Wednesday 19 November 2014

ENTRI 103 : SAMBAL BELACAN ISTIMEWA.

Bismillah.


" Sambal belacan, biar saya buat..."
Ustazah mengangguk. Kenduri sempena majlis khatam Quran beramai-ramai itu telah pun selamat diadakan ahad lalu. Seramai 5 orang pelajar yang terlibat termasuklah anak saya yang ketiga. Alhamdulillah, majlis berjalan lancar. Lauk pauk yang dimasak secara bergotong royong itu pun menepati tekak tetamu yang datang.

Sambal belacan.
Lawan pula dengan masak lemak dan ikan masin.

Saya lihat cara begini pada tahun lalu dikampung saya. Membuat sambal belacan sebenarnya sesuatu yang subjektif, tidak salah kita mempelbagaikan cara.

RESEPI SAMBAL BELACAN.

1 kilo cili hidup merah
2 keping belacan ( besar )
4 biji tomato ( besar dan ranum )
1 biji mangga muda
1 mangkuk limau kasturi
1 labu bawang besar
garam dan gula
Sedikit minyak masak
( untuk 150 - 200 orang )


Masukkan 3 sudu minyak masak dan gorengkan belacan. Hancur-hancurkan agar mudah garing. Biar sehingga warnanya bertukar brown. Bila bau belacan sudah terbit, masuk tomato yang telah dibelah 4 dan bawang besar yang sudah dipotong-potong. Tambah sedikit minyak masak jika perlu. Tujuannya adalah untuk caramelisedkan, untuk keluarkan rasa manis semulajadi bahan-bahan ini. Gaul sehingga semua sebati dan layu.


   Sekilo cili merah mestilah dipotong-potong dahulu


    Curah masuk cili pula.


Biar nampak tomato dan cili mengecut dan bersalut belacan. Matikan api.


    Sementara itu, bolehlah potong limau kasturi.


    Perahkan airnya.


Ambil dalam 20 biji kulitnya dan hiriskan senipis boleh.


  Kupas mangga muda yang bukan main masamnya ini..


    Gunakan pisau yang berat untuk mencincang isi mangga.


     Dapat 1 pinggan isi mangga muda


Boleh blend, masukkan sedikit campuran cili, belacan, tomato dan bawang tadi. Masukkan sedikit air limau (walaupun tanpa air limau- campuran ini masih boleh diblend  kerana jus dari tomato sudah cukup untuk memastikan blender berputar )


 Masukkan juga sedikit garam dan gula ( jangan banyak sangat garam sebab belacan itu sendiri sudah masin )


Blend tidak perlu sampai lumat /halus. Biar hancur kasar.


     Tuang dalam satu bekas. Ia pekat dan kurang berair.


Bila sudah siap, baru masuk hirisan kulit limau.


Masukkan pula hirisan buah mangga muda. Gaul sebati. Rasa gula dan garam. Biar cukup rasa masam- masin dan sedikit manisnya.


 Sedia dinikmati bersama lauk pauk yang sesuai.

Banyak bahan masam lain yang boleh digunakan:
Binjai masam, belimbing buluh, kedondong.
Boleh juga tambah cili padi.
Saya pernah makan sambal belacan yang diletak hirisan nipis perut lembu.
Sedap sungguh!

Ikut kreativiti masing-masing.
 Boleh blend malam dan simpan  dalam peti ais. Keluarkan untuk kegunaan esoknya. Campuran akan lebih mesra dan sedap.


Sekian.






No comments:

Post a Comment