Monday 29 September 2014

ENTRI 83 : KEK KUKUS BERALUN.

Bismillah.

Kek ini agak istimewa.
Ada kelainan, yang guna teknik berbeza.


nama asalnya:
RESEPI KEK VELVET OMBAK BERALUN.


2 cawan tepung gandum
1 sudu kecil baking powder
(  ayak bersama )
5 biji telur gred A ( dari peti ais )
1 cawan gula halus
1 sudu besar ovallet
1/2 sudu kecil garam halus
1 sudu kecil esen vanilla
150 gm susu sejat
100 gm mentega / marjerin cair
Serbuk milo atau koko
Beberapa pilihan pewarna

Caranya sangat senang -campur semua bahan diatas dalam bowl.
(kecuali marjerin cair dan serbuk milo/koko ). 
Putar guna mixer dengan speed paling laju hingga kembang (anggaran 5 minit).
Kemudian kaup balikkan dengan marjerin/mentega cair. 
Senang sangat.

Mana kelainannya?
Sabar.


Ini antara bahan-bahan yang digunakan.


   Sukat marjerin dan cairkan.


Seperti biasa sapu loyang dengan sedikit marjerin dan alaskan baking paper. Sediakan juga beberapa pilihan pewarna dan sedikit serbuk koko. 


Masuk semua bahan dan mix sehingga kembang.


Kaup balik marjerin guna spatula. Bahagi dalam 3 mangkuk yang sama besar supaya dapat dibahagi sama banyak. Saya akan buat 3 layer. Cuma guna 2 pewarna sebab lagi satu saya gunakan warna asal batter. Jangan letak banyak sangat pewarna sebab bila sudah kukus warnanya akan jadi lebih terang.


Mula tuang batter yang berwarna hijau. Senget-sengetkan loyang supaya ia merebak dengan sekata.
Teknik inilah yang lain dari kek biasa.


 Masukkan serbuk koko atau milo kedalam tapisan dan ayakkan keatas batter hijau tadi hingga menutupi semua permukaan.


Sudukan batter tanpa pewarna pula. Pastikan batter menutupi semua permukaan lapisan pertama serbuk koko tadi. Memang cerewet. Jangan ratakan dengan sudu sebab dengan mudah ia akan menarik lapisan koko dibawahnya nanti. Jadi tumpukan bahagian yang masih kosong dulu dan baki batter akan diguna untuk menutup ruang-ruang kecil yang masih ada. Masalah utama adalah agak sukar untuk mendapatkan lapisan batter yang benar-benar rata- Bila permukaan berlekuk-lekuk-apabila diayak serbuk koko selepas itu-akan ada lapisan koko yang terbenam dalam lekukan yang mana sepatutnya lapisan serbuk koko mestilah nipis sahaja.
Tidak mengapa.
Itulah cabarannya.


    Lapisan terakhir, sangat leceh bab melapis batter.


Siap pun. 
Tidak mengapa permukaan  tidak begitu licin. Memang sukar hendak ratakan memandangkan terdapat lapisan serbuk koko yang mudah bocor dibawah. 
Kukus selama 45 minit -jangan lupa tutup loyang dengan aluminium foil.


Rupa permukaan luar agak tidak molek.
Uniknya - dalamnya bercorak, terbentuk oleh lapisan koko. Nampak tidak ada lapisan yang agak tebal? Disitulah lekuk-lekuk akibat permukaan tidak rata. Pengumpulan serbuk koko yang tebal akan terbitkan rasa pahit disitu.


      Memang cantik beralun-alun.


Orang pandang pun terpegun.
Siapa yang penyabar boleh cuba buat.



Sekian.






ENTRI 82 : NASI KUNYIT.

Bismillah.



Nasi kunyit sinonim dengan majlis khatam Quran. Adakala nasi kunyit divariasikan sebagai kek perkahwinan, juga menghiasi acara kenduri kendara mengikut permintaan tuan rumah. 
' Gu' terbaik pastilah kari ayam / daging pekat ataupun rendang.

Dulu-dulu hendak buat nasi kunyit -ambil masa juga. Kena rendam semalaman. Kemudian perlu dikukus secara berperingkat. (sama seperti membuat nasi lemak kukus).
 Banyak cara lebih mudah dicipta, jimatkan masa dan tenaga.
Kita manafaatkan ilmu yang kita jumpa.


RESEPI NASI KUNYIT.

2 cawan beras pulut
160 ml santan pekat (kotak)
160 ml air
(atau 320 ml santan segar)
1 sudu garam halus
1 sudu teh serbuk kunyit / 2 inci kunyit hidup
 Sedikit asam keping 


Rendam beras pulut dengan sekeping asam gelugur (asam keping) dan sedikit serbuk kunyit. Jika gunakan kunyit hidup, hiris nipis dan blendkan saja dengan 3-4 cawan air-kemudian tapis .
( beras akan mengembang maka air biarlah banyak ) 
Asam gelugor berfungsi untuk mengilatkan beras apabila sudah masak nanti.


 Rendam selama 4 jam.


   Toskan. Sesudah 4 jam, warnanya sudah cantik.


Masukkan simpulan daun pandan kedalam air kukusan.


Saya suka sesuatu yang mudah. Sebab itulah selalu gunakan santan kotak.


Tambah air pada jumlah yang sama. Jika guna santan segar, sukatannya sama dengan jumlah santan pekat kotak dan air- Dapatkan santan yang sederhana pekat.


Tambah garam halus kedalam santan dan gaul rata-rata. Rasa dulu, biar terasa garamnya.


  Tuang santan  kedalam beras yang telah dimasukkan kedalam loyang.


Kukus  1/2 jam.
 15 minit pertama, buka penutup dan kacau dengan senduk kayu agar ia masak sekata. Masak semula selama 15 minit lagi.


   Sudah pun masak.


   Tiba-tiba dapat idea.


Sapukan dulu acuan dengan sedikit minyak masak. Sudukan pulut yang sudah suam.


  Padatkan dengan menekan-nekan dengan plastik atau dengan daun pisang.


                                          

  Cantik terbentuk.


  Kalau saya tahu ia lebih mudah begini, sudah lama saya lakukan.
  

         
                                      


 
Jika dibuat saiz begini, lebih mudah diambil tetamu.
(jangan biarkan terdedah kerana pulut mudah menjadi keras / kering)




Sekian.



ENTRI 81 : KELUARGA AL QURAN 1 .

Bismillah.


Saya mengaku jarang menontonnya. Ditakdirkan saya mengadap dengan penuh kusyuk dan tawaduk.  Terasa seperti baru tersedar dari mimpi yang panjang. 
Oh Tuhan, dimana aku selama ini?  
Dimana?

*****

Umurnya baru 29 tahun. Sepadan dengan saiz badannya, dia sekarang berjawatan Imam Besar disebuah masjid di Kelana Jaya. Kisah hidupnya diangkat dalam episod kali ini. Sudah tentu Tuhan mahu mencampak hidayah ke hati saya- tiba-tiba saja duduk tercangok didepan kaca tv pagi-pagi begini yang mana tidak pernah dibuat saya selama ini. 
Syukur....! 
 Walaupun siaran ulangan namun kesannya masuk ke lubuk hati yang paling dalam. 

Siapa dia?
Kisah adik ini sangat mengkagumkan.

Dibesarkan di Terengganu. 
Mempunyai adik-beradik seramai 19 orang. Bapanya peniaga pasar malam yang sangat tegas. Jika terdengar tapak kaki ayahnya pulang, semua anak-anak angkat kaki. 
Kenapa?
...sebab bila nampak muka anak, dia akan 'memaksa' membaca Al Quran. 
Habis waktu sekolah, van sibapa telah sedia menunggu untuk membawa anak-anak kepasar malam. Tiba disana, mereka siapkan kerja sekolah. Bila selesai, kena tolong berniaga pula. Bila free baca Quran. 
Duduk-duduk baca Quran. 
Sibapa sendiri berbuat begitu. 
Dalam perjalanan pulang, kena baca sambil di check oleh si bapa.
... baca lain... hafal lain....

 (saya respect pakcik 300 % ).

Anak-anaknya tiada pilihan selain menurut saja rentak bapa mereka.
Alah bisa tegal biasa.
10 orang anak pakcik itu hafiz Al Quran.

(saya sangat jealous dengan pakcik)

Anak-anak dimasuk ke sekolah tahfiz. Menurut kata pemuda ini, dia hanya hafal Quran setelah habis sekolah menengah. Bukan dari kecil- kerana budaya membaca Al Quran telah dipraktikkan setiap hari -itu telah  memudahkan dan memupuk minat akhirnya.

Apa pencapaian terbaiknya?

Sewaktu umurnya 25 tahun, dia muncul sebagai Juara Akedemi Al Quran.
Terkini-  johan Tilawah Al Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa tahun 2014!

( Habuan yang dimenangi setiap pertandingan bukan calang-calang. Preve pun dapat, tapi  khabarnya si bapa masih terus berniaga dipasar malam)
Tidak heran dia dengan harta duniawi.

*****

Punat tv sudah saya offkan tapi fikiran saya masih lagi on.

Saya macam kena bius. Seperti terawang-awang- cuba meletak diri berada ditempat anak-anak tadi. 
Mampukah saya? 
Atau pada kondisi sekarang, sebagai ibu ayah-bolehkah saya bertindak seperti pakcik itu?

Ada sesuatu yang penting dapat saya belajar hari ini.
Seperti kata budak besar imam besar itu, walau membaca Al Quran setiap hari tanpa memahaminya, ia tetap dapat bersihkan jiwa. Dia membawa pula cerita yang sangat relevan.

Saya ulang kembali ceritanya:

Ada seorang cucu yang selalu mengikut datuknya membaca Al Quran. Dan dia memang boleh membaca sebaik datuknya. Namun dia berasa was-was kerana dia hanya membaca tapi dia tidak faham pun. Lalu sidatuk menyuruh mengambil guni yang ada arang didalamnya. Dibuangkan arang dan dibawa kesungai mengikut arahan sidatuk. Dikautnya air dengan guni dan sesampainya dirumah, tidak ada setitik air pun didalam. Diulangnya lagi dan lagi dan lagi. Sidatuk yang clever  akhirnya menyuruh cucunya itu melihat kedalam guni tersebut- sudah bersih... 
Simboliknya: Al Quran yang dibaca setiap hari, berulang kali (ia ibarat air yang diangkut berulangkali ), walau tidakdapat difahami (ia bagikan air yang tercicir melalui celah-celah jahitan guni )-namun masih dapat membersih kesan arang didalamnya.
( arang itu ibarat dosa)


Saya sendiri  terlopong tatkala imam besar itu bercerita. Mengaitkan sesuatu dengan begitu tepat dan kena. Bisa menembus ketangkai hati insan-insan yang lemah iman seperti saya.

Jadi, saya mahu dan perlu lakukan sesuatu.
Sesuatu yang penting untuk diri sendiri.
Semoga saya mampu.

InsyaAllah.
I really want to be a better me.



Sekian.

Sunday 28 September 2014

ENTRI 80 : ROTI JALA

Bismillah.


Menonton rancangan masakan semalam membuat saya menelan liur.
Ish tidak boleh jadi.
Terror pula budak cina itu buat roti jala.
Nih....mak budak Melayu pula hendak tunjuk skill.


RESEPI ROTI JALA.

3 cawan tepung gandum
3 1/4 cawan santan / susu segar / air
1 biji telur
1 sudu teh garam
2 1/2 sudu besar minyak masak
 Serbuk kunyit / pewarna kuning. 


Sebab saya orang lama, saya buatlah cara lama..


Tepung gandum sebanyak 3 cawan. Kalau hendak buat banyak, gandakan sahaja.


Santan sederhana pekat. Kalau gunakan santan kotak- 1 cawan santan kotak, tambah dengan 2 1/4 cawan air-kacau rata-rata. Jika guna santan, roti jala terasa lemak, Kalau hendak jimat, boleh saja guna air biasa.


 Sebiji telur ayam.


    1 sudu teh garam halus.


2 1/2 sudu besar minyak masak.


Kesemua bahan diatas dicampur dalam satu bekas dan diblend. Jika hendak buat 1 warna sahaja, letak 1/2 sudu besar serbuk kunyit dan blend sekali. Saya nak buat 2 warna, jadi saya blend kosong dulu kemudian baru letak pewarna.


Bahagi kepada 2 bahagian sama banyak. Satu letak pewarna hijau dan satu lagi letak 1/2 sudu teh serbuk kunyit dan blend semula. Ini supaya serbuk kunyit betul-betul sebati. Adunan mestilah tidak terlalu pekat. Cara nak tahu- test satu dulu. Kalau batter jatuh dari acuan dengan smooth- oklah tu. Kalau macam tersumbat, tambah sedikit air dan kacau sebati. Jika terlalu cair, adjust dengan tambah sedikit tepung dan blend semula.


    Sediakan simpulan daun pandan dan sedikit minyak..


Saya gunakan pemanggang ajaib. Lengserkan dulu sedikit sahaja minyak. 
Pilih permukaan yang rata, jangan buat atas permukaan bergarisan timbul tu ya.


 Kita biasa tengok orang buat bentuk bulat. Saya buat garisan melintang.


   Kemudian buat garisan menegak pula, apa salahnya.


Biarkan seketika supaya ia masak. Api mesti yang paling slow.


Bila sudah masak, lipat bahagian tepi yang paling kiri, lipat bahagian atas dan bawah.


   Gulungkan kemas-kemas.

                                     
     Cantik.



 1 adunan ini saya dapat lebih kurang 26 keping.



Kuah kari yang digandingkan mesti mantap dan sedap.
Kalau tidak, sia-sia roti jala lawa kemain.
Tak gitu...?


Sekian.