Thursday 24 March 2016

ENTRI 176 : FATWA 1.

Dengan lafaz Bismillah bicaraku bermula....



Mahu ikut rasmi padi, saya ambil langkah proaktif- jinakkan diri dengan bacaan ilmiah.
Buku pemberian abah beberapa tahun lalu dibelek. Dulu pandang sebelah mata.
 Buku apalah yang orang tua ni bagi?
Rupanya penuh info yang patut kita, orang Islam tahu dan ambil tahu.


 Kandungannya : berkenaan keputusan muzakarah jawatankuasa fatwa kebangsaan yang menyentuh soal-soal akidah, ibadah, muamalat, perubatan, zakat, munakahat, sosial dan syariah. 
Sangat bagus sebab banyak selesaikan keraguan dan rasa was-was. 
Antara topik yang menarik perhatian:


o  Menetapkan bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah mengikut ajaran berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak. Ajaran lain seperti aliran Syi'ah adalah bercanggah dengan hukum syarak dan undang-undang Islam.

o Senaman Yoga berasal dari masyarakat Hindu yang menggabungkan amalan fizikal, unsur keagamaan, mantera dan pemujaan untuk mendapat ketenangan dan kemuncaknya adalah penyatuan dengan tuhan. Oleh itu ia adalah tidak sesuai dan boleh merosakkan akidah seorang muslim. Tetapi jika dilakukan gerakan fizikal sahaja tanpa unsur-unsur diatas- ianya tidak menjadi kesalahan.

o  Penggunaan ubat bagi pesakit jantung dalam bulan Ramadan dibolehkan tanpa dimasukkan melalui rongga anggota dengan syarat diyakini air liur tidak masuk melalui rongga.

o  Adalah harus bagi polis dan tentera meninggalkan sembahyang Jumaat kerana melaksanakan tugas-tugas keselamatan dengan syarat tidak meninggalkan 3 kali berturut-turut.

o  Mayat pesakit AIDS wajib dimandi, kafan, sembahyang dan kebumi seperti mayat orang Islam yang lain dengan mengikut garis panduan oleh Kementerian Kesihatan agar memakai sarung tangan, muka dan mencuci tangan dengan klorox.

o  Sembahyang jamak kerana rawatan penyakit kronik yang memakan masa yang lama seperti rawatan hemodialisis buah pinggang dihospital dan seumpamanya adalah harus.

o  Pengidap penyakit kronik yang tiada harapan sembuh seperti pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan hemodialisis dan seumpamanya tidak wajib menunaikan haji tetapi wajib melaksanakan badal haji jika mampu dari segi kewangan.

o  Konsep, struktur dan undang-undang MLM ( multi level marketing ) yang diluluskan kerajaan adalah harus dan tidak bercanggah dengan konsep perniagaan Islam.

o  Melabur dalam skim ASN dan ASB serta dividen atau bonus yang diterima adalah harus.

o  Harga zakat fitrah bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia adalah berdasarkan harga setempat yang ditetapkan oleh BERNAS bagi beras Super tempatan Gred A mengikut timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.60 kilogram manakala bagi negeri Sabah adalah beras Vietnam White Rice dan Thai White Rice bagi negeri Serawak juga mengikut timbangan satu gantang Bahgdad bersamaan 2.70 kilogram.

o  Kordial yang mengandungi bahan citarasa (flavour) yang dimasukkan alkohol sebagai tujuan penstabilan adalah harus sekiranya alkohol itu bukan dihasil dari proses pembuatan arak dan kuantitinya adalah sedikit iaitu tidak memabukkan.

o  Hukum menggunakan bakteria kultur yang dipencilkan daripada sebarang najis bayi sebagai agen pemangkin dalam yogurt adalah harus dengan syarat telah melalui pengasingan dan penyucian yang sejajar dengan hukum syarak kerana bakteria yang terdapat dalam najis bayi itu adalah mutannajis.

o  Haram menggunakan cuka wain (wine vinegar) yang diproses dan dicampur dengan bahan-bahan luar- walaupun begitu sekiranya perubahan dari cuka wain kepada cuka berlaku dengan sendirinya, maka ia adalah halal.

o  Ikan yang dipelihara dalam kolam ternakan dan seumpamanya adalah haram dimakan sekiranya sengaja diberi makan najis seperti daging khinzir, bangkai dan sebagainya.

o  Perusahaan menternak katak bagi tujuan eksport adalah haram kerana ia adalah binatang dua alam manakala bagi siput babi pula adalah harus dieksport untuk tujuan sebagai bahan makanan keluar negara.

o  Pihak tertentu hendaklah menghentikan penyuntikan hormon PSH-P kepada binatang ternakan yang halal bagi tujuan pembiakan, peningkatan dan sebagainya kerana ia berasaskan otak khinzir.

o  Pameran melibatkan barang purba didalam kubur dan keranda mumia boleh diteruskan tetapi mayat mumia tidak harus dipamer sama ada Islam ataupun bukan. Pameran patung adalah ditegah oleh Islam.

o  Haram menggugurkan kandungan janin yang telah berumur lebih 120 hari ( 4 bulan ) kerana dianggap satu jenayah bunuh keatas janin yang telah ditiup roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa si ibu.
manakala pengguguran janin berusia sebelum 120 hari adalah harus sekiranya ia cacat dan berpenyakit teruk sehingga boleh mengancam nyawa ibu.

o  Orang Islam boleh membuat wasiat kepada orang bukan Islam tidak melebihi 1/3 daripada hartanya.

o  Amalan membawa bunga ke kubur adalah tidak digalakkan dari perspektif agama.

Sukanya baca ini:

o  Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki adalah diharuskan bagi wanita sama ada telah berkahwin atau belum selagi mana tidak menimbulkan fitnah.

Alhamdulilah dapat banyak sangat informasi baru. Sebenarnya ada 71 perkara yang dibincangkan, saya cuma pilih 21 topik yang saya ringkaskan.

Jika buku ini menyatakan secara ringkas keputusan perbincangan mereka yang arif yang telah berlangsung pada masa dan lokasi yang berlainan melibatkan pihak berlainan yang berkenaan, ada sebuah lagi buku berkaitan yang memberi huraian yang lebih terperinci. 
Terasa cetek benar pengetahuan dalam otak ni.

So untuk next entry saya akan tulis topik huraian yang rasanya kita patut tahu serba sedikit mengenainya.


Sekian.

No comments:

Post a Comment