Monday 26 May 2014

ENTRI 48 : KUIH KASTURI/ RENGAS.

Pengisian : Sahabat sejati itu umpama pohon rendang tempat kita berteduh.


Bismillah.


Dulu, ini adalah salah satu antara kegemaran. Pernahlah buatnya suatu ketika dahulu. 
Walaupun ia nampak simple,kadangkala meragam juga.


KUIH RENGAS/ KASTURI.

1 cawan kacang hijau ( rendam 2 jam )
4 1/2 cawan air
3/4 cawan gula pasir
3 sudu besar kelapa parut putih
3 sudu besar tepung gandum


KULIT KUIH

1 cawan tepung beras
1 sudu besar tepung jagung
sedikit serbuk kunyit
secubit kapur sedikit garam
air


Cara-caranya:

 
Secawan kacang hijau rendam selama 2 jam. Kemudian direbus bersama 4 1/2 cawan air.Masak dengan api sederhana. Masa yang diambil untuk menjadi empuk anggaran 35-40 minit. Periksa samada dah cukup lembut. Jika belum, tambah masa.
.

Sementara merebus kacang, sediakan 3 sudu kelapa parut, 3/4 cawan gula pasir dan 3 sudu besar tepung gandum sebagai agen pelekat. (kelapa adalah pilihan)


Bila kacang sudah empuk, masukkan gula, kelapa dan tepung. Gaul rata. Bila gula mula mencair, kacang akan berair semula. Dengan api perlahan biar ia mengering. 
Biarkan menyejuk sebelum dibentuk.


Boleh ikut cara saya untuk dapatkan saiz yang standard. Saya guna penutup botol nescafe yang dialas dengan plastik untuk mampatkan inti kacang. Sebelum itu taburkan sedikit tepung gandum keatas plastik . Tabur juga tepung atas bekas sebelum menyusun inti.
Saya selalu tengok mertua bedakkan seluruh inti dengan tepung gandum.(boleh juga terus bentuk bebola dan leperkan)

 
 Bancuh tepung untuk menggoreng. Satukan semua bahan dan biar adunan agak pekat. Celup dan mula goreng.


Tiris atas tisu serap minyak. Siap untuk dihidangkan.  
(lebihan inti boleh disimpan dalam petisejuk)

                   
Masa kecil dulu selalu panggil- kuih Gengas

                  
 Inti biar terasa manis,barulah sodap tak terkato.

              
  Kacang sumber protien yang baik,namun berpada dengan ambilan gula.



Sekian.

Sunday 25 May 2014

ENTRI 47 : NASI LEMAK KUKUS.

Pengisian : Harta tidak akan berkurang kerana bersedekah dan melakukan amal.

Bismillah...

Kegemaran si anak bongsu. 
Dulu sewaktu kecil,selalu tengok nenek masak nasi lemak kukus ini. Bukan untuk jual tapi untuk makan-makan keluarga atau kenduri keluarga atau untuk disedekahkan pada jemaah surau. Periuk kukusannya besar berbentuk selinder, dapat menampung beras yang banyak. Sudah tentu perlukan tenaga dan kemahuan yang tinggi.

Today is the right day, I 'm in the  mood of doing it...!

Saya masak dalam skala yang kecil, cukup untuk kami 6 beranak. Kalau buat lebih, gandakan sahaja sukatan dibawah.
.

NASI LEMAK KUKUS.

5 cawan beras.
1 kotak santan kotak ( kecil )
garam halus
daun pandan

Cara-caranya.



Saya gunakan 5 cawan beras (sukat guna cawan plastik beras)
Rendam dalam 1-2 jam. Kalau dapat rendam semalaman pun bagus juga. Letak sekeping asam keping untuk  shining effect (agar nasi nampak berkilat )


Masukkan beberapa helai daun pandan kedalam air kukusan. Bila air sudah mula mendidih, masuk beras yang telah ditos kedalam pengukus. Lagi bagus kalau dapat gunakan periuk kukusan yang berlubang kecil. Jika berlubang besar (periuk jenis lama saiz besar),alas dulu dengan daun pandan atau daun pisang. Kukus selama 30 minit. 


Sementara itu, sediakan santan cair. Untuk menyenangkan kerja-saya gunakan santan kotak. 
Tuang 2 sudu besar dan campur dengan 2 cawan air-gaul sebati. Ketepikan.


Setelah 30 minit, keluarkan dan tuang nasi kedalam periuk atau apa-apa bekas. 


Tuang santan cair. Gaul sehingga semua beras yang masih kering itu terkena santan. Tuang semula kedalam kukusan untuk dikukus. Jangan lupa buat lubang ditengah-tengah supaya wap dapat keluar dari bawah . Kukus semula 30 minit .


Sediakan santan pekat. Tuang baki santan kedalam satu bekas. Lalukan air kedalam kotak santan kosong tadi dan goncang-goncang agar baki santan didalamnya akan larut. Cuba dapatkan 1 cawan. Campur kedalam pati tadi.Tuang 1/2 cawan lagi air kedalam santan pekat.
(jika suka lebih lemak,tambah sedikit lagi santan kotak pekat)


Masukkan 3/4 sudu besar garam halus. Gaul rata-rata. Rasa santan-biar terasa garamnya. Bila sudah sampai masa, angkat kukusan. Beras sudah mengembang cuma belum masak sepenuhnya. Tuang  kedalam bekas. Tuang santan pekat. Gaul rata-rata,biar meresap.


Masuk semula kedalam kukusan. Buat lubang ditengah. Kukus 30 minit lag atau sehingga nasi masak. Jika sudah cukup lembut, boleh tutup api. Dapat 3/4 penuh periuk nasi saiz sederhana. Bau aroma nasi lemak mewangi satu taman!


Memang proses yang cerewet,tapi sangat berbaloi. Imbangilah dengan menyertakan banyak sayuran seperti kangkung dan timun. Lengkapkan dengan protein- telur rebus,ikan bilis goreng dan kacang tanah.


Mari-mari, nasi lemak kukus.


Ini resepi asas.Boleh saja kalau hendak letak hirisan bawang,halia, dan halba untuk nasi yang lebih beraroma.
Nasi lemak antara makanan warisan tok nenek kita. Jangan dilupa.


Sekian.


Thursday 22 May 2014

ENTRI 46 : KUIH BADAK BERENDAM.

Pengisian : Anda tidak boleh mencipta pengalaman. Anda mesti menghadapinya.


Bismillah....

Takdir ditangan Tuhan.

Semuanya bermula kerana sepinggan murtabak daging. 
Jika tidak kerana murtabak itu, sampai bila-bila agaknya saya tidak akan mencuba resepi ini.
Begini.
Semalam, menjelang maghrib,
  " Assalamualaikuuuuum...."
Siapa pula maghrib-maghrib datang ini.
Sikecil saya segera berlari ke pintu sliding berlangsir kuning diraja.
 "Abang Azrul...."
Saya bingkas bangun. 
Bersama adiknya menatang sebiji pinggan.
       " Buat sendiri ke ni...?"
    Bau murtabak harum semerbak.
       " Pandainya mak buat. Cik Ina tahu buat lempeng saja"

Semua periuk yang berisi lauk-pauk tidak berusik. Kami menikmati murtabak daging berkuah dhal yang masih panas sebagai hidangan malam. Sangat sedap. 
Pinggan putih berbunga tepi itu tidak mengambil masa lama untuk kosong. 
Pinggan kosong....p i  n g g a n.......a l a m a k !
Esok hari terakhir keluarga itu disini. 
Lusa mereka akan berpindah ke Perak. 
Itu bermakna, saya perlu pulangkan esok!
Takkan kosong saja.
Haihh kepala sudah pening.

Nak balas apa?

Tiba-tiba teringat ketika bersembang-sembang suatu ketika dulu, emak si Azrul pernah memberitahu yang bapa si Azrul sangat sukakan kuih badak berendam. 
Takkan saya kena buatkan kuih favourite bapanya pula, ah tidaklah perlu sampai keperingkat itu.
Tapi, kuih apa?
...hidangan apa? 
Saya pula macam sudah tidak nampak benda lain.
 Hati mula berasa was-was. 
Ada berani ?

Hati mendegil. 
Teringat yang saya pernah terbaca resepi menggabungkan tepung pulut dengan kentang lenyek. 
Kalau takut tidak jadi,buatlah sedikit saja.

Mari kita mulakan.

RESEPI BADAK BERENDAM.

1 cawan tepung pulut.
1 biji kentang 
150 ml air  ( tuang sedikit-sedikit )
( Kentang saiz sederhana dibuang kulit, belah empat dan rebus 15 minit- lenyek.)


INTI KELAPA.

3 sudu besar gula merah
2 sudu besar gula pasir
5 sudu besar air
100 gm kelapa parut 
1 sudu teh tepung jagung
sehelai daun pandan
( masak gula dan air dengan daun pandan -tapis. Masuk periuk/kuali -tambah kelapa dan tepung jagung- masak hingga kering. Biar manis sedikit kerana bila sudah di kombinasi dengan kuih, rasanya akan menjadi sedikit tawar,)


KUAH SANTAN.

1 cawan santan kotak.
3 cawan air.
1/4 cawan tepung beras.
1 1/2 sudu teh garam halus.
2 helai daun pandan.
( gaul rata semuanya dan masak api sederhana hingga likat dan meletop-letop- tutup api.)



Bulat-bulatkan sebesar duit siling 20 sen lama.


Secawan tepung pulut dan sebiji kentang saiz sederhana.


Kupas kulit, belah empat dan rebus dengan api sederhana selama 15 minit. Gunakan garfu untuk tentukan yang ia dah cukup empuk atau belum. Lenyek gunakan smasher.


Satukan tepung dan kentang,gaul dengan garfu. Masuk air sedikit-sedikit. Uli sampai boleh bentuk doh yang lembut dan tidak melekat di tangan (tidak perlu habeskan air jika sudah boleh uli jadi doh)


Dohnya sangat lembut. Saya teringin yang colourful maka saya bahagi kepada empat bahagian. Dapat empat bebola. Satu bebola saya bahagi lagi kepada tiga- dapat 12 biji badak berendam daripada resepi  diatas.


Proses memasukkan inti. Bahagian tengah biar agak tebal, cuma nipiskan bahagian kelilingnya- baru letak bebola inti kelapa. Tutup dengan cermat dan gelekkan antara kedua tapak tangan anda dengan perlahan untuk melicinkan permukaannya.


Didihkan air bercampur daun pandan. Bila sudah mendidih keluarkan daun. Masukkan separuh dulu. Biarkan ia mendidih selama 4 minit sehingga bebola tadi timbul. Angkat segera dan toskan atas penapis. Masukkan selebihnya pula.


Geram pula tengok si badak ni. Sediakan kubang pula untuk mereka berendam.


 Satukan semua bahan dalam satu periuk. Bila sudah sebati -buka api yang sederhana dan masak hingga pekat dan meletop-letop.( supaya kuah ini tahan lama dan tidak mudah basi )


Kuah itu mesti rasa lemak masinnya- baru sedap gandingan mereka. 


Syarat utama kalau hendak bagi/jamu orang, wajib rasa dulu.


  Rasanya saya kena tambah sedikit saja garam dalam kuah.
It almost perfect!


Siap sedia untuk dihantar kerumah jiran.

                       
  Kuih badak ku, aku gembira melihat kamu.

           
  Insyaallah, saya akan buat lagi nanti.

                              


Bersyukur dapat buat kuih ini dengan jayanya,alhamdulillah.



Sekian.
    

Tuesday 20 May 2014

ENTRI 45 : KUIH LOPES VERSI MODEN.

Pengisian : Rahsia kejayaan hidup adalah persediaan manusia untuk menyambut kesempatan yang menjelma.

Bismillah..

Tiba-tiba teringin hendak makan kuih lopes.
Saya cari versi yang lebih cepat. Kita kan modern mom, mana ada masa hendak anyam daun palas, masuk pulut, ikat, rebus berjam-jam- berpeluh dahi setengah baldi- makannya seketul dua.
 Orang lama guna air abu untuk menaik rasa kuih lopes. Versi baru,letak sedikit air kapur. Namun ramai yang memilih cara yang lebih mudah- tanpa keduanya.


RESEPI KUIH LOPES.

2 cawan beras pulut.( rendam 3 jam)
2 cawan santan cair
1/2 cawan air pandan
1 sudu kecil air kapur
1/2 sudu kecil garam
pewarna hijau
( Rendam beras pulut bersama sedikit pewarna hijau dan 1 sudu kecil air kapur )
Cara saya: 2 1/2 cawan santan cair diblend dengan 6 helai daun pandan-tapis...campur 1/2 sudu kecil garam.

Kelapa parut putih ( kukus 10 minit)
Sedikit garam halus
 

KUAH GULA.

3 cawan air
1 cawan gula merah (berderai)
1/2 cawan gula melaka
2 sudu besar gula pasir
2 helai daun pandan.


Saya buat 1 cawan pulut sahaja. Titiskan sedikit pewarna hijau dan masuk sedikit air kapur.
Rendam selama 3 jam.


 Proses buat air gula: masuk air dan daun pandan yang telah disimpul. Masuk gula merah dan gula melaka. (ikut kesukaan masing-masing -boleh juga guna gula melaka sepenuhnya disamping sedikit gula pasir). 
Masak dengan api perlahan hingga capai kepekatan yang dimahukan


  Ambil sedikit kelapa parut anggaran 1/2 cawan -blend bersama 21/2 cawan air. Tapis. Kerat-kerat daun pandan dan blend bersama santan tadi. Tapis sekali lagi.


 Jangan lupa letak sedikit garam halus. Kacau rata.


  Toskan pulut tadi. Cantik hijaunya. Masuk loyang dan kukus 15 minit.


Setelah 15 minit, buka penutup dan masukkan santan/ air daun pandan tadi. Gaul-gaul hingga sekata. Kukus semula.


Selepas 10 minit pulut dikukus, buka penutup dan gaul-gaulkan. Kukus semula 10 minit.


Tapis air gula yang sudah sejuk.
Sediakan 1/2 biji kelapa parut putih. Kukus 10 minit supaya tahan lama dan tidak mudah basi. Gaul dengan sedikit garam halus.


Biar pulut sedikit suam. Gunting plastik untuk dibahagi dua. Cari penutup botol nescafe. Kalau tak ada,cari bekas lain yang sesuai. Alas penutup botol dengan plastik tadi. Guna acuan adalah untuk samakan saiznya. (atau pilihan lain-boleh terus kepal-kepal dan leperkan )


Masukkan pulut. Ambil plastik lebihan, tutup pulut dan tekan dari luar dengan tapak tangan. Keluarkan dengan hanya menarik plastik. 


  Cantik- kuih yang sama saiz.


  Makan dengan air gula memang sedap.


Boleh juga kalau buat bentuk tiga segi.


Membuat kuih lama dengan cara baru.


Info menarik:
 Air abu - soda abu - abuchang - air alkali - Natrium Karbonat ( sodium carbonate ) :
Dihasilkan daripada ekstrak abu tumbuhan atau abu kayu pokok.
Manakala air kapur dikatakan terhasil daripada abu pembakaran kulit kerang.
 


Sekian.