Friday 23 September 2022

ENTRI 231 : CERITA POKOK DURIAN BELANDA.

 

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

Anak jiran yang bekerja diladang membawa pulang buah yang sedikit rosak dan menghantar kerumah saya. Rezeki sayalah kan. Ada juga bahagian tertentu buah durian belanda ini yang busuk, tetapi masih banyak yang masih boleh dimakan. Jika dahulu mudah saja kita temui pokok ini dimerata tempat, malah dibuang-buang begitu saja, tetapi sekarang susah pula hendak berjumpa.

Biji buah saya baling saja di belakang rumah.

Tidak sangka ia tumbuh!

Dua batang pokok saya biarkan dan beberapa yang lain disedekahkan pada jiran-jiran. Ada yang semaikan dalam pasu, kemudian mati pula. 

Pokok ini sudah pon berusia 4 tahun. Sekali pon belum berbuah walaupon pernah dua tiga kali berbunga.




Kawasan belakang rumah sangat terhad bak sekangkang kera, jadi saya selalu saja cantas dahan-dahan supaya tidak terlalu tinggi.


Ada juga terbaca, kalau hendak pokok berbuah, cuba letak pasir disekeliling pokok dan kepung dengan sabut kelapa. Diluarnya letak batang pisang. Saya buat juga.

Masih dalam penantian.
Betul lah.
Penantian itu satu penyiksaan.

******

Sewaktu berusia 2 tahun, kali pertama ia berbunga. Hati saya lagilah berbunga-bunga. Tapi itulah, cuma sekuntum. Setiap hari dibelek-belek.



Ingatkan panas hingga kepetang, hujan pula ditengah hari.



Hampa. 

Melalui pembacaan, baru saya sedar. Mungkin ada nutrisi yang kurang pada tanah.
Atau mungkin sebab kadar pendebungaan yang rendah.
Saya salahkan juga semut-semut yang mengengilingi bunga, tetapi rupanya, selain kerengga atau lebah, semut juga boleh menjadi agen pendebungaan.
Perasan tidak? Pokok yang banyak kerengga selalunya ada buah!
Mana hendak cari kerengga?

Masalah utama adalah, dalam satu bunga-bahagian jantan dan betinanya berlainan masa fasa kesuburan. Agak kompleks juga .
Saya belajarlah perlahan-lahan.

Gambar dibawah adalah bunga dari pokok saya yang gagal didebungakan. 


Yang ini pula adalah ehsan google (animhosnan).
Ini merupakan keratan bunga durian belanda yang sudah matang. Kelopak luar sudah terbuka dan stigma sudah melekit.


Semasa bunga betina sudah matang dan kena pada masa yang betul, debunga (dari bunga jantan) sepatutnya melekat pada stigma (bunga betina) yang bersifat melekit. Secara semulajadinya, ia berlaku dengan pertolongan seranggalah. Sekarang ini banyak kaedah baru yang digunapakai untuk membantu.
Pertama- Ambil debunga dengan berus lembut dan sapu pada stigma.
Kedua- goncang pokok pada sebelah malam supaya debunga gugur keatas stigma.


Masalah saya, bukan setakat pendebungaan yang tidak berjaya. Bunga pon tidak ada!
Mungkin faktor- tanam, siram, tinggal.
Manja betul pokok sekarang ini. 
Hendak ditabur baja yang berbagai-bagai.

******

Saya hendak cuba juga menyemai kerana pokok sudah ada didepan mata. Mungkinkah ada cara membiak melalui keratan batang?
Saya google lah.
Teknik pertama.


Simpan selama 45 hari ( sebulan setengah)


Tetapi menghampiri sebulan, saya dapati keratan ini seakan kering dan mati. Daun-daun pon gugur dan mereput.


Akar pon tiada tanda akan tumbuh. Bermakna, cara ini gagal. 
Hampa.
Atau mungkin saya memilih dahan yang agak tua.
Entah.

******

Saya masih mahu mencuba satu lagi teknik. Caranya lebih kurang saja, cuma medium menggunakan botol air mineral dan guna dahan yang lebih sesuai.







Bawang sebagai penggalak akar semulajadi.


Biarkan mengering seketika.



Potong 1 inci bahagian bawah botol- potong juga pada arah bertentangan.


Bahagian atas botol, potong pada 3 bahagian, juga 1 inci. Proses ini, supaya bahagian botol diatas mudah untuk masuk kedalam bahagian bawah.


Masukkan tanah dan padatkan.



Tuang sedikit air supaya tanah lembab.





Perlu disimpan selama sebulan ditempat yang teduh. Saya lekatkan sekeliling dengan salotep supaya tiada udara yang keluar.

Menanti sebulan untuk berlalu.

********

Walaupon belum ada rezeki menjamah buah ini, namun kehadirannya bukan sia-sia. Seorang jiran saya mempunyai Fibroid dalam rahim, mencari daun ini sebagai ikhtiar. Berkesan juga katanya. Ada juga petua tradisi yang menggunakan air rebusan ini sebagai mandian untuk sakit kuning bayi, juga mandian mereka yang demam.

Saya sendiri ada masa minum juga. Tidaklah selalu. Rasanya tidak pahit, rasa daun rebus saja. Banyak manafaat disebalik setiap ciptaan Tuhan.

Lain penyakit, lain bilangan daunnya. Mungkin akan berbeza dari segi kepekatan.



Ini yang selalu saya buat. Rebus 10 helai daun yang agak tua bersama 3 mug air dengan api perlahan sehingga surut menjadi 1 mug (lebih kurang 2 jam). Tapis dan minum semasa suam.



Update terkini : dahan pokok yang disemai turut mati.
Dengan ini, saya lupuskan terus acara semai-menyemai pada masa akan datang.
Tangan saya nampaknya sah panas.

Sekian.








Wednesday 21 September 2022

ENTRI 230 : IKAN HARUAN VS IKAN KETUTU.


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ



Makan ikan haruan tak? tanya seorang jiran rapat.
Saya tahu suaminya selalu memancing diempangan tempat dia bekerja.

Begitulah bagaimana ikan ini sampai ketangan saya.
Rezeki yang tidak salah alamat.


Apalah ada pada rupa.
Kalau rupa cantik tiada adab, tiada guna juga. 


Ikan air tawar ini agak berlendir, bersisek nipis sahaja. Lendirnya sebagai perlindungan.
 Selalu dicari orang terutama bagi mencepat penyembuhan luka perempuan selepas bersalin dan juga selepas pembedahan.  
Sekarang ini, ramai pula doktor yang tidak menggalakkan makan ikan ini terutama bagi bersalin secara pembedahan kerana dikhuatiri organ dalaman melekat antara satu sama lain (adhesion) yang akan sebabkan komplikasi lain.
 Yang pasti, ikan ini sememangnya berkhasiat tinggi tapi untuk pembedahan, cuba elakkan.


Bertuah sungguh dapat menikmati ikan segar yang baru dipancing. Saya makan sebagai sumber protien saja. Manalah tahu ia juga menggalak pembentukan serat kolagen pada kulit rupanya. 


Cara bersihkan, sama saja macam ikan lain juga. Tidak pula ada bau-bau yang kurang menyenangkan. Mudah saja menguruskan ikan ini.




Tulang dalamnya kelihatan istimewa berbanding ikan lain. Ikan ini tinggi kandungan asid amino dan ada omega 3 juga.


Saya putuskan untuk masak sup saja. Memang terbaiklah hasilnya.

RESEPI SUP IKAN HARUAN.

2-3 ekor ikan haruan, dibersihkan

Selabu bawang besar
3 butir bawang putih
1 inci halia
(kesemuanya dihiris halus)
Serba sedikit kayu manis, bunga cengkih,bunga lawang dan buah pelaga.
1 sudu besar rempah sup
10 tangkai cili padi (ketuk)
2-3 mug air
Sedikit daun ketumbar
1/2 biji perahan limau kasturi
Garam dan perasa pilihan.

(Boleh tambah sayur seperti carrot,saleri dan tomato)

Cara-caranya:
Tumis bahan hiris bersama rempah 4 sekawan dan cili padi hingga garing.
Masukkan rempah sup,gaul-gaul dan terus masukkan air.
Bila sudah mendidih,masukkan ikan. 
Perasakan dengan garam dan perasa.
Perah sedikit limau dan masukkan daun ketumbar.
Siap.

*******

Ingatkan jiran pemurah saya itu hanya memberi ikan haruan tetapi terselit juga 3 ekor ikan lain. Ada disebut nama tapi saya lupa pula. Ikannya bersisek lebar dan agak keras. Pejal sungguh dagingnya. Saya hubungi semula jiran tadi.

IKAN KETUTU.

Ha? Ketutu?
Tidak pernah dengar.

Ikan tu banyak khasiat kak, mesejnya lagi.

Lalu saya arahkan anak saya google.
Haruan bodoh?
Tidak nampak pulak kebodohannya.Yang ikan haruan sebenar, ada juga.
Eh mengata rezeki pula.
Astaghfirullahal'azim....

Ibu tahu tak. Ikan ni mahal.

Logik juga. Isinya tebal dan pejal.



Panggilan Snakehead Fish agak bertepatan dengan rupa fizikal ikan ini, tetapi ada pula gelaran lain yang menjatuhkan imej perkasa miliknya. Haruan Bodoh atau Ikan Hantu ini banyak bergerak diwaktu malam, juga merupakan sejenis ikan air tawar dan banyak dicari untuk penyembuhan luka juga.


Orang Cina mencari Ikan Ketutu sebagai hidangan utama pada Tahun Baru Cina kerana khasiat yang bagus untuk aliran darah. Sudah mula diternak kerana mendapat permintaan tinggi dari restoran mewah menyebabkan harganya melambung.


Albumin yang dikandung sangat perlu dalam penyembuhan luka, patah tulang dan menguatkan sistem imun badan. Jika hendak senaraikan khasiatnya yang lain memang berjelalah panjangnya,




Masakan terbaik adalah dengan mengukus sahaja, tetapi saya kurang biasa kukus ikan. Jadi saya masak lemak cili padi sajalah.
Pon sedap.


Alhamdulillah.

Terima kasih daun keladi.
Ada haruan tidak kira yang cerdik atau yang bodoh, hantarlah lagi.

Sekian.

ENTRI 229 : PUISI UNTUK GEMULAH.

 بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ


Tuhanku Yang Maha Mulia.

Nendaku yang mulia telah kau panggil mengadapmu menjadi gemulah.

 

19hb. September 2022.


Hujan semalam telah lama berhenti.

Jantung gemulah turut sama terhenti.

Meninggal kekejaman dunia.

Meninggal segala-gala.

Nafasmu pergi meninggal tubuh yang makin mengecil.

Daging yang menipis.

Tulang belulang yang menjelas.


Hujan semalam reda jua.

Memberi masa gembur-gembur tanah mengering.

Perlahan-lahan.

Bagi menyambut gemulah.

Turun ke perut bumi.


Aku, mataku, hatiku, rohku.

Memerhati kosong.

Alam begitu mesra dengan gemulah.

Bumi menyokong penghuninya.

Dahan pokok induk merenek memayung.

Banir tua menyempadani pusara.

Bersaing sesama menjaga gemulah.


Betapa engkau itu sangatlah mulia.

Mesramu. Rajinmu. Senyummu. 

Semuanya telah hilang menjadi ingat-ingatan.

Menjadi kenang-kenangan.


Namun malam tadi, ribut membadai.

Aku tersentak.

Emosi terlontar kepadamu.

Sejukmu.

Tubuh kecilmu.


Tuhanku Yang Maha Mulia.

Peliharalah gemulah nendaku yang mulia itu. 


( Ya Kareem, bersihkanlah gemulah nenda dari segala kesalahan seperti pakaian putih bersih dari segala kekotoran dan gantilah rumahnya dengan rumah yang lebih baik dari yang ditinggalkan dan berilah keluarga yang lebih baik dari keluarga yang ditinggalkan. Ameen) 

 

Tuesday 13 September 2022

ENTRI 228 : AKU DAN KELAPA.

 BISMILLAHIRRAHMANNIRRAHIM.


Saya semakin obses dengan buah kelapa. Begitulah. Bagi abah, pokok kelapa nan sebatang itu sama saja dengan pokok-pokok yang lain. Tidak dipedulikan pon. Masih juga dia kekedai membeli santan.

Emak lebih sadis. Mahu diracunkan saja pokok ini.

Tolonglah jangan.

Kau tolong turunkan dua tandan kelapa yang dah buruk tu...arah saya pada adik ipar. Dia kembali dengan setandan kelapa muda. Haishh. Kalau exam, sudah tentu gagal- tidak faham arahan. Atau boleh saja dia ikut common sense. Tidak mungkin buah tua kecut itu yang dimahukan.

Saya angkut balik juga buah yang muda. Rugi besar jika tidak dapatkan air bersama kandungan elektrolitnya yang sangat bagus itu. 


Ada 61 biji kelapa komeng. Kecil-kecil saja saiznya. Kulitnya mengecut mungkin tanah kurang baja. Mana ada orang kampung yang letak. Lainlah kebun. Tidak payah kita sibukkan rupa luaran. Saya goncang dulu setiap satu. Mana yang tiada bunyi air, saya ketepikan. Saya ikut saja naluri. Sudahnya, 34 biji saya buang ditepi taman kejiranan.


Ada juga yang bertunas walau masih tergantung pada tandannya diatas pokok. Tua betul agaknya. Biasanya ada tombong besar jika keadaan begini.


Berkedut dan tua pula. Tetapi banyak manafaat.


Hendak kupas punyalah azab. Buah sudah kecutkan. Sabut susah direnggang. Saya kenalah takik rapat-rapat.


Kalau sabut tebal, mudah juga. Kalau sabut begini, extra kerjalah. Tapi benda kita cari sendiri, selesaikan saja perlahan-lahan. 
Slowly but surely.


Part bawah yang paling sukar. Sabut nipis melekat kuat pada tempurung. Sudah ditakik pon, tidak mahu lekang. Perlu kudrat lebih.


Memang sakitlah tangan menarik sabut. Kita niatkan exercise.


Lama kelamaan saya dapat rentak. Berjaya selesaikan sebiji dalam masa 5 minit. Pencapaian yang baik juga.


Kalau yang begini, sudah matang betul. Kelapa tua banyak minyaknya. Begitu juga lelaki tua.


Ada juga sedekah pada jiran tetangga yang mahukan.


Praktice kan make perfect.


Kupas sudah laju. Buka tempurung pula satu hal. Memang kelapa muda, saya hantar pada jiran yang ada mesin kelapa, kerana isinya sudah keras dan layak pula dibuat inti kuih. Tapi segan pula hendak hantar yang tua-tua. Banyak pula. Jadi saya hadaplah saja.


Google juga. Ada banyak warga Indon menunjuk cara. Ketuk-ketuk dulu luar tempurung. Lepas itu baru tetak tempurung menyerong. Jadi jugalah. 


Bagus juga ilmu Indon ini, tapi tidaklah berjaya membuka tempurung sepenuhnya. Terpecah juga. Terpaksalah mencungkil isi dengan parang sedikit demi sedikit.


Bila tiada mesin parut, kenalah dihiris nipis supaya mudah hancur dalam mesin pengisar. Saya kisar seperti biasalah- perah dan tapis santannya.

***

Saya mencari juga maklumat mengenai tombong. Ye lah, saya mengadap kelapa tua. Kebanyakkannya bertombong. Terus saja masuk mulut. Terfikir juga efeknya. Oh banyak khasiat rupanya. Itu hikmah Allah menghadirkan minat terhadap kelapa ini. Dapat manafaat minyak kelapa dara, air kelapa dan tombong juga. 
Alhamdulillah.
Bersyukur atas nikmat Tuhan.


Saya suka rasa tombong. Sudah biasa makan waktu kecil.


Embryo kelapa.



Seperti yang selalu saya ungkapkan, jangan berkisah sangat dengan rasa. Fikirkan khasiatnya. Tapi itulah. Anak-anak hanya mampu makan sedikit. Separuh lagi dipulangkan.
Ibu juga yang kena habiskan.

***

Tiba-tiba kukur kelapa bermain diminda. Teringin betul merasa.
Order online saja. RM 23.

Suka betul bila barang sampai. Tapi hati panas bila ternampak besi parutan yang berkarat.



Juallah dengan ikhlas, lebih-lebih lagi peralatan yang melibatkan makanan. Katanya, boleh hilang dengan berus dan sabun. Saya kurang percaya. Lalu saya tidak teruja lagi. Kotak kayunya bila sedikit basah, akan keluar air berwarna oren. Ah macam-macam.


Saya cuba juga untuk puaskan hati. Sudah teringin sangatkan. Tapi saya buang saja hasil parutan. Bimbang jika ada hablur karat halus terbit yang tidak nampak dimata kasar.



Alangkah indahnya hidup jika besinya tidak berkarat. Kayunya dicat sempurna. Alangkah.

Teringat pula pada pisau parut kelapa yang saya nampak dijual di Shopee. Murah tapi macam kasar pula hasilnya. Saya ada pemarut kelapa jenis lama, tetapi agak leceh juga. Lainlah jika saiz kelapa yang diumpil keluar dari tempurung sama besar semuanya.
Ada saja kan. 
Begitulah.

***

Cocopeat.
Saya kumpul juga habuk-habuk sabut ini. Sangat dicari orang di era moden. Dicampur pada tanah untuk kekalkan kelembapan.


 Semasa kecil saya akan cuci dan bersihkan buah ciku menggunakan Coconut Husk inilah. Mahu dihantar kemana sabut-sabut ini? Petani moden? Pengusaha kuih bahulu tradisional? Kuih bakar? ...atau penanam orkid barangkali?

***

Namun satu yang menarik perhatian, kelapa ini ada juga sisi misterinya.


Serabut.


Berseni juga.



Enggan.


Lagak.


Kusut.


Tersendiri.


Lihatlah.


Luahan.


Emosi.


Kronik.


Kecamuk.

Kronik 2.


Sekian.