Wednesday, 30 April 2014

ENTRI 25 : TAK JADI.

Pengisian :  Kesusahan tidak semuanya siksaan dan yang pahit itu tidak semuanya racun.Adakalanya ia lebih berguna dari kesenangan yang terus menerus.

Bismillah...




Saya mulakan hari indah ini dengan memikir-mikir. Mahu cuba resepi apa pula ya?
Akhirnya,keputusan dibuat,saya hendak buat kuih XXY.
Seperti biasa perkara pertama dibuat adalah merancang masa kerana jika diikut resepi itu, bahan utamanya - S mesti direndam selama 2 jam.
Calculation dibuatjika rendaman bermula pada jam 1.30 tengahari,maka jam 3.30 petang saya sudah boleh mula mengukus. Ah molek dah tu. Lagipun resepinya agak simple. Dahulu pernah sekali saya cuba buat,tapi gunakan resepi lain,dari blog seorang doktor. Memang menjadi, namun untuk kelainanlah konon teringinlah cuba resepi lain pula. Iyalah,sudah tergoda dengan gambar-gambar yang dipaparkan!
     
15 minit sebelum 3.30 petang,saya sudah bergegas ke dapur untuk memanaskan periuk kukusan.
Bahan S kelihatan telah betul-betul kembang.Keadaan sebelum dan selepas ia mengembang pon telah saya rakam. Begitulah!
Tepat 3.30 saya mula menapis bahan tersebut. Menyemak resepi semula,letak gula dan pewarna. Semua lancar setakat ini. Benar bagai dikata- bila minat,semua boleh jadi-sayalah chef, sayalah  food photographer, food stailing...
Agak mudah resepi kali ini. Setiap langkah telah diambil foto. Sudah separuh siap,tinggal sudukan saja kedalam acuan yang telah dilengser dengan sedikit minyak. Kemudian kukus 15 minit.
       
Masa seolah berlari
Mana kamera ? Kuih sudah masak.
      " Adiiikkk...cepat!! bagi ibu telefon tu,kuih ibu dah nak masak!..."saya bertempik.
Berlari sikecil  yang sedang asyik bermain photo grid .Gajet berwarna merah terang itu pantas bertukar tangan. Cepat-cepat saya setkan apa yang perlu.OK semua sudah sedia!
...it's the time....... tadda..... sambil membuka penutup periuk kukusan...
O.-.O...!..kenapa?
Kenapa macam lain...?

*******

 Kena delete semua gambar ?

Ya, habis tu?

Penatnya.

Monyok.
Termenung 3 minit. Post mortem dibuat. 
Apa yang silap? Semua aturan diikut.

Ah daripada melayan perasaan,ada baiknya saya layan drama korea-'Syndrome'.
Lagi best, good bye  kengkawan kat dapur, nanti-nantilah I kemas ya.

    Pisau tajam dihulur pembantu kepada doktor bedah bertaraf pakar itu,darah mula memancut dari kulit kepala yang ditoreh. Ah tidak sanggup pula hendak tengok,mata terus terpejam. Dalam hati berdetak detik, perlahan-lahan kelopak mata dibuka. 
Kuih XXY  muncul di skrin. Kenapa tak jadi ? Apa masalah sebenar. Fikiran menerawang jauh. Bersimpang siur trafik dalam otak  memikir-mikir haram jadah kenapa kuih itu tidak mahu jadi.
Itulah! Kenapa tidak ikut sahaja resepi mula-mula?
Bukankah  sudah bazir masa dan tenaga,hendak cuba cara lain konon ...
     
Demikian nasib yang belajar menerusi internet. Tidak semua resepi yang dipaparkan akan menjadi 100 peratus. Kalau nasib sebaik sabut, timbullah . Jika jadi batu,tenggelam terus-masuk tong sampah.

      Dr Cha Yeo Uk seakan teragak-agak,mahu masuk atau pun tidak kebilik professor bertaraf dunia itu. Pintu dikuak perlahan. Professor berkaca mata kelihatan tenang.merenung doktor pelatih muda yang berdiri betul-betul dihadapannya. Emosinya memberat. Sayu kerana tidak dapat memegang, mendakap anak kandungnya sendiri. Dengan muzik yang syahdu begitu,hati terbuai pilu. Pilu lagi bila mengenangkan si kuih XXY itu,dimanakah salah dan silap saya? Adakah  bahan utama direndam terlalu lama? Mungkin juga tidak ditiris kering? Atau apa?
Heh! otak saya yang harus dibuka oleh pakar bedah saraf itu kot!
Eh eh cerita korea dah habis!



Sekian.

     

Tuesday, 29 April 2014

ENTRI 24 : RESEPI KEK MINYAK PELANGI

Pengisian : Orang yang mengejar kepentingan diri adalah orang yang akan mencipta banyak musuh.

Bismillah...


   " Sudah siapkan meja untuk kek?"
   " Sudah.."
   " Kek ini tiga tingkat tau,adik Cik Kiah yang buat." terang Cik Kiah bangga. Oh kek Rozi rupanya. Saya dengar dia ambil tempahan juga. Belajar melalui internet,seperti saya juga.

   " Pengantin sudah hendak berarak,kau pergi ambil kek. Nak diletak awal, takut cair toppingnya.."  Arahan tiba-tiba itu membuat saya bergegas ke dapur. Seharian kerja saya pergi,balik,pergi,balik... kesana kemari. Sangat letih tapi apa pilihan yang ada. Selaku anak saudara sulung dalam keluarga sebelah emak,saya selalu saja menjadi mangsa,buat itu dan ini oleh emak-emak saudara yang ramai itu. Semua saya selesaikan sehabis baik. Kotak kek sudah pun dikeluarkan. Dengan hati-hati..kek berhias indah itu diletak atas meja bulat yang telah tersedia di tengah-tengah meja makan beradab.
    
" Kek apa agaknya?...nampak sedap!" bisik hati. Majlis diteruskan dengan acara memotong kek pula. 
     "  Potong-potong kek tu,masuk atas piring kertas,lepas itu bahagi-bahagi. Biar semua orang rasa..."...suara itu mengarah lagi. Hendak mula dari mana? Atas dululah. Kek Red Velvet rupanya.Patut lah mereka tidak bagi keluarkan awal,takut cream cheesenya cair. Tingkat kedua lain pula! Kek coklat. Cukuplah dua tingkat dulu. Saya menggamit sepupu yang lain untuk agih-agih kek itu kepada jemputan. Selesai kerja dapatlah ambil sepotong untuk menjamu tekak. Duduk dikerusi paling hujung dibawah kipas yang maksimum lajunya sedikit melegakan.
    
" Apa rasa kek ni.?? Saya memerhati yang lainSemua meletak kembali potongan kek masing-masing. Kenapa ada rasa sedikit pahit?
    " Apahal semua tidak sedap ni..."rasa kek coklat pun seperti ada yang tidak kena.
Lalu melambak-lambaklah kek yang telah siap dipotong tidak dimakan dek orang.

Mari kita buat kek gerenti jadi.

    
          RESEPI KEK MINYAK PELANGI.


5 biji telur
3/4 cawan gula halus
2 cawan tepung gandum
1 cawan minyak masak
1 cawan susu pekat
1 sudu teh baking powder
2 penutup esen vanilla

Cara-caranya....


Panaskan oven 170c. Guna loyang yang bersesuaian,lengser dengan sedikit butter/marjerin. Alas dengan baking paper.


Bahan 1 : Sukat tepung gandum bersama baking powder,ayak.
Bahan 2 : Minyak masak
Bahan 3 : Gula halus
Bahan 4 : Susu pekat
Bahan 5 : telur ayam.
( Bahan-bahan nampak sedikit kerana saya hanya membuat separuh adunan )


Step 1 : Pukul telur bersama gula halus gunakan  high speed.
Step 2 : Pukul sampai kembang ( about 5 minutes)
Step 3 : Masukkan esen vanilla dan ovelette.Pukul sampai betul-betul sebati ( about 3 minutes )


Step 4 :  Bila tidak nampak lagi ovalette,boleh masuk susu pekat.
Step 5 :  Sudah sebati masuk minyak masak.
Step 6 :  Perlahankan speed masuk 1/2 tepung gandum. Putar sampai semua mesra,masuk separuh lagi. 
Step 7 : Sediakan 4 mangkuk yang sama saiz supaya adunan dapat dibahagi sama rata.


  Warnakan ikut kesukaan.


Suka betul buat layering..
Step 1  : Sudukan warna pilihan sebanyak 3 sudu,letak tengah-tengah. 
Step 2 :  Letak 3 sudu lagi warna lain pula betul-betul diatas warna pertama tadi.
Step 3 :  Letak lagi 3 sudu warna yang lain pula.
Step 4 : Kontrol supaya adunan tidak jatuh senget.
( Saya gunakan loyang bersaiz 8 inci untuk separuh adunan  )


Bila letak 3 sudu aduan berwarna diatas,adunan dibawah secara automatik akan merebak dengan sendirinya akibat tekanan dari atas.


Bakar pada suhu 170c selama 45 minit. Satu rumah  berbau harum. 
Kek sangat lembut,dengan kulit atasnya rangup semasa panas.




Cantik dan sedap.



First time dengar nama Kek Minyak memang tidak teringin hendak buat, sebab terbayangkan mungkin berminyak-minyak,rupanya tidak. Minyak itu pengganti butter/marjerin.



Sekian.

Monday, 28 April 2014

ENTRI 23 : CEKODOK PISANG

Pengisian : Jangan kamu berkawan dengan orang yang sukakan kejahatan..nanti ditakuti akan hilang kebencian kamu terhadap kejahatan itu.

Bismillah...



Cuaca diluar cerah.
"Psttt!....psttt!!!!..."
    Saya berlari ke tingkap serambi rumah,menjengah muka kebawah.
    " Aku kena belajar dulu lah....." kata mengharap pengertian. Kawan-kawan dibawah beriringan  kelihatan sungguh kecil dan comot.Terkebil-kebil Rani,Talib,Aju dan adiknya Apar.
    " Tunggu tau!.." isyarat diberi. Terangguk-angguk semua bak burung belatuk.
Derapan tapak kaki membuat saya tersentak. Cepat-cepat masuk ke dalam,ke tempat yang sepatutnya.

Emak membawa dua keping buku tulis berwarna coklat. Satu untuk saya dan satu lagi untuk adik.Dia  mula menulis huruf 'a' kecil,ada lima semuanya dalam satu baris. Saya yang tekun memerhati disuruhnya menyiapkan yang lain. Begitu juga adik. Menulislah kami dengan tekun. Semua mesti siap sebelum keluar bermain. Itulah cara didikan emak. Tidak masuk ke sekolah tadika. Hanya belajar di rumah.
     
Kerja sudah selesai.
Main time!!!
Laju mendapatkan kawan-kawan yang setia menanti di bawah.
     " Jom!"
     " Jom!!" sahut yang lain.
Maka berlarilah kami sebebasnya...sepuasnya.
    " Main apa hari ni?"
    " Sorok-sorok?"
    " Taknak.Semalam kan dah main."
    " Konda-kondi?"
    " Taknak..sakit kena kayu tu"
    " Teng-teng ?"
    " hmm..nak main apa ni...."
Akhirnya kami bermain sorok-sorok juga. Seorang bersembunyi di atas pokok ciku depan rumah Nek Bab, seorang naik ke serambi rumah orang tua itu.Yang lain ke tebing yang sedikit curam di tepi jalan raya. Pendek kata,merata tempat persembunyian. Ada masa bertekak juga. Pagi gaduh, petang baik.

    Itulah kawan yang membesar bersama,kawan pertama sebelum memasuki alam persekolahan. Walaupun cuma berenam.kami kreatif memerah idea,mengadakan permainan yang sesuai. Pernah juga anjurkan 'sea games' versi sendiri,seronok bukan main!
   Pernah menggali ubikayu. Bakar sendiri! Rentung jugalah kulitnya, apabila dibersihkan, dibuang kulit,sedap juga dimakan.
Memori yang tinggal kenang-kenangan.

******

Cekodok pisang memanglah tidak pernah.
Resepi ini mudah saja.


RESEPI CEKODOK PISANG.

2 cawan pisang lenyek.
1/2 cawan gula
3 cawan tepung gandum.
1 sudu besar soda bikarbonat
1 sudu kecil baking powder
1 biji telur
1 sudu besar susu tepung.
1/2 sudu kecil garam.


Pisang yang agak besar,5 biji  cukup untuk dapatkan 2 cawan pisang lenyek.
Apa jenis pon boleh,asalkan sudah masak ranum.
 

Bahan 1 : Sukat 3 cawan tepung gandum,soda bikarbonat dan baking powder perlu diayak supaya tidak berketul.
Bahan 2 : 1/2 cawan gula.
Bahan 3 : Sebiji telur ayam
Bahan 4 : 1 sudu besar susu tepung bersama 1/2 sudu teh garam halus.


Satukan bahan kering,pukul sedikit telur dengan garfu. Gaul semua hingga betul-betul sebati. Adunan memang agak pekat. Tidak perlu letak air.
Perap 1 jam.


Goreng dalam minyak yang banyak.
Guna api sederhana sebab kuih cepat garing. Sudah siap goreng,tiris atas tisu serap minyak.


Sedap makan semasa suam-suam sebab ia sudah mula garing.

.


Buat comel-comel-' bite size'. 
Abah saya yang cerewet pun suka cekodok pisang yang saya buat ini.


Sekian.

Sunday, 27 April 2014

ENTRI 22 : SARDIN ROLL

Pengisian : " Orang yang paling aku sukai ialah orang yang menunjukkan kesalahanku.."..Khalifah Ummar.

Bismillah...


Lebih kurang 34 tahun yang lalu.....

Masih sempat lagi ke ni?..ke aku seorang je yang lambat? Ah!tak boleh jadi! Langkah semakin laju demi mengejar satu misi. Misi yang tidak boleh, tidak mungkin dan tak nak dilepaskan! Ia bagai memanggil-manggil. Serius!
      Mencungap tiba di muka pintu,melonggar ikatan tali kasut sekolah yang sudah dua tahun tidak bertukar itu pun terasa lambat! Jam dinding diatas televisyen model lama sudah menunjukkan jam 1.35 tengahari. Ah! masih lagi sempat! Selepas mencampak beg sekolah keatas katil didalam bilik, langkah diatur laju menuju ke dapur.
Lauk apa hari ini? Wow sardin! Aromanya saja sudah bisa membuat perut berkeroncong lapar.
Mana bekas bekal aku? Nasi disenduk,cekup seekor ikan sardin, sedikit kuah,cukup. Air? cuma tambah botol air sekolah yang masih berbaki.Siap!!
     Pintu dapur dibuka. Mana pula selipar? Pakai saja selipar abah,bukan hendak pakai lama pun. Sambil berlari,anak mata meliar memandang pokok-pokok ciku betul-betul bersebelahan dengan rumah. Masih tiada siapa!,mengeluh hampa.
    "Aku ingat aku yang lambat.." terkenang pula tadi, Cikgu Gan tidak benarkan kami keluar awal membuat hati cuak,bimbang tidak dapat menyertai misi hari ini. Plastik merah berisi makanan  digantung pada dahan yang paling rendah,sambil memanjat pokok ciku yang paling hampir. Pokok rendang sederhana tinggi itu kelihatan sudah mula mengeluarkan putik..Perlahan-lahan saya labuhkan punggung pada sekeping papan yang telah tersedia diletak antara dua dahan yang agak besar dan kukuh. Papan yang lagi dua sebelah menyebelah masih kosong.
     " Apasal diorang lambat ni..." 
Beberapa minit kemudian terdengar sayup-sayup  suara hilai tawa,gurau senda dari seberang jalan depan rumah. Hati saya mula berbunga! Dari kejauhan kelihatan Pidah dan Aza tersenyum-senyum.
    " Weii....kenapa lambat benar?.." suara bertukar nada,seronok bersama kawan sekampung dan satu sekolah walaupun berlainan umur dan kelas. Tidak menjawab pun soalan saya,mereka bingkas naik dengan bekal masing-masing. Kami makan berselera sekali walaupun berlauk ringkas. Macam-macam topik hangat dan semasa dibual,pasal budak hulu nak buat 'sea games' pada minggu itu di padang dalam pokok getah belakang rumah Pakcik Mat Somlah,pasal budak hilir ajak lawan bolalah,pasal anak Tok khatib nak bertunanglah,pasal sabtu depan hendak pergi main sungailah hah..macam-macam! Sedar-sedar masa semakin hampiri 2 petang, masing-masing panik kerana kami perlu bertukar pakaian untuk ke sekolah agama pula.Hal-hal tergantung akan dibincang pada sidang keesokkan hari!

     Memori itu sukar dilupakan. Namun bila dikenang-kenang,direnung-renung,pelbagai kemusykilan timbul dibenak. 
Contohnya 1 : siapakah yang mencetuskan idea yang begitu kreatif iaitu,makan atas pokok tersebut?Adakah saya?
Besar kemungkinan.
Yang ke 2 :  bagaimana emak saya yang garang itu boleh membiarkan sahaja perlakuan anaknya ini,macamlah tidak ada rumah untuk makan dengan selesa malah turut melibatkan anak orang lain pula!  
Yang ke 3 : begitu menebalkah semangat setiakawan kami? walau berjumpa di sekolah setiap hari,masih tidak cukup? sebab selepas balik sekolah agama mana sempat hendak bermain? Kan?

Begitulah aktif dan agresifnya saya sewaktu kecil dahulu.

Resepi berikut,mak saya tidak pernah buat. Maklum sahajalah,ini resepi moden.

 SARDIN ROLL.

Bahan-bahan :
Roti putih dan sambal sardin emak saya.


 Bahan-bahan :

Bahan 1 : 5 sudu besar cili kering kisar
Bahan 2 : Satu labu bawang besar (hiris) 
Bahan 3 : Setengah cawan air asam jawa.
Bahan 4 : Sardin (tin sederhana) dan roti putih.


Langkah 1 : Tumis bawang besar.
Langkah 2 : Bila sudah layu,masuk cili kisar.
Langkah 3 : Bila cili sudah garing,masuk air asam jawa. Bila sudah mendidih, masukkan 1 sudu garam dan 3 sudu gula.
Langkah 4 : Masukkan sardin dalam tin,biar mendidih.


Sambal sardin,sedap makan dengan nasi. Kalau tidak habis,jangan membazir. Kita buat sardin roll.
Mula-mula hancurkan ikan,campur dengan sedikit kuah. Guna garfu. Boleh perah sedikit limau kasturi jika suka.


Sediakan sedikit tepung gandum,bancuh dengan sedikit air,sebagai gam untuk lekatkan roti supaya tidak terbuka nanti.


Step 1 :  Potong sekeliling roti,kita guna bahagian putih sahaja.
Step 2 :  Gunakan kayu penggelek dan leperkan roti.
Step 3 :  Buat senipis mungkin,supaya roti tidak terlalu menyerap minyak.
Step 4 : Letak inti sardin,letak di bahagian tepi.


Step 5 : Gulung dengan kejap dan kemas.
Step 6 : Dengan jejari yang bersih,ambil sedikit gam tepung gandum,sapu dihujung roti.
Step 7 : Gam supaya gulungan tidak terbuka.
Step 8 : Buat sampai selesai.


Goreng guna minyak yang banyak (deep fry) hingga garing,tiris atas tisu serap minyak.
Ada 3 cara menggoreng:
1- goreng begitu saja
2- celup dengan telur dahulu,kemudian goreng
3- celup telur,salut breadcrumb,kemudian goreng
Semuanya sedap-sedap belaka.



Rangup betul,sangat ringkas tapi sangat sedap dan mengenyangkan. 
Boleh bawa sebagai bekal ke sekolah atau bawa pergi berkelah atau makan dengan kengkawan atas pokok.

Sekian.

Thursday, 24 April 2014

ENTRI 21 : RESEPI APAM GULA HANGUS

Pengisian : Keluarga yang dekat dengan Allah akan menjadi keluarga yang layak ditolong olehnya dalam setiap urusan.

Bismillah...

Ee tak jadi lagi? Penutup periuk berwap itu cepat-cepat saya letak. Panas..!
Menjengah kedalam membuat hati kecewa.
Apa yang tak kena? Resepi diikut satu persatu,tidak berani menokok tambah. Baru belajar mana boleh derhaka resepi.?

Ini  percubaan ke 3,resepi yang berlainan. Itu yang down semacam.

*******

Semua diatas telah tinggal sebagai kenangan,terlipat kemas dalam lipatan sejarah. Google menemukan saya dengan satu blog. Gambar yang terpampang disitu melambai minta dicuba.
Kali ini,berbaloi! Rasanya saling tidak tumpah seperti yang selalu dibuat mak semasa saya kecil dulu.

          
 RESEPI APAM GULA HANGUS.

500 gm gula pasir
500 ml air panas ( 2 cawan )


450 gm tepung gandum  
2   sudu kecil soda bikarbonat
( ayak keduanya )
1 1/4 cawan minyak masak
75 gm marjerin ( cairkan )
85 ml susu pekat
5 biji telur

Cara-caranya :


Buat gula hangus.
Gambar 1 : Sukat 500 gm gula dan 500 ml air
Gambar 2 :  Digalakkan guna periuk tahan panas/tebal,seperti periuk vision-buka api perlahan.
Gambar  3: Tepi periuk mula berbuih.
Gambar 4 : Kaupbalikkan dengan sudip kayu. Kacau sekali-sekala sahaja agar masak sekata.
.

Gambar 5 : Masih berketul-ketul.
Gambar 6 : Sudah mulai cair.
Gambar 7 : Sudah betul-betul larut.
Gambar 8 : Tuang dengan hati-hati  air panas . Gula akan menggelegak, akan hasilkan wap betul-betul depan muka. Kacau sebati dan tutup api. Sejukkan.( proses buat gula hangus ni ambil masa lebih kurang 15 minit )


Sementara menanti gula menyejuk,sapu acuan dengan sedikit minyak masak. Tujuannya supaya kuih tidak melekat bila masak. Sementara itu panaskan periuk kukusan.


Gambar 1 : Tepung gandum dan soda bikarbonat,ayak bersama.
Gambar 2 : 5 biji telur ayam.
Gambar 3 : Minyak masak 1 1/4 cawan .
Gambar 4 : Susu pekat manis  85 ml.


Panaskan marjerin dalam kuali,selepas itu campur ke dalam minyak.


Step 1 : Masukkan 5 butir telur ke dalam blender dan tuang minyak.
Step 2  : Blend 2 bahan ini dahulu.
Step 3 : Tuang susu pekat dan blend lagi.
Step 4 : Tuang bahan blend ke dalam bekas berisi tepung.


Step 5 : Gaulkan adunan sehingga sebati
Step 6 : Curah gula hangus yang sudah sejuk
Step 7 : Adunan siap.
Step 8 : Tuang semula adunan kedalam blender, untuk pastikan ia betul-betul mesra. Blend separuh dahulu
.

Step 9 : Curah kedalam bekas yang bermuncung supaya senang untuk dituang kedalam acuan.
Step 10: Sudah siap blend 1 adunan.
Step 11: Tuang kedalam acuan,jangan terlalu penuh,sebab apam ini akan mengembang.
Step  12 : Siap .
Step 13: Kukus selama 15-20 minit. Balut penutup dengan kain bersih agar wap dalam penutup tidak jatuh menimpa kuih.


      Cantik naiknya.

                                                                                        
                                     
                                                         
                                                                                 


Percubaan kali ke 4 yang mengujakan.

Gagal sekali tidak bermakna gagal selamanya.


Sekian.

...apam gula hangus...? ee tak naaaaaak.....adik nak apam coklat......



ENTRI 20 : MISI MENCARI/MENOLAK JODOH ( episod 2 )

Pengisian : Kejayaan adalah tangga yang tidak dapat anda panjat dengan tangan di dalam poket.

Bismillah!




Jika kawan-kawan yang usulkan,pasti sudah lama saya tolak. Tapi ini,emak saudara! Mana mungkin berani saya menolak! Terpaksa pula menadah telinga.
     " Makcik Timah kau punya jiran lama masa dia tinggal di KL dulu..."  makcik perlahan menerangkan,jarinya mencuit-cuit. Saya diam seribu bahasa.
"Baik budaknya...jiran dia punya adik. Belum kawin. Makcik Timah teringatkan kau" terangnya panjang lebar.
 Itulah yang musykil.
Kenapa teringatkan saya pula?
Kenapa tidak orang lain?
....why me?...why...? ..
why konon.. tak boleh fikir ke? Semua yang orang rekomen kau reject! Sekarang terima sajalah!

******

     " Kami dah bincang. Minggu depan dia dan keluarganya akan datang.." pakcik saya tiba-tiba mencelah. Berderau darah dibuatnya...! Semenjak itu saya menghitung hari mendatang dengan penuh debaran. Ya Allah, Kau bukakanlah hatiku Ya Allah,buka hatiku Ya Allah,pohon saya.Jika ini jalan untuk bertemu jodohku,aku redha ...
Tapi jika terang dia bukan jodohku,kau tutuplah hatiku Ya Allah,tutuplah Ya Allah!

*******

Suasana hari itu sedikit suram. Kawasan sekitar sudah mula dinaiki air.
Air pasang! Rumah nenek yang terletak di muara sungai turut terlibat walaupun tidak begitu tinggi paras airnya. Bapa-bapa saudara dan isteri masing-masing kelihatan bersembang sesama sendiri. Saya di bilik,termenung panjang,merenung ke lantai,kemudian merenung pula ke tingkap ahh..serba tak kena! Sambil asyik mengenang nasib diri. Memintal-mintal bucu tudung bawal berbatu kecil di tepi,membelek pula corak kain pada baju kurung yang saya pakai. Kenapa pula aku berpakaian serba hitam? Sepatut gembira kerana mahu disunting orang. Adakah itu tandanya protes dalam diam.?
     Tiba-tiba terdengar sepupu kecil saya menjerit" Dah sampai...dah sampai..."
Nafas saya tiba-tiba sesak. Kedua ibu bapa saya dikampung tidak turut serta . Majlis ini sekadar majlis perkenalan diadakan di rumah nenek. Di luar kedengaran suara orang saling bersapaan,menjemput para tetamu yang terpaksa meredah air untuk sampai. Entah apa yang dibincangkan,saya tak ambil peduli. Jiwa saya benar-benar kosong.

********

Kuala Lumpur.
Baru sebentar saya menerima panggilan dari sidia-mempelawa lunch di Restoran Melayu Jalan Conly. Jantung berdegup laju,Ya Allah seramnya bukan main.
Minggu lepas (pada hari dia datang kerumah nenek),saya langsung tidak melihat kelibat dia. Bukan tidak berpeluang,tetapi memang tidak mahu!
      "Tak payah lah. Cakap dengan abah kau,tak nak!" saya masih ingat pakcik Ali berkata begitu sejurus rombongan pulang minggu lalu. Lain macam bunyinya.
      Saya diam,malas nak bertanya.
      " Tak hensem." selamba saja dia.
O..really?? terkesima juga. Tak hensem langsung? 
Saya mula membayangkan betapa tak hensemnya dia.

Waktu tengahari menjelang jua.
Saya melangkah longlai........

Saya pasti dia yang menunggu didalam kereta wira di hadapan porch bangunan tempat saya bekerja juga berdebar gila,tentunya..!
Saya berlakon tenang. Masuk kereta dan duduk dengan penuh kesopanan.
Kereta kami mula bergerak perlahan meredah kesibukan kotaraya yang tak pernah berpenghujung.Kami mula bersembang,mencari butir bicara dan saya curi-curi juga melihat wajahnya. 
Ah sangat benar kata bapa saudaraku itu!
TAPI!  berfikir secara rasional boleh tak?
Bukan kehendak dia bukan? Jauh dilubuk hati terasa kasihan. 
Tidak menilai langsung sifat peribadi melainkan rupa paras dikata orang terlebih dahulu.Ini tidak adil.
Oh Tuhan kuatkan jiwaku. Jika benar ini jodohku,aku redha. 

       Seperti selalu,bilamana bertemu seseorang,saya mula menilai dalam diam. 
Cara seorang perempuan berfikir berbeza dengan lelaki. Pada saya, kesudian menerima pelawaannya keluar bermaksud saya sedang belajar menerima hakikat, pilihan keluarga itu selalunya tepat selain lebih berkat.

" Sibuk tak?"
" Biasa je..."
     " Tak balik kampung..?"
     " Malaslah, diaorang suka desak-desak .."
maksud saya,mak-mak saudara saya itulah,suka sangat hentak ambil tahu). Itu hanyalah sembang kosong yang tiada maksud tersirat pun.
Kami berbual santai sambil menikmati hidangan. Restoran terkenal itu sesak dengan pelbagai jenis manusia beraneka ragam. Perbagai topik dibual demi untuk saling mengenali.
Melewati waktu,diluar restoran kelihatan seorang wanita bertubuh kurus tinggi  membontoti seorang lelaki berbadan rendang,berkumis sangat tebal sehingga tak nampak pun garisan mulutnya,mungkin berusia awal 30 an,wajah kurang kacak,berbaju batik,berjalan perlahan menuju ke kawasan parking yang masih penuh dengan pelbagai kenderaan. Itulah kami.

     Otak :  Bagaimana kali ini? Macam ok saja.
     Hati  :  Ya aku pun rasa boleh terima. Paling penting,dapat berkomunikasi dengan baik dan ada sense of homur.
                Itu sangat bagus dalam sesuatu perhubungan.
     Otak : Wah kau sudah mula suka ya?
     Hati  : Eh belum,aku baru buka hati aku perlahan-lahan. Belum ada rasa suka.
     Otak : Lepas tidak calon ini? Aku tidak pentingkan ciri fizikal,cukup dia ada ciri pemimpin yang baik selain kerjaya yang terjamin. 
   Hati : Fizikal tidak penting.
     Otak : Bagus!aku rasa dia ada peluang.Lulus!

Minggu seterusnya.

Makcik menelefon dari kampung.
    " Apa yang kau dah cakap pada dia ni...??"
   " Cakap apa?..tak faham.....?"
 " Katanya kau cakap,keluarga kat kampung je yang  desak-desak "
Cop!
Mana datang statement ini? 
Memang ayat saya,tapi saya tidak bermaksud apa-apa.
Perlahan-lahan saya cuba hadam. Oh jadi selama ini dia merasakan yang saya memaksa diri untuk terima dia? Seperti bukan atas kerelaan sendiri?
Oh Tuhan this is misunderstood! Saya terasa sedikit kesal kerana dia menghilangkan diri begitu sahaja.
Salah sayakah?
Dari cerita makcik,dia secara drastik berhenti kerja sebagai Assistant Manager di sebuah cawangan bank di ibukota.

     Otak : Apa sudah jadi? Manager bank melarikan diri dari masalah peribadi? Sudah tentu dia educated type of person. Ini cuma miscommunication! Kenapa perlu lari?
     Hati : Rasanya dia ada masalah tidak yakin pada diri sendiri.
    Otak :  Sayang sungguh,dia sudah lulus dalam ujian kita-rupanya tuan kita yang tak lulus dalam ujian dia!

              

Kesimpulannya,jangan asyik menilai orang tanpa kita sedari orang juga sedang menilai kita.    
(but I still do remember his name sebab namanya,sedikit pelik). Maka untuk dia yang bernama pelik,berbadan pendek dan berwajah tidak kacak-anda sebenarnya bukan jodoh yang dipilih Allah untuk saya!
Sebenarnya !
The End..!


( rupanya semasa datang ke rumah nenek dia sudah pun stand by sebentuk cincin pertunangan didalam poket,namun siapalah dia untuk atasi takdir Tuhan.


Sekian.



Wednesday, 23 April 2014

ENTRI 19 : KUIH KASUI

Pengisian : Ilmu itu didapati dari lidah yang gemar bertanya dan akal yang suka berfikir..

Bismillah.


     Orang mulai ramai. Kebanyakkannya saya kenal. Ada antaranya tidak hanya datang berlenggang, membawa kuih-muih juga untuk tuan rumah. Macam-macam kuih ada! Kalaulah saya tahu dari awal,tidaklah saya bersengkang mata memaksa diri membuat kuih kasui ini malam tadi. Semua kuih tadi tersusun di atas meja yang diatur memanjang. Kuih kasui pun ada !..mmmmm......


    "  Ni ke kuih yang kau buat ?...".tanya Cik Kiah, salah seorang emak saudara saya .
     " Eh tak!..Ini orang bagi..."
     " Yang mana kau buat?.."
     " Yang tu......."...
Dia terus mencapai kuih kasui saya.
     " Sedap!..".....dan diambil sebiji lagi.
    " Nanti bagi Cik Kiah resepi " dan sampai ke hari ini saya masih berhutang resepi  pada emak saudara saya itu. OK lah Cik Kiah this entry I dedicated for you lah!
Resepi ini saya dapat dari mak mertua.

KASUI

3 cawan gula merah ( yang berderai tu )
3/4 cawan gula pasir (nak kurangkan sikit pun boleh)
2 cawan air
2 helai daun pandan ( carik dan simpul )
( semua bahan diatas dimasak sehingga semua gula larut-sejukkan dan tapis)

3 cawan tepung gandum
1 cawan tepung ubikayu
5 cawan air
2 sudu besar air kapur

sedikit kelapa parut putih
sedikit garam halus.

(lengser loyang yang akan digunakan dengan sedikit minyak masak)


Bahan-bahan yang diperlukan.


Cara buat air gula:
Step 1 : Campur semua bahan untuk buat air gula. Masak dengan api sederhana. Kacau sekali sekala.
Step 2 : Bila semua dah larut,tutup api dan biarkan ia sejuk.
Step 3 : Bila dah sejuk,tapis
Step 4 : Sebab gula merah ni berhampas.


Step 1 : Sukat tepung,tidak perlu ayak.
Step 2 : Masuk air.
Step 3 : Masuk air kapur
Step 4 : Masuk air gula yang dah sejuk


Step 5 : Gaul dengan whisk.
Step 6 : Masuk blender agar adunan benar-benar sekata.
Step 7 : Blend  supaya adunan jadi halus.
Step 8 : Tapis-memang agak cair,sebab ia akan hasilkan kuih sedikit bergoyang. Kalau adunan likat maka sudahnya dapat kuih yang agak keras..


Step 9  : Tuang kedalam loyang,saya guna yang bersaiz 9 x 9 inci.
Step 10: Selain balut penutup periuk kukusan dengan kain bersih,boleh juga tutup loyang dengan aluminium foil.
Step 11 : Pastikan air dalam periuk kukusan sudah mendidih baru masukkan loyang tadi. Kukus selama 40 minit.

Tips : Jika buat satu adunan-molek kalau dibahagi dua,supaya kuih tidak terlalu tebal. Kukus 1/2 adunan dulu dalam loyang 9 x 9 inci. Akan dapat ketebalan kuih macam yang saya.buat ni.


Untuk kelapa putih,kukuslah 10 minit supaya tak mudah basi. Gaul dengan sedikit garam halus


Bagi mempercepatkan proses penyejukan,letak loyang ke dalam dulang yang berisi sedikit air.


Kuih perlu disejukkan sepenuhnya sebelum dipotong.Kalau tidak,ia akan melekat-lekat.


Terpulang untuk potong bentuk diamond atau square.


Salut dengan kelapa putih yang telah diletak sedikit garam halus tadi.


Kuih ini tiada rupa tapi penuh dengan rasa.


Antara kuih tradisi orang melayu..


Sekian.