Monday 29 August 2022

ENTRI 223 : MINYAK KELAPA DARA (HOMEMADE).

 29 OGOS 2022

BISMILLAHIRRAHMANNIRRAHIM.


Pengalaman membuat sendiri minyak kelapa dara sangat mengujakan. Saya sedar juga rupanya saya ini sangat suka bereksperimen. Semuanya hendak cepat dan laju. Jika ada yang terkurang, terus saja sarung tudung dan segera berlari ke kedai. 
Begitulah.


Setahu sayalah, lagi tua kelapa, lagi banyaklah minyaknya. Gambar diatas adalah pokok kelapa dirumah orang tua dikampung yang selalu jadi sasaran. Akan saya panjat (tentu saja dengan tangga) untuk ambil buahnya.

Kalau kau tak balik, tak ada sapa yang herankan buah kelapa tu.

Kau ni patut  duduk kampung.

Begitulah kata abah.

Selalunya saya akan kupas buah yang muda untuk minum airnya yang penuh khasiat.
Tiba-tiba terbit idea untuk buat minyak kepala sendiri. Saya tanyakan pada abah pasal sambal tahi minyak. Sedap sungguh katanya. Perlu racik daun-daun. Hendak buat tahi minyak pon ambil masa juga.
Saya jadi bersemangat.
Darah Bugis ini, sesekali perlu juga dilayan.


Buah yang muda mudahlah hendak settle. Tapi buah yang tua amboi liat sungguh. Buahnya agak kecil dan mengecut. Ada yang sudah mula keluar tunas. Memang perlukan kudrat yang lebih. Tapi saya kan. Hadap saja dengan sabar. Kita ini asalnya budak kampung. Rasanya saya masih boleh memanjat pokok. Anak anak zaman moden tidaklah lasak macam kami.



Percubaan pertama adalah menghasilkan minyak kelapa. Yang menggunakan haba. Hasil sampingannya adalah tahi minyak. Kemudian barulah saya cuba buat minyak kelapa dara (VCO) pula.

Ini isi kelapa tua yang akan hasilkan banyak minyak. Tapi azab betul hendak umpil keluar dari tempurung. Kalau ada mesin pemarut, boleh juga ringankan kerja. Saya buat sahaja perlahan-lahan. Isi kelapa ini saya kecilkan saiznya dan hiris nipis-nipis supaya mudah proses blend nanti.


Masukkan hirisan kelapa kedalam blender dan letak secukupnya AIR SUAM


Tapis santan yang terhasil. Boleh juga hampasnya diblend semula untuk hasilan santan yang maksima.
Masukkan santan dalam plastik dan ikat.
Untuk kali ini, saya dapat 3 bungkus .
Jika layari internet, kita akan jumpa pelbagai teknik. Ada yang masukkan kedalam peti ais dan pelbagai lagi. Saya hanya mencuba satu kaedah yang pada saya, paling mudah. Dan rasanya saya akan terus gunakan kaedah ini.

Santan yang telah dibungkus tadi perlu diletak ditempat yang bersuhu agak panas. Ada yang letak diluar, dibawah matahari, ada yang meletak dalam bonet kereta. Saya, mudah saja. Cuba rasa dinding luar tepi petiais, bahagian mana yang bersuhu panas. Ambil kerusi dan letak bungkusan santan disitu. Jangan ada sentuhan direct, takut plastik akan berubah akibat suhu panas. Seeloknya, letak bungkusan santan dalam satu bekas.( saya letak dalam kotak dan tutup dengan tuala).

Atau biasa juga saya beli 3 bungkus kelapa parut dikedai runcit dengan harga RM 3.00 setiap bungkus seberat 350gm


Dalam masa 1 jam pon sudah ada tindakbalas penapaian (microbing)


Bungkusan ini perlu dibiarkan selama 2 JAM. Selepas 2 jam, ada terhasil 2 lapisan.



Gunting bucu hujung plastik. Jangan terlalu besar supaya mudah hendak agak bila sampai masa untuk hentikan aliran air buangan ini.


Sebaik lapisan air habis keluar, kepit dengan jari supaya pati santan tidak ikut keluar.


Masukkan pati santan kedalam plastik yang baru. Gabungkan pati dari ketiga-tiga bungkusan.


Kacau-kacau selama 1 minit.


Ikat semula. Hanya dapat 1 plastik sahaja pati santan pekat.

Paling bagus, biarkan dalam keadaan tergantung begini. Gunakan kreativiti.
Proses seterusnya adalah pengeraman sehingga 24 JAM.
Jika kita bermula jam 3 petang, maka pati ini akan siap proses eraman jam 3 petang hari berikutnya.
Juga ditempat yang bersuhu agak panas.
Lokasi strategik saya masih tak berubah.


Ini adalah hasil intipan 6 jam pertama.


12 jam kemudian.


18 jam berlalu. 3 lapisan yang terbentuk semakin menyerlah.


Banyak juga amaun minyak yang terhasil. Lapisan paling bawah adalah air manakala yang paling atas adalah sisa.


Tepat 24 jam- lapisan minyak sangat jelas. Wah seronok betul.
CURD itu adalah lapisan berkrim (sisa pepejal) yang terhasil akibat proses microbing.

OK. Pada mulanya saya gunakan kaedah tuaian  ini.

Kaedah pertama :
Saya berlari kekedai untuk membeli air kotak semata-mata untuk dapatkan strawnya sahaja.
Gunting dulu hujungnya supaya berkeadaan tajam dan boleh menembusi plastik. Kawasan yang perlu dicucuk adalah pada sempadan antara lapisan minyak dengan lapisan sisa pepejal.
Tadah dalam bekas bersih.


Akan ada juga sedikit sisa yang akan ikut keluar terutama pada peringkat akhir, biarkan sahaja kerana ia akan ditapis.


Corong DIY saya, hanya gunakan bekas botol air mineral saiz kecil. Potong dua dan terbalikkan. Sebagai penuras, saya hanya letakkan beberapa tisu kapas muka secara berlapis-lapis.


Suka betul lihat titisan minyak kelapa jatuh kedalam bekas.
Tidak perlu tekan saki baki minyak yang ada pada tisu kerana akan ada sedikit sebanyak sisa-sisa pepejal terperangkap disitu.


Kaedah kedua.
Pada satu percubaan lain:



Cucuk di beberapa bahagian plastik, juga antara sempadan lapisan minyak. Cantik betul minyak berjuraian keluar dari merata bahagian.


Masih ada saki baki minyak tapi saya buang saja. Belum jumpa cara terbaik untuk dapatkan hasil minyak semaksima mungkin.


Perlu juga ditapis. Hasil minyak agak banyak kerana saya menggunakan 3 biji kelapa.


Seronok betul. 

Khasiat dan manafaatnya terlalu banyak, namun saya tidaklah berlebih-lebih memikirkannya. Sekarang saya cuma gunakan sebagai pelembab kulit. Kulit lembab tidak apa. Jangan otak  lembab. Sesekali mencampurkan sesudu kecil kedalam nasi. Nasi pon beraroma nasi lemak. Sedap sungguh.

Saya cornfirm akan buat lagi dan lagi, insyaallah.


Sekian, semoga bermanafaat.

No comments:

Post a Comment