Tuesday 25 July 2017

ENTRI 210: APAM GULA HANGUS 2.

Dengan lafaz Bismillah bicaraku bermula...



Sebaik mendapat khabar seorang jiran menjual apam gula hangus Ramadan lalu, saya pun berkias-kias mengecek resepi. 
Alah resepi dalam Facebook saja kak, katanya.
Facebook pun facebook lah....

Saya pun round  laman sosial tersebut.

RESEPI APAM GULA HANGUS.

1 cawan gula pasir
1 cawan air panas
( jadikan gula hangus dan sejukkan )

2 biji telur
1/2 cawan minyak masak
2 sudu besar marjerin
2 sudu besar susu pekat manis
1 sudu kecil soda bikarbonat
1 1/2 cawan tepung gandum
( tepung gandum dan soda bikarbonat diayak bersama )

Masukkan telur, susu pekat, minyak masak dan marjerin kedalam blender- kisar anggaran 2 minit.
Masuk gula hangus yang sudah sejuk, kisar rata, kemudian masukkan tepung yang telah diayak. Kisar sebati.
Perap 30 minit agar soda bikarbonat dapat bertindakbalas dengan sempurna.

Oles acuan dengan sedikit minyak masak supaya kuih tidak melekat.

Tuang 3/4 penuh kerana kuih ini akan naik dan pastikan acuan dipanaskan sebentar sebelum menuang. Kukus selama 10 minit dan balut penutup periuk kukusan dengan kain bersih agar wap tidak menitik keatas kuih.

*****
Mula sekali - gula hangus.
Ikut resepi betul-betul. Jangan kurangkan gula kerana akan menyebab kuih terasa sedikit pahit.
Panaskan gula, jika boleh gunakan periuk yang agak tebal dan biar mencair dengan api perlahan.Tidak perlu kacau- hanya lenggang-lenggangkan periuk sesekali, agar semua tempat mencair sekata.


Bila sudah cair sepenuhnya, angkat periuk ketepi dan tuang sedikit dahulu air panas. Kacau dengan sudip kayu. Hati-hati kerana tindakbalas meruwapnya tidak dijangka. Habiskan baki air panas. Kacau rata dan biar menyejuk dalam masa 40 minit.

Sementara itu, pilih acuan yang sesuai dan oles dengan sedikit minyak masak supaya kuih mudah dikeluarkan.


Sebaik air gula hangus sejuk, kita sudah boleh proses mengadun.


Masukkan telur, susu pekat manis, minyak masak dan marjerin kedalam pengisar makanan dan kisar sebati anggaran 2 minit. Kemudian, masuk air gula hangus dan kisar lagi. Akhir sekali, masukkan tepung gandum yang telah diayak bersama soda bikarbonat. Putar rata dan tuang kedalam bekas yang bermuncung supaya mudah untuk menuang.

Tip yang bagus untuk diikuti- perap adunan sekejap, anggaran 30 minit.
Sementara menunggu, sediakan periuk kukusan dan panaskan sehingga mendidih.

Setelah 30 minit, masukkan acuan yang telah dioles minyak kedalam periuk kukusan. Biarkan ia panas sebentar 2 minit. Tuang adunan 3/4 penuh dan kukus selama 10 minit.


Alhamdulillah.
Cantik naiknya dan warnanya sekata.


Lembut dan sangat sedap.
Untuk kuih apam ini, syarat utama adalah tidak boleh derhaka resepi. Setiap pengurangan akan mempengaruhi rasa.

Tapi.
....we never know what had happened behind the scene.

Kita sentiasa disaji dengan pemandangan yang indah-indah walaupun sebenarnya wujud juga adegan yang tidak ingin kita lihat.


Bukan manusia saja bermasalah tapi kuih pun begitu. Yang adunannya dituang tidak cukup amaun untuk naik sempurna, yang melekat sebab mungkin sebahagian tidak kena olesan minyak, permukaan kuih tidak rata lebih-lebih jika guna acuan lompang hah macam-macam lagilah masalahnya, namun semua itu akan jadi panduan berguna dimasa hadapan.
Sejujurnya, masa mencuba buat kali pertama- saya tidak perap dan tidak panaskan acuan.
Sebab itu kuih meragam!


Untung sabut, timbul.
Dalam satu adunan yang saya buat-hanya 3 biji ini saja yang elok rupa. Yang lain, hampeh!
Ini, cerita dululah.
Semasa pertama kali buat.
Kita belajarlah dari kesilapan.
Untuk elak permukaan kuih seperti tidak cukup kembang itulah maka kena rehatkan sebentar.
Secara teori, kita bagi masa secukup untuk soda bikarbonat bekerja dengan efektif.


Ini contohnya. Sudahlah tidak mahu kembang, herot pula.

Oleh itu kita perlu aplikasi setiap tips yang disaran bagi mengelak kejadian apam meragam.
 Bukankah sebaiknya begitu?


Penting untuk panaskan acuan sebentar supaya sebaik adunan dituang, ia akan terus menaik dengan jayanya.


Selamat mencuba.
Sekian.

Lihat juga : APAM GULA HANGUS 1