Sunday 21 June 2020

ENTRI 213 : BLUE OCEAN PUDDING.

21hb. Jun 2020
Bismillahirrahmanirahim....






Ada setin laici atas para. Hendak buat air atau agar-agar ? 
Hati terpaut bila terpandang gambar-gambar pada resepi ini.

BLUE OCEAN PUDDING.
......bagai ada ikan dan hidupan laut berenang di lautan puding nan membiru.....


Resepi banyak dalam internet. Saya ikut saja.

Sebungkus agar-agar tali
3 cawan air
1 tin laici
1 tin susu cair
1 1/4 cawan gula pasir
1 sudu besar biji selasih
20 kuntum bunga telang [ atau pewarna biru]


Agar-agar tali yang saya gunakan adalah 30gm. Pening juga ya. Kadang-kadang beli, berlainan pula gram nya. Tidak kisahlah. Boleh saja jika berselisih sedikit. Untuk laici dan susu cair, apa-apa jenama pon ok. Sebungkus kecil biji selasih harga cuma seringgit, hendak guna pon sesudu besar saja.


Saya gunakan 20 kuntum bunga telang sebagai pewarna biru.


Potong potongkan agar-agar tali anggaran seinci dan rendam 1 jam.


Tumbuk bunga telang dalam lesung batu tanpa air. Perah dan tapis jus yang keluar.


Ini rupa biji selasih. Rendam dalam air masak selama 10 minit.


Bila sudah kembang, tapis. Banyak khasiat biji selasih ini. 
(ia adalah dari biji bunga kemangi kering).


Perlukan juga 1 1/4 cawan gula pasir. Saya kurang gemar rasa yang manis sangat sebab air laici dalam tin itu pon sudah sedia manis.


3 jenis cairan yang akan digunakan iaitu 3 cawan air paip biasa, air dalam tin laici iaitu lebih kurang 1 3/4 cawan dan setin susu cair iaitu lebih kurang 1 1/4 cawan.


     Buah laici dibelah 4.


Toskan agar-agar tali yang sudah direndam sejam tadi. Masak bersama 3 cawan air dan 1 3/4 cawan air laici. Tutup periuk agar cepat mendidih. Agar-agar akan hancur dalam masa 5 minit. 



Masukkan gula, masak hingga larut. Tapis agar tiada serpihan agar-agar yang tinggal.


Setelah itu, keluarkan 3 1/2 cawan larutan agar-agar tadi ke dalam satu bekas lain.


Tuangkan jus bunga telang yang sudah ditumbuk lumat.


Kemudian, tuang kedalam loyang yang telah dibasahkan dengan air. Saya hanya mengikut betul-betul arahan resepi ini. Bila sudah siap, rasanya lebih molek jika dikeluarkan 4 cawan untuk diwarnakan dengan warna biru ini supaya portion biru laut lebih lagi daripada lapisan susu cair.


Warna biru yang digunakan tidak boleh terlalu gelap kerana bayangan 'ikan' dan 'hidupan laut' tidak akan dapat dilihat dengan jelas.


    Susun buah-buah laici merata. Konon-konon ikan dan hidupan laut lah tu.


                 Masuk pula 'anak-anak berudu'.


Wah cantik nya....
Biar sebentar dalam 5 minit, masuk peti sejuk hingga mengeras.


Sementara itu, masukkan susu cair kedalam baki larutan agar-agar. Masak sebentar. Jika hendak lebih wangi, boleh tambah 1/2 sudu teh esen vanilla.


Keluarkan agar-agar biru dari dalam petiais, lorek setiap permukaan dengan garfu supaya larutan agar-agar susu yang dituang akan melekat dengan kejap. Tuang perlahan keatas sudip atau sudu supaya jatuhan tidak akan hasilkan tekanan yang kuat keatas lapisan bawah.


Biarkan sebentar selama 5 minit sebelum masuk kedalam peti sejuk.
Sejukkan 3-4 jam sebelum dikeluarkan. Lalukan pisau disekeliling loyang dan terbalikkan agar-agar.
Cantiknya!


Hendak potong pon leceh juga ya sebab ada masa terpotong buah laici.







Pengalaman yang mengujakan.

Semoga perkongsian ini memberi manafaat.


Sekian.











No comments:

Post a Comment