Tuesday, 6 May 2014

ENTRI 31 : RESEPI SAGU MATA IKAN.

Pengisian : Jika kamu ingin disenangi manusia maka senangilah mereka.

Bismillah....

Suatu masa dahulu.....

   " Ish..kenapa lambat sangat ni...?"
Saya menggeletar. Peluh sejuk dari tadi tidak henti mengalir. Sabar ini sudah sampai ke kemuncak. Cepatlah! Cepatlaaaah! Mata berpinar-pinar. 
Menjeling semula kearah emak,ah belum juga lagi!
   " Assalamualaikum warahmatullah....." paling ke kanan.
   " Assalamualaikum warahmatullah....." paling ke kiri .
Segera saya alihkan badan mengadapnya. Kaki kiri masih lagi terjuntai di birai pelantar. Tapak tangan emak perlahan-lahan mengusap wajah. Mulutnya terkumat-kamit  berastaghfar, bertahmid,  bertakbir..dengan penuh kusyuk dan tawaduk.
   " Mak......" perlahan saja suara yang keluar, memohon belas. Suaranya berzikir dikuatkan sedikit. Dengan mata terpejam, kepalanya di gerak ke kiri ke kanan mengikut alunan.
Saya bertambah resah.
   " Mak!..." sedikit kuat. Emak berpaling dengan wajah yang serius.
   " Tu...." panjang muncung saya menuding tepi buku lali sebelah kaki kiri. Mata emak juga terarah ke situ. Dia menoleh semula ke hadapan, menyambung zikir yang terhenti tadi. Huarrggh!!! Emak seperti sengaja menyiksa! Air mata menitik. 
Emak menadah doa. 
Ya Allah! Kau selamatkan aku Ya Allah, doa saya juga. 
Apa akan jadi pada kaki aku ini? Ke hospitalkah ? Bagaimana pula dengan 'benda' itu? Hendak tengok tidak pula berani. Badan terhenjut-henjut menahan bunyi tangisan agar tidak keluar. Tangisan dalam diam. Jika kuat bermakna sengaja mencari nahas. Mak saya garangnya bukan boleh dibuat main.
    Rasa lega sedikit bila melihat emak mula menanggalkan telekung.
    " Pergi main sungai lagi..!"
Saya menikus.
Emak ke pangkin kecil dimana terletaknya dapur arang. Ditepinya ada beberapa bekas kecil bertutup. Diambilnya satu, disudu bahan didalamnya, campur pula dengan air. Menuju ke arah saya yang tidak berani berbunyi.
    
" Sudah!"
  Ha?
Betulkah sudah?
Betulkah?

Cis bedebah!
Masih ada sedikit darah pada lantai bersimen kasar itu. Lintah keparat tergolek ditepi celah lubang yang bersambung dengan longkang luar akibat pengsan disiram air garam.

Er...dah baik ni. Saya curi-curi mencari dimana emak. Dia bagai dapat membaca fikiran saya!
    " Ha!! Pergi lagi...pergi! Kalau nak pergi...jangan balik-balik lagi!...bla...bla...bla....."

Iyalah, iyalah tak keluar ni. Nak ambil bukulah ni...

*******

Emak memang rajin buat kuih-muih sebagai juadah minum petang.Tapi emak tidak pernah buat kuih ini.
Biarlah saya yang buat.

     RESEPI KUIH SAGU MATA IKAN

I cawan sagu biji
1/2 cawan gula pasir
2 1/2 cawan air
3/4 penutup pati sirap ros
daun pandan
kelapa parut putih
secubit garam

Minyakkan acuan. Boleh juga gunakan loyang besar..
Panaskan kukusan. Saya suka letak beberapa helai daun pandan supaya kuih lebih harum.


Kukus sekejap kelapa parut putih (10 minit). Kemudian gaul dengan sedikit garam halus. Ini supaya kelapa tak mudah basi.


Sediakan 1 cawan sagu biji (yang kecil). Kalau yang besar-besar tu sesuai diletak dalam air batu campur- ABC . Lalukan air, tidak perlu rendam.


Didihkan 3 cawan air yang telah diletak pati sirap ros (pati ini pekat dan tawar ). Letak juga beberapa helai daun pandan. Setelah mendidih, keluarkan daun.


Step 1 : Masukkan sagu kedalam air yang telah mendidih.
Step 2 : Kacau sekali sekala.(anggaran masa selama 5 minit.) Selalu kaupbalikkan-api biar sederhana.
Step 3 : Setelah 5 minit, masukkan 1/2 cawan gula pasir. Gaul rata hingga gula benar-benar larut (anggaran masa 2 minit )
Tujuan masak lama adalah untuk keringkan air dan biar sagu separuh masak. Kemudian perlu disambung masak dalam pengukus untuk dapat texture sebiji-sebiji.


Sudah separuh masak. Tutup api. Sudukan kedalam acuan.Tidak perlu isi sampai penuh.


Kukus selama 20 minit.( kerana guna acuan kecil ) Jika guna loyang, lama sedikit( 40 minit). Jangan lupa balut penutup periuk supaya wap tidak jatuh atas kuih menyebabkan lebihan cairan dan kuih mungkin akan lembik.Pastikan tiada lagi butir sago yang masih belum masak,baru keluarkan acuan.

Biarkan kuih menyejuk dahulu lebih kurang 1/2 jam. Jika keluarkan kuih ketika masih panas, ia akan merebak dan sedikit melekit. Jadi sila bersabar. 
Jika guna loyang pun kena biarkan sejuk dahulu kemudian baru potong.


Salutkan dengan kelapa parut. Kalau suka makan sejuk, masukkan dalam petisejuk.
Perisa sirap ros adalah yang paling sesuai untuk kuih ini.


Lihat perbezaannya sebelum dikukus ( hanya masak separuh) dan selepas kukus.. Tujuan dikukus adalah untuk dapatkan tekstur yang sebiji-sebiji.

         
 Sebutir-sebutir kan?


         Sangat sedap,alhamdulillah.

Sekian.

LIHAT JUGA:ENTRI 212:PULUT TETAL MELAKA
                        ENTRI 213:BLUE OCEAN PUDDING
                        ENTRI 214:KEK SARANG SEMUT
                        ENTRI 215:HOMEMADE ICE CREAM
                        ENTRI 216:LEMPENG PISANG KELAPA

1 comment: