Friday 2 May 2014

ENTRI 26 : ANAK PENOREH

Pengisian : Tidak semua yang kita inginkan mampu kita perolehi sebagaimana tidak semua yang kita perolehi adalah yang kita inginkan


Bismillah...

Saya lahir sebagai anak seorang penoreh getah.
Selalu terkenang zaman saya semasa kecil, penuh nostalgia. 

Kami menetap di sebuah perkampungan yang majoriti penduduknya adalah penoreh. Serba sederhana. Abah menoreh,emak mengambil upah menjahit baju. Sebelah petang abah akan mengajar mengaji alQuran. Hampir seluruh kanak-kanak di kampung akan datang ke rumah kami. Memang meriah!
     Mungkin ada yang menyangka kami,anak-anak,terpaksa bangun pagi-pagi.
Membantu menoreh-mungkin pada hari-hari yang tidak bersekolah. Realitinya-ia tidak pernah pun berlaku! 
Anak-anak tidak pernah menjejakkan kaki ke kebun getah yang terletak lebih kurang empat kilometer dari rumah kami kecuali anak sulung iaitu saya.Itupun bukan untuk menoreh tetapi diajak sekadar untuk sambil-sambil mengutip getah beku yang masih ada. Kebun peninggalan itu tidaklah seluas mana.
Selalunya para penoreh akan keluar ke kebun sejurus subuh kerana susu getah banyak terhasil awal pagi.


Setiap pokok akan ditarah dengan pisau khas yang perlu diasah setiap hari. Susu getah akan mengalir deras memasuki mangkuk yang telah siap diikat pada batang pokok. Berteman agas dan nyamuk, setiap baris pokok perlu dihabiskan. Selalunya abah pulang menoreh pada jam sepuluh setengah pagi. Itulah rutin harian selama berpuluh tahun demi menyara keluarga.
     
" Lambat pula hari ini...." mata saya tidak henti memerhati jam di dinding. Bunyi hon motorsikal vespa tiba-tiba memecah sunyi.
    " Sampai  pon!" berlari ke hadapan,menuruni cerun depan rumah, melompat keatas seat belakang. Bergerak ke hujung kampung,ke sebuah stor pekebun kecil untuk memproses susu getah. Motor berhenti di tepi. Tong susu getah diturunkan. Saya membontoti abah masuk ke dalam. Kelihatan beberapa orang penoreh lain leka dengan kerja masing-masing. Abah duduk sebentar dilantai paling luar,melepaskan lelah sambil menyapa yang lain.
    " Pergi dalam,ambil tray.." arah abah. Saya akur. Tray bersusun bertingkat-tingkat dalam stor . Saya ambil dua belas.
Tangan kecil saya cekap mengatur.
Abah bingkas bangun,mengangkat tong dan memuntah isinya memenuhi setiap tray.
     Asid dituang mengikut sukatan,bertujuan untuk membekukan susu. Abah mengacau menggunakan sekeping pengacau dari besi dengan gerakan yang sama. Satu demi satu tray dikacau sehingga selesai. Sementara menunggu susu membeku, dapatlah berehat sekejap,bersembang kosong dengan yang lain. Riuh rendah suasana jadinya. Itulah cara mereka melepas tekanan dan lelah setelah penat bekerja.
    
Getah sudah beku. Setelah memasukkan sedikit air, abah mula merenggangkan susu beku dari tray dengan menggunakan barisan jari yang dibenam mengelilingi tray. Angkat dan terbalikkan. Susu getah beku kelihatan bergoyang-goyang seperti jelly. Dengan kedua tapak tangan,getah itu ditekan-tekan supaya menipis, berketebalan satu inci. Proses seterusnya adalah menipiskan lagi menggunakan mesin penggelek.



Ini kerja tetap saya! 
Memutar mesin agak berat,tidak padan dengan kudrat seorang budak perempuan. Kepingan getah dimasukkan dan saya mula memutar. Kemudian  perlu menggelek sekali lagi dengan mesin yang lagi satu. Kali ini mesin bercorak jalur menyenget. Kepingan getah bercorak jalur ini akan dibawa pulang untuk dijemur dibawah panas matahari.

    Selesai kerja, kami berkemas-kemas untuk pulang.Tray dibasuh dan diterlangkupkan untuk kegunaan orang lain pula. Pak Mail keluar dari stor secara tiba-tiba. Satu tangannya diangkat tinggi. Ada sesuatu yang dipegangnya, sesuatu yang tergantung! Terpandangkan itu membuat saya menjerit. Tangan diturunkan perlahan-lahan kearah mulutnya yang ternganga. Saya terus angkat kaki.
Apa yang dipegang Pak Mail?
Baby tikus..!
Warna pink!
Masih menguit-nguit!
Hai Pak Mail..
      Kenangan sesekali menerjah. Pak Mail dengan tikusnya. Stor kecil yang begitu banyak jasa.
Terbayang kepingan getah tersidai dihalaman. Akan dikumpul, dijual. Dengan hasil jualan yang tidak seberapa itulah kami dibesarkan, kami lima beradik.
    
Di luar guruh saling menyabung. Hujan masih belum reda. Sudah seminggu hujan turun menyimbah bumi. Bau hujan begitu segar,enak sekali.
    " Harini bubur nasi" kata emak.
   " Oooo...yang makan dengan kacang goreng dengan ikan bilis itu kan?..sedap!." adik kelihatan sudah tidak sabar.  Itu  juadah ketika musim hujan, bilamana penoreh tidak dapat keluar menoreh. Tidak pernah sesekali memandang semua itu sebagai 'susah'. Membesar dalam suasana begitu menjadikan saya seorang yang sangat mudah berlapang dada,cukup dan selesa dengan apa yang ada. Sangat bersyukur diberi kesempatan merasai pengalaman itu!

     Rezeki yang dibawa pulang abah penuh berkat. Hari ini abah selalu berbangga menyebut kejayaan anak-anak. Dia mampu menyediakan pendidikan ke tahap yang paling kami mampu,alhamdulillah.

Thank you Allah.


Saya sayang abah saya.


Sekian.



No comments:

Post a Comment