بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
Apa saja mengenai kelapa, memang akan menarik perhatian. Sesekali gagal juga lebih-lebih lagi melibatkan pembuatan VCO (virgin coconut oil). Saya masih mencuba tanpa putus asa. Disebabkan projek hasilkan VCO itulah, tiba-tiba tercetus idea.
Begini.
Saya cuba kurangkan masa untuk membuat minyak kelapa dengan cara mengaplikasi cara pembuatan VCO itu sendiri. Saya akan jelaskan dibawah:
Melalui pembacaan, ramai yang telah melalui pengalaman membuat minyak kelapa dan hasil sampingannya iaitu tahi minyak- memakan masa yang amat lama. Jika dikampung-kampung, ada yang ambil masa 4 jam.
Era semakin maju. Kita kena pantas seiring masa.
Saya beli kelapa parut dari kedai runcit RM 3.50 sebiji. Saya beli 3 biji tetapi hanya menggunakan sebiji untuk mencuba kaedah ini.
Proses awalnya masih sama. Kisar dengan sebaiknya air suam.
Juga melalui proses tapis dan perah.
Tapis sekali lagi kedalam plastik yang bersih.
Ikat dengan ketat. Biarkan pada suhu bilik seberapa ketika sehingga air (yang digunakan untuk mengisar) turun kebawah dan pati santan berada diatas. Proses ini tidak lama- tidak sampai 1 jam.
Logiknya : masa lama yang diperlukan untuk dapatkan minyak adalah masa bagi mengeringkan air. Jadi apabila air ini sudah dibuang siap-siap, maka proses memasak akan dapat dipendekkan.
Make sense, right?
Gunting hujung plastik dan buang air ini. Bila air hampir habis- cepat-cepat cekup hujung plastik itu untuk halang pati santan ikut keluar.
Masukkan pati santan yang pekat ini terus kedalam kuali yang sesuai.
Masak dengan api sederhana sehingga mendidih. Pastikan sentiasa kacau.
Ini keadaan santan setelah 15 minit.
Keadaan setelah 1/2 jam. Seakan makin mengering dan kental. Kacau terus untuk pastikan pemasakan yang sekata.
Setelah 40 minit- keadaan masih nampak kering tanpa terbit minyak. Bersabar dan terus balik-balikkan. Pastikan api sudah dikecilkan kerana butiran tahi minyak sudah terbentuk.
Pada minit yang ke 45, butiran semakin berubah keperangan dan mula menggaring. Pada masa inilah minyak akan mula terbit. Sentiasa kacau kerana proses ini agak cepat.
Balik-balikkan tahi minyak untuk pastikan tahap mana yang kita mahukan. Warna sudah totally brown. Padamkan api.
Tapis tahi minyak. Memang garing penuh rasa lemak. Biarkan seketika untuk minyak jatuh sepenuhnya.
Tapis sekali lagi melalui corong yang diletakkan tisu kapas.
Sangat berpuas hati dengan hasilnya walau tidak begitu banyak.
Alhamdulillah.
******
Sebenarnya sebelum ini- saya pernah beberapa kali membuat VCO. Kali pertama- gagal. Saya buat banyak pembacaan. Menukar teknik. Percubaan kedua- berjaya. Begitu juga dengan cubaan ke 3. Bila sudah tahu cara yang pasti berhasil, sudah tentulah akan stick pada cara itu saja kan? Tetapi rupanya langit tidak selalu cerah. Entah mengapa percubaan ke 4- gagal. Sukar betul untuk diramal. Saya buang saja santan masam itu. Tetapi akhirnya, saya buat juga lagi. Kali ini juga berakhir dengan kegagalan.
Mengapa oh mengapa?
..sehingga kini- tidak temui jawapan.
Tetapi saya ada terbaca- santan masam itu jangan dibuang. Masak untuk dapatkan minyak!
Oh..itu memang berita baik. Tidaklah rasa membazir sangat.
Ini pati santan (dari 3 biji kelapa) yang saya peram semalaman (24jam). Sepatutnya ia sudah membentuk 3 lapisan tetapi malangnya tidak. Saya akan masak curd (lapisan atas) dalam kuali. Plastik ini saya gunting sedikit dihujungnya untuk buang air pada lapisan bawah.
Terus masukkan baki curd yang masam kedalam kuali.
Miracle tak sampai 10 minit minyak terbit dengan meriahnya. Selalu kacau seperti biasa.
Tapis bila tahi masam ini sudah keperangan. Rasanya masih masam dan kenalah dibuang. Tapis minyak sekali lagi untuk pastikan minyak benar-benar bersih.
3 biji kelapa akan dapat hasilkan minyak sebanyak ini. Saya berkira-kira, untuk penuhkan 1 botol ukuran sebegini- saya mungkin perlu beli kelapa parut sebanyak RM35.
Pengalaman yang mengujakan.
Sekian.
Semoga perkongsian membawa manafaat.
No comments:
Post a Comment