Sunday, 25 May 2014

ENTRI 47 : NASI LEMAK KUKUS.

Pengisian : Harta tidak akan berkurang kerana bersedekah dan melakukan amal.

Bismillah...

Kegemaran si anak bongsu. 
Dulu sewaktu kecil,selalu tengok nenek masak nasi lemak kukus ini. Bukan untuk jual tapi untuk makan-makan keluarga atau kenduri keluarga atau untuk disedekahkan pada jemaah surau. Periuk kukusannya besar berbentuk selinder, dapat menampung beras yang banyak. Sudah tentu perlukan tenaga dan kemahuan yang tinggi.

Today is the right day, I 'm in the  mood of doing it...!

Saya masak dalam skala yang kecil, cukup untuk kami 6 beranak. Kalau buat lebih, gandakan sahaja sukatan dibawah.
.

NASI LEMAK KUKUS.

5 cawan beras.
1 kotak santan kotak ( kecil )
garam halus
daun pandan

Cara-caranya.



Saya gunakan 5 cawan beras (sukat guna cawan plastik beras)
Rendam dalam 1-2 jam. Kalau dapat rendam semalaman pun bagus juga. Letak sekeping asam keping untuk  shining effect (agar nasi nampak berkilat )


Masukkan beberapa helai daun pandan kedalam air kukusan. Bila air sudah mula mendidih, masuk beras yang telah ditos kedalam pengukus. Lagi bagus kalau dapat gunakan periuk kukusan yang berlubang kecil. Jika berlubang besar (periuk jenis lama saiz besar),alas dulu dengan daun pandan atau daun pisang. Kukus selama 30 minit. 


Sementara itu, sediakan santan cair. Untuk menyenangkan kerja-saya gunakan santan kotak. 
Tuang 2 sudu besar dan campur dengan 2 cawan air-gaul sebati. Ketepikan.


Setelah 30 minit, keluarkan dan tuang nasi kedalam periuk atau apa-apa bekas. 


Tuang santan cair. Gaul sehingga semua beras yang masih kering itu terkena santan. Tuang semula kedalam kukusan untuk dikukus. Jangan lupa buat lubang ditengah-tengah supaya wap dapat keluar dari bawah . Kukus semula 30 minit .


Sediakan santan pekat. Tuang baki santan kedalam satu bekas. Lalukan air kedalam kotak santan kosong tadi dan goncang-goncang agar baki santan didalamnya akan larut. Cuba dapatkan 1 cawan. Campur kedalam pati tadi.Tuang 1/2 cawan lagi air kedalam santan pekat.
(jika suka lebih lemak,tambah sedikit lagi santan kotak pekat)


Masukkan 3/4 sudu besar garam halus. Gaul rata-rata. Rasa santan-biar terasa garamnya. Bila sudah sampai masa, angkat kukusan. Beras sudah mengembang cuma belum masak sepenuhnya. Tuang  kedalam bekas. Tuang santan pekat. Gaul rata-rata,biar meresap.


Masuk semula kedalam kukusan. Buat lubang ditengah. Kukus 30 minit lag atau sehingga nasi masak. Jika sudah cukup lembut, boleh tutup api. Dapat 3/4 penuh periuk nasi saiz sederhana. Bau aroma nasi lemak mewangi satu taman!


Memang proses yang cerewet,tapi sangat berbaloi. Imbangilah dengan menyertakan banyak sayuran seperti kangkung dan timun. Lengkapkan dengan protein- telur rebus,ikan bilis goreng dan kacang tanah.


Mari-mari, nasi lemak kukus.


Ini resepi asas.Boleh saja kalau hendak letak hirisan bawang,halia, dan halba untuk nasi yang lebih beraroma.
Nasi lemak antara makanan warisan tok nenek kita. Jangan dilupa.


Sekian.


No comments:

Post a Comment