Monday, 29 August 2022

ENTRI 222 : PERCUBAAN MENANAM POKOK BUNGA ROS

29 Ogos 2022.

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ


oh bunga ros
yang harum nan mewangi
merah putih warnamu menawan hati

oh bunga ros
kau sekuntum yang terbilang
kau membikin bahaya segala kumbang

oh bunga ros
jaga diri berhati-hati
banyak kumbang ingin datang menghinggapi

( Lagu dendangan S M Salim )

Bunga ros ini, walau tidak merah dan tidak putih, tetap menawan dimata saya. Selalu dikait dengan simbolik kesucian cinta, semangat dan keanggunan seorang perempuan. Begitulah.



Pokok Ros ada nilai khasiatnya. Bau wanginya menenangkan jiwa.


Sudah sekian lama memendam keinginan untuk menanam si cantik lawa ini. Bukan tidak pernah cuba tapi selalu saja tidak berjaya. Tangan panas. Pagi tadi, rezeki saya terdengar jiran mencantas pokok  rosnya. Saya masih tetap mahu mencuba. Kali ini, kaedah berbeza.


Saya bukan cerdik pandai dalam tanam menanam. Sudah tentu perlukan guidance yang banyak dikongsi di alam maya. Pilih lah mana-mana cara. Yang penting usaha.


Jika mereka yang serius, sudah tentu akan ke nursery mencari tanah dan baja yang sesuai. Saya guna apa saja yang ada disekeliling. Tanah pon mencari dikawasan kejiranan saja. Harapnya sesuai lah. Masukkan saja tanah kedalam bekas minuman plastik. Paling bagus jika dapat gunakan tanah yang bercampur dengan cocopeat (sabut kelapa) supaya dapat kekalkan kelembapan tanah.


Kerat dahan pokok yang agak matang secara menyerong. Buang daun-daun yang berlebihan.


Buang kulit hujung dahan supaya mudah menyerap penggalak akar. Saya gunakan penggalak akar semulajadi iaitu jus dari bawang merah. 


Masukkan hujung keratan kedalam bawang dan pusing-pusingkan supaya jus bawang meresap secara sekata. Boleh juga beli serbuk penggalak akar dikedai nursery.


Rehatkan keratan-keratan ini selama 2 minit untuk sedikit kering.


Masukkan keratan kedalam bekas cawan yang telah dimasukkan tanah. Tekan untuk padatkan tanah.


Tambah tanah jika perlu. Kemudian padatkan kembali.


Tuang sedikit saja air untuk melembabkan tanah. 


Tumbuhlah kamu dengan mekar. Tumbuhlah, dan hasilkanlah bungamu yang indah. Terima kasih kerana membekalkan oksigen. Terima kasih kerana sentiasa bertasbih kepada ALLAH. Sesungguhnya kejadian kamu ini tidak sia-sia.

Kena juga bercakap-cakap dengan pokok ini.


Masukkan pasu kedalam plastik dan ikat dengan getah pada bahagian bawah cawan supaya udara dalam plastik tidak dapat keluar.


Tulis tarikh sebagai rujukan. Ia perlu disimpan selama SEBULAN SETENGAH ditempat yang REDUP..kerana apabila pokok dibungkus tanpa ada sebarang pengudaraan, maka wap akan terhasil didalam plastik. Jika diletak ditempat panas, dikhuatiri akan mengeringkan wap.

Make sense,right?


Ini projek 3 hari lepas, keratan dari pokok limau purut. Gambar ini diambil sebelum disarungkan plastik. Jika berjaya menumbuhkan akar dan hasilkan pucuk baru, saya berniat untuk agih-agihkan saja pada jiran tetangga. Cuma ada kerisauan samada saya memilih dahan yang terlalu tua atau boleh saja begitu. Harap-harap menjadi lah. Saya juga ada menanam keratan dahan pokok durian belanda.


Kelihatan wap sudah terhasil untuk projek saya 3 hari lepas. Ia akan sentiasa berwap sepanjang proses pengeluaran akar. Semoga semuanya menjadi.


Selain plastik, boleh juga gunakan botol air mineral 1.5 liter. Konsepnya sama saja. Cuma perlukan tanah dimasukkan kedalam plastik dan dililit kemas menggunakan tali pada separuh keratan dahan. Tanah perlu lembab. Jika boleh,gunakan -plastik aiskrim Malaysia supaya hasilnya nanti akan dapat dimasukkan kedalam botol dengan mudah. Botol mesti ditutup untuk penghasilan wap. Untuk proses keluarkan pokok nanti, botol perlu digunting.

Jika terhasil lah pucuk baru dan akar..maka  akan keperingkat seterusnyalah kita. Perlu dibaja (paling serasi dengan baja tahi ayam). Paling mencabar adalah pokok ini mudah terkena penyakit. Ah sudah!

Berhenti berangan.Yang satu ini pon belum tentu lepas.

Berangan tidak salah. 

 Ini gambar bunga ros jiran. Mana tahu suatu hari nanti,halaman saya pula berseri-seri.



Saya akan update progress pokok semaian diatas.

*****

Perkembangan setelah beberapa minggu:


Keratan pokok limau purut disemai pada tarikh 26 Ogos 2022. Saya jengah-jengah juga dari luar plastik. Hari ini sudah hampir sebulan, saya dapat bayangan keratan ini tidak menjadi lalu saya buka sajalah.


Mungkin saja keratan yang saya pilih sudah terlalu tua atau mungkin saja ada sebab lain. Masih ada dua lagi keratan pokok ini yang saya masih menaruh harapan untuk tumbuh tunas kerana masih ada masa untuk menunggu.


Nasib kurang baik juga untuk keratan pokok durian belanda. Kesemuanya mati. Jelas teknik ini kurang sesuai, mungkin. Pokok ini lebih mudah hidup dengan semaian biji benih.
Mungkin.


Ini keratan pokok yang saya ambil dari rumah mak dikampung. Tidaklah saya tahu nama pokok bunga ini. Walaupun baru 10 hari, mata tunasnya sudah pon keluar. Seronok betul melihatnya. Saya bungkus kembali cawan plastik ini.


Disebabkan saya ini sejenis tidak tahu sabar, maka harini setelah berusia 15 hari, saya buka semula dan alihkan ke pasu padahal belum cukup tempoh yang sepatutnya iaitu sebulan setengah ( 45 hari) untuk proses keluar akar dan tunas. Apa salahnya, jika sudah terbukti cara ini berhasil untuk pokok jenis ini.


Hari ini hari yang ke 17 keratan pokok Bunga Raya ini disemai. 
Banyak mata tunas baru yang keluar. 
Begitulah.

SEGALA SESUATU BERTASBIH KEPADANYA TETAPI DENGAN CARA YANG TIDAK DIKETAHUI. 

Sekian.

(Dengan ini dimaklumkan, kesemua anak pokok ros yang disemai diatas telah meninggei. Tiada rezeki nampaknya. Cuba lagi dimasa akan datang).


Thursday, 6 August 2020

ENTRI 221 : KUIH BAKAR GARING.

6 hb Ogos 2020.

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ


Alhamdulillah.
Saya sejenis yang berkobar-kobar. Kalau buat sekali tidak jadi, pasti akan ada percubaan kedua.
Seperti biasa, resepi jumpa dalam internet.


RESEPI KUIH BAKAR GARING.

2 cawan tepung gandum
2 cawan santan (agak pekat)
1 cawan gula pasir (keluarkan 2 sudu)
3 biji telur
2 sudu besar marjerin

8 helai daun pandan
           1 cawan air               
( kisar bersama-tapis)

1/2 sudu kecil garam
1 penutup esen vanilla
bijan secukupnya

Pilihan:
Pewangi, samada serbuk kulit kayu manis, sebatang serai atau daun limau purut.
(Jika tidak letak pon tidak mengapa).
Boleh juga ganti esen vanilla dengan esen pandan.

Panaskan oven dengan suhu 180c selama 20 minit.

Tapis adunan sebelum dituang kedalam acuan.

Ceritanya begini. 
Pada percubaan pertama, saya guna resepi ini juga tetapi jumlah tepung gandumnya ditulis cuma 1 cawan.
Kita ikut sajalah.
Guna acuan suka-suka hati.
Gris dulu dengan marjerin.
Semasa dalam oven, kuih jadi tembam. Sukanya! 
Tapi sebaik dikeluarkan- ia mengecut.
Jadi tidak cantik. Lembik pula.

Yang dalam loyang bulat itu menjadi jugalah.
Isi kuih walaupon sedap rasanya- tapi sangat lembut dan perlukan masa yang agak lama untuk terbentuk cantik bila dipotong.


Kuih ini sangat lembut.
Tidak menepati apa yang saya mahukan.
Disebabkan tidak nampak garing dipermukaan, saya ikut saja cadangan dalam internet untuk menaikkan suhu ke 200c pada 15 minit terakhir.
Total masa saya ambil adalah 1 jam 15 minit.
Setelah dibiarkan 3 jam, kuih dapat dipotong dengan cantik tapi permukaan luar kuih tidak
rangup.


Saya mahu kuih yang luarnya rangup!

Saya skrol gambar-gambar Kuih Bakar dalam internet.
Yang garing, mostly yang guna acuan pecah lapan.

Arahan dikeluarkan.

ORDER ACUAN !
Acuan yang dibuat dari tembaga lagilah mahal. Beratus jugalah. Tapi tidak apa. Yang ini pon sudah mencukupi.Bila acuan yang dibeli online ini sampai, macam-macam agenda timbul dalam kepala. Buat semula Kuih Bakau- Try Kuih Bingka Ubikayu. Hendak cuba Kuih Bahulu!Hari ini, saya buat Kuih Bakar- kali kedua.Kali ini- tambah amaun tepung gandum dari 1 cawan kepada 2 cawan. Yang lain, sama sahaja. Cuma saya panaskan acuan pecah lapan itu diatas dapur gas dahulu dan tuangkan dua sudu besar minyak masak. Bila sudah panas, barulah tuangkan adunan yang sudah dikisar dan tapis terus kedalam acuan ini sebelum ditransfer kedalam oven pula.
Semakin menghampiri sejam, kuih makin garing. Jadi saya ambil keputusan untuk kekalkan suhu dan cukup berpuas hati dengan hasil kali ini.
Kuih saya keluarkan setelah membakar selama 1 jam 5 minit. Sangat berpuas hati dengan hasil kali ini.
Suka betul. Tidak sabar hendak merasa tapi tunggulah hingga 15 minit keatas. Tidak ada nikmatnya makan ketika makanan terlalu panas hingga lidah pon boleh melecur kan.(Sebenarnya saya buat setengah adunan saja. Itupon sesudah masuk acuan, masih ada lagi baki. Hendak tuang masuk dua acuan besar, tidak muat oven pula. Dilema betul.)*****Rasanya sedap!!Tidak terlalu manis. Garing. Rangup diluar.

Alhamdulillah.
Next time, saya mahu masukkan serai wangi pula.Sekian.Semoga perkongsian membawa manafaat.


Sunday, 19 July 2020

ENTRI 220 : BINGKA UBIKAYU.

19hb. Julai 2020
Bismillahirrahmanirrahim.


Niat asal ke kedai runcit, hendak cari bawang besar yang sudah habes. Sebaik sampai, terpandang sekotak ubikayu yang diletak diluar.
Tangan laju mencapai tanpa berfikir.
Tidak mahal, 3 ketul cuma tiga ringgit lebih.

****
Memang suka kuih ini.
Saya bayangkan, lebih gelap. Bila sudah jadi, cerah juga warnanya.
Yang penting, rasa tetap sedap!
Resepi banyak dalam internet- pilih saja yang mana berkenan dihati.


RESEPI BINGKA UBIKAYU.

4 cawan ubikayu parut
2 cawan santan
2 biji telur
1 cawan gula merah
4 sudu besar gula pasir
4 sudu besar minyak
Secubit garam

CARA-CARA MEMBUATNYA.

Susah juga hendak anggarkan sebanyak mana yang perlu bagi mencukupkan 4 cawan ubi yang siap diparut. Jadi saya main agak-agak sajalah.
Yang saya beli ini, ubikayu putih- memang sesuai untuk buat kuih muih, pengat dan tapai berbanding ubikayu kuning yang lebih sesuai dibuat kerepek.
Begitulah.
Jangan lupa panaskan oven pada suhu 180c selama 20 minit.


Gunakan peeler untuk buang kulit luar.


Ubikayu sejenis karbohidrat, jadi ia dapat bekalkan tenaga, mengandungi serat ,vitamin dan mineral yang bagus untuk tubuh badan.
Jika diambil secara tidak berlebihan- tetap beri manafaat.


Macamana ini...saya tidak ada pemarut yang sesuai.
Tapi Tuhan bagi akal kan.
Pemarut jenis ini saja yang ada, jadi guna sajalah.


Kemudian, transfer ke mesin pengisar. Mulanya cuba juga untuk tidak letak air tapi mesin  tidak mahu jalan pula. Jadi letak jugalah sedikit, asalkan ia berputar.


Sebab sudah letak air, kenalah tapis untuk keluarkan air itu.


Dengan tidak disangka, pemarut pula tiba-tiba buat hal...aduh!
Mungkin mata parutnya rosak bila terparut bahagian ubi yang agak keras.
Jadi saya terus saja gunakan chopper. Selepas itu, tetap kena masukkan kedalam mesin pengisar seperti sebelumnya.
Banyak betul dugaan.


Seperti biasa, tapis untuk buang airnya. Selepas itu, sukat untuk mencukupkan 4 cawan.
Ok bab ubi parut selesai.


Kita semak resepi semula.
Lupa pula sertakan garam dalam gambar dibawah.


Mudah saja- satukan semua dan gaul rata-rata dengan sudip kayu.
Gula merah yang saya gunakan ini,bukan timbang kilo macam yang banyak dijual dikedai runcit. 
Jika guna yang itu, kena masak dulu dan perlu ditapis kerana ia berhampas.
Yang ini, gula merah stail baru- teksturnya lebih menyerupai gula perang, jadi saya terus guna tanpa perlu dimasak terlebih dahulu.


Tuang dalam loyang yang sudah disapu dengan minyak. Lebih selamat jika alaskan dengan baking paper agar kuih tidak melekat dan mudah dikeluarkan nanti.


Suhu pon satu hal juga. Ada yang guna suhu 150c. Ada yang 200c.
 Setelah baca banyak resepi- saya agak-agak sajalah.
Saya bakar pada suhu 180c dan bercadang untuk naikkan suhu ke 200c pada minit-minit terakhir.


Saya gunakan loyang 8 inci x 8 inci. Adunan mentah dalam gambar diatas hanya memenuhi 3/4 loyang. Ada lebih kurang seinci lagi untuk memenuhi loyang.
Setelah 30 minit, saya pusingkan loyang.
Kuih naik dengan cantik.
Suhu dinaikkan sehingga 200c bila yakin kuih sudah masak bilamana  sudah mula merenggang dari loyang.
Sebenarnya saya mahukan kuih yang berkerak garing diatas.
Sentiasa perhati- gambar dibawah adalah semasa adunan sudah dibakar menghampiri satu jam. Saya biarkan lagi sehingga permukaan atas agak gelap.


Saya hanya berpuas hati setelah dibakar selama 1 jam 18 minit.
Keluarkan dari oven dan sejukkan dulu.
Saya baca- kena dibiar selama 3 jam sebelum dipotong.


Potong sebelum tiga jam?
Bahagian dalamnya masih lembut dan belum set dengan baik.
Potong pon jadi sukar.
Hendak keluarkan dari loyang pon satu hal. Macam melekat saja.
OK- make sence
Kena tunggu juga 3 jam!


Setelah sejuk, potongan lebih kemas dan elok.

Kuih ini cukup rasa dan manis-manis sedang.
Walaupon begitu,saya mengharapkan kuih ini keras sedikit.
Mungkin kerana saya masukkan sedikit air sewaktu mengisar.
Sedikit sebanyak bertambah cairan.
Sepatutnya saya kurangkan santan sebanyak setengah cawan manakala kepekatan santan pula perlu ditambah untuk balance kan semula.

Atau cara yang lebih efektif- tapis gunakan penapis kopi yang diperbuat dari kain- bolehlah perah semaksima boleh.
Apapon, ia masih lagi menepati citarasa saya, alhamdulillah.








Pengalaman yang mengujakan.

Semoga perkongsian membawa manafaat.

Sekian.