Bismillahirahmanirrahim....
" Teringin nasi ayam."
Apa susah.
Kita google.
Macam-macam versi ada.
Lepas itu, kita olah cara kita- macam resepi itu kita yang punya.
Gitu.
RESEPI NASI AYAM KU.
AIR REBUSAN :
Seekor ayam - potong ikut saiz yang disukai.
3 1/2 - 4 liter air
4 butir bawang putih ( diketuk )
3 inci halia ( ketuk )
1/2 labu bawang besar ( hiris )
Rempah 4 sekawan
1 ketul kiub ayam
1 sudu besar garam halus
( Masukkan air, bawang putih, halia dan rempah 4 sekawan kedalam periuk- tutup agar air cepat mendidih.
Setelah mendidih, masukkan ayam dan rebus selama 20 minit. Kemudian, masukkan 1 kiub ayam dan 1 sudu besar garam halus ) - tutup api - Keluarkan ayam, toskan. SEJUKKAN air rebusan.
Jika kita gunakan beras basmathi- tidak memerlukan air yang banyak. Sukatan airnya adalah lebih sedikit sahaja dari sukatan beras. Cara masaknya pun sedikit berbeza tapi hasilnya memang bagus..
Saya guna beras biasa, sukatan air adalah seperti mana kita masak nasi biasa. Jadi adalah penting untuk kita gunakan cairan bersuhu bilik.
Anggap saja kita masak nasi biasa. tapi cuma airnya guna air rebusan ayam. Itu sahaja.
NASI AYAM
5 cawan beras biasa ( cuci dan tos )
7-8 cawan air rebusan ayam ( sejuk )
3 sudu besar marjerin atau minyak sapi.
3 butir bawang putih ( tumbuk halus )
2 inci halia ( tumbuk halus )
1/4 bawang besar ( hiris )
2 sudu besar sos tiram
2 helai daun pandan
Tumiskan bawang putih, halia, bawang merah dengan marjerin hingga garing, masuk pula daun pandan dan sos tiram. Tutup api. Sejukkan. Masukkan 1 cawan air rebusan ayam dan gaul rata-rata agar semua kerak dapat dilarutkan. Seterusnya - masukkan beras kedalam periuk nasi eletrik. Masukkan air dari bahan tumisan dan tambah lagi air rebusan yang telah disejukkan tadi. Sukat dengan jari sepertimana kita masak nasi biasa. Nasi akan masak dalam masa 1/2 jam.
( boleh skip sos tiram jika tidak suka)
AYAM.
1 ekor ayam yang telah direbus dan ditoskan tadi.
3 butir bawang putih ( tumbuk halus )
1 inci halia ( tumbuk halus )
3 sudu besar kicap lemak manis
2 sudu besar sos tiram
1 sudu besar madu
( Masukkan ayam kedalam satu bekas dan perapkan dengan bahan-bahan diatas sekurang-kurangnya 1/2 jam. Ia boleh dibakar dalam oven atau digoreng secara deep fry )
SUP AYAM
Lebihan dari air rebusan tadi dipanaskan semula. Tambah lagi air jika perlu. Tambah bahan lain ikut kesesuaian. Saya tambahkan kentang dadu, telur puyuh (rebus dulu) dan tomato. Tambah serbuk lada sulah jika suka. Begitu juga bawang goreng, daun sup dan daun bawang. Sesuaikan ikut kesukaan keluarga.
KUAH CILI.
7 batang cili hidup merah ( hiris )
5 butir bawang putih
3/4 cawan air masak atau air rebusan ayam tadi.
1/2 sudu besar garam halus
2 sudu besar gula pasir.
1 biji limau kasturi
3 sudu besar sos cili/ tomato
Masukkan cili, bawang putih, air, garam dan gula kedalam blender- blend hingga hancur. Keluarkan dan perah asam limau dan gaulkan dengan sos. Rasa gula garamnya. Tambah jika perlu. Masak kuah cili untuk tahan lama.
KUAH KICAP.
10 batang cili padi.
1/4 cawan kicap
3/4 cawan air rebusan ayam tadi.
5 butir bawang putih
( Blend semua bahan- rasa samada perlu tambah gula/ garam . Ada yang masak sebentar dan pekatkan kuah dengan sedikit tepung jagung yang dibancuh dengan sedikit air. Tapi bagi saya- kicap dengan cili api sudah cukup sedap. Ikut citarasa masing-masing )
SAYURAN.
Sayuran yang sesuai untuk hidangan ini adalah salad, timun dan tomato.
Mari kita tengok macamana kelam kabutnya saya masak nasi ayam ini.
Buat air rebusan:
Bahan-bahan mentah dan rempah untuk merebus ayam. Halia dan bawang putih perlu diketuk manakala bawang besar hiriskan saja. Untuk rasa dan aroma kita perlukan rempah empat sekawan.
Masukkan bahan-bahan diatas bersama air dan tutup. Biar ia mendidih baru masukkan ayam. Ayam ini perlu direbus selama 20 minit.
Setelah 20 minit, masukkan kiub ayam,biarkan mendidih sebentar dan tutup api. Keluarkan ayam dan toskan. Keluarkan halia. Masukkan 1 sudu besar garam halus. Sejukkan.
Siapkan pula bahan perapan untuk ayam. Tumbuk halus bawang putih dan halia. Masukkan campuran kicap lemak manis, sos tiram dan madu yang telah digaul rata. Sebatikan dan perap sekurang-kurangnya 1/2 jam.
(asingkan beberapa bahagian ayam untuk dibuat sup)
Saya gunakan cawan plastik ini untuk sukat 5 cawan beras.
Ini pula bahan tumisan untuk tanak nasi. Boleh tumis dalam kuali atau pun periuk. Bila sudah tumis bolehlah disejukkan sebentar. Kerak-kerak yang terbentuk sangat flavourful, masukkan 1 cawan air rebusan ayam bagi melarutkan ia. Setelah itu, masukkan semua bahan ini kedalam periuk nasi.
Masukkan pula air rebusan ayam yang sudah cukup perisanya itu. Oleh kerana saya sudah letak garam dan kiub ayam dalam air rebusan, jadi tidak perlu tambah sebarang perasa. Sukat air macam biasa dan tanak.- 1/2 jam kemudian sudah masak.
Buat kuah cili pula. Blend cili hidup dan bawang putih. Masukkan juga gula/ garam dan blend dengan 3/4 cawan air masak atau air rebusan ayam tadi.
Keluarkan dan perah limau kasturi. Masukkan pula sedikit sos. Boleh juga kalau panaskan atas api sebentar. (orang dulu-dulu suka masuk cuka tapi saya suka letak jus limau kasturi ). Rasa gula/ garam dan tambah jika perlu. Kuah cili siap.
Goreng ayam dengan minyak yang banyak. Ayam ini sudah pun masak, tidak perlu goreng terlalu lama.
Blend cili padi, kicap, air rebusan ayam, dan bawang putih. Boleh panaskan sebentar atas api.
Ini pula bahan untuk sup ayam. Saya tambah telur puyuh yang sudah direbus, kentang dadu dan tomato. Didihkan baki air rebusan ayam, masuk kentang dahulu. Rebus 10 minit agar kentang empuk baru masuk tomato dan telur. Rasa cukup rasa masinnya. Tambah sedikit gula dan 1 sudu besar lada sulah.
Sup sudah siap. Lebih indah kalau ada taburan dedaun sup dan daun bawang tapi anak-anak saya kurang suka pula.
Sayuran segar untuk dihidangkan bersama..
Nikmati homemade chicken rice.
Nasi ini memang sedap, menepati citarasa.
Gandingan untuk dinikmati bersama.
Cuaca mendung.
Pekena pulak nasi ayam.
Sekian.
No comments:
Post a Comment