Wednesday 31 August 2022

ENTRI 226 : PERCUBAAN MENANAM POKOK VANILLA 1

 Hari kemerdekaan ke 65.

BISMILLAHHIRRAHMANNIRAHIM.

Kebelakangan ini, saya sudah seperti petani. Bermain tanah. Mencari pokok. Merayau keserata kawasan kejiranan untuk mencari apa saja yang berguna. Masa terisi dengan baik. Sentiasa bergerak aktif untuk selesaikan macam-macam kerja.

Semuanya bermula apabila saya berhubungan semula dengan kawan-kawan lama. Ada seorang antara mereka begitu serius menanam pokok vanilla. Asalnya kata dia, hanya memenuhi masa sepanjang PKP dan memanafaatkan tanah yang terbiar. Tapi itulah. Semestinya bukan perjalanan yang mudah. Kami kerap saja mengusik . Sudah kaya belum? Belum nampak hasil, katanya. Mungkin tahun hadapan. Modal sudah banyak keluar. Kebun jahanam beberapa kali. Ribut lain. Banjir lain. 

Adatlah kan.

Setiap kali berbalas mesej, khabar kebunnya diceritakan dahulu.

Kita bagilah sokongan moral.

Kata-kata penggalak.

Kata-kata mengingat.

Sudah kaya nanti, jangan lupa kawan.

***

Ibu cubalah tanam, usik anak saya disebelah.

 Terdiam sekejap.

Berangan jugakah? 

Tidak payah tanam banyak, sepokok dua jadilah....sambungnya lagi. 

Saya yang memang sedang berbalas mesej laju menaip. 

Macamana ek nak tanam?

Begitulah.

Esoknya, acara pecut.

Kemas kawasan belakang rumah laju-laju. Sembang dengan jiran. Ajak round pi cari tanah. Cari perkakas yang perlu. Untung juga kerap bawa balik kelapa dari kampung. Stok sabut kelapa memang banyak kerana saya atur elok dibelakang rumah. Semuanya dipermudahkan. Ada pula jiran yang bagi pasu sebab  tidak larat lagi bercucuk tanam. Rezeki sungguh, sebab cadangnya mahu tanam dalam pasu saja. Maklumlah, kecil-kecilan.


Beginilah rupa awalnya. Dibuat oleh makcik yang tiada pengetahuan. Ikut naluri kemakcikan saja. Kata tanam suka-suka. Jadi tiadalah berperaturan sangat. Pancang atau tajar perlu sebab pokok ini jenis menjalar. Baru-baru hidup tidak boleh kena matahari sangat.


Sesi meround berjaya menemui batang paip terbuang dalam semak. Inilah namanya- one man's trash is another man's treasure


Kebetulan saya memang membuang sisa sayuran dan kulit-kulit buah disatu kawasan untuk terperam menjadi baja secara semulajadi. Semua saya campak disitu. Kulit bawang, kulit telur, kulit durian, biji durian dan seribu satu macam biji buah saya campak. Semua tumbuh secara caca marba!


Untuk dapatkan pokok yang sihat, kenalah bekalkan yang organik saja. Saya letak tanah tadi didalam pasu. Rasanya bolehlah saya claim- tanah itu  baja kompos. Cuma saya tiada bekalan arang. Tidak apa. Akan diusahakan nanti.


Siap sudah tajar ini. Risau jugak tumbang. Harap-harap teguhlah.


Peringkat permulaan, letaklah dibawah teduhan pokok-pokok sekitar. Kawan saya kata, ok sangat ini. Tidak kena cahaya matahari direct. Dia tidak tahu saya sudah order sun shade!

Leceh-leceh pon, saya buat juga.
Dia = kawan = coach saya telah menghantar banyak resepi. Bukan. Bukan resepi vanilla cake guna organic vanilla bean sticks.
Tapi resepi baja organik. Resepi racun organik. Saya ikutlah. Buat calculation siap-siap. Maklumlah. Skala tanaman saya terlalu kecil! Terpaksalah reduce kan amaun.

Baja liquid (cecair) untuk semburan. Untuk gemukkan pokok. Ikutkan resepinya, perlukan air sumur. Waduh apain itu? kok semua resepinya dalam bahasa Indon?
Coach saya ini pro Indon. Pekerja Indon bukan main dipuji-puji. Kerajaan Indon saja yang bagus. Saya suggest dia tukar kerakyatan. Dia haha kan saja.


RESEPI BAJA SEMBURAN MURAH/ORGANIK

2 liter air hujan (air sumur)
air kelapa tua 2 biji
1 biji kentang (kecil) rebus, dilenyek, campur sedikit air hujan dan tapis
Sedikit batang pisang yang sudah ditebang dan sudah hitam dek cuaca 
sesudu garam laut
kulit telur dari 2 biji telur, kisar halus

( aduk (campur) semuanya dan letak dalam bekas bertutup)
Bisa enggak?


Sedikit batang pisang yang agak lembut dan berair. Masuk kedalam kain bersih ( saya koyakkan kain batik yang lusoh) dan perah.


Semua bergaul untuk proses microbing.


Campur serbuk kulit telur. Boleh juga tambahkan sekali kulit udang yang telah dicuci bersih, keringkan dan kisar halus. 


 Ya udah.
Bila semua siap diaduk, tutup dan peram selama 3 hari. Hari kedua, sudah mula berbuih. 


Coach kata, kalau berbuih maknanya- jadi. Tidak sangka. Tapi ada sedikit bau yang kurang menyenangkan. Kata coach- larutan ini kena dicairkan dulu. Nisbahnya 1 : 10 dengan air hujan atau atau perigi. Haish, banyak pula aturannya.
Sembur baja sekali seminggu. Bukan tiap-tiap hari. Saya sudah mula, tapi pada tanaman yang lain. 
Semakin lama, bau cairan baja ini semakin busuk!
Sudahnya saya tidak panggil baja. Saya panggil- air busuk. Bukan kepalang busuknya. Bila dispray pada pasu-pasu dihadapan rumah, baunya meresap-resap. Ah sudah! Takut juga jiran-jiran menyepit hidung sambil menyumpah.

Dilema.


Saya juga mengumpul daun-daun kering untuk dijadikan kompos daun. Hendak guna dekat mana pon belum tahu. Tidak apa. Kita siap siaga. Kena peram daun-daun ini dan sesekali direnjis air dan ditekan mampatkan. 3 minggu tempoh eraman, kemudian sedia digunakan.
Ha begitu.


Ini pula baja kompos. Lapisan paling bawah adalah tanah, kemudian dilapisi dedaun kering untuk elemen perang/coklat dan dedaun hijau untuk eleman hijau. Siram air dan padatkan. Ulang proses tadi hingga bekas penuh. Daun-daun hijau adalah sumber nitrogen yang tinggi manakala daun perang/coklat merupakan sumber karbon. Tutup dan sesekali kena gaulkan. Boleh digunakan selepas 3 bulan.

Makin pandai nampak.

Ini bukan sebarang makcik.
Tiber.


Ini pula eraman baja kompos sisa dapur. Bagus juga sebab mudah untuk saya campak apa saja lebihan sayuran, kulit buah, kulit telur, baki roti selagi belum berkulat, baki nasi dan sisa lain yang sesuai. Cebisan sisa yang besar elok digunting-gunting kecil. Perlu juga dilapisi tanah setiap hari bagi elak terbit bau yang kurang enak.


Sesekali saya buka juga. Saya berjaya kumpul selama 5 hari bermakna ada 5 lapisan sisa dapur. Kesemuanya dijangka akan terurai dan bertukar menjadi tanah dalam masa sebulan.

Part baja - done.

Coach kata hendak belanja saya benih pokok berupa keratan yang sudah dia sediakan. Katanya, paling bagus tanam keratan sepanjang 1 meter. Senang sikit hendak hidup. Buang 3 akar dan daun pada bahagian bawah dulu sebelum rendam air bawang. Tapi saya segan pula. Sebab walaupon pokoknya belum berbuah, tapi pokok yang melebihi setahun dan lebih daripada 10 meter panjang sudah boleh dipotong keratan dahannya untuk dijual sebagai benih. Seorang lagi kawan ada membisik (dalam whatsapp)...keratan dahan coach sudah sampai ke Indonesia!

Ada 1 lagi sebab kenapa saya sebolehnya tidak mahu terima.

Kak. Saya ada tanam pokok vanilla kat belakang rumah.


Berkobar saya pergi tengok.

Akak nak beli 1 meter!

Tak payah. Saya bagi.

And the rest is history.

Walaupon pokok jiran saya ini  kelihatan kurang penjagaan dan bercampur gaul dengan pokok-pokok bunganya yang lain, tapi ia sudah cukup buat saya gembira campur teruja. Sebab tidak sangka. Saya tahu dia layan semua pokoknya sama rata. Semua dapat cahaya matahari yang sama.

Dah 3 tahun kak. Tak pernah berbuah. Saya beli benih RM 60 masa pergi Cameroon.
Saya hendak komen apa? Ilmu saya pon belum cukup. Baru tahap tadika.

Bila akak nak? sekejap lagi saya hantar.

Eh sabar. Nanti akak bagitahu ye. Akak kena siapkan baja kompos dulu.

Sayakan murid yang dengar cakap guru.
Petang itu pada hari yang sama, saya terlihat ada keratan-keratan pendek diletak didepan rumah.

Nafas seperti terhenti.

Kalau hendak kata bukan seperti piawaian yang diharapkan, seperti tidak tahu bersyukur pula.
Pasrah.
Jalan terus.


Mula-mula kena rendam bahagian hujung dengan air bawang untuk menggalakkan pertumbuhan akar selama 45 minit.
Hendak buang 3 daun dan akar yang mana? Sudah sah-sah setiap keratan banyak yang hanya 3 daun.
Sudah!Jangan cakap banyak.


Betulkah macam ini?


Kemudian, setiap hujung kena sapu dengan kapur makan, tujuan untuk pengeringan. Proses pengeringan selama 14 hari.


Coach ada hantar gambarajah proses. Saya apply lah apa yang saya faham. Bawah sekali, baja kompos dan letak daun-daun kering. Paling bagus, daun buluh kering. Syaratnya cuma hujung yang sudah disapu kapur, tidak boleh terkena tanah. Adalah sebabnya itu, kita ikut saja lah.


Saya bergegas ke rumah jiran yang ada tanam pokok buluh. Jadilah inikan. 

***
Setiap hari saya spray sedikit air pada keratan-keratan ini.

Setiap hari saya membelek.
Boleh hidupkah?

Mana akar?
Harini hari ke 12.

Ada yang mula berubah warna.

Apa akan jadi pada perjalanan menanam vanilla saya?

Part racun organik belum buat lagi.

Update terkini: semua diatas tinggal kenangan.


Sekian.


Tuesday 30 August 2022

ENTRI 225 : RESEPI CEKODOK NASI(ALA VADEI )

 30 Ogos 2022


BISMILLAHIRRAHMANNIRRAHIM.






Resepi yang sangat mudah dan sedap. Sangat sesuai untuk mereka yang mengamalkan pemakanan gluten free. 

Cara-cara membuatnya.


Kisar nasi, telur dan air panas.


Ramas-ramas tauhu yang telah dicelur.


Tuang bahan kisaran kedalam tauhu yang telah diramas.


Hiris bawang, cili padi dan carrot. Sukatan ikut kesukaan masing-masing.


Satukan semua bahan.


Kepalkan membentuk bebola seperti bola golf.


Terus letak kedalam kuali yang telah panas minyaknya. Leperkan bebola tadi dan kemaskan bentuk bulatnya. Goreng dengan api sederhana sehingga garing.

Siap!
Rangup diluar, lembut didalam.
Rasanya seperti Vadei.


Sesuai sebagai juadah minum petang.


Sekian.

Semoga bermanafaat.

Monday 29 August 2022

ENTRI 224 : KETURUNAN PENYAKIT 3 SERANGKAI.

29 Ogos 2022.

BISMILLAHIRRAHMANNIRRAHIM


Kenapalah tidak turunkan harta berjuta-juta?
Kenapalah turunkan penyakit yang berangkai-rangkai? 
.....gurau seorang rakan kepada emaknya suatu ketika dulu.
Kami hanya ketawa mendengarnya.

Rata-rata bapa dan mak saudara sebelah abah, SEMUA berstatus pesakit 3 serangkai. 
Ops saya betulkan semula.
 4 serangkai.

Darah tinggi.
Kencing manis.
Kolestrol.
Sakit lutut.

Lengkap.

Jadi apa status saya?
Pewaris kuat?

Kalau kau ada keturunan,kau tunggu sajalah! Kau akan kena juga,cepat atau lambat.

Ayat begini pon selalu sangat singgah ditelinga. Selalunya ditutur oleh pewaris kuat juga...yang sudah rasa cukup berikhtiar menjaga, bersenam tapi tetap kecundang.
Begitulah.
Kadangkala, cara berfikir itu sudah betul tapi ilmu yang ditemu kurang lengkap. Kurang tepat.
Jadi, ada lompong disana sini. Akhirnya, tumpas. Dan mula menuding jari.
Saya belajar juga.
Memerhati.
Membaca.
Follow orang-orang yang betul dan tepat.

Ringkasnya, pada pemahaman saya, ikhtiar bagi yang senasib dengan diri ini ( 'pewaris' yang masih belum memegang status' pesakit ', ada beberapa langkah yang wajib kita ambil dan amal sepanjang hayat dikandung badan.


1- MAKAN IKUT DIET SUKU SUKU SEPARUH.



Kita umumnya masih perlukan karbo tetapi dalam portion yang sedikit. Suku pinggan nasi sangat cukup untuk dijana sebagai tenaga. Kita bercakap sebagai orang awam. Bukan pakar diet, pakar pemakanan hatta pakar kesihatan. Sebenarnya makin banyak karbo diambil- contoh: nasi dan roti- semakin cepat kita akan rasa lapar semula.

Disitulah letak peranan suku lagi iaitu protin atau lauk, contohnya seketul ayam, seekor ikan, telur, tahu dan tempe- seterusnya penuhkan separuh lagi pinggan dengan serat dari sayuran pelbagai warna.

Realitinya, kita tidak masak bermacam sayurkan. Mudah saja. Masak saja sejenis sayur dan penuhkan ruang kosong dengan ulaman seperti timun dan salad. Hasilnya perut akan kenyang lebih lama dengan kehadiran serat yang banyak.

Ah bercakap memanglah mudah.

It's always easier said than done.

Betulkan?

Mana ada orang makan nasi lemak suku pinggan, timun dan kangkung separuh pinggan.

Itu orang gila. Dan orang gila jaga gula sahaja yang mampu buat begitu.

Wujudkah orang yang menjaga gula dengan ketat? Tentulah ada. Selalunya mereka yang sudah ada komplikasi. Mereka tiada pilihan selain menjaga bermati-matian or else,mereka yang mati.

Tapi lebih ramai yang pasrah.

Makan sajalah macam biasa. Ubat kan ada. 

Inilah tagline abah. Bak kata dia :

Sudah biasa. Nak makan sedap. Nak makan banyak...katanya sambil ketawa. Elok sangatlah bah oi. 


2- BANYAK BERGERAK / BERSENAM.

Pakcik makcik bangsa kita segan bersenam sebab tidak biasa. Bagi yang gemar berkebun dan menanam, sedikit sebanyak akan ada banyak pergerakan. Mak, nenek dan mertua saya dalam kategori ini. Mereka tiada diabetes (kencing manis) kerana banyak bergerak sejak muda. Makanan yang dimakan akan digunakan dan dibakar menjadi tenaga.

Apa yang saya sedar- banyak aktiviti fizikal akan selamatkan kita dari diabetes tapi belum tentu selamat dari darah tinggi. Untuk mencegah hypertention (darah tinggi), salah satu cara adalah dengan bersenam.

Aktiviti fizikal tidak sama dengan senaman. Senaman agak berat manakala aktiviti fizikal adalah seperti berkebun dan membuat kerja rumah.

***

Selalu kita dengar. Strok terjadi akibat bacaan tekanan darah yang naik tinggi sebab tidak dikawal (atau faktor tidak sedar sudah ada darah tinggi). Oksigen tidak sampai ke otak. Darah jadi pekat.

Konsepnya: Jika bersenam, rentak jantung akan jadi laju sehingga kita jadi sedikit tercungap sehingga peringkat susah hendak bercakap. Itu bermaksud, pada masa itu- darah sedang dipam laju-laju sampailah ke bahagian hujung-hujung anggota badan. Darah yang membawa oksigen. Itulah yang kita mahukan. Darah sampai hingga ke otak. Sampai hingga semua hujung jari.


3- TIDUR DAN REHAT YANG CUKUP.

Bab ini,saya kalahlah.

Tekanan darah boleh turun naik jika tidak cukup tidur kerana semasa tidurlah organ dalaman dapat berehat. Malang sungguh saya tergolong dalam mereka yang mengalami imsomnia. Mungkin otak saya cerdas sangat. Suka berfikir. Begitulah.


4- ELAKKAN SUPPLEMENT OVERCLAIM.

Bukankah supplement bagus? Vitamin C takkan tidak ok pula.

Vitamin seperti vitamin C dan lain-lainnya, jika disarankan doktor, memang sangat membantu. Namun negara kita kebanjiran produk-produk yang mengaut keuntungan yang bukan sedikit. Banyak sungguh lambakan kes-kes rosak buah pinggang dan hati akibat pengambilan jus-jus yang mendakwa dapat menyembuh macam-macam penyakit. Ramuannya selalu terselit steroid yang akan memberi kesan segera namun ramai yang mendapat kesan sampingan pada jangkamasa panjang.

Abah saya sangat setia dan tekun dalam ambilan ubat-ubat hospital. Lega juga kerana dia tidak pernah percaya jus-jus overclaim. Sudah berusia 76 dengan bertahun hidup bersama penyakit berangkainya. Termenung panjang juga bila mendengar jiran selang beberapa rumah sudah dipotong kedua belah kaki, malah kena juga dicuci buah pinggang sedangkan usianya baru menginjak 52. Puncanya? Tidak mahu makan ubat hospital dan hanya makan jus penyembuh pelbagai penyakit! Alasannya, seperti biasa- takut buah pinggang rosak. Nah sekarang lihat. Siapa yang terlebih dahulu rosak buah pinggang?

Sesuatu yang boleh dijadikan pengajaran.

*******

Amalkan saja REAL FOOD. Makan secara sederhana dan seimbang. Lebihkan pengambilan air putih. Banyak bergerak dan kurangkan makanan bergula. 

Again. Easy said than done.

Anak abah kan, hendak makan sedap saja.

Minggu hadapan hendak try buat Biscoff coffee cake.

Macamana itu?

Para rakan pewaris. Usahalah setakat yang terdaya. Sesekali kena juga amalkan apa saja ramuan sihat. Janji REAL FOOD. Bukan proses.

Antara amalan yang bagus adalah minum air halia.Tambahlah sesudu kecil cuka epal atau lemon. Rasa pedas halia boleh dikurangkan dengan sesudu madu asli.

Memang tidak sesedap teh tarik tapi fikirlah khasiatnya.

Jus bunga telang banyak khasiat tapi jangan pula minum berlebih-lebihan. Sesekali kita ambillah untuk tambah apa yang terkurang dalam badan. Tetapi bagi pesakit yang sudah ada rutin makan ubat hospital, mengambil minuman begini agak berisiko juga. 

Air lemon sangat bagus sebagai ikhtiar menurunkan kolestrol, juga sebagai sumber vitamin C yang baik.

Sesekali saya minum juga air rebusan daun durian belanda.

Minyak kelapa dara atau minyak zaitun pon bagus sebagai sumber lemak baik.Tapi itulah. Jangan berlebihan.

Pada golongan yang malu-malu hendak bersenam, buka saja youtube. Carilah senaman yang sesuai mengikut umur. Jika tidak biasa, cari sahaja senaman yang ringkas-ringkas. Bersenam dalam rumah saja- ketika tiada sesiapa. Tidak perlu berzumba. Saya pon tumbang. Saya sudah pilih beberapa senaman yang mampu saya buat.

 Semoga ikhtiar kita dapat menyelamatkan diri daripada penyakit. Memang tidak mudah, sekurang-kurangnya sudah berusaha keras. Jika ditakdirkan akhirnya kita naik taraf, redha sahaja lah.


Sekian.
Semoga bermanafaat.

ENTRI 223 : MINYAK KELAPA DARA (HOMEMADE).

 29 OGOS 2022

BISMILLAHIRRAHMANNIRRAHIM.


Pengalaman membuat sendiri minyak kelapa dara sangat mengujakan. Saya sedar juga rupanya saya ini sangat suka bereksperimen. Semuanya hendak cepat dan laju. Jika ada yang terkurang, terus saja sarung tudung dan segera berlari ke kedai. 
Begitulah.


Setahu sayalah, lagi tua kelapa, lagi banyaklah minyaknya. Gambar diatas adalah pokok kelapa dirumah orang tua dikampung yang selalu jadi sasaran. Akan saya panjat (tentu saja dengan tangga) untuk ambil buahnya.

Kalau kau tak balik, tak ada sapa yang herankan buah kelapa tu.

Kau ni patut  duduk kampung.

Begitulah kata abah.

Selalunya saya akan kupas buah yang muda untuk minum airnya yang penuh khasiat.
Tiba-tiba terbit idea untuk buat minyak kepala sendiri. Saya tanyakan pada abah pasal sambal tahi minyak. Sedap sungguh katanya. Perlu racik daun-daun. Hendak buat tahi minyak pon ambil masa juga.
Saya jadi bersemangat.
Darah Bugis ini, sesekali perlu juga dilayan.


Buah yang muda mudahlah hendak settle. Tapi buah yang tua amboi liat sungguh. Buahnya agak kecil dan mengecut. Ada yang sudah mula keluar tunas. Memang perlukan kudrat yang lebih. Tapi saya kan. Hadap saja dengan sabar. Kita ini asalnya budak kampung. Rasanya saya masih boleh memanjat pokok. Anak anak zaman moden tidaklah lasak macam kami.



Percubaan pertama adalah menghasilkan minyak kelapa. Yang menggunakan haba. Hasil sampingannya adalah tahi minyak. Kemudian barulah saya cuba buat minyak kelapa dara (VCO) pula.

Ini isi kelapa tua yang akan hasilkan banyak minyak. Tapi azab betul hendak umpil keluar dari tempurung. Kalau ada mesin pemarut, boleh juga ringankan kerja. Saya buat sahaja perlahan-lahan. Isi kelapa ini saya kecilkan saiznya dan hiris nipis-nipis supaya mudah proses blend nanti.


Masukkan hirisan kelapa kedalam blender dan letak secukupnya AIR SUAM


Tapis santan yang terhasil. Boleh juga hampasnya diblend semula untuk hasilan santan yang maksima.
Masukkan santan dalam plastik dan ikat.
Untuk kali ini, saya dapat 3 bungkus .
Jika layari internet, kita akan jumpa pelbagai teknik. Ada yang masukkan kedalam peti ais dan pelbagai lagi. Saya hanya mencuba satu kaedah yang pada saya, paling mudah. Dan rasanya saya akan terus gunakan kaedah ini.

Santan yang telah dibungkus tadi perlu diletak ditempat yang bersuhu agak panas. Ada yang letak diluar, dibawah matahari, ada yang meletak dalam bonet kereta. Saya, mudah saja. Cuba rasa dinding luar tepi petiais, bahagian mana yang bersuhu panas. Ambil kerusi dan letak bungkusan santan disitu. Jangan ada sentuhan direct, takut plastik akan berubah akibat suhu panas. Seeloknya, letak bungkusan santan dalam satu bekas.( saya letak dalam kotak dan tutup dengan tuala).

Atau biasa juga saya beli 3 bungkus kelapa parut dikedai runcit dengan harga RM 3.00 setiap bungkus seberat 350gm


Dalam masa 1 jam pon sudah ada tindakbalas penapaian (microbing)


Bungkusan ini perlu dibiarkan selama 2 JAM. Selepas 2 jam, ada terhasil 2 lapisan.



Gunting bucu hujung plastik. Jangan terlalu besar supaya mudah hendak agak bila sampai masa untuk hentikan aliran air buangan ini.


Sebaik lapisan air habis keluar, kepit dengan jari supaya pati santan tidak ikut keluar.


Masukkan pati santan kedalam plastik yang baru. Gabungkan pati dari ketiga-tiga bungkusan.


Kacau-kacau selama 1 minit.


Ikat semula. Hanya dapat 1 plastik sahaja pati santan pekat.

Paling bagus, biarkan dalam keadaan tergantung begini. Gunakan kreativiti.
Proses seterusnya adalah pengeraman sehingga 24 JAM.
Jika kita bermula jam 3 petang, maka pati ini akan siap proses eraman jam 3 petang hari berikutnya.
Juga ditempat yang bersuhu agak panas.
Lokasi strategik saya masih tak berubah.


Ini adalah hasil intipan 6 jam pertama.


12 jam kemudian.


18 jam berlalu. 3 lapisan yang terbentuk semakin menyerlah.


Banyak juga amaun minyak yang terhasil. Lapisan paling bawah adalah air manakala yang paling atas adalah sisa.


Tepat 24 jam- lapisan minyak sangat jelas. Wah seronok betul.
CURD itu adalah lapisan berkrim (sisa pepejal) yang terhasil akibat proses microbing.

OK. Pada mulanya saya gunakan kaedah tuaian  ini.

Kaedah pertama :
Saya berlari kekedai untuk membeli air kotak semata-mata untuk dapatkan strawnya sahaja.
Gunting dulu hujungnya supaya berkeadaan tajam dan boleh menembusi plastik. Kawasan yang perlu dicucuk adalah pada sempadan antara lapisan minyak dengan lapisan sisa pepejal.
Tadah dalam bekas bersih.


Akan ada juga sedikit sisa yang akan ikut keluar terutama pada peringkat akhir, biarkan sahaja kerana ia akan ditapis.


Corong DIY saya, hanya gunakan bekas botol air mineral saiz kecil. Potong dua dan terbalikkan. Sebagai penuras, saya hanya letakkan beberapa tisu kapas muka secara berlapis-lapis.


Suka betul lihat titisan minyak kelapa jatuh kedalam bekas.
Tidak perlu tekan saki baki minyak yang ada pada tisu kerana akan ada sedikit sebanyak sisa-sisa pepejal terperangkap disitu.


Kaedah kedua.
Pada satu percubaan lain:



Cucuk di beberapa bahagian plastik, juga antara sempadan lapisan minyak. Cantik betul minyak berjuraian keluar dari merata bahagian.


Masih ada saki baki minyak tapi saya buang saja. Belum jumpa cara terbaik untuk dapatkan hasil minyak semaksima mungkin.


Perlu juga ditapis. Hasil minyak agak banyak kerana saya menggunakan 3 biji kelapa.


Seronok betul. 

Khasiat dan manafaatnya terlalu banyak, namun saya tidaklah berlebih-lebih memikirkannya. Sekarang saya cuma gunakan sebagai pelembab kulit. Kulit lembab tidak apa. Jangan otak  lembab. Sesekali mencampurkan sesudu kecil kedalam nasi. Nasi pon beraroma nasi lemak. Sedap sungguh.

Saya cornfirm akan buat lagi dan lagi, insyaallah.


Sekian, semoga bermanafaat.