Sunday 8 January 2023

ENTRI 241 : HOMEMADE SAUERKRAUT.

 بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

Sejak dulu pemahaman masyarakat tentang probiotik dan prebiotik agak kurang jelas. Yang biasa kita dengar minuman kultur yang pelbagai perasa itulah salah satu sumber probiotik yang bagus. Diberi pula kepada anak-anak konon untuk kesihatan usus padahal penuh dengan gula dan perisa. Begitulah hidup tanpa ilmu.

*******

Secara ringkasnya- PROBIOTIK adalah bakteria baik yang sangat diperlukan untuk kesihatan usus manakala PREBIOTIK adalah makanan kepada probiotik. Keseimbangan keduanya sangat penting.

Sumber probiotik- bakteria hidup yang terdapat dalam makanan fermentasi seperti tempe, kimchi, budu, tapai, yogurt asli, belacan, tempoyak, miso. Ada juga dalam bentuk suplemen.

Sumber prebiotik mudah saja- serat sayuran, buah dan kekacang. Jika tiada serat ini- bakteria baik tidak mampu hidup.

Hari ini saya terbaca mengenai Sauerkraut, salah satu makanan fermentasi di Jerman/Rusia. Ia merupakan makanan tradisi sebagaimana kimchi di Korea. Sebab ianya sangat mudah, tidak salah saya cuba buat. Ala-ala jeruk kobis.

Kobis segar berubah menjadi sauerkraut dibawah pengaruh bakteria asid laktik, yang dilepaskan semasa proses penapaian. Satu sudu sauerkraut saja mengandungi hidangan vitamin K setiap hari. Banyak  kebaikannya yang jika disenaraikan, memang berjela.

Dipendekkan cerita- marilah terus buat.

Saya gunakan suku saja kobis bulat. Hiris nipis panjang dan basuh bersih. Toskan.

Buang empulur dibahagian tengah.

Agak-agak saja garam halus ini. Jangan terlalu banyak, untuk elak terlalu masin.

Ramas-ramas kobis ini selama 5 minit hingga keluar air yang banyak. Ia akan sedikit mengecut.

Masukkan kedalam bekas yang sesuai. Tekan-tekan agar kobis mampat.

Gunakan alu lesung yang bersih untuk mampatkan.

Syaratnya- semua sayuran mesti terendam. Tutup bekas dengan longgar dan biarkan pada suhu bilik selama 3 hingga 4 hari. 

Selepas sehari sudah ada tindak balas. Alhamdulilah, sudah sedikit masam membawa maksud, bakteria sudah bekerja. Selepas 3 hari bolehlah dimasukkan kedalam petisejuk dan tutup ketat. Ambillah dalam jumlah yang sederhana setiap hari sebagai juadah sampingan.

Pengambilan sebanyak 200gm sehari dapat mengelak kekurangan vitamin dan mineral- tetapi perlu juga diambilkira bahawa kita makan juga makanan berkhasiat yang lain, jadi ambillah dalam porsi yang sesuai.

Hari ini saya cuba sertakan sesudu besar sauerkraut sebagai sampingan lunch . Wah memang boleh sangat sangat! Gandingan baik kari sayur- ikan goreng- sauerkraut. Alhamdulillah selepas ini saya akan serius untuk buat lagi. 

Menu malam:

Nasi goreng belacan campur isi ikan kembung : featuring sauerkraut.

******

Gabungan beberapa bahan lain juga dapat meningkatkan zat seperti memasukkan epal atau lobak merah, bit, cranberry, jintan, bunga lawang dan pelbagai lagi yang menjadi resam budaya masyarakat yang mengamalkannya.

Hari kedua:

Air sudah kering dan rasa semakin masam. Saya tutup ketat dan masukkan kedalam petisejuk. Ia boleh bertahan selama 6-8 bulan, tetapi jika diambil setiap hari- tidaklah sampai begitu lama.

Teringat masak asam pedas masyarakat Melayu lama (pengaruh Baba Nyonya) yang  suka masukkan jeruk sawi.  Jadi sekarang kita ada pilihan. Masukkan saja sauerkraut!


Sekian.

Semoga perkongsian membawa manafaat.

(Saya sedang mendalami resepi kimchi pula,untuk projek seterusnya)


No comments:

Post a Comment