


Belimbing buluh ini kena dijadikan belimbing rebus. Kalau di Pahang- mereka guna tin untuk masak buah ini tanpa sebarang air. Ia akan mengeluarkan airnya sendiri dan prosesnya memakan masa. Kalau hendak buat belimbing rebus, kenalah guna periuk atau kuali yang lama-lama, kerana asid dari buah ini dikatakan sedikit sebanyak akan merosakkan periuk kita.
Begitulah yang saya baca.

Kuali saya memang sudah lapuk.
Sesuai benarlah.


Masukkan kedalam kuali berlapuk dan sedikit-sedikit, warnanya akan bertukar kekuningan. Sebab tidak ada pengalaman, saya buka api paling perlahan sebagai langkah berjaga-jaga.


 10 minit telah berlalu. Buah menjadi sedikit lembut dengan kesan keperangan.
                            

40 minit telah pun berlalu. 
Mana airnya?
Kuali saya semakin kehitaman walaupun sering mengacau.
Berapa lama lagi hendak ku tunggu?


Cepat-cepat saya keluarkan.
Masalahnya wahai orang-orang Pahang sekelian, bolehkah begini?

Ah jalan terus.


Bahan lain adalah cili padi. Saya jarang guna cili padi yang banyak dalam masakan. Sebab utama adalah kerana saya bukan orang nogori.


  1 labu bawang besar.


Ikan bilis yang siap dikopek. Proportion bahan-bahan adalah mengikut naluri masing-masing.


   Bahan-bahan ini perlu dilumatkan


Cili padi dan bawang ditumbuk lumat, ikan bilis pula ditumbuk kasar


Tumis bawang dalam 1/2 cawan minyak masak. Biar garing.


   Masukkan pula cili padi dan ikan bilis.


Masukkan belimbing tadi. Ia sudah agak lembik (sepatut saya lumatkan dahulu buah ini). 
Mungkin buah belimbing ini perlu dimasak lebih lama sehingga kecut dan kehitaman bertujuan untuk disimpan lama. Kalau setakat terus masak, ok lah ni, fikir saya.


     Masukkan sedikit kicap.

  
     Masuk 1/4 sudu besar garam halus


 Masukkan pula 1/2 sudu besar gula pasir


Masak hingga betul-betul garing.


   Texture  macam serunding.


Persoalannya, beginikah rupa sambal hitam?

Rasa sambal saya  ini  sangatlah sedap.
Cukup rasa pedas, masam dan garingnya, sekejap saja sudah habis.


Sekian.



Wednesday 19 November 2014

ENTRI 104 : ANGKARA SIAPA.

Bismillah.


Puas menunggu.
Ibarat menanti isteri yang entah bila akan hamil.

5 tahun?
6 mungkin.
Ah entahlah.
Saya sendiri terlupa berapa usianya.

Takik-takik supaya dia rasa sakit?
Gantung kasut ataupun selipar?
Supaya dia stress?
Cuba sajalah. 
Pagi itu saya buat kedua-duanya.
Bercakap perlahan dengannya, dengan nada memujuk.

Tidak berhasil.

******

Tiba-tiba.
Dengan kuasa Allah.
Disuatu pagi yang indah. Tatkala lalu dihadapan rumah, mata tertangkap pada sesuatu.

Eh eh.

Akhirnya.


 Hati kami berbunga sama.


  Indahnya dimata.


Beberapa minggu kemudian, tiba-tiba sudah ada baby-baby comel ini.


   Kiut .


   Tahu-tahu sudah besar. 


    Sentiasa diperhati.


Pelik sebab buahnya cuma dibahagian bawah. Atas-atas tiada.


Cepatnya masa berlalu. 
Kira punya kira ada 12 biji, Alhamdulillah. 
Pokok baru belajar berbuahlah katakan. 


    Macam ini saja pun sudah nampak sedap.


Namun ada satu kejadian pelik.
Suami saya kehairanan.
Ketika keluar melepasi gate untuk hantar anak sekolah, baru dia perasan.


Buah-buah ini sudah berbalut!
Kerja siapa?


Bukan saya.
Bukan suami juga.
Anak-anak tidak mungkin.

Pelik bin ajaib.

Tapi sehari sebelum itu.
Anak-anak sudah pun tidur. Memang mereka selalu tidur awal. Suami masih belum pulang. Saya pula tidak lena-lena. Tiba-tiba terdengar bunyi berdesir. Apa tu?
Kotak fius didinding luarkah? 
 Walaupun jarang, tapi sesekali ia berbunyi menjadikan saya cemas. Saya bangun menuju ke tepi tingkap. Tiada lagi bunyi itu. Tangan menyelak sedikit langsir biru lembut yang menutupi tingkap. Terperanjat apabila terpandang kelibat seseorang dibawah pokok mangga.
 Dia juga seakan terpaku apabila mata kami bertemu!
Cepat-cepat saya melepaskan langsir.
Cuba bertenang.
Siapa itu?
Apa yang dibuatnya disitu?

Persoalan telah terjawab!

Dia jiran saya.
Baiknya hati dia kan.


  Buah mangga ini  ada dua penjaga. Lebih selamat.
                              


Sebiji mangga muda menjadi korban.
Kalau hendak bersedekah, berilah benda yang paling kita sayang. 
Sambal belacan mangga muda untuk kenduri ditaman kami. Semoga sedekah yang tidak seberapa ini membuahkan hasil yang lebih untuk pokok mangga itu.


Sekian.


ENTRI 103 : SAMBAL BELACAN ISTIMEWA.

Bismillah.


" Sambal belacan, biar saya buat..."
Ustazah mengangguk. Kenduri sempena majlis khatam Quran beramai-ramai itu telah pun selamat diadakan ahad lalu. Seramai 5 orang pelajar yang terlibat termasuklah anak saya yang ketiga. Alhamdulillah, majlis berjalan lancar. Lauk pauk yang dimasak secara bergotong royong itu pun menepati tekak tetamu yang datang.

Sambal belacan.
Lawan pula dengan masak lemak dan ikan masin.

Saya lihat cara begini pada tahun lalu dikampung saya. Membuat sambal belacan sebenarnya sesuatu yang subjektif, tidak salah kita mempelbagaikan cara.

RESEPI SAMBAL BELACAN.

1 kilo cili hidup merah
2 keping belacan ( besar )
4 biji tomato ( besar dan ranum )
1 biji mangga muda
1 mangkuk limau kasturi
1 labu bawang besar
garam dan gula
Sedikit minyak masak
( untuk 150 - 200 orang )


Masukkan 3 sudu minyak masak dan gorengkan belacan. Hancur-hancurkan agar mudah garing. Biar sehingga warnanya bertukar brown. Bila bau belacan sudah terbit, masuk tomato yang telah dibelah 4 dan bawang besar yang sudah dipotong-potong. Tambah sedikit minyak masak jika perlu. Tujuannya adalah untuk caramelisedkan, untuk keluarkan rasa manis semulajadi bahan-bahan ini. Gaul sehingga semua sebati dan layu.


   Sekilo cili merah mestilah dipotong-potong dahulu


    Curah masuk cili pula.


Biar nampak tomato dan cili mengecut dan bersalut belacan. Matikan api.


    Sementara itu, bolehlah potong limau kasturi.


    Perahkan airnya.


Ambil dalam 20 biji kulitnya dan hiriskan senipis boleh.


  Kupas mangga muda yang bukan main masamnya ini..


    Gunakan pisau yang berat untuk mencincang isi mangga.


     Dapat 1 pinggan isi mangga muda


Boleh blend, masukkan sedikit campuran cili, belacan, tomato dan bawang tadi. Masukkan sedikit air limau (walaupun tanpa air limau- campuran ini masih boleh diblend  kerana jus dari tomato sudah cukup untuk memastikan blender berputar )


 Masukkan juga sedikit garam dan gula ( jangan banyak sangat garam sebab belacan itu sendiri sudah masin )


Blend tidak perlu sampai lumat /halus. Biar hancur kasar.


     Tuang dalam satu bekas. Ia pekat dan kurang berair.


Bila sudah siap, baru masuk hirisan kulit limau.


Masukkan pula hirisan buah mangga muda. Gaul sebati. Rasa gula dan garam. Biar cukup rasa masam- masin dan sedikit manisnya.


 Sedia dinikmati bersama lauk pauk yang sesuai.

Banyak bahan masam lain yang boleh digunakan:
Binjai masam, belimbing buluh, kedondong.
Boleh juga tambah cili padi.
Saya pernah makan sambal belacan yang diletak hirisan nipis perut lembu.
Sedap sungguh!

Ikut kreativiti masing-masing.
 Boleh blend malam dan simpan  dalam peti ais. Keluarkan untuk kegunaan esoknya. Campuran akan lebih mesra dan sedap.


Sekian.