Friday 23 September 2022

ENTRI 231 : CERITA POKOK DURIAN BELANDA.

 

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

Anak jiran yang bekerja diladang membawa pulang buah yang sedikit rosak dan menghantar kerumah saya. Rezeki sayalah kan. Ada juga bahagian tertentu buah durian belanda ini yang busuk, tetapi masih banyak yang masih boleh dimakan. Jika dahulu mudah saja kita temui pokok ini dimerata tempat, malah dibuang-buang begitu saja, tetapi sekarang susah pula hendak berjumpa.

Biji buah saya baling saja di belakang rumah.

Tidak sangka ia tumbuh!

Dua batang pokok saya biarkan dan beberapa yang lain disedekahkan pada jiran-jiran. Ada yang semaikan dalam pasu, kemudian mati pula. 

Pokok ini sudah pon berusia 4 tahun. Sekali pon belum berbuah walaupon pernah dua tiga kali berbunga.




Kawasan belakang rumah sangat terhad bak sekangkang kera, jadi saya selalu saja cantas dahan-dahan supaya tidak terlalu tinggi.


Ada juga terbaca, kalau hendak pokok berbuah, cuba letak pasir disekeliling pokok dan kepung dengan sabut kelapa. Diluarnya letak batang pisang. Saya buat juga.

Masih dalam penantian.
Betul lah.
Penantian itu satu penyiksaan.

******

Sewaktu berusia 2 tahun, kali pertama ia berbunga. Hati saya lagilah berbunga-bunga. Tapi itulah, cuma sekuntum. Setiap hari dibelek-belek.



Ingatkan panas hingga kepetang, hujan pula ditengah hari.



Hampa. 

Melalui pembacaan, baru saya sedar. Mungkin ada nutrisi yang kurang pada tanah.
Atau mungkin sebab kadar pendebungaan yang rendah.
Saya salahkan juga semut-semut yang mengengilingi bunga, tetapi rupanya, selain kerengga atau lebah, semut juga boleh menjadi agen pendebungaan.
Perasan tidak? Pokok yang banyak kerengga selalunya ada buah!
Mana hendak cari kerengga?

Masalah utama adalah, dalam satu bunga-bahagian jantan dan betinanya berlainan masa fasa kesuburan. Agak kompleks juga .
Saya belajarlah perlahan-lahan.

Gambar dibawah adalah bunga dari pokok saya yang gagal didebungakan. 


Yang ini pula adalah ehsan google (animhosnan).
Ini merupakan keratan bunga durian belanda yang sudah matang. Kelopak luar sudah terbuka dan stigma sudah melekit.


Semasa bunga betina sudah matang dan kena pada masa yang betul, debunga (dari bunga jantan) sepatutnya melekat pada stigma (bunga betina) yang bersifat melekit. Secara semulajadinya, ia berlaku dengan pertolongan seranggalah. Sekarang ini banyak kaedah baru yang digunapakai untuk membantu.
Pertama- Ambil debunga dengan berus lembut dan sapu pada stigma.
Kedua- goncang pokok pada sebelah malam supaya debunga gugur keatas stigma.


Masalah saya, bukan setakat pendebungaan yang tidak berjaya. Bunga pon tidak ada!
Mungkin faktor- tanam, siram, tinggal.
Manja betul pokok sekarang ini. 
Hendak ditabur baja yang berbagai-bagai.

******

Saya hendak cuba juga menyemai kerana pokok sudah ada didepan mata. Mungkinkah ada cara membiak melalui keratan batang?
Saya google lah.
Teknik pertama.


Simpan selama 45 hari ( sebulan setengah)


Tetapi menghampiri sebulan, saya dapati keratan ini seakan kering dan mati. Daun-daun pon gugur dan mereput.


Akar pon tiada tanda akan tumbuh. Bermakna, cara ini gagal. 
Hampa.
Atau mungkin saya memilih dahan yang agak tua.
Entah.

******

Saya masih mahu mencuba satu lagi teknik. Caranya lebih kurang saja, cuma medium menggunakan botol air mineral dan guna dahan yang lebih sesuai.







Bawang sebagai penggalak akar semulajadi.


Biarkan mengering seketika.



Potong 1 inci bahagian bawah botol- potong juga pada arah bertentangan.


Bahagian atas botol, potong pada 3 bahagian, juga 1 inci. Proses ini, supaya bahagian botol diatas mudah untuk masuk kedalam bahagian bawah.


Masukkan tanah dan padatkan.



Tuang sedikit air supaya tanah lembab.





Perlu disimpan selama sebulan ditempat yang teduh. Saya lekatkan sekeliling dengan salotep supaya tiada udara yang keluar.

Menanti sebulan untuk berlalu.

********

Walaupon belum ada rezeki menjamah buah ini, namun kehadirannya bukan sia-sia. Seorang jiran saya mempunyai Fibroid dalam rahim, mencari daun ini sebagai ikhtiar. Berkesan juga katanya. Ada juga petua tradisi yang menggunakan air rebusan ini sebagai mandian untuk sakit kuning bayi, juga mandian mereka yang demam.

Saya sendiri ada masa minum juga. Tidaklah selalu. Rasanya tidak pahit, rasa daun rebus saja. Banyak manafaat disebalik setiap ciptaan Tuhan.

Lain penyakit, lain bilangan daunnya. Mungkin akan berbeza dari segi kepekatan.



Ini yang selalu saya buat. Rebus 10 helai daun yang agak tua bersama 3 mug air dengan api perlahan sehingga surut menjadi 1 mug (lebih kurang 2 jam). Tapis dan minum semasa suam.



Update terkini : dahan pokok yang disemai turut mati.
Dengan ini, saya lupuskan terus acara semai-menyemai pada masa akan datang.
Tangan saya nampaknya sah panas.

Sekian.








No comments:

Post a Comment