Bismillah.
Nasi kunyit sinonim dengan majlis khatam Quran. Adakala nasi kunyit divariasikan sebagai kek perkahwinan, juga menghiasi acara kenduri kendara mengikut permintaan tuan rumah.
' Gu' terbaik pastilah kari ayam / daging pekat ataupun rendang.
Dulu-dulu hendak buat nasi kunyit -ambil masa juga. Kena rendam semalaman. Kemudian perlu dikukus secara berperingkat. (sama seperti membuat nasi lemak kukus).
Banyak cara lebih mudah dicipta, jimatkan masa dan tenaga.
Kita manafaatkan ilmu yang kita jumpa.
RESEPI NASI KUNYIT.
2 cawan beras pulut
160 ml santan pekat (kotak)
160 ml air
(atau 320 ml santan segar)
1 sudu garam halus
1 sudu teh serbuk kunyit / 2 inci kunyit hidup
Sedikit asam keping
Rendam beras pulut dengan sekeping asam gelugur (asam keping) dan sedikit serbuk kunyit. Jika gunakan kunyit hidup, hiris nipis dan blendkan saja dengan 3-4 cawan air-kemudian tapis .
( beras akan mengembang maka air biarlah banyak )
Asam gelugor berfungsi untuk mengilatkan beras apabila sudah masak nanti.
Rendam selama 4 jam.
Toskan. Sesudah 4 jam, warnanya sudah cantik.
Masukkan simpulan daun pandan kedalam air kukusan.
Saya suka sesuatu yang mudah. Sebab itulah selalu gunakan santan kotak.
Tambah air pada jumlah yang sama. Jika guna santan segar, sukatannya sama dengan jumlah santan pekat kotak dan air- Dapatkan santan yang sederhana pekat.
Tambah garam halus kedalam santan dan gaul rata-rata. Rasa dulu, biar terasa garamnya.
Tuang santan kedalam beras yang telah dimasukkan kedalam loyang.
Kukus 1/2 jam.
15 minit pertama, buka penutup dan kacau dengan senduk kayu agar ia masak sekata. Masak semula selama 15 minit lagi.
Sudah pun masak.
Tiba-tiba dapat idea.
Sapukan dulu acuan dengan sedikit minyak masak. Sudukan pulut yang sudah suam.
Padatkan dengan menekan-nekan dengan plastik atau dengan daun pisang.
Cantik terbentuk.
Kalau saya tahu ia lebih mudah begini, sudah lama saya lakukan.
Jika dibuat saiz begini, lebih mudah diambil tetamu.
(jangan biarkan terdedah kerana pulut mudah menjadi keras / kering)
Sekian.
No comments:
Post a Comment