Tuesday 19 August 2014

ENTRI 73 : MY HOMEMADE PIZZA

Pengisian : Orang yang bijaksana tidak sesekali meratap kegagalan sebaliknya mula mencari bagaimana untuk bangkit kembali.


Bismillah...


Pizza.
Kami cari pizza bila ada hari istimewa seperti harijadi sahaja.
Kerana pada saya, ia lebih mengenyangkan berbanding fast food yang lain. 
Buat sendiri? Ada juga. Tapi selalu saja tidak jadi.

Baru-baru ini, sewaktu berkunjung ke kedai bakery untuk membeli bahan-bahan membuat kuih raya, terpandang sebungkus  cheddar cheese berharga RM 3.50. Murah sebab kandungannya pon sedikit saja. Tangan terus capai. 
Dalam hati jatuh niat nak buat pizza.
Pusing-pusing, ternampak pula sebungkus tepung protin tinggi yang amat sesuai untuk membuat pizza berharga RM 3.20 -1 kg. Cekup juga. 
 Buatnya tidak tahu bila!

Sehinggalah Sabtu lepas.
Malam itu kami ada ke supermarket. Sebaik terpandang cendawan butang, terus saja membulat nekad. Laju mencari cili benggala hijau, sos prego (tradisioanl)
Semua bahan ada. 
Jom kita buat pizza- versi saya.

RESEPI PIZZA.

1/2 kg tepung roti/ high protein flour
Yis ( 1 paket )
1 sudu kecil garam halus
1 sudu kecil gula pasir
300 ml air suam 
2 sudu besar minyak zaiton

Topping:

Keju mozarella
Sosej/ daging salami/ ayam atau apa saja yang disukai
Sayuran yang sesuai: lada benggala, cendawan butang, nenas, buah zaiton dan lain-lain
Herba pilihan
( Ikut citarasa sendiri )

Cara-caranya..
Saya suka masak dulu toppingnya.


 Fresh ingredients kecuali sosej.


Tepung roti dan keju. Lagi sesuai jika gunakan keju mozarella. Yang saya guna ini, keju cheddar.  Sedikit herba campuran/mix herbs, sedikit serbuk lada hitam, sedikit garam dan sos prego.


Mula-mula tumbuk halus 3 ulas bawang putih. Potong sayuran segar dan sosej ikut saiz kesukaan.


  Tumis bawang putih hingga bertukar brown, campak masuk tomato cherry. Kalau boleh biar hancur tomato, masukkan sosej sedikit garam dan gula perang.


Masukkan 2 sudu kecil mix herbs supaya terserlah rasa 'itali'nya dan sedikit serbuk lada hitam. Bila sudah sebati, masukkan sayuran, cendawan dan cili benggala. Gaul sekejap sahaja. Matikan api.


   Topping  mengancam sudah pun siap. Kita meroti pula.


  Masukkan garam halus kedalam tepung roti. Gaul rata-rata guna garfu. Sukat air suam dan gaulkan dengan gula pasir, masukkan yis kering. Kacau-kacau dan biarkan 10 minit supaya yis aktif. (jangan guna air yang terlalu panas kerana yis boleh mati).


Tuang yis ( kelihatan buih-buih halus ) kedalam roti, gaul-gaul dengan garfu. Masukkan minyak zaiton (saya guna minyak masak biasa) dan mula uli. 
Berat doh ini, cuak juga. 
Betul ke macam ini?
Tranfer doh keatas dulang dan uli selama 5 minit.

" kalau yang ni pun tak jadi...ibu surrender, tak nak lagi buat pizza lagi" 

Akhirnya saya tawakal.

Baca balik resepi. 
Sapu keliling bekas dengan sedikit minyak dan masukkan doh tadi untuk direhatkan selama 1/2 jam. Tutup mangkuk dengan tuala bersih. 
Ikut saja lah.
Peringatan-  Setelah 20 minit berlalu, masa inilah yang paling sesuai untuk mula panaskan oven: pada suhu 180-200c selama 20 minit.


1/2 jam dah pun berlalu.

" Naiklah....!"


Gembira bukan main.
Tumbuk- tumbuk- kemudian transfer doh kedalam dulang. 
Tabur sedikit tepung dan tekan-tekan sahaja supaya ia besar, terbalikkan, tabur tepung dan tekan lagi. Ulang proses ini sehingga mencapai saiz yang diingini.
Saya tidak ada pizza pan, jadi saya guna loyang bulat yang diterbalikkan.


Sapukan sedikit sos prego, taburkan topping. 
Boleh bubuh banyak-banyak sebab pizza ini- omak ekau yang punyo.
Paling sesuai tabur mozarella cheese.


 Masukkan kedalam oven, bakar selama 25- 30 minit atau sehingga tepi rotinya sudah nampak brown.


                                     
  Sebelum.


 Selepas.
                                          

 " sedapnya bu....sama pizza yang beli tu.."
                              

 Puas sungguh hati.



 Dalam masa 15 minit, semuanya selesai. 


Saya akan stick pada resepi ini.


Sekian.


Saturday 9 August 2014

ENTRI 72 : GUBAHAN SIREH JUNJUNG ( 2 ).


Pengisian : Doa memberi kekuatan bagi yang lemah, memberi kepercayaan pada yang curiga dan memberi keberanian bagi yang takut.


Bismillah...

Dua hari lalu, jiran berhampiran rumah meminta saya membuat satu gubahan sireh junjung untuk anak saudaranya yang akan bernikah hari ini. 


  Bekas kaca dan gabus basah dibekalkan oleh emak pengantin kepada saya. Ada risiko gunakan bekas kaca yang sudah tentunya berpermukaan licin. Gabus boleh bergerak-gerak, tambahan pula, bahagian dasarnya agak kecil. Gubahan boleh terbalik dengan mudah jika dibuat meninggi. Jadi saya perlu 'melebarkan' gubahan ini supaya ia lebih stabil.


  Sediakan jarum peniti dan bahan lain seperti dawai, gunting dan pelilit hijau.


  Daun sireh. Sediakan dari pelbagai saiz.


Jiran saya ini selalu sangat beli bunga kekwa. Tidak pandai beli katanya.


Mula susun tiga helai daun dari tiga saiz berbeza. Yang paling besar letak dibawah, yang sederhana ditengah manakala yang paling kecil letak diatas. Jangan gunakan daun yang sangat tua kerana ia mudah pecah dan sukar dibentuk.


  Ambil dawai dan masukkan susunan daun-daun tadi. Buat banyak untuk dapatkan susunan yang rapat dan nampak penuh.


Ikat ketat-ketat, kalau boleh ngam-ngam saiz mangkuk kaca. Lagi bagus kalau dapat susun dulu daun-daun tadi baru ikat. Saya tidak susun habis lagi tapi dah ikat. Jadi saya hadapi masalah hendak gerakkan ia.


Susun daun supaya dapat mengengilingi mangkuk kaca. Hati-hati sebab daun sireh mudah koyak.


 Susun bunga kekwa berwarna kuning mengelilingi gabus basah..


Susun pula daun secara menegak untuk menutup gabus dan kemaskan dengan jarum peniti.Saya suka basahkan gabus pada peringkat ini. Ambil sedikit air dan curah sedikit-sedikit pada permukaan atas gabus. Ini adalah supaya bunga dan daun akan kekal lembab dengan adanya kelembapan pada gabus.


Mula susun bunga kekwa berwarna maroon..


Buat kudup macam ini banyak-banyak. Yang paling sesuai, guna daun yang agak kecil. Saya ingat hendak rimbunkan ia dibawah bunga-bunga maroon tadi. Barulah nampak penuh.


Lari dari kebiasaan. Kalau boleh saya hendak buat lain dari yang selalu, tapi otak beku pula. 

                                            
  Pandangan dari atas.


Bertingkat-tingkat. Susun bunga dari ton berbeza memang  memeningkan  juga but sometimes ia beri kecerian diluar jangka.



Gubahan adalah sesuatu yang sangat subjektif. Ia boleh jadi apa sahaja.
Namun kerana ageing factor, saya selalu bermasalah  untuk mendapat idea-idea baru.
...k e s i a n...

Tips saya: Selalu tempatkan sireh junjung ditempat yang bersuhu sejuk seperti bilik air. Terbalikkan baldi, letak dulang berisi gubahan sireh. Sambil-sambil itu, selalu renjis air supaya ia sentiasa lembab, tapi perlu selalu perhatilah- lebih-lebih lagi jika ada anak kecil yang suka keluar masuk bilik air.


Sekian.

Lihat juga : SIREH JUNJUNG (1)
                 : SIREH JUNJUNG (3)
                 : SIREH JUNJUNG (4)


Thursday 7 August 2014

ENTRI 71 : TETAMU.

Pengisian : Barangsiapa yang membawa berita orang lain kepadamu maka dia akan membawa pula beritamu kepada orang lain.



Bismillah....

Dua hari yang lepas.

" Nak masak apa ?" dia kelihatan sedang berfikir.
" Masak apa pula?" soal saya memandang suami yang baru melabuh punggung di kerusi kayu yang sesekali  bergoyang menandakan ada antara skrunya hampir tercabut.
" Khamis ini ada kawan cadang hendak datang. Buat yang ringkas-ringkas. Goreng mee boleh kan ?"
" Berapa orang?" tanya saya.
" Berdua saja tapi yang si Amir tu mungkin akan bawa orang rumahnya.."
" Ala...tak suka la goreng mee...nantilah masak lain."..ujar saya.


Menerima berita ada tetamu akan datang, membuat tuan rumah tidak senang duduk. 
Ada 3 perkara wajib yang mesti dibuat.
1- basuh bilik air
2- mop ruang tamu dan ruang dapur
3- fikir apa nak masak.
Biasalah. 
Emak-emak.
Dua perkara teratas sudah lama saya bereskan.Walau tidak ramai,tapi rumah mesti kemas dan bersih. Minggu sudah saya telah masak hidangan yang berat dan banyak untuk kaum keluarga saya yang datang bertandang. Kali ini saya teringin masak nasi lemak kukus.Ya lah. Khabarnya mereka akan datang pada waktu malam. Dan saya bayangkan keadaannya  begini :

" Malam ni awak tak payah masak. Kita akan ke rumah abang S..." Itu mungkin kata si Amir kepada isterinya. Si isteri mungkin menjawab,
" Kalau dihidangkan kuih raya je macamana? saya ok ...awak tu?"
Dan si Amir mungkin akan berkata, " Nasib lah, kalau saya masih lapar, kita singgah  kat mana-mana kedai makan nanti."

Logik bukan.

Tak mahulah tetamu saya masih kelaparan sebaik melangkah keluar. 
Menjejaskan juga air muka saya selaku tuan rumah . Molek benarlah saya masak nasi. 
Cadangnya saya akan mula mengukus jam 6 petang. Biar tetamu makan  panas-panas. Semua yang dirancang berjalan lancar. Telur sudah siap direbus. Kacang dan ikan bilis sudah siap digoreng. Sayur kangkung siap dipotong supaya senang digoreng lewat petang nanti. Pinggan mangkuk dan gelas semua siap tersedia. Air oren juga saya siapkan awal dan botolkan agar sejuk disimpan dalam petiais.

Telefon berdering.
" Abang balik lewat hari ni, ada kerja yang tidak siap." kedengaran suara suami dihujung talian.
" Balik lambat? kata si Amir nak datang."
" Tak jadi"
" La...kenapa tak bagitahu, dah masak ni..." rungut saya
" Masak? Kan kata tak cornfirm...."
" Bila pulak kata tak cornfirm?"

Sabar.

Nasib baik tidak banyak, pujuk hati.

" Bu...nasi lemak dah masak belum...adik dah lapar ni...."

'Tetamu' ini lagi istimewa.

" Ya lah, ibu masak ni"

Dan saya teruskan saja masak nasi lemak favourite sikecil.
Jam di dinding menunjukkan pukul 7.20 malam. Satu rumah berbau harum. 
Yang ada cumalah tetamu-tetamu kecil yang memang sudah kelaparan.


Sepinggan nasi lemak. 
Sedap belum tentu. Kenyang sudah pasti.
Makan malam- tidak payah tambah. Banyak kalori ni.


Sekian.

Tetamu membawa rezeki.




Wednesday 6 August 2014

ENTRI 70 : JANGAN.

Pengisian : Sesiapa yang tidak berfikir panjang, kesusahan telah tersedia dimukanya.


Bismillah....

Siapa yang menidakkan nikmat makan?
Setiap yang bernyawa, pasti perlu makan.
Itu hakikat.

Menerusi pemerhatian saya -ada 2 katagori pemakan.

Satu : Makan dengan ilmu. :  Golongan ini sangat berkira-kira. Berfikir semaksima mungkin untuk meminimakan risiko. Bukan calang-calang orang yang mampu membuat pertimbangan wajar dihadapan makanan. Islam sendiri  menggalakkan bersederhana dalam setiap hal termasuk soal makan. 

Apa yang susah?
Itu kata kita, tidak bagi mereka.

Dua : Makan selagi boleh :  Mereka amat menghargai makanan. Musim raya mana boleh berpantang-larang, tuan rumah pasti berkecil hati melihat hidangan yang penat dimasak tidak terusik. 
Tidak jamah ketupat rendang di hari raya?
Nasi himpit dan lontong melambak itu siapa pula nak makan?


Penat anyam ketupat sampai pukul 1 pagi hendak bagi korang makan tau..


Rendang ayam satu kuali besar, mesti rasa!


Kita selalu terlepas pandang. 
Atau nafsu telah membataskan pandangan. 
Jika terlalu banyak pilihan, tidak salah untuk rasa semuanya. Ambillah dalam portion yang kecil. Perhatikan husband yang sedang kelaparan, tadi sudah semangkuk sate ayam bercampur perut sudah dibedalnya. Sekarang semangkuk mee goreng pula! 
Selepas ini apa?
Nasi lemak kegemaran ada terselit disatu sudut, belum nampak lagi.
....dari kejauhan, si isteri dengan geram mula mencongak-congak kalori yang sudah ditelan suami...

Persoalannya. Kenapa boleh menyumbat tanpa rasa bersalah, tanpa memikir natijah?.
Walau sudah sendawa beberapa kali bagai isyarat meminta berhenti, tetapi masih boleh bangun mencari-cari juadah apa yang masih belum dirasa. Apakah dia masih merasa nikmat dalam keadaan  perut senak? 
Itulah yang terjadi bila tiada ilmu didada. 
Ada yang punya ilmu tapi tiada penghayatan pula. 
Itulah manusia....


Ada perkara yang disarankan agama berkisar soal pemakanan. 
Semak apa yang JANGAN.
Antaranya:

JANGAN  campur dalam satu hidangan:
1. susu dengan ikan
2. cuka dengan susu
3. buah dengan susu 
4. daun salad dengan ikan
5. bawang putih dengan bawang merah
6. daging segar dengan daging kering
7. benda masam dengan benda berasid
8. cuka dengan nasi
9. buah delima dengan serunding
10. telur dengan ikan

(Setiap satunya mempunyai sebab yang tersendiri. Kita sebagai insan yang serba tidak tahu ini cubalah untuk mengikut mana yang termampu. Ada kesan yang tidak bagus untuk sistem dalaman badan kita sudah tentunya.)

Ada lagi.
JANGAN makan makanan yang panas. Tunggu suam sedikit. Makanan yang panas tiada berkat.
JANGAN mandi air suam selepas makan.
JANGAN senaman selepas makan
JANGAN tinggal makan malam walau sedikit.
JANGAN tidur selepas makan.
( Setiap yang disarankan punyai kaitan dengan penjagaan kesihatan..)

Makanlah makanan sunnah- masing-masing ada banyak kebaikan yang tersirat.
Antaranya:  KURMA, ANGGUR, SUSU. MADU, TEMBIKAI, LABU, BARLI, BUAH TIN, MINYAK ZAITUN, DELIMA, CUKA, dan banyak lagi.

Sekadar berkongsi cerita dan rasa, juga sedikit ilmu sebagai panduan hidup.
Sesungguhnya Allah lebih mengetahui.



Sekian.
Mencegah itu lebih baik





Tuesday 5 August 2014

ENTRI 69 : CERITA GUBAHAN RAMADHAN.

Pengisian : Apabila bicara itu perak,  diam itu adalah emas.

Bismillah...


Salam Aidilfitri buat semua.

Cerita kali ini berkenaan tempahan gubahan yang diterima pada minggu ketiga puasa.
Bolehkah otak saya bekerja? 
Seminggu sahaja lagi nak raya! 
Rumah masih belum dikemaskan sepenuhnya, malah baju raya anak yang saya jahit masih  perlu diberikan sentuhan akhir....
Tak sampai hati pula nak menolak.
 Sebanyak 5 barang dihantar kerumah iaitu telekung, tuala, kain ela, sejadah dan sehelai kemeja lelaki. Saya tawakal saja. 
Saya mohon Tuhan turunkan ilham...

Siap juga.
Asalkan sedap mata memandang, kemas- itu sudah dikira cukup baik.
Kepada bakal pengantin itu saya katakan, saya sudah tiada idea dah...
Dia mengangguk faham.

Saya kongsikan gubahan tuala, telekung dan kain ela sahaja, dibuat dalam keadaan yang agak stress maka banyak step by step yang tidak terakam. Ada antaranya dibuat ditengah malam buta disaat insan warak lain menunaikan tahajjud malam mereka...

Gubahan pertama- Tuala mandi.


Saya suka kumpul kotak. Untuk tujuan inilah. Buat base untuk membuat gubahan kelihatan kemas. Saya akan buat bekas berbentuk bulat. Diwaktu malam bulan mengambang, apa saja idea yang datang adalah satu rahmat.


Bila bekas sudah siap ikut ketinggian yang sesuai, letak keatas 1/4 bahagian tuala dan masukkan tuala kedalamnya supaya membaluti kotak . Biarkan dahulu lebihan tuala.


Kemaskan bahagian luar. Saya gunakan renda yang disematkan dengan jarum peniti. Nak mudah, elok saya buat buah saja. Cekup satu bahagian dibahagian bawah tuala dan ikat ketat dengan getah. Gumpal suratkhabar dalam jumlah yang sama supaya dapat saiz yang sama. Masukkan kebawah bahagian yang diikat tadi dan ikat dengan getah juga.


Buat kemas-kemas, setiap buah sebolehnya mempunyai kedutan yang sekata. Bahagian yang lebih boleh dimasukkan kertas tebal -dibentuk daun dan diikat kejap dengan getah. Susun kedudukan buah supaya sama bahaginya. Letak jarum berkepala hijau dan sedikit reben halus juga berwarna hijau pada tangkai buah. Siap sudah satu gubahan. 


Gubahan kedua- Telekung.


Gubahan ini beberapa kali terbengkalai.
Rasa hendak menangis pon ada.


Kena hadap juga.
Konon nak buat bunga, kelopak dari serpihan kotak sudah siap digunting. Bila dah siap, macam tidak senonoh pula rupanya
Itulah, orang lain sibuk kumpul amalan dimalam-malam terakhir Ramadhan, kau pulak sibuk dengan hal duniawi, ha rasakan....!

Buat juga perlahan-lahan.


                                 

  

Bolehlah ni.

Jangan suka dulu. Ada lagi satu.



Gubahan ketiga- Kain ela merah menyala dengan tudung senada yang bermanik bagai.
Kepala saya sudah keluar asap.

Saya seriously blank....! 
Percubaan kali pertama  failed!
Buat lain.
Cuba guna gabus putih berbentuk love ! 


Hah lega.


Saya gunakan 2 keping gabus dalam 2 saiz berbeza. Saya juga gunakan bekas bulat yang agak tinggi untuk menyorokkan lebihan kain kerana kainnya agak berat dan banyak.


   Bahagian hujung tudung saya keluarkan dan bentukkan agar ia beropol-ropol.


   Bahagian belakang pun mesti kemas..



Sangat lega bila ia menepati pandangan sebab kalau mata kita pun sudah tidak berkenan, jangan haraplah mata orang lain akan berkenan juga.

Bagi barangan yang tidak senada warnanya- cara termudah untuk nampakkan seragam adalah dengan meletak gubahan bunga (yang mengikut warna tema majlis) ditepi dulang hantaran, seperti yang telah saya siapkan dibawah. Oleh kerana warna tema adalah pink, jadi saya gabungkan bunga ros pink dan cream bersama sedikit bunga kecil yang pinkish dikemaskan dengan reben kotak-kotak pink/putih.


Bajet  diberi sangat minima, saya usahakan bunga yang murah tapi memberi impak yang maksima.

Demikianlah.
Setiap yang memeritkan akan ada pengakhiran yang indah.
Asalkan kita tidak putus asa dan sentiasa berusaha,
Insyaallah.


Sekian.