Tuesday, 21 October 2014

ENTRI 94 : RAWATAN URAT SARAF.

Bismillah.


Kemana saya ahad lepas?
Macam mimpi.
Berkonvoi 4 kereta.
Yang lain semuanya Cina.

Suami menolak perlahan belakang badan saya. 
Saya masuk dahulu?
Daun pintu terkuak menampakkan penghuninya, seorang lelaki Cina dalam usia lewat 60 an. 
 Hati ini berdebar.
 Sangka saya, suami yang perlu berjumpa lelaki itu.
   
" Appa sakit?"
    " Dia ni selalu badan lemah-lemah....sejuk-sejuk.....malam selalu susah mau tidur....."
Amboi.
Mata menjeling suami.
    
" Baring.."
Ha?

Cuak sungguh.
Nasib baiklah semua anak-anak ada sekali.
Ramai saksi.


Saya meniarap, diperlakukan seperti seekor ikan.
Sesekali menjerit kecil, hingga menitis air mata menahan sakit.
Kalaulah saya tahu....
     
" Tahan...tahan sikit..."
    
" Blood presure ok?"
     " OK baru check itu hari..." kata saya lemah.
Dia menekan-nekan kayu kecil ditangannya keatas belakang badan saya. menukar pada saiz yang lain pula. Mencari point dan titik pusat urat saraf yang bermasalah.
    
" Ha...ini..ini..oooo..manyak sangkut...manyak sangkut..."
Apa pula tu...?
     " Urat bengkak...Lu rasa sini"
 Disuruh suami memegang kawasan bawah bahu dibelakang. 
Agak keras.
Suami terangguk-angguk.
     
" Ini sudah lama ni......banyak tempat sangkut.."
     " Sejuk eh? sini sejuk....".
Master K terus menekan setiap point yang ada.
Ada sesetengah tempat rasa sakitnya seperti dicucuk dengan jarum.
     
" Ha....sudah betul....sudah betul......sudah tak ada bengkak, Pusing...!"
Alamak! Depan pula?
Rasa hendak lari. 
Perut saya ditekan-tekan.
Nasibaik setakat itu.

Tidak sangka betul kena hadapi semua ini.
Tidak mengapa, saya cuba positifkan minda.

Akhir sekali dicekiknya leher saya, agak lama disitu membuat saya rasa hendak terbatuk dan termuntah. Dicucuknya 2-3 point diatas kepala dan beberapa tempat dimuka.
    
" Sudah...sudah....badan ada rasa ringan?" dia bertanya.
Sama saja.
     " Tengok....muka dia sudah merah..."
Ye ka?
     " Ini ada ubat, kasi makan 20 biji lepas minum pagi"
    " Berapa uncle?...."suami mencelah
    " 140...." Suami menghulurkan bayaran.
    
" Sakit?" seorang perempuan Cina tiba-tiba masuk. 
Dia isteri kepada kawan suami saya yang sama-sama berkonvoi tadi.
Saya cuba untuk maniskan muka. Dia ketawa dan terus masuk bersama seorang lagi rakan.
    " Makan ubat ini kena banyak minum air aaaa.." sempat dia berpesan. Saya angguk sahaja. 
Diluar masih ramai yang menanti....
Rumah teres 3 bilik itu memang sangat bersih.
     
 " Bukan ke abang yang hendak check?" ungkit saya.
      " Bugjet dah lari"
Ceh...!.

                                      
 Ubat herba pahit yang saya kena makan.


Alang-alang sudah sampai Muar.
Pusing-pusing cari mee bandung.

Mee bandung berkuah pekat sudah ada depan mata. Menghirup perlahan kuahnya yang sarat dengan aroma udang kering, menghirup sesudu lagi....
Mengapa tidak menepati citarasa?

Saya bagi  B+, 
walau dinding kedai penuh dengan gambar-gambar artis + pemimpin yang buat signal tumb's up .

********

Kata Master K, saya perlu datang lagi
     " Abang sajalah yang pergi...."pinta saya.

Siapa Master K itu ?
Menimba ilmu rawatan saraf di Australia.
Kawan suami yang mengsyorkan itu pon sebenarnya baru pulih selepas diserang stroke secara tiba-tiba sehingga masuk ICU, berubat dengan Master K itulah!
Isterinya yang ramah itu juga mengalami imsomnia kronik. Selepas satu sesi sahaja, dia sudah boleh tidur dengan nyenyak.
Saya pula?
Entahlah.
Sekurang-kurangnya saya sudah tahu ada masalah urat dibadan.
Ingatkan sihat sebab pada ujian saringan kesihatan bulan lalu semua bacaan saya normal.
Sesekali sakit badan itu, biasalah.


Hanya Tuhan yang tahu apa yang terbuku dihati .
Ya Allah, ampunkanlah diri ini.
Niat untuk berubat. 
Saya mesti anggap ini sebagai kes darurat. Jika tidak jiwa saya takkan tenang.
Wallahualam.


Sekian.



Friday, 17 October 2014

ENTRI 93 : SMART EATER.

Bismillah.....


Kegilaan terkini saya.
Kira kalori.

Semalam buat karipap, makan 6 keping.
Berapa jumlah kalori yang sudah saya telan?
Sebutir karipap berkalori  130 kcal.
Kalau 6 bermakna : 6 x 130 =  780 kcal.
Banyaknya!

Demikianlah saya hari ini.
Surirumah yang kurang aktif seperti saya perlukan 1900 kcal sahaja berbanding wanita dewasa(20 - 39 tahun ) yang memerlukan 2000 kcal. Remaja perempuan pula (10 - 19 tahun) ) perlukan tambahan 100 - 300 kcal lagi kerana mereka pada peringkat umur paling aktif dalam hidup.

Saya bertuah kerana memiliki kantung perut yang consider kecil, mudah kenyang walaupun makan sedikit. 
Semalam saya beria-ia mengira jumlah kalori yang telah diambil dari mula celik mata hinggalah tutup semula. Lega sungguh kerana ia tidak melebihi 1900 kcal pun.

Saya mahu jadi smart eater. Makan dengan otak, bukan dengan nafsu. Semua berhak nikmati setiap peringkat hidangan- breakfast, minum pagi, lunch., minum petang dan makan malam. Tidak perlu skip. Cuma jaga dari segi portion. Nasi separuh pinggan adalah selamat. Lauk diambil bersama sayur kegemaran masing-masing. 
Jangan bertambah.

Satu lagi kelemahan, ada possiblity untuk makan berulang-ulang. 2 keping karipap emak buat mana cukup sebab sedap, semua depan mata. Makan pula ramai-ramai. Karipap dan goreng pisang adalah dua contoh kuih bergoreng yang tinggi kalori. 
Saya pernah buat pavlova -for sure kandungan kalorinya pun tinggi, akhirnya saya juga yang terpaksa habiskan. Masa itu saya belum tahu kira kalori, kalau tidak mesti dapat mimpi ngeri.

Apa sebenarnya kalori?
Ia unit untuk mengukur tenaga. 
Kalori diguna oleh tubuh untuk ditukar jadi tenaga.
Jika terlebih kalori yang diambil tetapi tidak dibakar - akan mengakibatkan pengumpulan lemak. Kalori mesti dibakar, dalam bentuk melakukan aktifiti fizikal dan juga senaman. 

Senarai makanan yang bantu bakar lemak:
 
1 -  Bawang putih dan bawang merah
2  - Tomato
3  - Putih telur
4  - Lada
5  - Anggur
6  - Carrot
7  - Timun

Makanlah dalam kuantiti terkawal.
Begitu juga dengan minuman. 
Saya ambil minuman manis pada waktu sarapan sahaja. (Teh tarikku berkalori 100 kcal) 
Selebihnya saya akan lebihkan air masak.

Jumlah kalori sangat tinggi pada nasi beriyani ayam iaitu 880 kcal.
 Jika lunch nasi beriyani, pastikan makan yang light pada minum petang dan makan malam.
 Itulah caranya.

Masih ada banyak ruang untuk belajar.

Alhamdulillah.


Sekian.






Thursday, 16 October 2014

ENTRI 92 : RESEPI PURI.

Bismillah..


Puri?
Setahu saya puri adalah isi buah-buahan atau sayuran dalam keadaan hancur. 
Contoh : puri tomato
Rupanya ada puri lain.
Adik bongsu roti canai.
* Musuh ketat daku.*

Simple. Cute. Light.
Itu adalah 3 perkataan untuk gambarkan puri.


RESEPI PURI.

2 cawan tepung gandum
1 sudu teh garam
150 ml air
( uli bahan diatas jadi doh )
Campur doh dengan,
1 sudu teh minyak sapi @ minyak jagung@ minyak makan
Uli hingga lembut
Tutup dengan kain yang bersih
Rehatkan 20 minit. 
Cubit doh sebesar guli dan canai nipis.
Goreng dalam minyak yang betul-betul panas.

Caranya:


 Saya buat 1/2 adunan sahaja- tepung gandum dan sedikit garam halus.


 Air mengikut sukatan beserta sedikit minyak. Saya gunakan minyak masak biasa saja.


Masukkan air sedikit-sedikit kedalam tepung yang telah digaul rata garam halus didalamnya.


Guna garfu untuk sebatikan air, kemudian guna tangan untuk lebih mudah menguli.


 Bila doh cantik terbentuk, masukkan sedikit minyak, uli lagi sehingga minyak bergaul mesra dan doh menjadi semakin lembut.


   Doh ini perlu direhatkan selama 20 minit.


 Tutup dengan tuala bersih. Doh tidak akan mengembang sebab kita tidak guna yis.


Cubitkan sebesar guli. Canaikan nipis. Tabur sedikit tepung pada papan dan kayu penggelek bagi mengelakkan ia melekat. Susun dalam dulang yang juga ditabur dengan sedikit tepung. Jangan tindih puri yang telah dicanai, akan melekat.


Tunggu minyak betul-betul panas. Masukkan puri dan tekan dengan sudip. Biar ia mengelembung. Dan tidak sangka tengok ia mengelembung dengan cantik. Kawal api kerana ia garing dengan cepat.Terbalikkan.


     Montel dan garing. Tiris atas tisu serap minyak.


Makan semasa panas, kerana sekejap saja ia hilang garingnya. Walaupun begitu ia masih sedap dimakan.


 Cicah pula masak asam ikan keli.


   Sedap juga kalau dapat dicicah kari.



Resepi ringkas dan sedap,boleh jadi menu gantikan roti canai.


Sekian.



Wednesday, 15 October 2014

ENTRI 91 : DULU VS SEKARANG.

Bismillah.


Senario 1 :

    " Minum apa dik? "
Saya mengangkat muka. Dia berlalu sebaik saya menggelengkan kepala. Mee hoon sup yang masih berwap itu sedap benar di tekak saya. Perlahan-lahan menyudu kuahnya, sedap sungguh. Suasana hingar bingar disekitar langsung tidak mengganggu konsentrasi saya yang sedang asyik. Rupanya perlakuan saya sedang diperhati.
     
" Kenapa tidak order air ?"
" Nanti minum kat office."
Saya tidak kedekut.
Mana ada.
     Saya cuma jarakkan masa makan dengan masa minum. 
Itu beza orang yang tahu dengan yang tidak ambil tahu.

Itulah saya, dulu.
Semasa anak dara.
Tapi takut perut buncit kalau terus minum selepas makan.


Senario 2 :

     " Nak air apa? "menoleh kearah saya.
     " Aku tahu " Iza mencelah, dengan senyum terukir dibibir.
     
" Orange juice suam atau carrot susu suam"

      " Eee tak ada maknanya minum jus buah kalau tak ada ais."
    
Air suam kan bagus untuk melancarkan darah. 
Teringat lagi kata kawan baik saya dulu, selalu sangat menyindir saya.
      " Aku tak main lah air suam ni. Aku main air colour-colour saja ...."
Sukahatilah.

Tidak sangka juga saya seperti itu. Dulu.


Senario 3 ; 

   " Nasi putih?"
Saya mengangguk. Dia menyenduk.
   " Banyak tu...buang separuh....lagi sikit.. buang lagi...." 
Budak itu memandang saya.
   " Lauk? "
   " Aaa...yang itu....itu...nak ulam banyak-banyak ya dik.."
Itulah saya dahulu, semasa muda remaja.
Gilakan ulam.Gilakan air suam. Tak ambil ais. Banyak berjalan kaki. Saya tidak gunakan lif sebaliknya naik turun tangga untuk ke office di tingkat enam. Pergi dan balik kerja juga berjalan 1/2 jam pergi dan 1/2 jam balik malah selalu pula terbabas hingga ke Chow Kit Road. 
Sesekali saya akan naik juga bas mini...


Senario kini. 

Sekarang jarang sekali jamah ulam-ulaman. 
Minuman pagi pula nak yang sedap + lazat + manis saja.
    " Buatkan teh kaw kaw " 
  Daripada asyik menelan liur, baik saya join sekali.
Atau dalam kejadian lain,
    " Bu. Boleh buat milo.?"
    "  Buatlah..."
    " Ibu nak ke?"
    " Gila tak nak "

Terlalu banyak godaan.

Salah diri sendiri.
Memang sudah menyimpang, jauh sekali.

Tolonglah lihat kembali dirimu yang dulu.
Sebelum terlambat.
Gaya hidup semasa muda banyak menyelamatkan keadaan saya yang sekarang.


Sekian. 

 

ENTRI 90 : PROGRAM KEKAL SIHAT.

Bismillah.


Program Kekal Sihat.
Surat pekeliling sudah pun diedar. Rata-rata semua sudah tahu atur cara. Salah satunya adalah saringan kesihatan secara percuma. Sikecil saya pula terlibat dalam acara pertandingan mewarna.

Saya cukup takut. Mana tahu dek kerana roti canai yang sekeping sarapan tadi, bacaan saya akan tersangkut. Memang berdebar-debar kerana agak ramai antara mereka yang baru tahu rupa-rupanya mereka sudah ada penyakit darah tinggi atau kencing manis. Malah ada juga yang tidak dapat menerima kenyataan lalu bertekad mahu membuat pemeriksaan kedua diklinik berbayar pula.
Apa pula keputusan saya?...


Mula-mula kena timbang berat badan dan ketinggian. Tujuannya untuk semak Indeks Jisim Tubuh - Body Mas Index ( BMI )- untuk tahu samada berat badan berlebihan atau pun tidak.

Mari ambil tahu dan ambil peduli.

     BMI =  Berat badan  ( kg )      
                 Tinggi (m ) x Tinggi (m )

 Contoh : berat saya adalah 62 kg manakala tinggi pula 165sm.
 
     BMI = 62 kg    
               1.65m x 1.65m

              = 62kg    
               2.7225

              = 22.773 kg/m2.( NORMAL )


Klasifikasi
Kurang 18.5 :  kurang berat badan
18.5-24.9  :   normal
              25-29.9 :  berat badan berlebihan
Melebihi 30 : obes.


 Tekanan darah saya sedang diambil. 

Apakah itu tekanan darah?
 
Bacaan atas sistolik H (tekanan darah keluar dari jantung)
Bacaan bawah diastolik L (tekanan darah balik ke jantung dari buah pinggang)   

normal  115 - 135
    normal  75 - 85


Dan alhamdulillah.
Doktor itu kata bacaan saya normal.
133  mmHg
  75

Lega betul.
Kalau tidak, saya akan boikot roti canai for the rest of my life.



Ambil darah pula untuk ujian kencing manis.
Yang ini takut juga sebab ada faktor keturunan. 

Mari kita fahamkan serba sedikit mengenainya :
Paras glukosa darah selepas berpuasa bagi orang yang tidak ada penyakit ini adalah 4 - 6.6 mmol/ L.
Manakala paras gula selepas makan (pos prandial )- boleh diterima hingga 10mmol / L.
Jika lebih rendah dari bacaan 4 mmol/ L -ini disebut hipoglisemia yang mana paras glukosa rendah dalam darah.
Bacaan saya selepas melantak sekeping roti canai?
5.6 mmol/ 
Lega.


YB pun ada, beramah mesra dengan rakyat marhaen.
YB tahu tidak yang ukurlilit pinggang juga boleh dijadi ukuran gambaran lemak berlebihan.
Bagi kaum lelaki mesti kurang dari 35 inci manakala kaum wanita pula 31 inci.
 Amacam YB?
 Ada harapan?


Hamper dan cabutan bertuah.
Tidak sia-sia saya datang.
Dapat merasa pemberian hamper dari tangan YB.


Selalu teringat kata-kata pakcik saya. Kalau ada keturunan tu, kau tunggu sajalah.
Penyakit kau akan dapat, cuma cepat atau lambat saja.
Serius seram!

Satu kisah lain.

" Aku sudah ada kolestrol tinggi "
Ha?
Tidak sangka.
Adik lelaki yang sebaya itu bukannya pemakan. Sebagai cikgu sekolah menengah, mestilah aktif. 
Darah tinggi tidak ada pula. Begitu juga kencing manis.

"Kawan-kawan kata aku yang salah."
".......sebab aku pergi check"
Ha ha ha    Ha ha ha
Boleh gelak lagi tu.

"Doktor ada kata aku kurang makan sayur hijau."
Ha itulah dia.



Sekian.
Jaga-jaga.

Tuesday, 14 October 2014

ENTRI 89 : OTAK DIA.

Bismillah..


Nama pun budak-budak. Dalam peringkat sel-sel otak sedang aktif berhubung. 
Adakala saya terfikir, apalah yang sedang bermain dimindanya. Kadang kala perilaku diluar jangka, kadang-kadang diluar kotak -selalu pula mengundang  kemarahan!
Kanak-kanak dapat meluah emosi mereka diatas sekeping kertas.
 Kita dapat lihat gambaran- adakah dia sedang tertekan atau  marah atau apa. 

Apa pula yang bersarang diminda anak bongsu saya yang berumur 6 tahun itu?


Saya klasifikasi kepada beberapa bahagian.

Katagori positif.;


Saya pasti mana-mana ibu akan terbawa rasa bangga bila anak melukis begini.
Anakku mahu jadi doktor rupanya!


Sebuah kipas berdiri perlu ada dibelakang doktor kerana doktor ini sebenarnya ada masalah ruam jika suhu sekitarnya panas.


Diatas kepala terdapat air-cond berjenama YORK- kelihatan berjuraian angin sejuk yang keluar.


Ini adalah katil pesakit dewasa atau kanak-kanak. Dua-dua boleh. 
Yang kotak-kotak adalah lantai klinik-berjubin.


 Ini pula suasana dalam makmal, saya tidak tahu mana dia dapat inspirasi buat gambaran sebegini.
Macam real kan.


 Siapa dapat mentafsirkan ini? 
Saya tidak mampu baca mesej yang cuba disampaikan.


Ini seperti kerja Engineer.
Cadangan tempat pembuangan sampah untuk dibentangkan kepada kerajaan negeri.


 Yang ini adalah cadangan pembinaan taman permainan tradisional katanya.

Katagori Inisiatif :


Dia sudah mula berlatih mengira jarum jam dan minit. Paling menakutkan adalah angka minitnya sudah melebihi 60.


 Sudah mula berlatih menurunkan tanda tangan.


 Tidak kenal erti putus asa, demi mendapat signature terbaik.
 Syabas anakku.


Katagori kreatif :


  Gambaran kekeluargaan yang erat. Hubungan intim ibu dan anak. Suasana amat harmoni sekali.


Dia sangat suka lukis gambar saya dan tulis, sayang ibu.
Pandai eh.


   Potret keluarga.


Lagi gambar keluarga.


 Bolehkah jadi fashion desinger? 
Aspirasi dari siri kartun kegemaran 'whinks'  ke apa ke namanya.


Dia lukis disebelah sewaktu saya sedang menyiapkan hantaran tuala.
Wow! 


Katagori mennyeramkan :


  Sudah berangan hendak kahwin.


 Gambar dia dengan Mr. X makan beradap, siap pengapit dikiri dan kanan. 
Bapa pengantin perempuan ada disebelah menantunya. 
Tetapi mana ibu pengantin?
Mana?


Kenapa ibu kena duduk jauh?
Tak muatlah.
Ok.

Katagori protes :


    Surat kepada abang.


  Abang marahkan dia ketika main chess.


Setiap kali menulis, tidakkan lupa satu perkataan -T A M A T.  
Wajib ada.


Katagori menakutkan ;


     Apa ini?

                                                      
    Dan ini...


  Apa masalah kau dik...?


        Sakit dimata, sakit lagi jiwa dan raga.


  Vandalisme..

Dia beria-ia mahu mengapur kasut sekolahnya sendiri. Mahukan dia berdikari, saya anggukkan sahaja. Lihat yang saya dapat? 

Ada suatu ketika- berkepuk-kepuk serbuk halus berwarna putih bertaburan di bilik belakang. 
Bila ditanya katanya- projek sains. 
Hai anak, kamu memang macam-macam.

Jika ada dikalangan anak kalian yang berciri begini-sila buat IQ test.


Sekian.
Anak ibu memang kreatif.
Ikut ibu,alhamdulillah.