Tuesday 15 November 2016

ENTRI 196 : GUBAHAN TUALA BENTUK TEKO.

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ 


Memang jarang terjumpa tuala hantaran digubah menjadi teko. Sebab ada permintaan, haruslah saya tunaikan.


Kata ummi pengantin- tuala yang dibeli anaknya agak kecil, takut tidak muat pula. Lebih-lebih lagi bekas hantaran yang disertakan berpermukaan agak melengkung. Tidak payah risau-kata saya. Kita yang buat dia. Masalah yang timbul- biar saya yang fikirkan.


Saya potong kotak terpakai- saiz 8 inci x 8 inci sebagai tapak agar hantaran stabil dan seimbang.


Ambil suratkhabar bersaiz tabloid- gulung untuk bentuk badan teko. Jika tidak cukup buncitnya, tambah beberapa suratkhabar pada bahagian tengahnya, tekan dari atas supaya mampat. Gunakan salotep atau masking tape untuk dapatkan bentuk badan teko.


Buat penutup teko pula. Trace apa jua objek berbentuk bulat yang saiznya berpadanan dengan badan teko tadi dan gunting. Seeloknya guna kotak yang agak tebal supaya kukuh dan cantik terbentuk. Mulakan dari bahagian tengan tuala- cekup satu bucu dan ikat dengan getah. Terbalikkan dan masukkan kotak bentuk bulat tadi- ikat bawahnya dengan getah. Dah jadi penutup. Masukkan gumpalan kertas suratkhabar tadi dibawah penutup bagi membentuk badan teko.


Buat muncung teko pula. Ambil satu suratkhabar saiz tabloid-lipat dua. Masukkan dawai dengan saiz yang sama dan gulung. Lekat dengan salotep atau ikat getah. Masukkan pada satu kedudukan yang sesuai dan kemaskan hujungnya dengan pin. Oleh kerana ada dawai didalamnya- muncung ini boleh dilenturkan dengan mudah. Pinkan juga pangkal muncung dengan badan teko agar tetap kedudukan. Pin juga dibeberapa tempat yang sesuai. Susun kedut agar nampak teratur. Pada bahagian bawah badan teko ikat dengan getah.


 Masukkan kotak yang bersaiz 8 inci tadi sebagai tapak. Cari sesuatu yang boleh memberi bentuk cawan. Apa yang susah, guna saja cawan kertas. Gunting pada saiz yang sesuai- masukkan kedalam lebihan tuala dan masukkan jari ikut bentuk cawan kertas tadi, baru kemaskan dengan getah pada bahagian bawahnya. Saya rasa muat 3 cawan, dan tulisan 'selamat pengantin baru' rasanya tidak sesuai untuk dipamerkan. Saya cuma pamer corak pada bahagian bawah tulisan yang kelihatan cantik, cuma perlu disusun kemas secara lipatan berulang. Buat sekemas boleh.

Ok overall basicnya sudah siap.


Terpulang pada kita untuk hiaskan.  Saya guna apa yang ada dirumah.


 Asalkan dapat menutup getah-getah yang nampak. Kemaskan setiap kedutan dengan hujung gunting. Saya gunakan pin agar dawai rambu ramba silver tu tidak bergerak. Cari sesuatu yang sesuai seperti manik untuk buat hiasan atas penutup. Rapatkan kedudukan setiap cawan dan sematkan jarum peniti. Kemaskan juga setiap lebihan dengan mereka pattern yang berpadanan.

Lawa kalau kenakan kemasan yang berwarna kontra- objek teko dan setiap cawan akan lebih timbul.


 Untuk dapat efek menarik, belitkan juga muncung teko agar nampak berseni.


 Ada juga part yang tidak dapat dikemaskan dengan jaya- boleh tutup kelemahan ini dengan bunga atau reben tapi untuk kali ini- saya tidak gunakan keduanya sebab bekas hantaran sudah sarat dengan bunga pada bahagian bawah. Jadi saya biarkan saja tanpa hiasan. Kekuatannya adalah- kekemasan.

Sudah pun siap- alhamdulillah.




Ummi pengantin tersenyum tanda berpuas hati.
Kalau 2 tahun lepas, teko sebegini sudah ke Pahang,  teko biru ini pula akan ke Perlis.

" Kami datang dari jauh membawa teko kosong...harap-harap orang disini dapat sediakan airnya..."
gitulah kias bapa pengantin diceritakan orang yang turut serta kepada saya.
Puas rasa hati dapat sama-sama terlibat mengimarahkan majlis.

Alhamdulillah.



Sekian.

Lihat juga  :GUBAHAN TUALA BENTUK BUAH
                  :GUBAHAN TUALA BENTUK BUNGA

No comments:

Post a Comment