Friday, 19 August 2016

ENTRI 194 : RESEPI KEK LOBAK MERAH 1.

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ 


Dendam kesumat beberapa hari lepas adalah untuk buat kek coklat-akhirnya menenong ke lain. Sejujurnya belum pernah buat, sebab itulah teringin sangat hendak cuba.
Resepi saya ambil dari internet.

Resepi kek carrot.

4 biji telur besar
1 1/2 cawan gula castor
2 cawan tepung gandum
1 sudu kecil soda bikarbonat
1 1/2 sudu kecil baking powder
1 cawan minyak jagung
2 1/2 cawan carrot
1 cawan walnut
sedikit esen vanilla
sedikit serbuk kayu manis
sedikit garam

Jenuh cari kat pasar mini terdekat tapi tidak jumpa- kakak owner kata takyah le kau cari..memang tidak ada- so abaikan serbuk kayu manis. Kacang walnut lagilah tidak nampak bayang. Exclusive kat shopping dan kedai bakery saja. Tidak mengapa. 
Bahan gantian sudah ada.

Panaskan oven selama 20 minit dengan suhu 180 celcius.


Bahan-bahan agak mudah didapati- telur, gula castor, tepung gandum, lobak merah, minyak jagung, soda bikarbonat, baking powder, esen vanilla dan sebagai ganti kacang walnut- saya ada kismis dan badam hiris-balance buat kuih raya.


Sebenarnya tidak dapat agak- berapa biji lobak merah yang bila sudah disagat akan dapat memenuhi sehingga 2 1/2 cawan.
 Bila sudah sagat- sebiji yang besar sudah cukup. 
Tapi sagat ke parut? sebab ada resepi kata kena perah sikit. Maknanya mestilah parut sebab bila parut tentu berair. Saya belasah pakai sagat saja.


Jangan lupa lengser loyang dengan marjerin atau butter dan alas dengan baking paper. Selain itu kita perlu sukat secawan minyak jagung, ayak tepung gandum bersama baking powder dan soda bikarbonat juga sedikit garam.


Mulakan dengan memukul telur bersama gula castor sehingga kembang. Bila sudah putih, masuk 1 penutup esen vanilla, pukul lagi. Kemudian masukkan minyak jagung, putar sebati.
Perlahankan speed dan masuk 1/3 tepung, putar hingga tepung hilang, masuk lagi separuh tepung, putar lagi dan habiskan baki tepung. Matikan mixer. Gunakan sudip kayu atau spatula- gaul rata hirisan badam, dan kismis yang telah dipotong dua. Masuk juga sedikit garam. Pastikan semua digaul dengan rata.


Akhir sekali, masukkan lobak merah. Kaup balik agar sebati- tuang kedalam loyang yang siap dilengser marjerin/ butter dan dah dialas baking paper. Set kan masa selama 1 jam dengan suhu 180 celcius.


Berbaki 25 terakhir- satu rumah wangi berbau wangi.
Kek naik dengan cantik..
Lalukan pisau disekeliling loyang untuk memudahkan kek dikeluarkan.


Kek ini tidak banyak ragam dan mudah . Jika lihat dari texture luaran, nampak berat macam kek kukus buah-tetapi sebaik dipotong- ia agak lembut-macam kek span.


Cantik dengan taburan carrot, cuma hirisan badam dan kismis kurang nampak..



Rasanya pun sedap.
Alhamdulillah.


Sekian.

Thursday, 18 August 2016

ENTRI 193 : MOTIVASI DIRI.

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ 


Saya percaya setiap orang ada 'seseorang yang kurang menyenangkan', yang muncul sesekali malah ada yang berkali-kali dalam hidup mereka. 
Sebabnya kita hanya hamba yang punya banyak kelemahan-tidak mampu memaafkan dengan mudah hingga kadang-kadang menyimpan rasa nyampah bertahun-tahun. Pastilah tidak seronok bila terserempak tidak sengaja aduh mak rasa nak bagi flying kick sebab meluatkan! 
 Sebenarnya keadaan itu sangatlah tidak sihat . 
Bukan untuk dia saja, malah kita sendiri sudah cacat. 
Cuma tidak nampak sebab melibatkan hati. 
Rasa benci-tidak suka-sakit hati-tidak tenang-rimas-asyik mengelak-ha itukan simtom tipikal.
Sebab itulah kena selalu mendengar- membaca- input yang membawa kesedaran. 
 Masih berkisar mengenai buku prof. Dr.Muhaya Mohamad yang sampai ketangan saya tanpa disangka.
Tentunya percaturan cantik diatur Tuhan- alhamdulillah.

Prof. memetik penjelasan Imam al-Ghazali :

Persoalan- bagaimana tangani mereka yang kurang bermoral dari segi akhlak ataupun pakaian, kita rasa tidak suka dengan perangai/ cara mereka.

Cara kita bertawaduk adalah dengan memandang tinggi pada mereka.
Hmm.!

O Bila kita nampak orang muda- kita rasa mereka lebih baik sebab masih kurang dosa.
O Bila nampak orang tua- anggap mereka lebih baik kerana mungkin mereka lebih banyak beribadah
O Bila lihat orang jahat/ jahil- mereka lebih mulia kerana silap mereka adalah kurang ilmu sedangkan kita yang ada ilmu tapi masih selalu buat silap.
O Bila pandang orang kafir- kita rasa rendah diri kerana mereka mungkin tidak kafir selamanya.

Jadi maniskan muka pada orang yang tidak disenangi dengan niat supaya kita jadi baik-jadi contoh-supaya akhirnya orang itu respect pula pada kita.
Mudahlah untuk dinasihati nanti.
Gitu. 
Payah juga ya hendak pandang musuh dengan pandangan hebat. 
Lebih-lebih lagi kalau dia yang mula simbah api pada mangkuk minyak kita.
 
Boleh ?

Tapi mahu menyelit-nyelit juga pada yang pakainya ketat-ketat....ketawanya rabak-rabak....guraunya kasar-kasar, macam tidak boleh masuk pula!

Kata prof.- berhenti melihat kesalahan orang. 
Jaga silaturahim daripada sentiasa mahu berasa kita saja yang betul.

OK mari kita buat kaji selidik.
Kajian kes : ( berdasarkan sebuah kisah benar )

Individu terlibat- Puan A :
.  surirumah sepenuh masa
    .  sentiasa memerap dirumah
 .  anti sosial

Musuh ketat - Puan X :  
 .  surirumah sepenuh masa
            . suka bertandang kerumah orang
 .  suka bersosial hingga sentiasa kelihatan dimana-mana sahaja
        .  tidak menjaga aib walau kawan sendiri
         . status : isteri ustaz -pakaian sudah tentu sangat islamik.

Masalah timbul- bilamana Puan X melangkah masuk kedalam kehidupan Puan A tanpa kerelaan, bermuka tembok dan seperti tidak sedar perlakuannya mengjengkelkan.
Puan X juga suka menegur tanpa hikmah membuat jiran-jiran terdekat makan hati. Walaupun rumah Puan A agak jauh kerana tidak tinggal ditaman yang sama- tapi Puan X tetap meluaskan auranya. Ada 2 isu besar berlaku sehingga menghilang kesabaran Puan A membuat angin puting beliung meranap segala respect pada Puan X. Kita takkan ulas apa isunya demi menjaga aib beliau.
Persoalannya- Bagaimana harus Puan A ber reaksi? Mampukah maniskan muka dan pandang muka Puan X dengan pandangan hebat? Sehingga sekarang Puan A buat muka tidak ada feeling dan tidak berminat untuk berkawan- dan jatuh niat dalam hati -' aku tidak mahu rapat dengan X, bukan sengaja putus silaturahim tapi sebagai langkah berjaga-jaga supaya diri dan keluarga terpelihara dari fitnah..'

Boleh ke begitu prof.?


Sekian.

Sesungguhnya Allah lebih tahu.

Wednesday, 17 August 2016

ENTRI 192 : CELIK MATA RESET MINDA.

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ 



Seharian membelek buku yang diberi sepupu kepada anak saya. Lain benar cara pemikiran insan yang tinggi ilmu, membuat kita bermenung mengenang diri sendiri.
Apa yang nyata, prof. ini seorang yang pandai memilih ayat yang tepat, kena dan sampai pada hati.
Terdapat 55 soalan dari pelbagai katagori yang diutara oleh pelajar especially student U. Oleh kerana saya pernah berada dalam kelompok itu, maka faham benarlah apa yang bersarang dalam minda mereka.
Ada yang tanya, cara hendak tackle pasangan yang diminati, (tidak lah kalau saya berada ditempat yang bertanya). 
Pada prof. - couple itu haram.
Ada cara selamat- seperti melalui orang tengah atau SMS atau layang surat atau e mail.
 Semua itu tidak mungkin sesekali saya lakukan!
Mati hidup semula pun tidak!
Hanya perempuan bermuka lawa saja yang layak.
Atau terlebih konfiden, ada juga.
Gitu.
Ada satu soalan yang sangat menarik perhatian.

Begini.

Saya seorang pelajar senibina di universiti. Jurusan yang saya ambil menuntut saya berjaga pada waktu malam dan kurang tidur pada waktu siang. Akibatnya saya mendapat pelbagai penyakit seperti gastrik, sakit kepala yang melampau, apendiks ,imsomsia dan kemurungan sehingga beberapa kali masuk ke hospital. Ditambah pula saya diuji dengan masalah keluarga. Kadang-kadang saya berasa ingin berhenti universiti. Tolong saya prof.

Reaksi spontan lepas membaca soalan ini-  hairan. (hendak ketawa pon ada, tapi hal masalah keluarga- saya simpatilah juga).
Jangan kelentong sudah.
 Saya ini mantan student senibina ok.

Of course prof. sudah jawab tapi teringin jugalah hendak menyibuk beri sepatah dua komen yang tidak diundang.
Dengar dik ya. Prof. itu top student. Sebab itu dia layak beri tunjuk ajar dan nasihat berguna kerana laluan yang ditinggalkannya boleh dijadi contoh kerana terbukti kejayaan dirinya sekarang. Walaupun keadaan terkini saya tidak sehebat prof. tapi saya juga pernah bergelar top student 2 tahun berturut-turut semasa belajar senibina dulu. Jadi situasi saya lebih dekat dengan dunia adik.

Pada saya- apa yang paling penting adalah time management. 
Kedua adalah minat yang mendalam (passion). Bila ada minat baru datang seronok.
 Tidak dinafikan course ini sangat meletihkan juga, mendatangkan stress. Itu sebab saya sudah beruban sejak anak dara lagi, pasal banyak fikir. 
Apapun, kalau minat semua boleh bertukar indah. Walaupun selalu sibuk, saya akan make sure setiap detik digunakan dengan betul. Dapat assignment kena terus bertindak. Tiada istilah- nanti dulu- dalam kamus hidup saya. Pagi dapat assignment- tengahari sudah di library. 
Jangan biasakan kerja last minute.
Disiplin diri sangat penting. Solat mesti jaga. Bila baca adik ini siap masuk hospital- heh serius ni. Rasanya saya tidak pernah berjaga malam, cuma sesekali tidur lambat bila sudah dekat submission.

Kesian juga ya. Kalau begini caranya, tidak usahlah siksa diri sesuatu yang kita tidak mampu. Tidak enjoy pun tidak ada faedah- hanya mendatang penyakit.
 Senibina atau architecture adalah pilihan pertama sebab saya rasa ada bakat dan kreatif. Itu penting- kenalpasti keupayaan diri sendiri, sebelum buat pilihan kerana selepas belajar, itu yang akan jadi kerjaya seumur hidup. Kalau masa belajar pun sudah nak terbalik apatah lagi alam pekerjaan yang sebenar. 
Tapi tidak mengapa. Berjuanglah hingga keringat terakhir. 
Ada diploma/ ijazah senibina tidak semestinya bekerja jadi arkitek. Kalau rasa terbeban, cari pekerjaan lain yang sesuai dengan diri -yang penting dapatkan kelayakan itu dulu iaitu segulung diploma/ijazah. Itulah yang akan menambah nilai diri kita walau berada dibidang lain. 
Walau selalu dipanggil best student, tapi saya cuma peringkat diploma saja. Selepas itu terus bekerja. Sebab apa? Sebab sedar saya tidak mampu jadi arkitek. Skop kerja arkitek itu tidak sesuai untuk jiwaku yang sentimental, kena turun padang ke site, kena bertekak dengan engineer, kena sumpah dengan clientmeeting dengan supplier, meeting dengan orang majlis, hai tidak minatlah!
Itu belum lagi proposal yang dihadap berminggu-minggu kena reject macam jentik semut yang terkial-kial naik panjat tepi seluar!
Uii komentar saya ini sudah melebihi prof. nampaknya, malah menyimpang lebih jauh.
Aura prof. macam sudah meresap-resap...
Ingat mahu kupas soalan lain juga tapi soalan budak senibina stress terlampau ini saja rasa macam tidak cukup ruang. Sori ya dik. 
Pasal caring la akak sharing.

Sambung sikit lagi. Sebab akak kan sudah jadi  emak-emak. 

Sebenarnya semua orang ada masalah cuma kita saja yang tidak tahu kerana mereka tidak bercerita. Ada orang nampak serba ceria sampai jeles kita dibuatnya, rupanya terpikul dibahunya masalah yang kita sendiri tidak sangka. Oleh itu belajar- jangan pandang masalah itu besar sangat....
Kalau dalam otak asyik fikir masalah masalah masalah, memanglah jadi masalah.
Cuba renung, apa agaknya yang cuba disampaikan Tuhan dengan menurunkan ujian itu.
 Adakah Tuhan mahu menyedarkan?
Terus bertindak- baiki diri. 
Jangan asyik cari salah orang dulu.
Itu peringatan buat diri sendiri juga.

Bak kata prof.- Celik mata-Reset minda..

Seronok dapat belajar sesuatu.

Sekian.




Wednesday, 10 August 2016

ENTRI 191 : OBSES RAJA BUAH.

Dengan lafaz Bismillah bicaraku bermula....


Macam-macam promosi. 
Pesta disana sini menyebab tahap keterujaan naik melambung-lambung.
'Durian sudah melambak-lambak, sebutir pun belum dapat rasa..' saya berkeluh kesah mengharap ada yang simpati.

Bayar RM 10 makan puas-puas?
Tidak mahu yang itu.
Tekak ini cuma mahu sebiji dua.
Cuma sebiji dua!
Enaknya terbuai nikmat,  sesekali terbersin bila terkena durian berisi pahit...ahh!
Siapa yang dapat dustakan anugerah dari Tuhan?

Walau musim durian sudah kembali, ia masih dalam katagori 'mahal'- itu dalam perkiraan suami- suatu yang saya sangat pasti. Tunggu sampai harga benar-benar runtuh! 
Dia tidak pernah menuturkan tapi saya jamin itu yang selalu difikirkan.
 Tunggu sampai dapat harga RM 10 sekarung, masa itu mintalah berkarung-karung. 
Dia takkan merungut.
Tapi tekak saya sudah tidak sanggup.
 Bukan sekarung yang saya minta, cuma sebiji dua.

Bertambah malang, kelibat itu sentiasa menghantui.
Mengekori. 
Memandang luar, kanan durian, kiri pun durian.
' ....pejam mata bu.....' 
Bila sikecil berkata begitu- bermaksud ada gerai durian dihadapan. 
Oh tidak!

Sabtu lalu,singgah dirumah orang tua. Sebaik pintu terkuak, bau itu menerpa bersesak-sesak kelubang hidung. Asyik mahsyuk jadinya, terus meluru kedapur mencari. Dua biji tergolek disudut tepi tong beras, liur terkecur-kecur....
Mana atok? 
Mana nenek?
Kenapa 2 biji..? 
Kenapa tidak 20 biji?

Kesian sungguh pada mahkluk yang kemaruk ini.
Lalu pada satu perjalanan pulang.....
Sekilo RM 20? Sebelahnya sekilo RM 10, sebelah lagi sekilo RM 8.
Ah bolehlah....yang 8 ringgit itu.
Tersenyum-senyum sekejap menjengah buah yang elok-elok berharga mahal, sekejap kekiri membelek buah sekilo RM8 yang nampak macam anytime nak kena humban kat longkang.
Yang namanya Musang King, jeling pun jangan!
Tidak mengapa, murah pun boleh.

2 biji idaman kalbu sudah parking cantik dihujung kaki seat depan.
Kalkulator dalam otak pon mencongak- 2 biji RM 39, bermakna sebiji RM 19.50.
Mahal juga kau ya?
Saya mahu yang sekilo RM 8 tetapi dia beli yang baik sedikit.
Fikiran terus melayang-layang, menyedut-nyedut udara dalam kereta berbau haruman asli, 
sambil berkira-kira sebaik sampai depan pintu rumah, saya mesti pecah rekod Khairul Hafiz Jantan.
Larian kena pantas menerkam parang didapur!

Lalu dipetang yang hangat, dapat jua kuredakan keinginan yang sekian lama terpendam.


Durian banyak serat, ada folat untuk hasil sel darah merah, antioksidan, anti penuaan, potasium, posphor untuk gigi dan mulut, riboflavin untuk atasi migrain.
Paling betul dan benar adalah meredakan tekanan-sebab ada vitamin B6.
Begitulah.

Cerita 9 tahun lalu..

" Hah balik, kat rumah abah ni banyak orang hantar durian..."
" OK!"
Teruja!

Makan banyak.
" Orang mengandung boleh ke makan durian banyak-banyak..?" baru sedar diri.
" Boleh..." jawab atok baby dalam perut, selamba.
..dan konfiden.

Sebulan kemudian,

Ipar duai sibuk mengacah-ngacah baby yang comel, mengusap jari jemari yang kecil-kecil dan lengan yang lembut tetapi mengelupas.
" ...ada makan benda panas-panaskah...?"
Panas? 
"....macam durian.."
Er.


Sekian.

Thursday, 28 July 2016

ENTRI 190 : STUDY GROUP.

Dengan lafaz Bismillah bicaraku bermula...


" Kenapa tak ambil sardin roll tu?" saya bertanya,sedikit hairan.
" Tak nak " sepatah saja jawabnya acuh tak acuh.
Anak itu berwajah bulat, berpipi labuh dengan anak rambut penuh terjuntai memenuhi dahinya yang luas, berumur dalam lingkungan lapan tahun. Duduknya agak jauh dari yang lain.
Saya cuba memancing lagi.
" Merajuk."
Ah sudah!

" Mira usik basikal. Basikal itu kalau sudah terbarai rantainya memang susah hendak betul" terangnya dengan wajah kelat.
 Kaki berisi itu terbuai-buai disisi kaki meja kopi yang didudukinya. Saya diam tanda faham. Sensitif juga dia disebalik karakter periang sepanjang berada disini sejak jam 2.30 petang tadi.
Ah Si Mira itu.
Fikiran kembali ke alam nyata. Memerhati pula sikurus melidi yang berseluar getah ketat dengan baju blaus beropol dikiri kanan lengan baju. Memiliki sepasang mata yang galak, sentiasa menguntum senyum seolah tiada apa yang perlu difikir dan digusarkan. Anak saya sendiri kurang menyenangi Mira. Dipelawanya dua orang lagi kawan kesukaannya termasuk sitembam yang sedang merajuk itu, untuk turut sama menyertai kelas belajar petang, kononnyalah...

Itulah.
 Saya dibelenggu serba salah. Mahu ditolak, takut disalah anggap. Emak Mira mengharap saya dapat mengajar anaknya yang sudah mula leka. Pelajaran merosot sehingga diturunkan kelas.
 Katanya, dahulu anaknya pandai!
Itulah emak-emak zaman sekarang. 
Cuba tanya diri sendiri dulu..

"Tolong tengok-tengokkan Mira. Potostetlah kertas latihan, apa yang patut, nanti kita kiralah." 
Saya melungu.
Kenapa saya?
Saya bukan cikgu.
Saya tidak buka kelas tuition.
Tidak adil cari saya semata-mata kerana dikata orang, anak saya pandai-pandai.
Cuba tanya anak saya, adakah ibu awak mengajar dirumah?
Cornfirm mereka akan jawab- ibu tahu membebel saja.
Silap sikit, siaplah.
Mana pernah ajar?
Kalau ada pon, habeslah kami semua!

*****
Sudah dua kali sesi study group ini berjalan.
Rumusannya- Saya tidak mampu.
Saya hanya seorang ibu dan terus memilih untuk menjadi begitu.
Tidak mampu menjadi guru.
Mengapa?

Ok. 
Mengapa dikelas- samada disekolah atau pusat tuisyen- budak-budak boleh duduk mengadap buku kerja,latihan dan seumpamanya. Nampak tekun.
Satu- ada perasaan hormat + takutkan cikgu.
Dua- formaliti- itu harus dipatuhi kerana terikat peraturan dan jadual.

Rumah saya? Heh..!
Bilamana mereka tidak memandang saya seperti seorang guru sebaliknya seorang ibu -situasi berlaku sebaliknya. Mula-mula semua bersopan. Kemudian keluar true colour masing-masing. Sesi rehat menjadi sesi keluar masuk rumah ikut suka, keluar masuk tandas ikut selera, top up air putih sesedap rasa. Itu belum adegan terjerit-jerit marahkan kawan yang masih degil menyakat macam rumah ini mak bapak mereka yang punya.
" ...kepala hotak kau...!!."
" Siapa yang cakap tu?" jerit saya dari dapur.
" Mira.." semua jawab serentak.

Kemuncaknya- Masing-masing tidak mahu balik!
What to do..?
Tutup kelas?

Petang ini saya bercadang untuk call saja emak Mira.
Katakan saja kelas ini gagal tepati target. Penerangan haruslah jitu. Pastikan sensitiviti seorang ibu yang penuh pengharapan itu dijaga. Reaksinya nanti pastilah pelbagai. Terdiam + speechless + terkedu + sebak etc.
Ah kenapa pula bahu saya harus dibebani?

Kelas ditutup.
Sorry.


Sekian.

Wednesday, 27 July 2016

ENTRI 189 : NOVELIS.

Dengan lafaz Bismillah bicaraku bermula...


Cahaya mentari menerjah menyimbah masuk menyusup-nyusup menerang ruang. Aku bingkas bangun, Jari menujal suis yang ditengah-tengah. Anakku masih leka disitu, menulis sebuah buku kecil.  Entah apa kandungannya tidak menarik perhatianku. Disisi pembaringannya tersepuk segumpal kain baju yang masih bersisa haba, baru saja diangkat dari ampaian besi yang sudah menampak karat disana-sini dengan dawai penyidai yang paling depan sudah mulai longgar terjuih. Sudah usang benar.
          Anak itu kemudian tergolek-golek membelek nota kecil biru bergambar kartun 'Pooh' dimuka hadapan, key chain yang sengaja digantung pada spiral binding pada bahagian atas berdecing-decing terbuai-buai. Aku memandang kosong, membiar bunyi decingan key chain menerobos kerongga telinga, memberi sedikit hiburan pada jiwa-jiwa yang bermenung. Pandanganku terarah kepada jam bulat jenama Seiko yang tergantung tinggi diatas rak televisyen. Pukul 2.17 petang. Ruang tamuku itu tidaklah seluas mana. Disudut kanan kuletak sebuah almari buku berwarna coklat gelap yang walaupun kecil saiznya namun  bisa membesarkan semangat dan kecintaanku.
         Ku capai novel Salina, karya agung A Samad Said, anak kelahiran Melaka yang terletak dicelah-celah barisan novel yang berdiri dalam satu garisan.Tercatat ditepi sudut yang paling kanan sebelah bawah, namaku ditulis oleh tanganku yang ketika itu masih muda. Diikuti tarikh yang dicop dengan dakwat merah 16 FEB 1994. Dibahagian belakang terlekat tanda harga yang sudah agak kabur, kuagak harganya RM 12.00 mengikut samar-samar bentuk angka yang tertera.

Mimpi ke apa?

Sebenarnya teringin berbahasa bak A Samad Said- orangnya sangat pandai menggambar. Itu resam novelis. Mereka penggambar yang sangat alert dan mendalam sehingga yang membaca pon mampu membayang bagaimana rupa, situasi dan keadaan dalam penceritaan.

Jadi hari ini pada jam 2.17 petang, saya cuba menjadi penggambar.
Susah.
Ha ha.
Good try anyway...

Sedang memburu IMAM- karya sasterawan negara Abdullah Hussein.
Dimanakah dia ? Saya sudah lupa siapa yang meminjam.
Sekarang mengaruk cari balik.
Pada jam 2.17 petang ini juga - satu keazaman baru timbul- mahu mengumpul / membaca novel karya sasterawan-sasterawan negara dan setaraf dengannya sahaja sebab sekarang ini, bersepah novelis baru yang buku tebal kemain tapi isi- sorry to say...kurang kepuasan.
Terbit kesalan tidak sudah kerana keazaman itu timbul pada masa yang salah. Alangkah bermaknanya jika dapat direalisasi pada masa muda belia dulu.
 Ah percaturan Tuhan itu kan ada sebab musabab.


Sekian.

Thursday, 21 July 2016

ENTRI 188 : RESEPI KEK BUAH KUKUS 1.

Dengan lafaz Bismillah bicaraku bermula.


Jangan mahu dipuji-puji saja.
Sesekali kena bom juga sayap telinga ini.
     
Kata abah den " Kuih kau ni keras. Tahun depan buat lembut sikit."
     Kata omak den" cuba kurangkan 2 sudu tepung."


Memang texture kek ini agak kering, tapi rasanya tetap sedap.

Buat kek kukus buah tidak susah. Yang leceh sikit, part buat gula hangus dan masa kukus yang agak panjang. Sebenarnya ada tiga resepi yang hendak dicuba. Buat yang ini dahulu sebagai buah tangan balik kampung raya lalu. 
Jangan abah buat-buat tidak perasan, keras-keras pun licin tau!


RESEPI KEK KUKUS BUAH.
( sumber : internet )

250 gm butter
350 gm gula pasir
60 ml air panas
250 gm buahan campuran
3 biji telur gred A
350 gm tepung gandum
1 sudu teh cream of tar-tar 
2 sudu kecil soda bikarbonat
1 sudu kecil esen vanilla

Belek bahan yang perlu.


Seketul butter beratnya 250gm, perlu juga gula pasir dan air panas untuk buat gula hangus. Tepung gandum perlu diayak bersama cream of tar-tar dan soda bikarbonat. Telur sebaiknya dari gred A. Satu peket 250gm buahan campuran berharga RM 3.40, beli di kedai bakery.
 

 Masukkan gula pasir kedalam periuk tahan haba- tidak perlu kacau selalu, biar ia cair sendiri. Cuma senget-sengetkan periuk agar cair gula sekata. Bila sudah cair seluruhnya, masuk 1/4 cawan air panas menyebabkan cairan menggelegak- kacau perlahan- masuk butter yang sudah dibiar pada suhu bilik selama 1 jam. Tutup  api, kacau hingga butter cair. Masukkan buah-buahan campuran. Gaul rata-rata. Sejukkan anggaran 1 jam.

Bila sudah sejuk- mula proses seterusnya. Panaskan api dalam periuk kukusan.


Ayak tepung bersama cream of tar-tar, dan soda bikarbonat. Masukkan bahan ayak ini kedalam bancuhan gula hangus. Gaul rata-rata. Pukul telur hingga kembang dan masukkan kedalam bancuhan tadi. Sebatikan.


Make sure loyang telah dilengser dengan sedikit butter/ marjerin dan alas dengan baking paper. Tuang  kedalam loyang -goyang-goyangkan loyang secara mendatar supaya bancuhan rata- tutup kemas dengan aluminium foil supaya wap air tidak jatuh keatas kek. Kukus selama 4 jam. Setelah dua jam pertama berlalu, masak air dalam cerek, bila sudah mendidih top up air dalam periuk kukusan yang sudah tinggal sedikit.


Selepas 4 jam- alhamdulillah, kek naik dengan cantik. Saya pernah buat kek ini dengan resepi yang lain tapi keknya pun naik cantik hingga pecah ditengahnya- keknya moist, tidak kering.


 Senang  potong dan rasanya pun sedap.




Alhamdulillah next time hendak cuba lagi.


Sekian.