Tuesday 20 December 2022

ENTRI 233: PERJALANAN BERSAMA LCNS

 بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ.


LOW CARBOHYDRATE, NO SUGAR.

Sesungguhnya tidak semudah menyebutnya.

Suatu ketika sewaktu mendapat perkhabaran jiran seusia dipotong kedua belah kaki hingga paras lutut, malah perlu menjalani dialisis betul-betul membuat saya termenung keinsafan. Dua orang lagi pula baru meninggal juga akibat komplikasi kencing manis. Saya mengira-ngira. Jiran mana yang ada darah tinggi. Jiran mana yang ada kencing manis. Sedihnya, kebanyakan mereka jauh lebih muda daripada saya.

Saya kira saya juga masih belum berada dalam zon selamat walaupon memang makan dalam portion yang kecil sejak muda. Saya 'sweet tooth person' juga. Itu merisaukan. Tetapi saya jenis berdisiplin tinggi. Saya tahu, saya perlukan 'guidance' yang betul. Pencarian menemukan dengan satu group yang sangat komited dengan disiplin ketat - seolah menyeru: Tiada kompromi dalam menangani diabetes. Kawal ketat supaya kamu terus bertahan. Buang terus gula yang tiada langsung membawa kebaikan pada tubuh melainkan kemusnahan dalam diam. Say no to apa jua bentuk kemanisan!

Saya baca.

Fahamkan.

Hadam.

Saya baca semua, setiap hari. Semua penjelasan adalah tepat dan semuanya berdasarkan fakta. Kesimpulannya:

BUANG GULA TERUS. 

AMBIL SEDIKIT SAJA KARBOHIDRAT (untuk tenaga) dan LEBIHKAN SAYURAN.

MAKAN PROTEIN DAN LEMAK SECUKUPNYA.

JIKA ANDA PESAKIT-WAJIB MAKAN UBAT (yang dibekalkan doktor).

SENAMAN IKUT KEMAMPUAN.

MAKAN MALAM AWAL (7 malam)

TIDUR MALAM AWAL.

SELALU CHECK BACAAN GULA (untuk pesakit- gunakan GLUCOMETER)

JAUHI PRODUK/SUPPLEMENT OVERCLAIM

Walaupon saya bukan pesakit diabetes, tidak salah saya ikut.

Masak seperti biasa. Nasi masih boleh ambil. Low carb bermaksud kurangkan karbo. Orang yang tidak cerewet seperti saya boleh saja ikut. Tanpa nasi yang banyak pon kita boleh kenyang. Asalkan makan. Pada saya, tidak guna makan kalau masih lapar. Itu bermaksud, cara kita salah. Fahamkan betul-betul fungsi protein(lauk) dan sayuran (serat).


Menu pertama: Sebagai permulaan, saya ambil 4 sudu besar nasi (sepatutnya 3 sudu). Saya masak kari sayur (terung, bendi dan tauhu). Sumber protein adalah tauhu dan telur rebus. Tambahan- salad. Masakan tiada gula. InsyaAllah LULUS.
ULASAN: Sedap dan kenyang.


Hari kedua : Masih ambil 4 sudu nasi, begedil tauhu, sambal tomato bersama tempe dan sayur kacang panjang bersama telur. Sedikit hirisan timun.
ULASAN : Sedap lagi kenyang.
Disebalik usaha membuang gula, saya banyak berfikir, bagaimana mahu sambal sedap tanpa gula. Bawang dan tomato dicaremalised. Cili hidup dan cili padi (ditumbuk kasar) jika digoreng garing juga akan ada kemanisan tersendiri. Sambal jadi sedap dan boleh diterima tekak.


Menu hari ketiga : Nasi 4 sudu, sambal tomato bersama ulaman timun dan salad. Saya usaha cari resepi telur kukus:
2 biji telur, tauhu, cendawan, daun ketumbar, lada putih dan garam (satukan-kukus 10 minit). Boleh juga letak bahan lain ikut kesukaan seperti isi ayam, udang dan lain-lain sayuran.
ULASAN: Kenyang bahkan tidak habes.


Menu hari ke empat : Nampak gambar memang terbaiklah kan.Nasi kerabu bersama ikan keli percik bersama terung dan ulaman. Nasi itu berjaya dikurangkan ke 3 sudu besar. Kuah percik tanpa gula memang meresahkan. Tapi kita jalan terus.
ULASAN : Susah hendak habis. Kerabu nampak sedap tapi tawar. Demi menjaga peraturan LCNS, saya telan juga perlahan-lahan. Dalam otak letak tagline: Fikir nutrient. Fikir khasiat. jangan fikir sedap.
Gitu.


Mental kena kuat. Benda boleh sedap, tapi kita letak tepi demi merubah cara makan yang lebih sihat. Bukankah itu satu peperangan dalaman yang sangat hebat??


Menu hari ke lima : Nasi 3 sudu besar bersama tomyam ayam bersama sayur cendawan tiram, tomato dan saleri. Letak juga daun ketumbar. Untuk maniskan sup setakat mana yang terdaya, saya saute dulu bawang merah dengan cili padi yang ditumbuk, termasuk tomato yang didadu dengan sedikit minyak. Bagi saya,ia membantu sedikit sebanyak dari segi rasa. Letak 3 batang serai, halia dan sedikit lengkuas diketuk. Akhir sekali, perah sedikit limau nipis.


Tomato rose garnish. Kitakan makan dengan mata dulu. Bila makanan nampak cantik dan menyelerakan, automatik akan nampak sedap.
ULASAN: Hirup saja sup campur nasi. Lama-lama habes.


Menu hari ke lima : Nasi 3 sudu bersama masak asam rebus sayur (terung dan bendi). Protein- ayam perap rempah. Tambahan, daun salad.
ULASAN : Masak asam rebus kurang rasa (saya tidak guna perasa) tapi again - banyakkan fikir khasiat berbanding rasa. Alhamdulillah, kenyang.



Menu hari ke enam : Nasi lemak Cauliflower. Mula-mula buat, macam tidak nampak harapan hendak jadi. Saya alter sana sini sampai ok. Tetapi bila suapan pertama bersama sambal dan lain-lain, memang rasa macam nasi lemak betul. Tidak sangka juga. Tetapi biasalah, nasi lemak bergantung besar pada sambalnya. Saya cuba create macam-macam cara untuk sedapkan sambal yang guna cili kisar. 
Disini saya sertakan olahannya, pada saya rasanya not bad.
 

NASI LEMAK CAULIFLOWER.

Cauliflower (masuk food processor)
Dalam periuk panaskan- santan, hirisan halia/bawang, daun pandan dan garam. Masukkan cauliflower dan masak hingga lembut.
Boleh tambah sedikit minyak kelapa jika suka.
(Semua bahan : Agak-agak)

***
SAMBAL TAHI MINYAK.

Cili kisar
Bawang merah dan putih (kisar).
Tahi minyak.
Ikan bilis (rendam sebentar dan tumbuk kasar)
Buah keras (masuk air fryer selama 15minit, suhu 160c.) Bila sudah sejuk, kisar halus jadi serbuk. Kadang-kadang, ia jadi basah sedikit- boleh terus guna. Jika masih ada yang tidak hancur, keluarkan dan tumbuk dengan lesung.
Air asam jawa, garam secukup rasa.
( Proses masak-sama macam buat sambal biasa)
Amaun: Agak-agak.

ULASAN : Cornfirmlah habis. Kenyang dan puas hati.
Nanti saya share cara saya buat tahi minyak.


Menu ke tujuh : Nasi goreng ikut resepi group #KELAB PESAKIT DIABETES/KENCING MANIS.
Saya adjust ikut apa yang ada dalam peti sejuk.

3 sudu nasi putih
4 tangkai bayam brazil (susun daun dan mayang)
1 biji telur
Ikan bilis
Cili padi
Tempe(dadu dan goreng)
Timun
ULASAN : Kenyang,alhamdulillah.

*****

Selain makanan untuk makan tengahari dan lewat petang, saya cuba juga buat juadah yang boleh dijadikan sarapan ataupon minum petang.

Saya buat Egg wrap. Dalamnya ada sekeping cheddar cheese slice dan sayuran segar (timun, tomato, saleri dan daun ketumbar)

ULASAN : Sedap dan puas hati kerana beri badan makanan yang tidak naikkan bacaan gula pada masa yang sama- kenyang.


Cekodok tepung almond- Resepi saya ambil dari #KELAB PESAKIT DIABETES/KENCING MANIS. Saya adjust ikut kesukaan.
 
1/2 cawan tepung almond
Sekeping tahu-dilenyek
1 biji telur
1 labu bawang merah
5 tangkai cili padi-hiris halus
Ikan bilis- tumbuk kasar
Daun ketumbar
Serbuk lada sulah
Sedikit garam
ULASAN : Sangat sedap, rasa macam vade.


Ini pula resepi bercita-cita tinggi. 
2 Ingredient bread-flourless and gluten free.
Nampak macam berjaya tapi dari segi rasa-tidak tahulah hendak describe. Apa yang saya perasan, jika resepi sihat sebegini, terdapat rasa'pelik' sedikit. Sebab sudah berpuluh tahun lidah terbiasa dengan rasa roti yang biasa.
Kita cuba ignore rasa pelik itu. Kata hendak sihatkan.


RESEPI : 1/3 cawan flaxseeds dan 3 biji telur putih. (dapat 2 ketul bun)
Masukkan kedalam food processor. Sampai kesudah biji flaxseeds tidak hancur-hancur. Saya berpendapat, maybe kena pakai processor yang berkuasa tinggi. Lalu saya keluarkan dan masukkan kedalam blender kering. Membantu juga walau tidak sepenuhnya. Saya tawakal sajalah- masuk oven.
Seperti yang telah dijangka, tidak sama langsung dengan rasa roti yang biasa kita makan. 
Fikir khasiat....fikir zat...
Saya gabungkan dengan patty ayam dan sayuran tomato/timun. 
ULASAN: Saya cuba buat tidak tahu rasa roti ini. Makan saja sehingga habis. Alhamdulillah patty dan sayur memang habis. Roti, ada baki.

Saya usaha juga beli tepung almond. Teringin betul nak rasa dan buat resepi sihat yang lain.



Memang tepat bidalan lama- dari mata turun ke hati. 
Nampak sangat-sangat sedap, rangup, wangi, garing, semualah yang indah-indah. Hakikatnya, tidak. Tidak dinafikan- semua licin saya makan. Malah perlukan bantuan Unsweetened peanut butter dan spreadable butter Lurpark untuk menambah rasa. Apa salahnya? Asalkan tidak naikkan bacaan gula. Resepi biskut almond ini ada juga dalam group tetapi saya olahlah. Bahannya tidak lari daripada menggunakan bahan-bahan berikut:

Tepung almond
Telur
Pure butter
Baking powder

Selainnya, boleh saja tambah sebagai perisa- serbuk kayu manis, kacang tumbuk, herba-herba itali dan lain-lainnya kecuali GULA. Senang saja kan. Kita boleh main agak-agak saja. 
Tepung almond dan tepung kelapa bersifat BERDERAI. Ia perlukan 'gam' seperti telur ataupon 'psyllium husk' dan 'xanthan gum'. Saya hanya guna telur sahaja.



Semua biskut saya kurang butter. Habis jugalah walaupon tawar. Namun puas hati sebab makan sesuatu yang tidak mudaratkan badan. 
Kita 'enjoy' makan sebab kita ada ilmu.

*****

Saya ini, sejenis bersemangat. Jadi saya search macamana hendak buat sendiri tepung kelapa.(tepung almond mahal) Senang jugalah. Walaupon saya ada stok tepung homemade, tetapi tidak banyak resepi yang mesra tekak. 


Selepas perah santan, hampasnya jangan dibuang. Masuk semula ke dalam blender dan tambah air-blend lagi. Perah lagi dan ulang lagi sekali. Tujuannya untuk buang baki santan (lemak) jika masih ada. Hampas yang sudah tiada santan tadi,tabur dalam dulang, jemur dibawah matahari.Saya jemur seharian. Ada banyak cara sebenarnya- ikut mana-mana yang selesa. Kemudian saya akan sangai dengan api perlahan dan sering gaul untuk kering sekata dan untuk elakkan hangit. Bila kelapa sudah betul-betul kering, ia akan mula bertukar warna keperangan. Sudah boleh tutup api. Teruskan gaul hingga suhu sedikit turun.


Kisar dengan pengisar kering.


Ayak kisaran tadi. Ada banyak juga yang tidak lepas, maklum sajalah. Blender kurang kuat.


Homemade coconut flour sudah sedia diguna.


Saya cuba juga pancake tepung kelapa. Rasa kelapa surelah ada tapi rasa telur lagi kuat. Begitu juga resepi roti. Saya ada mencuba tetapi rasa roti ' lain macam'. Lembut macam kek dan sangatlah muak. Itulah cabarannya. 
Jadi jika teringinkan roti- saya ambil saja roti biasa- sekeping saja (low carb) tapi mesti letak sayur dan protein.
(Group tidak galakkan ambil roti, lebih baik makan nasi kata mereka. Mereka pengidap, sudah tentu lebih tahu dan arif).

******

Teringin betul hendak rasa susu almond. Dulu pernah juga minum tapi meninggalkan kenangan tidak indah- rasa hapak dan berserdak. Ada ahli yang suggest susu jenama ini, saya belilah. Rasanya- boleh diterima tekak kerana selain Almond milk (95%), ia juga mengandungi Sunflower seeds (5%). Itu membantu beri rasa lebih lemak agaknya.



Buat jugalah teh tarik susu almond. Wah ok jugak lah. Tidaklah sesedap teh tarik yang biasa kita minum.
Apapon, saya rasa sangat puashati kerana telah buat pilihan yang baik.
Sekarang saya berjaya tinggalkan susu pekat manis sepenuhnya.
Satu pencapaian yang hebat.
Alhamdulillah.


Kopiku kini tanpa gula.


Dulu kami kenal brand nescafe saja, rupanya caffeine dalam nescafe sangat kuat dan tiada sebarang khasiat pun. Saya bukannya pandai sangat bab kopi ini. Jadi saya cari mana-mana saja kopi yang low caffeine
Kopi sebenarnya tinggi antioksidan. Biarlah kita bekalkan badan kita dengan makanan yang memberi manafaat sahaja. 
Buat pilihan dengan ilmu.

*******

Sejak amalkan LCNS, saya merasakan berat badan sedikit turun. 
Ini bukan berita gembira.

Sebelum LCNS:
Tinggi 163.4 cm
Berat 59 kg
BMI : 22.1 (normal)
(Saya tahu kurus bukan bererti saya cukup sihat.)

Berat terkini 55 kg.
BMI masih normal.
Badan sudah mula rasa sejuk-sejuk. Saya perlu tambah lemak baik dalam makanan saya. 
Beli pure butter
Tambah telur rebus. 
Lebihkan protein.


 
Anak bertuah saya belikan sebiji avokado dengan harga RM 4.29
Beli sebiji saja sebab mahal katanya.


Saya juga sangai kacang tanah buat kudapan. Hendak beli almond, mahallah pula.

Banyak sangat ilmu yang berjaya ditanam dan dipasak kukuh dalam minda. Proses belajar berlaku setiap masa pada semua keadaan. Pengalaman sebenar orang lain jadikan panduan.

Selain LCNS, saya juga banyak membaca dan menilai, salah satu yang menarik perhatian adalah IFHD. Namun jauh disudut hati- saya tetap dengan pendirian bahawa pesakit diabetes wajib amalkan LCNS bagi mengelak komplikasi. 
Itu MUKTAMAD.

Sekian.

Semoga perkongsian membawa manafaat.




No comments:

Post a Comment