Pengisian : " Orang yang paling aku sukai ialah orang yang menunjukkan kesalahanku.."..Khalifah Ummar.
Bismillah...
Lebih kurang 34 tahun yang lalu.....
Masih sempat lagi ke ni?..ke aku seorang je yang lambat? Ah!tak boleh jadi! Langkah semakin laju demi mengejar satu misi. Misi yang tidak boleh, tidak mungkin dan tak nak dilepaskan! Ia bagai memanggil-manggil. Serius!
Mencungap tiba di muka pintu,melonggar ikatan tali kasut sekolah yang sudah dua tahun tidak bertukar itu pun terasa lambat! Jam dinding diatas televisyen model lama sudah menunjukkan jam 1.35 tengahari. Ah! masih lagi sempat! Selepas mencampak beg sekolah keatas katil didalam bilik, langkah diatur laju menuju ke dapur.
Lauk apa hari ini? Wow sardin! Aromanya saja sudah bisa membuat perut berkeroncong lapar.
Mana bekas bekal aku? Nasi disenduk,cekup seekor ikan sardin, sedikit kuah,cukup. Air? cuma tambah botol air sekolah yang masih berbaki.Siap!!
Pintu dapur dibuka. Mana pula selipar? Pakai saja selipar abah,bukan hendak pakai lama pun. Sambil berlari,anak mata meliar memandang pokok-pokok ciku betul-betul bersebelahan dengan rumah. Masih tiada siapa!,mengeluh hampa.
"Aku ingat aku yang lambat.." terkenang pula tadi, Cikgu Gan tidak benarkan kami keluar awal membuat hati cuak,bimbang tidak dapat menyertai misi hari ini. Plastik merah berisi makanan digantung pada dahan yang paling rendah,sambil memanjat pokok ciku yang paling hampir. Pokok rendang sederhana tinggi itu kelihatan sudah mula mengeluarkan putik..Perlahan-lahan saya labuhkan punggung pada sekeping papan yang telah tersedia diletak antara dua dahan yang agak besar dan kukuh. Papan yang lagi dua sebelah menyebelah masih kosong.
" Apasal diorang lambat ni..."
Beberapa minit kemudian terdengar sayup-sayup suara hilai tawa,gurau senda dari seberang jalan depan rumah. Hati saya mula berbunga! Dari kejauhan kelihatan Pidah dan Aza tersenyum-senyum.
" Weii....kenapa lambat benar?.." suara bertukar nada,seronok bersama kawan sekampung dan satu sekolah walaupun berlainan umur dan kelas. Tidak menjawab pun soalan saya,mereka bingkas naik dengan bekal masing-masing. Kami makan berselera sekali walaupun berlauk ringkas. Macam-macam topik hangat dan semasa dibual,pasal budak hulu nak buat 'sea games' pada minggu itu di padang dalam pokok getah belakang rumah Pakcik Mat Somlah,pasal budak hilir ajak lawan bolalah,pasal anak Tok khatib nak bertunanglah,pasal sabtu depan hendak pergi main sungailah hah..macam-macam! Sedar-sedar masa semakin hampiri 2 petang, masing-masing panik kerana kami perlu bertukar pakaian untuk ke sekolah agama pula.Hal-hal tergantung akan dibincang pada sidang keesokkan hari!
Memori itu sukar dilupakan. Namun bila dikenang-kenang,direnung-renung,pelbagai kemusykilan timbul dibenak.
Contohnya 1 : siapakah yang mencetuskan idea yang begitu kreatif iaitu,makan atas pokok tersebut?Adakah saya?
Besar kemungkinan.
Yang ke 2 : bagaimana emak saya yang garang itu boleh membiarkan sahaja perlakuan anaknya ini,macamlah tidak ada rumah untuk makan dengan selesa malah turut melibatkan anak orang lain pula!
Yang ke 3 : begitu menebalkah semangat setiakawan kami? walau berjumpa di sekolah setiap hari,masih tidak cukup? sebab selepas balik sekolah agama mana sempat hendak bermain? Kan?
Begitulah aktif dan agresifnya saya sewaktu kecil dahulu.
Resepi berikut,mak saya tidak pernah buat. Maklum sahajalah,ini resepi moden.
SARDIN ROLL.
Bahan-bahan :
Roti putih dan sambal sardin emak saya.
Bahan-bahan :
Bahan 1 : 5 sudu besar cili kering kisar
Bahan 2 : Satu labu bawang besar (hiris)
Bahan 3 : Setengah cawan air asam jawa.
Bahan 4 : Sardin (tin sederhana) dan roti putih.
Langkah 1 : Tumis bawang besar.
Langkah 2 : Bila sudah layu,masuk cili kisar.
Langkah 3 : Bila cili sudah garing,masuk air asam jawa. Bila sudah mendidih, masukkan 1 sudu garam dan 3 sudu gula.
Langkah 4 : Masukkan sardin dalam tin,biar mendidih.
Sambal sardin,sedap makan dengan nasi. Kalau tidak habis,jangan membazir. Kita buat sardin roll.
Mula-mula hancurkan ikan,campur dengan sedikit kuah. Guna garfu. Boleh perah sedikit limau kasturi jika suka.
Sediakan sedikit tepung gandum,bancuh dengan sedikit air,sebagai gam untuk lekatkan roti supaya tidak terbuka nanti.
Step 1 : Potong sekeliling roti,kita guna bahagian putih sahaja.
Step 2 : Gunakan kayu penggelek dan leperkan roti.
Step 3 : Buat senipis mungkin,supaya roti tidak terlalu menyerap minyak.
Step 4 : Letak inti sardin,letak di bahagian tepi.
Step 5 : Gulung dengan kejap dan kemas.
Step 6 : Dengan jejari yang bersih,ambil sedikit gam tepung gandum,sapu dihujung roti.
Step 7 : Gam supaya gulungan tidak terbuka.
Step 8 : Buat sampai selesai.
Goreng guna minyak yang banyak (deep fry) hingga garing,tiris atas tisu serap minyak.
Ada 3 cara menggoreng:
1- goreng begitu saja
2- celup dengan telur dahulu,kemudian goreng
3- celup telur,salut breadcrumb,kemudian goreng
No comments:
Post a Comment