Saturday, 13 June 2020

ENTRI 212 : PULUT TETAL MELAKA.

13hb. Jun 2020
BISMILLAHIRRAHMANIRAHIM.



PRESSED GLUTINOUS RICE




Susah betul hendak jumpa Pulut Tetal sekarang. Walaupun rasanya hampir sama saja dengan lemang atau pulut bersantan yang lain, namun ia ada keunikan tersendiri. Saya menyimpan azam mahu mahir membuatnya, bagi menyambung warisan yang pernah ditinggal oleh salah seorang nenek saudara yang sangat mahir membuatnya dulu. Rugi sungguh jika tidak diteruskan. Juadah ini berasal dari masakan Nyonya Peranakan.

Resepinya sangat mudah. Saya ambil dari bacaan di internet.


RESEPI PULUT TETAL.

1 kilo pulut susu
2 keping asam keping

2 1/2 cawan santan sederhana pekat
1 1/2 sudu teh garam halus

Beberapa helai daun pandan
Bunga telang secukupnya.

Cara penyediaannya adalah seperti berikut:


Saya pilih beras Sakura kampit kecil seberat 1 kilo. Paling bagus rendam semalaman tapi jika tidak sempat, sejam dua pon sudah memadai. Rendam bersama 2 keping asam keping. Katanya, supaya pulut nampak lebih berkilat.


Saya gunakan santan kotak kecil, sebanyak 1 kotak setengah. Cairkan dengan sedikir air dan cukupkan amaun 2 1/2 cawan. Gaulkan 1 1/2 sudu teh garam halus.


Sediakan loyang dan alas dengan plastik supaya pulut tidak melekat. Boleh juga gunakan aluminium foil. Sapukan sedikit minyak disekelilingnya. Pastikan ada lebihan plastik dalam anggaran boleh menutup permukaan atas pulut nanti. Saya gunakan 2 helai plastik supaya cukup.

Pulut Tetal adalah pulut yang ditekan atau dimampat. Jadi perlukan sesuatu untuk menekan dari atas. Jika orang dulu, ada acuan khas dari kayu, malah bahagian dalamnya juga dialas daun pisang, sekarang ini kita gunalah pendekatan yang lebih mudah.
Untungnya saya ada satu lagi loyang yang saiznya sedikit saja lebih kecil dari loyang pertama, yang ukurannya lebih kurang 9 inci lebih. Jadi loyang kedua inilah akan jadi penekan dan akan dibantu dengan pemberat lain.


Sementara itu, sediakan periuk kukusan. Jangan lupa masukkan beberapa helai daun pandan untuk aroma yang lebih wangi. Hidupkan api supaya apabila pulut sudah sedia, air dalam periuk sudah pun mendidih.

Toskan pulut yang telah direndam tadi. Masukkan kedalam periuk kukusan yang telah menggelegak airnya. Kukus selama 15 minit.


Setelah 15 minit, turunkan periuk. Saya selalu sediakan satu dulang besi untuk meletakkan periuk yang panas tadi. Sediakan juga satu periuk lain, contohnya periuk nasi [periuk dalam rice cooker]. Tuang pulut yang masih mentah dan kelihatan kering itu kedalam periuk tadi. Tuang separuh dari santan yang telah diletak garam halus. Gaul rata. Memang nampak kering dan kurang cecair. Tidak mengapa. Hendak hasilkan Pulut Tetal, santan mesti secukupnya bagi menghasilkan pulut yang sebutir-sebutir. Cecair yang lebih walau sedikit, menyebab pulut tidak cantik.


Masukkan pulut yang sudah digaul rata kedalam periuk kukus semula. Jangan lupa buat lubang ditengah supaya wap dapat keluar. Jika gunakan periuk kukus lama yang lubangnya agak besar, perlulah alas dengan daun pisang supaya pulut tidak jatuh kebawah. Periuk kukus saya saiz sederhana, jadi tidak perlu alaskan apa-apa. Lubangnya agak kecil dan beras tidak banyak yang keluar.

Kukus semula selama 10 minit.


Setelah 10 minit, turunkan periuk sekali lagi dan ulang semula langkah diatas. Boleh juga jika hendak letak beberapa simpulan daun pandan.


Kukus semula selama 10 minit lagi.

Sementara itu, sediakan bunga telang [ butterfly pea flower]


Melalui pembacaan, ramai yang merendam bunga ini didalam air panas bagi mengeluarkan jus birunya. Hasilnya, warna biru itu agak cair. Ada yang merendam separuh pulut dalam air itu.
Saya mengguna cara yang lain. Oleh kerana saya ada menanam pokok ini dibelakang rumah, jadi tiada masalah untuk dapatkan stok yang banyak.

Cara saya, setelah dibasuh dan dibuang tampuk, tumbuk dalam lesung tanpa sedikit pon air untuk dapatkan jus yang pekat.
Jumlah bunga telang yang digunakan pon agak banyak, melebihi 50 kuntum.


Tumbuk sedikit-sedikit. Tambah bunga dari masa ke semasa.
Setelah semua habis, perah menggunakan tapisan kopi.
OK jus biru sudah sedia.


Setelah 10 minit, buka penutup periuk kukus. Tuang jus bunga telang secara rawak  keatas pulut yang sudah masak. Tidak perlu gaul. Kukus semula selama 5 minit.


Pulut sudah pon siap.


Cantik sebutir-sebutir.


Biarkan sekejap sebelum transfer kedalam loyang yang sudah dialas plastik berminyak. (lagi bagus jika ada stok daun pisang). Padatkan dengan senduk rata-rata. Akhir sekali, tutup bahagian atas pulut dengan lebihan plastik. Letak loyang yang sedikit kecil diatasnya, dan hempapkan dengan apa-apa pemberat yang ada.

Cara saya, balut batu bata yang warna merah dengan beberapa helai suratkhabar. Pastikan berbungkus kemas. Masukkan kedalam beg plastik. Sudah jadi pemberat. Hendak berat lagi, letak lesung batu diatasnya.

Biarkan selama beberapa jam. Atau sehingga sejuk.


Saya biarkan selama 2 jam. Keluarkan dan letak atas dulang yang telah disapu sedikit minyak.
Paling bagus, gunakan pisau plastik yang juga disapu dengan sedikit minyak supaya pulut tidak melekat. Potongan akan jadi sangat kemas berbanding dipotong dengan pisau biasa.




Indah rupa, sedap rasa.






Resepi yang ringkas tapi elegan. Sangat sedap dimakan bersama rendang, kari atau sekaya.


Inovasi-Bite size pulut tetal bersama serunding daging-sedap dan ringkas.

Semoga perkongsian setelah 3 tahun menyepi ini membawa manafaat.

Sekian.




No comments:

Post a Comment