Pengisian : Senyumanmu tidak memberi sebarang bebanan kepadamu tetapi memberi makna yang indah kepada seseorang.
Bismillah....
Cuaca hari ini punyalah terik. Kalau dapat yang sejuk-sejuk..
Apakata kita buat dessert.
RESEPI AGAR-AGAR MILO
Lapisan atas.
1/2 peket agar-agar tali ( jelly strips)
3 cawan air
7 sudu besar gula pasir (tidak sampai 1/2 cawan)
3/4 cawan milo
Lapisan bawah.
1/2 peket agar-agar ( jelly strips )
2 cawan air
1 cawan susu cair
5 sudu besar gula pasir
1/2 penutup esen vanilla.
Rendam agar-agar lebih kurang 4 jam supaya senang hancur bila direbus. Selepas itu potong 2- (sama banyak). Kita juga perlukan acuan yang sesuai. Hendak buat dalam satu loyang besar sekali gus pun boleh juga.
Didihkan 3 cawan air dan masukkan agar-agar. Biar mendidih dalam masa 7 minit. Check samada agar-agar sudah hancur semuanya. Kemudian masuk 7 sudu gula. Sebaik gula larut, masukkan milo.
Guna agar-agar tali ini,mesti ditapis. Kadang-kadang ada sisa yang tidak hancur. (kalau guna agar-agar serbuk tidak perlu tapis). Acuan jika boleh hendaklah dibasahkan dahulu. Itu petua (tapi saya tidak pernah buat). Sudukan separuh sahaja. Biar ia mengeras pada suhu bilik.
Sementara itu naikkan periuk untuk rebus agar-agar yang separuh lagi. Sebaik ia hancur, masukkan gula pasir. Tidak perlu manis sangat,seeloknya rasa lemak-lemak susu saja. Bila gula sudah larut, tuang susu cair dan esen vanilla. Terus tutup api.
Seperti biasa,tapis dulu supaya agar-agar yang tidak hancur dapat diasingkan. Rehatkan sekejap dalam 2 minit baru sudukan kedalam acuan yang telah berisi agar-agar milo. Disini ada 3 kemungkinan:
1- perhatikan- jika agar-agar lapisan pertama ( milo ) sudah betul-betul keras, ambil garfu. Cakar lapisan milo tadi, baru tuang susu cair supaya ia akan melekat dengan kejap.Kalau tidak buat begitu,kedua-dua lapisan tidak akan melekat bila sudah keras nanti.
2- atau situasinya menjadi begini. Lapisan milo kelihatan masih bergoyang-goyang tetapi permukaan atasnya seperti telah mengeras sedikit. Boleh terus sudukan adunan susu.
3- atau pada situasi lain...anda betul-betul tak pasti. Memang belum keras tapi sudah selamat ke untuk dituang atau sebenarnya masih cair lagi. Jika anda tuang masa ini, adunan susu akan terus bercampur dengan milo. Sudah jadi agar-agar batik milo.Rasanya sama sedap juga.
Kesimpulannya walaupun tersilap langkah, agar-agar itu tetap boleh dimakan.
Kemudian bolehlah disejukkan didalam petiais.
Buat agar-agar ini kena awas jumlah gula. Manis sangat pun tidak sedap. Tawar pulak tidak kena. Semasa adunan masih cair, rasa sedikit untuk adjust rasa gula.
Lihat gambar saja kita boleh tahu yang agar-agar ini agak keras. Kelebihannya- ia tidak begitu berair bila disimpan lama dalam petiais selain fizikalnya yang cantik terbentuk.Sesuai jika hendak dibuat hantaran.
Sekian.
No comments:
Post a Comment