Thursday, 22 May 2014

ENTRI 46 : KUIH BADAK BERENDAM.

Pengisian : Anda tidak boleh mencipta pengalaman. Anda mesti menghadapinya.


Bismillah....

Takdir ditangan Tuhan.

Semuanya bermula kerana sepinggan murtabak daging. 
Jika tidak kerana murtabak itu, sampai bila-bila agaknya saya tidak akan mencuba resepi ini.
Begini.
Semalam, menjelang maghrib,
  " Assalamualaikuuuuum...."
Siapa pula maghrib-maghrib datang ini.
Sikecil saya segera berlari ke pintu sliding berlangsir kuning diraja.
 "Abang Azrul...."
Saya bingkas bangun. 
Bersama adiknya menatang sebiji pinggan.
       " Buat sendiri ke ni...?"
    Bau murtabak harum semerbak.
       " Pandainya mak buat. Cik Ina tahu buat lempeng saja"

Semua periuk yang berisi lauk-pauk tidak berusik. Kami menikmati murtabak daging berkuah dhal yang masih panas sebagai hidangan malam. Sangat sedap. 
Pinggan putih berbunga tepi itu tidak mengambil masa lama untuk kosong. 
Pinggan kosong....p i  n g g a n.......a l a m a k !
Esok hari terakhir keluarga itu disini. 
Lusa mereka akan berpindah ke Perak. 
Itu bermakna, saya perlu pulangkan esok!
Takkan kosong saja.
Haihh kepala sudah pening.

Nak balas apa?

Tiba-tiba teringat ketika bersembang-sembang suatu ketika dulu, emak si Azrul pernah memberitahu yang bapa si Azrul sangat sukakan kuih badak berendam. 
Takkan saya kena buatkan kuih favourite bapanya pula, ah tidaklah perlu sampai keperingkat itu.
Tapi, kuih apa?
...hidangan apa? 
Saya pula macam sudah tidak nampak benda lain.
 Hati mula berasa was-was. 
Ada berani ?

Hati mendegil. 
Teringat yang saya pernah terbaca resepi menggabungkan tepung pulut dengan kentang lenyek. 
Kalau takut tidak jadi,buatlah sedikit saja.

Mari kita mulakan.

RESEPI BADAK BERENDAM.

1 cawan tepung pulut.
1 biji kentang 
150 ml air  ( tuang sedikit-sedikit )
( Kentang saiz sederhana dibuang kulit, belah empat dan rebus 15 minit- lenyek.)


INTI KELAPA.

3 sudu besar gula merah
2 sudu besar gula pasir
5 sudu besar air
100 gm kelapa parut 
1 sudu teh tepung jagung
sehelai daun pandan
( masak gula dan air dengan daun pandan -tapis. Masuk periuk/kuali -tambah kelapa dan tepung jagung- masak hingga kering. Biar manis sedikit kerana bila sudah di kombinasi dengan kuih, rasanya akan menjadi sedikit tawar,)


KUAH SANTAN.

1 cawan santan kotak.
3 cawan air.
1/4 cawan tepung beras.
1 1/2 sudu teh garam halus.
2 helai daun pandan.
( gaul rata semuanya dan masak api sederhana hingga likat dan meletop-letop- tutup api.)



Bulat-bulatkan sebesar duit siling 20 sen lama.


Secawan tepung pulut dan sebiji kentang saiz sederhana.


Kupas kulit, belah empat dan rebus dengan api sederhana selama 15 minit. Gunakan garfu untuk tentukan yang ia dah cukup empuk atau belum. Lenyek gunakan smasher.


Satukan tepung dan kentang,gaul dengan garfu. Masuk air sedikit-sedikit. Uli sampai boleh bentuk doh yang lembut dan tidak melekat di tangan (tidak perlu habeskan air jika sudah boleh uli jadi doh)


Dohnya sangat lembut. Saya teringin yang colourful maka saya bahagi kepada empat bahagian. Dapat empat bebola. Satu bebola saya bahagi lagi kepada tiga- dapat 12 biji badak berendam daripada resepi  diatas.


Proses memasukkan inti. Bahagian tengah biar agak tebal, cuma nipiskan bahagian kelilingnya- baru letak bebola inti kelapa. Tutup dengan cermat dan gelekkan antara kedua tapak tangan anda dengan perlahan untuk melicinkan permukaannya.


Didihkan air bercampur daun pandan. Bila sudah mendidih keluarkan daun. Masukkan separuh dulu. Biarkan ia mendidih selama 4 minit sehingga bebola tadi timbul. Angkat segera dan toskan atas penapis. Masukkan selebihnya pula.


Geram pula tengok si badak ni. Sediakan kubang pula untuk mereka berendam.


 Satukan semua bahan dalam satu periuk. Bila sudah sebati -buka api yang sederhana dan masak hingga pekat dan meletop-letop.( supaya kuah ini tahan lama dan tidak mudah basi )


Kuah itu mesti rasa lemak masinnya- baru sedap gandingan mereka. 


Syarat utama kalau hendak bagi/jamu orang, wajib rasa dulu.


  Rasanya saya kena tambah sedikit saja garam dalam kuah.
It almost perfect!


Siap sedia untuk dihantar kerumah jiran.

                       
  Kuih badak ku, aku gembira melihat kamu.

           
  Insyaallah, saya akan buat lagi nanti.

                              


Bersyukur dapat buat kuih ini dengan jayanya,alhamdulillah.



Sekian.
    

No comments:

Post a Comment