Tuesday 10 January 2023

ENTRI 245 : KUIH KETAYAP BUNGA TELANG BEBAS GLUTEN.

 بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

Semalam saya terjumpa Dapur Sihat Rosmanita dialam maya. Teruja betul kerana banyak sungguh resepi kuih Melayu bebas gluten yang dikongsi. Beberapa minggu lepas, saya cuba juga buat kulit kuih ketayap dari resepi bebas gluten yang lain, jadilah juga tetapi kurang berpuas hati. Jadi hari ini saya cuba ikut resepi Puan ini. Wah cantik betul kejadiannya, malah lebih nipis dari kulit yang biasa dibuat dari tepung gandum. Puan itu menggunakan air daun pandan, tetapi saya teringin guna air bunga telang.

RESEPI KULIT KUIH KETAYAP BUNGA TELANG.

80 gram tepung beras

50 gram tepung pulut

1 biji telur

190 ml air bunga telang

2 sudu besar minyak

Secubit garam halus.

Caranya sangatlah mudah. Sebatikan saja semua bahan dengan whisk dan tapis supaya adunan benar-benar licin. Adunan agak cair- masak 1senduk atas kuali non stick. Lenggangkan macam buat creepe. Bila mula ada gelembung pada kulit kuih itu dan kelilingnya nampak sudah mengering, angkat. Tidak melekat langsung! 

Saya gunakan 7 kuntum bunga telang dan ramas dalam air suam. Sukat sebanyak 190ml. Jika terkurang, tambah lagi sedikit air pada hampas bunga dan perah.

Macam corak lace. Bahagian belakangnya pula licin.

Kulit ini sangat mudah diurus dan boleh saja ditindan kerana tidak akan melekat antara satu sama lain.


Kuih ketayap ini satu saja- inti kena power. 

Kalau diganding dengan inti kelapa muda, memang terbaiklah.


Sekian.


No comments:

Post a Comment