Thursday 24 March 2016

ENTRI 178 : FATWA 3.

Dengan lafaz Bismillah bicaraku bermula...


Sambungan huraian seterusnya.


PENGGUNAAN INDELIBLE INK DALAM PILIHANRAYA MALAYSIA.

Berdasarkan hasil ujikaji yang telah diberi oleh pakar kimia beserta hujjah-hujjah, adalah diputuskan Indelible Ink tidak mengandungi bahan najis yang diharamkan syarak, tidak mendatangkan mudharat pada kesihatan dan tidak menghalang air sampai kekulit.

Huraian:
a-  Indelible Ink adalah dakwat yang tidak boleh dipadam. Satu calitan pada jari pengundi akan memberi tanda coklat kehitaman untuk mengelak penipuan undi. India sebagai pengeluar dakwat ini telah menggunakan cara ini sejak 1962 lagi juga meluas diguna dinegara China, Ghana dan Denmark. Ujikaji komposisi kimia yang dilakukan oleh Jabatan Kimia Malaysia mendapati dakwat ini terdiri dari tiga bahan utama iaitu Air, Ethanol 55% dan Silver Nitrate.

b-  Dakwat ini hanya akan mendatangkan kesan pada kesihataan jika termakan atau terminum.

c-  Indelible Ink pada kuku akan hilang dalam masa tiga hari dan jika terkena kulit akan ambil masa tujuh hari. Untuk kegunaan pilihanraya, pihak SPR hanya akan mencalit dalam kuantiti yang sedikit dan dapat bertahan sekurang-kurangnya 24 jam.

d-  Penggunaan alkohol ( Ethanol ) bukan isu kerana pada asasnya jika sebuah bekas mengandungi alkohol dibuka, proses meruapan akan berlaku dan ia akan mengurangkan kandungan alkohol tersebut.

e-  Indelible Ink ini boleh telap air dalam keadaan serta merta maka sesuai untuk tujuan ibadah yang mensyaratkan air perlu sampai kekulit dan tiada keperluan hingga sampai ke sel bawah kulit.


o HUKUM IBADAH BAGI PESAKIT PENGGUNA BEG KOLOSTOMI.

Pesakit yang menggunakan beg kolostomi dikatagorikan sebagai mengalami keadaan dharurat dan tidak dianggap menanggung najis. Oleh itu mereka tidak perlu mengosongkan atau membersihkan beg kolostomi setiap kali berwudu' atau menunaikan solat.

Huraian :
a-  Saluran penghadaman selepas perut adalah terdiri dari usus kecil ( terbahagi kepada duodenum, jejunum dan ileum ) dan usus besar (kolon). Mana-mana bahagian usus ini jika dibawa keluar terbuka kedinding abdomen akan dipanggil dengan tambahan nama 'stomi'. Istilah 'kolostomi' merujuk kepada keadaan sebahagian usus besar didalam abdomen dibuka dan pembukaannya itu disalur kedinding abdomen dan dilekat pada kulit.

b-  'Stoma' ini boleh bersifat sementara atau kekal. Najis dalam usus besar mengandungi jumlah bakteria yang sangat tinggi yang boleh membunuh manusia dalam masa dua hari jika ianya bocor. Oleh itu sebarang jahitan baikpulih mempunyai risiko besar jika bocor.

c-  Pengeluaran najis melalui cara ini tidak akan dapat dikawal sama sekali oleh pesakit. Biasanya mereka akan diajar cara-cara menguruskan stoma sebelum dibenarkan pulang.

d-  Prinsip pensyariatan dalam Islam adalah tidak membebankan dan mengambil kira kesulitan yang dihadapi oleh umatnya dalam usaha melaksanakan kefarduan yang diwajibkan.


o PENGGUNAAN GERAF TISU DALAM AMALAN PERUBATAN.

Hukum penggunaan geraf tisu dalam amalan perubatan adalah harus selagi tidak disalah guna untuk tujuan lain.

Huraian :
a-  Bank tisu membekalkan geraf tisu manusia atau haiwan untuk kegunaan klinikal keatas pesakit. Ia penting untuk mengurangkan penderitaan pesakit terutamanya kesengsaraan pesakit kanser, pesakit lecuran juga dalam kes menyelamatkan anggota dari dikerat keseluruhannya- hanya yang sakit dibuang dan diganti dengan geraf tulang untuk penyambungan. Ia juga untuk kemudahan pesakit arthritis dan failed joints replacements.

b- Dua bank tisu telah ditubuhkan di Malaysia iaitu Pusat Pengajian Perubatan Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan dan di Unit Tenaga Nuklear, Bangi, Selangor. Bank-bank ini telah mula memproses selaput amnion dan tulang manusia serta haiwan. Semua kerja-kerja pemprosesan dilakukan dibawah keadaan bersih dan terkawal.

c- Selaput amnion didapati dari ibu-ibu bersalin yang sihat dan bebas penyakit  merbahaya. Hanya ibu beragama Islam dimaklumkan sebelum amnion diambil. Ia akan dicuci, dibuang kotoran, lendir dan darah, direndam dalam larutan Natrium Hipoklorid untuk membunuh virus HIV jika ada dan dibasuh beberapa kali dengan lautan garam hingga jernih. Kemudian dikering ,dibungkus dan diberi sinaran untuk disuci kuman. Setakat ini amnion telah diguna untuk ramai pesakit lecuran dan kosnya lebih murah berbanding jika menggunakan antibiotik dan 'dressing'. Yang utama pesakit tidak menderita sakit kerana kulit akan tumbuh dengan baik tanpa parut yang ketara.

d-  Tulang pula didapati dari tulang kepala pinggul yang dibuang dari pesakit dan tulang dari lembu. Tulang ini akan diproses, dinyah virus HIV dengan kaedah haba 'pasteurization', dicuci beberapa kali, dikering, dibungkus dan juga diberi sinar untuk basmi kuman.

e-  Konsepnya adalah untuk menghapus kemudharatan dan memberi kemudahan.


CADANGAN MENGGUGURKAN JANIN PENGIDAP/ PEMBAWA THALASSEMIA.

Makruh menggugurkan janin yang berumur satu hingga 40 hari sekiranya tidak mendatangkan bahaya pada nyawa ibu dan mendapatkan persetujuan kedua-dua suami isteri. Jika usia janin sebelum 120 hari hukumnya adalah harus sekiranya ia cacat, berpenyakit dan mendatangkan bahaya pada ibu. Pengguguran menjadi haram sekiranya kandungan melebihi 4 bulan dan boleh dianggap melakukan jenayah melainkan untuk menyelamatkan nyawa ibu atas kecacatan yang teruk.

Huraian :
a-  Thalassemia adalah sejenis penyakit autosomal recessive sel-sel darah merah dimana berlaku kekurangan sintesis rantaian globin. Ini mengakibatkan eritropoesis yang tidak berkesan, hemolisis (sel pecah ) yang kronik dan anemia. Ianya adalah penyakit bawaan keturunan melalui genatik.

b-  Mereka ini memerlukan pemindahan darah dan rawatan membuang unsur besi seumur hidup yang melibatkan kos yang tinggi. Kelebihan unsur ini dalam tubuh akan menyebabkan kegagalan jantung, pendek tubuh badan, masalah baligh dan diabetes mellitus. manakala kekerapan pemindahan darah pula mendedahkan kepada jangkitan hepatitis B, Hepatitis C dan HIV. Pilihan rawatan lain adalah transplantasi sum-sum tulang atau pun darah tali pusat.

c-  Memandangkan implikasi .kos yang tinggi, satu strategi baru adalah mengurangkan kelahiran seterusnya mengurangkan beban penderitaan mereka.


HUKUM PENGGUNAAN AIR BARU ( NEWATER ). 

Air baru adalah bersih dan harus digunakan dari sudut hukum syarak.

Huraian :
a-  Air baru ( newater ) diperkenalkan oleh negara Singapura dihasilkan menerusi proses pemulihan dan pembersihan ketat bekalan air kumbahan menggunakan teknologi dwimembran.

b-  Tiga proses utama untuk hasilkan newater adalah Penurasan Mikro iaitu kaedah penyulingan air sisa kumbahan dengan menggunakan penapis sebagai agen penuras microscopic yang mampu menapis sehingga sekecil 0.2 mikron. Ia dapat menghilangkan kekeruhan air juga mengasing bakteria dan protozoa. Proses kedua adalah Osmosis Songsang yang mana tekanan diguna keatas air untuk mengalir melalui membran yang separa serap untuk menuras benda bukan organik seperti nitrat, klorid, sulfat dan sebagainya, juga melibatkan benda organik yang dinyahjangkitan, hidrokarbon yang berbau, pesticide dan lain-lainnya. Proses ini mengguna membran sehalus 0.0001 mikron yang mampu menuras 95% jumlah pepejal larut malah menapis virus. Proses seterusnya adalah Teknologi Sinaran Ultra Violet Penyahjangkitan untuk menjamin pembasmian bakteria dan virus dengan lebih padu.

c-  Kemudian air ini akan dituras untuk menyaring partikal atau benda halus dan didedah kepada cahaya UV untuk menghapus bakteria dan virus.

d-  Sehubungan itu, Majlis Ulama Besar Kerajaan Arab Saudi memutuskan air tersebut hukumnya suci setelah dikitar semula dan boleh digunakan untuk mengangkat hadas, membersih kotoran dan sah bersuci dengannnya. Walaupun begitu, mereka berpendapat, sekiranya masih ada punca lain maka keutamaan hendaklah kepada air yang didapati dari sumber alam.



Sekian.
Semoga perkongsian membawa manafaat.

No comments:

Post a Comment