Thursday, 25 September 2014

ENTRI 79 : NASI AYAM KU.

Bismillahirahmanirrahim....


" Teringin nasi ayam."
Apa susah.
Kita google.
Macam-macam versi ada.

Lepas itu, kita olah cara kita- macam resepi itu kita yang punya.
Gitu.

RESEPI NASI AYAM KU.


AIR REBUSAN :

Seekor ayam - potong ikut saiz yang disukai.
3 1/2 - 4 liter air 
4 butir bawang putih ( diketuk )
3 inci halia ( ketuk )
1/2 labu bawang besar ( hiris )
Rempah 4 sekawan
1 ketul kiub ayam
1 sudu besar garam halus

( Masukkan air, bawang putih, halia dan rempah 4 sekawan kedalam periuk- tutup agar air cepat mendidih.
Setelah mendidih, masukkan ayam dan rebus selama 20 minit. Kemudian, masukkan 1 kiub ayam dan 1 sudu besar garam halus ) - tutup api - Keluarkan ayam, toskan. SEJUKKAN air rebusan.

Jika kita gunakan beras basmathi- tidak memerlukan air yang banyak. Sukatan airnya adalah lebih sedikit sahaja dari sukatan beras. Cara masaknya pun sedikit berbeza tapi hasilnya memang bagus..
Saya guna beras biasa, sukatan air adalah seperti mana kita masak nasi biasa. Jadi adalah penting untuk kita gunakan cairan bersuhu bilik.

Anggap saja kita masak nasi biasa. tapi cuma airnya guna air rebusan ayam. Itu sahaja.


NASI AYAM

5 cawan beras biasa ( cuci dan tos )
7-8 cawan air rebusan ayam ( sejuk )
3 sudu besar marjerin atau minyak sapi.
3 butir bawang putih ( tumbuk halus )
2 inci halia ( tumbuk halus )
1/4 bawang besar ( hiris )
2 sudu besar sos tiram
2 helai daun pandan

Tumiskan bawang putih, halia, bawang merah dengan marjerin hingga garing, masuk pula daun pandan dan sos tiram. Tutup api. Sejukkan. Masukkan 1 cawan air rebusan ayam dan gaul rata-rata agar semua kerak  dapat dilarutkan. Seterusnya - masukkan beras kedalam periuk nasi eletrik. Masukkan air dari bahan tumisan dan tambah lagi air rebusan yang telah disejukkan tadi. Sukat dengan jari sepertimana kita masak nasi biasa. Nasi akan masak dalam masa 1/2 jam.
( boleh skip sos tiram jika tidak suka)

AYAM.

1 ekor ayam yang telah direbus dan ditoskan tadi.
3 butir bawang putih ( tumbuk halus )
1 inci halia ( tumbuk halus )
3 sudu besar kicap lemak manis
2 sudu besar sos tiram
1 sudu besar madu

( Masukkan ayam kedalam satu bekas dan perapkan dengan bahan-bahan diatas sekurang-kurangnya 1/2 jam. Ia boleh dibakar dalam oven atau digoreng secara deep fry )

SUP AYAM

Lebihan dari air rebusan tadi dipanaskan semula. Tambah lagi air jika perlu. Tambah bahan lain ikut kesesuaian. Saya tambahkan kentang dadu, telur puyuh (rebus dulu) dan tomato. Tambah serbuk lada sulah jika suka. Begitu juga bawang goreng, daun sup dan daun bawang. Sesuaikan ikut kesukaan keluarga.

KUAH CILI.

7 batang cili hidup merah ( hiris )
5 butir bawang putih
3/4 cawan air masak atau air rebusan ayam tadi.
1/2 sudu besar garam halus
2 sudu besar gula pasir.
1 biji limau kasturi
3 sudu besar sos cili/ tomato

Masukkan cili, bawang putih, air, garam dan gula kedalam blender- blend hingga hancur. Keluarkan dan perah asam limau dan gaulkan dengan sos. Rasa gula garamnya. Tambah jika perlu. Masak kuah cili untuk tahan lama.

KUAH KICAP.

10 batang cili padi.
1/4 cawan kicap
3/4 cawan air rebusan ayam tadi.
5 butir bawang putih

( Blend semua bahan- rasa samada perlu tambah gula/ garam . Ada yang masak sebentar dan pekatkan kuah dengan sedikit tepung jagung yang dibancuh dengan sedikit air. Tapi bagi saya- kicap dengan cili api sudah cukup sedap. Ikut citarasa masing-masing )

SAYURAN.

Sayuran yang sesuai untuk hidangan ini adalah salad, timun dan tomato.

Mari kita tengok macamana kelam kabutnya saya masak nasi ayam ini.
Buat air rebusan:


Bahan-bahan mentah dan rempah untuk merebus ayam. Halia dan bawang putih perlu diketuk manakala bawang besar hiriskan saja. Untuk rasa dan aroma kita perlukan rempah empat sekawan.


Masukkan bahan-bahan diatas bersama air dan tutup. Biar ia mendidih baru masukkan ayam. Ayam ini perlu direbus selama 20 minit.


Setelah 20 minit, masukkan kiub ayam,biarkan mendidih sebentar dan tutup api. Keluarkan ayam dan toskan. Keluarkan halia. Masukkan 1 sudu besar garam halus. Sejukkan.


Siapkan pula bahan perapan untuk ayam. Tumbuk halus bawang putih dan halia. Masukkan campuran kicap lemak manis, sos tiram  dan madu yang telah digaul rata. Sebatikan dan perap sekurang-kurangnya 1/2 jam.
(asingkan beberapa bahagian ayam untuk dibuat sup)


Saya gunakan  cawan plastik ini untuk sukat 5 cawan beras.


 Ini pula bahan tumisan untuk tanak nasi. Boleh tumis dalam kuali atau pun periuk. Bila sudah tumis bolehlah disejukkan sebentar. Kerak-kerak yang terbentuk sangat flavourful, masukkan 1 cawan air rebusan ayam bagi melarutkan ia. Setelah itu, masukkan semua bahan ini kedalam periuk nasi.


Masukkan pula air rebusan ayam yang sudah cukup perisanya itu. Oleh kerana saya sudah letak garam dan kiub ayam dalam air rebusan, jadi tidak perlu tambah sebarang perasa. Sukat air macam biasa dan tanak.- 1/2 jam kemudian sudah masak.


Buat kuah cili pula. Blend  cili hidup dan bawang putih. Masukkan juga gula/ garam dan blend dengan 3/4 cawan air masak atau air rebusan ayam tadi.


Keluarkan dan perah limau kasturi. Masukkan pula sedikit sos. Boleh juga kalau panaskan atas api sebentar. (orang dulu-dulu suka masuk cuka tapi saya suka letak jus limau kasturi ). Rasa gula/ garam dan tambah jika perlu. Kuah cili siap.


Goreng ayam dengan minyak yang banyak. Ayam ini sudah pun masak, tidak perlu goreng terlalu lama.


Blend cili padi, kicap, air rebusan ayam, dan bawang putih. Boleh panaskan sebentar atas api.


Ini pula bahan untuk sup ayam. Saya tambah telur puyuh yang sudah direbus, kentang dadu dan tomato. Didihkan baki air rebusan ayam, masuk kentang dahulu. Rebus 10 minit agar kentang empuk baru masuk tomato dan telur. Rasa cukup rasa masinnya. Tambah sedikit gula dan 1 sudu besar lada sulah.


Sup sudah siap. Lebih indah kalau ada taburan dedaun sup dan daun bawang tapi anak-anak saya kurang suka pula.


  Sayuran segar untuk dihidangkan bersama..


Nikmati homemade chicken rice.



   Nasi ini  memang sedap, menepati citarasa.


Gandingan untuk dinikmati bersama.


Cuaca mendung.
Pekena pulak nasi ayam.



Sekian.











Wednesday, 24 September 2014

ENTRI 78 : DRAMA.

Bismillah......


Membaca suratkhabar bersaiz kecil itu membuat saya letih. Banyak sungguh muka baru yang tidak dikenali. Gambar mereka memenuhi setiap helaian. 
Hendak kenal macamana?
Tengok drama tv pun tidak pernah!

Dulu adalah.

Tiada magnet yang buat saya melekat.

Saya pernah ikuti sebuah drama dari tanah seberang yang mencipta fanomena (yang ceritanya pasal si bawang itu).
Saban masa ketika menonton, mulut saya akan berkata sekurang-kurangnya begini
 "...bodoh betul hero ini, harap muka saja lawa..."
atau
 " ...eee geram betul, apasal la bodoh benar.."
atau
 "..sakit jiwa betul tengok dia ini, lembab!"

Apa yang positif? 

Berjaya mendapat rating paling tinggi, berjaya juga meraih kata makian dan cacian.

    " Kata cerita bodoh, tapi tengok juga.." komen suami.
Terasa diri sendiri yang bodoh.
Pilihlah drama atau apa saja rancangan yang bisa mendidik.
Sebaik cerita itu tamat, saya jadi serik menonton cerita melayu mahupun dari tanah seberang. Banyak sangat ' meleweh-leweh '.

Sehinggalah suatu hari.
Saluran TV2- petang-petang.

Saya termengadap tv. Sebuah cerita yang sudah masuki episod ke 2.
Melekat hingga habis. Tidak sabar pula menunggu episod seterusnya, malah rasa kesal kerana tertinggal episod pertama!. 
Ceritanya sangat bagus, pantas, padat dan sangat mendidik, walaupon hero bermuka poyo dan heroinnya berwajah toya- lakonan mereka kelas A!
 

Inilah drama Korea pertama yang saya tonton.
Ia bagaikan cinta pertama.
PASTA.

Saya bagi lima bintang.
Sejak itu saya menjadi pengikut tegar drama Korea.
Sesuatu diluar jangka.
Kebanyakannya memang high quality.
Paling nyata- make-up artis wanita sangat natural.
Tidak ada bulu mata palsu mahupun eye shadow bertingkat.

Hari ini.
Saya geram kembali.

Juan Miguel (hero) dikhabarkan sudah sampai. Dan Maricuay (heroin) dari tadi sebak bercakap sendirian betapa dia sangat mencintai Juan Miguel, betapa dia mahu kembali kepangkuan hero pujaannya, sebaik Juan Miguel merapati dan memberitahu yang dia mahu keluar negara, boleh pula heroin muka lawa terkunci saja mulutnya.
Cakap sajalah. Cakap! 
ee..kenapa engkau ini bengap sangat eee..!

Cerita Mexico ini pon sama juga.
Terasa banyak ke'bodoh'an hero dan heroin yang muka cantik-cantik belaka.

Kesimpulannya..?

Baik saya layan drama Korea.


 Antara cerita yang bagus dan mendidik -BRAIN- jalan ceritanya sangat pantas. 
Ia beri gambaran sebenar situasi di hospital bedah otak. Operation theatre nya adalah betul, canggih lagi moden. 
 Penonton seperti ditarik masuk kedunia doktor bedah saraf walaupun terkebil terkatub mata sebab takut hendak tengok beberapa scene. 
Berbeza betul kriteria memilih rupa hero drama Korea ini. Hero muka tongkang pecah pon, tetapi penghayatan memang terbaik.


Yang ini pon bagus. 
MY KIDS GIVE ME HEADACHE.
Ha memang pun.
Anak-anak kerjanya membuat si ayah pening dan membuat kepala si ibu berpusing.
Kan.

Setia menunggu drama bersiri baru pula.

Sekian.

Tuesday, 23 September 2014

ENTRI 77 : KUIH KU

Bismillahirahhamirrahim......


Kuih Ku.
Bukan bermaksud kuih saya.

Ia ada bau-bau bacang dengan kuih koci dan badak berendam.
Yang membezakan cuma inti.
Merupakan kuih tradisional orang  Melayu.

Ikut cara saya.


RESEPI KUIH KU.

1 cawan tepung pulut
1/2 cawan keledek / labu / kentang ( dadu )
100 ml air ( ikut keperluan )


INTI KACANG HIJAU.

1/2 cawan kacang hijau ( rendam 2 jam )
3 cawan air
1/4 cawan gula pasir
2 sudu besar gula merah
2 sudu besar kelapa parut putih
1 1/2 sudu besar tepung gandum


  Rendam kacang hijau selama 2 jam supaya senang empuk bila direbus nanti.


  Perlu tepung gandum sebagai agen pelekat.


Gula pasir, adjust ikut kesukaan. Biar manis sedikit kerana bila kuih siap dikukus, rasa intinya akan menjadi sedikit tawar.


Air sebanyak 3 cawan untuk merebus hingga capai tahap kelembutan kacang yang dimahukan. Tambah air jika mahu inti kacang yang lebih lembut/ hancur.


Masak kacang hijau. Masuk beberapa helai daun pandan supaya jadi lebih wangi.
Rebus selama 35-45 minit- selalu periksa samada sudah cukup lembut atau tidak. 
Setelah itu masuk gula, kelapa parut dan tepung gandum-gaul rata-rata,. Biar ia kering dan tutup api. 
Sejukkan.


  Untuk kulit luarnya, kita perlukan secawan tepung pulut.


Air mengikut kesesuaian. Tambah sedikit-sedikit, sehingga mencapai kelembutan doh yang dimahukan.


Kurang gemar makan kuih dari tepung pulut sebab liat, sebab itu saya selalu tambah 'anasir' lain. Kadang-kadang kentang lenyek. Kali ini guna keledek sebagai agen pelembut.


Rebus ubi keledek oren, akan empuk dalam masa 15 minit.


Lenyek semasa masih panas.


Campurkan tepung pulut. Gaul rata dengan garfu atau boleh juga gunakan tangan yang bersih.


Masuk air sedikit-sedikit. Gaul rata-rata. Uli sampai jadi doh yang lembut dan tidak melekat ditangan.


  Doh lembut sudah pun siap.


  Saya bahagi kepada 3 bahagian dan letak pewarna.

                                        


Saya tiada stok daun pisang, jadi saya gunting daun pandan yang lebar, dalam ukuran 2 inci- muat untuk letak kuih. Sapu dengan sedikit minyak. 

Panaskan air dalam periuk kukusan.


Gunakan penyepit seperti ini untuk membuat corak. 
Mak saya kata, orang dulu-dulu buat corak kuih ku menggunakan upih pinang yang telah dibersihkan. Caranya- masukkan kuih ditengah, bungkus dengan upih dan putar bahagian hujung kanan dan kiri, corak jalur akan terbentuk dengan cantiknya.
(hendak kena cuba tu...)


  Cubit sedikit doh- jangan besar sangat kerana kuih ini memang kena dalam saiz yang comel-comel.


 Buat lubang dan isi inti kacang yang telah disejukkan. Saya ada jumpa kuih ku berinti keledek. Sedap juga.


Tutup semula kemudian gelek-gelek atas dua tapak tangan supaya permukaan jadi licin.



Sepit mana-mana yang difikirkan sesuai.


         Buat 2 garis dulu kemudian 2 garis lagi diarah bertentangan.



 Buat pula garis pada setiap bucu- kulit tepung tidak boleh nipis sangat supaya kuih dapat disepit dengan cantik. 







   Sebelum dikukus.


Susun dalam loyang supaya cantik bentuknya. Jika letak terus atas kukusan tanpa loyang, kuih akan melebar dan kurang menarik (saya sudah cuba). 
Susun dalam jarak yang sesuai kerana apabila masak, ia akan mudah melekat antara satu sama lain.


Kukus selama 10 minit. Bungkus penutup periuk kukusan dengan kain bersih supaya air wap tidak jatuh keatas kuih.


    Setelah masak, kuih jadi lebih berkilat dan bersinar.






Bila sudah betul-betul sejuk, baru ia tidak melekat antara satu sama lain.


Seronok dapat buat kuih lama-lama ini.

Tidak dapat corak upih pinang, saya guna cara sendiri buat jalur memanjang, tekan dengan pisau potong kuih.

  






Meriah betul!



Sekian.