Tuesday, 20 May 2014

ENTRI 45 : KUIH LOPES VERSI MODEN.

Pengisian : Rahsia kejayaan hidup adalah persediaan manusia untuk menyambut kesempatan yang menjelma.

Bismillah..

Tiba-tiba teringin hendak makan kuih lopes.
Saya cari versi yang lebih cepat. Kita kan modern mom, mana ada masa hendak anyam daun palas, masuk pulut, ikat, rebus berjam-jam- berpeluh dahi setengah baldi- makannya seketul dua.
 Orang lama guna air abu untuk menaik rasa kuih lopes. Versi baru,letak sedikit air kapur. Namun ramai yang memilih cara yang lebih mudah- tanpa keduanya.


RESEPI KUIH LOPES.

2 cawan beras pulut.( rendam 3 jam)
2 cawan santan cair
1/2 cawan air pandan
1 sudu kecil air kapur
1/2 sudu kecil garam
pewarna hijau
( Rendam beras pulut bersama sedikit pewarna hijau dan 1 sudu kecil air kapur )
Cara saya: 2 1/2 cawan santan cair diblend dengan 6 helai daun pandan-tapis...campur 1/2 sudu kecil garam.

Kelapa parut putih ( kukus 10 minit)
Sedikit garam halus
 

KUAH GULA.

3 cawan air
1 cawan gula merah (berderai)
1/2 cawan gula melaka
2 sudu besar gula pasir
2 helai daun pandan.


Saya buat 1 cawan pulut sahaja. Titiskan sedikit pewarna hijau dan masuk sedikit air kapur.
Rendam selama 3 jam.


 Proses buat air gula: masuk air dan daun pandan yang telah disimpul. Masuk gula merah dan gula melaka. (ikut kesukaan masing-masing -boleh juga guna gula melaka sepenuhnya disamping sedikit gula pasir). 
Masak dengan api perlahan hingga capai kepekatan yang dimahukan


  Ambil sedikit kelapa parut anggaran 1/2 cawan -blend bersama 21/2 cawan air. Tapis. Kerat-kerat daun pandan dan blend bersama santan tadi. Tapis sekali lagi.


 Jangan lupa letak sedikit garam halus. Kacau rata.


  Toskan pulut tadi. Cantik hijaunya. Masuk loyang dan kukus 15 minit.


Setelah 15 minit, buka penutup dan masukkan santan/ air daun pandan tadi. Gaul-gaul hingga sekata. Kukus semula.


Selepas 10 minit pulut dikukus, buka penutup dan gaul-gaulkan. Kukus semula 10 minit.


Tapis air gula yang sudah sejuk.
Sediakan 1/2 biji kelapa parut putih. Kukus 10 minit supaya tahan lama dan tidak mudah basi. Gaul dengan sedikit garam halus.


Biar pulut sedikit suam. Gunting plastik untuk dibahagi dua. Cari penutup botol nescafe. Kalau tak ada,cari bekas lain yang sesuai. Alas penutup botol dengan plastik tadi. Guna acuan adalah untuk samakan saiznya. (atau pilihan lain-boleh terus kepal-kepal dan leperkan )


Masukkan pulut. Ambil plastik lebihan, tutup pulut dan tekan dari luar dengan tapak tangan. Keluarkan dengan hanya menarik plastik. 


  Cantik- kuih yang sama saiz.


  Makan dengan air gula memang sedap.


Boleh juga kalau buat bentuk tiga segi.


Membuat kuih lama dengan cara baru.


Info menarik:
 Air abu - soda abu - abuchang - air alkali - Natrium Karbonat ( sodium carbonate ) :
Dihasilkan daripada ekstrak abu tumbuhan atau abu kayu pokok.
Manakala air kapur dikatakan terhasil daripada abu pembakaran kulit kerang.
 


Sekian.

No comments:

Post a Comment