Wednesday 10 August 2016

ENTRI 191 : OBSES RAJA BUAH.

Dengan lafaz Bismillah bicaraku bermula....


Macam-macam promosi. 
Pesta disana sini menyebab tahap keterujaan naik melambung-lambung.
'Durian sudah melambak-lambak, sebutir pun belum dapat rasa..' saya berkeluh kesah mengharap ada yang simpati.

Bayar RM 10 makan puas-puas?
Tidak mahu yang itu.
Tekak ini cuma mahu sebiji dua.
Cuma sebiji dua!
Enaknya terbuai nikmat,  sesekali terbersin bila terkena durian berisi pahit...ahh!
Siapa yang dapat dustakan anugerah dari Tuhan?

Walau musim durian sudah kembali, ia masih dalam katagori 'mahal'- itu dalam perkiraan suami- suatu yang saya sangat pasti. Tunggu sampai harga benar-benar runtuh! 
Dia tidak pernah menuturkan tapi saya jamin itu yang selalu difikirkan.
 Tunggu sampai dapat harga RM 10 sekarung, masa itu mintalah berkarung-karung. 
Dia takkan merungut.
Tapi tekak saya sudah tidak sanggup.
 Bukan sekarung yang saya minta, cuma sebiji dua.

Bertambah malang, kelibat itu sentiasa menghantui.
Mengekori. 
Memandang luar, kanan durian, kiri pun durian.
' ....pejam mata bu.....' 
Bila sikecil berkata begitu- bermaksud ada gerai durian dihadapan. 
Oh tidak!

Sabtu lalu,singgah dirumah orang tua. Sebaik pintu terkuak, bau itu menerpa bersesak-sesak kelubang hidung. Asyik mahsyuk jadinya, terus meluru kedapur mencari. Dua biji tergolek disudut tepi tong beras, liur terkecur-kecur....
Mana atok? 
Mana nenek?
Kenapa 2 biji..? 
Kenapa tidak 20 biji?

Kesian sungguh pada mahkluk yang kemaruk ini.
Lalu pada satu perjalanan pulang.....
Sekilo RM 20? Sebelahnya sekilo RM 10, sebelah lagi sekilo RM 8.
Ah bolehlah....yang 8 ringgit itu.
Tersenyum-senyum sekejap menjengah buah yang elok-elok berharga mahal, sekejap kekiri membelek buah sekilo RM8 yang nampak macam anytime nak kena humban kat longkang.
Yang namanya Musang King, jeling pun jangan!
Tidak mengapa, murah pun boleh.

2 biji idaman kalbu sudah parking cantik dihujung kaki seat depan.
Kalkulator dalam otak pon mencongak- 2 biji RM 39, bermakna sebiji RM 19.50.
Mahal juga kau ya?
Saya mahu yang sekilo RM 8 tetapi dia beli yang baik sedikit.
Fikiran terus melayang-layang, menyedut-nyedut udara dalam kereta berbau haruman asli, 
sambil berkira-kira sebaik sampai depan pintu rumah, saya mesti pecah rekod Khairul Hafiz Jantan.
Larian kena pantas menerkam parang didapur!

Lalu dipetang yang hangat, dapat jua kuredakan keinginan yang sekian lama terpendam.


Durian banyak serat, ada folat untuk hasil sel darah merah, antioksidan, anti penuaan, potasium, posphor untuk gigi dan mulut, riboflavin untuk atasi migrain.
Paling betul dan benar adalah meredakan tekanan-sebab ada vitamin B6.
Begitulah.

Cerita 9 tahun lalu..

" Hah balik, kat rumah abah ni banyak orang hantar durian..."
" OK!"
Teruja!

Makan banyak.
" Orang mengandung boleh ke makan durian banyak-banyak..?" baru sedar diri.
" Boleh..." jawab atok baby dalam perut, selamba.
..dan konfiden.

Sebulan kemudian,

Ipar duai sibuk mengacah-ngacah baby yang comel, mengusap jari jemari yang kecil-kecil dan lengan yang lembut tetapi mengelupas.
" ...ada makan benda panas-panaskah...?"
Panas? 
"....macam durian.."
Er.


Sekian.

No comments:

Post a Comment