Bismillahirahhamirrahim......
Kuih Ku.
Bukan bermaksud kuih saya.
Ia ada bau-bau bacang dengan kuih koci dan badak berendam.
Yang membezakan cuma inti.
Merupakan kuih tradisional orang Melayu.
Ikut cara saya.
RESEPI KUIH KU.
1 cawan tepung pulut
1/2 cawan keledek / labu / kentang ( dadu )
100 ml air ( ikut keperluan )
INTI KACANG HIJAU.
1/2 cawan kacang hijau ( rendam 2 jam )
3 cawan air
1/4 cawan gula pasir
2 sudu besar gula merah
2 sudu besar kelapa parut putih
1 1/2 sudu besar tepung gandum
Rendam kacang hijau selama 2 jam supaya senang empuk bila direbus nanti.
Perlu tepung gandum sebagai agen pelekat.
Gula pasir, adjust ikut kesukaan. Biar manis sedikit kerana bila kuih siap dikukus, rasa intinya akan menjadi sedikit tawar.
Air sebanyak 3 cawan untuk merebus hingga capai tahap kelembutan kacang yang dimahukan. Tambah air jika mahu inti kacang yang lebih lembut/ hancur.
Masak kacang hijau. Masuk beberapa helai daun pandan supaya jadi lebih wangi.
Rebus selama 35-45 minit- selalu periksa samada sudah cukup lembut atau tidak.
Setelah itu masuk gula, kelapa parut dan tepung gandum-gaul rata-rata,. Biar ia kering dan tutup api.
Sejukkan.
Untuk kulit luarnya, kita perlukan secawan tepung pulut.
Air mengikut kesesuaian. Tambah sedikit-sedikit, sehingga mencapai kelembutan doh yang dimahukan.
Kurang gemar makan kuih dari tepung pulut sebab liat, sebab itu saya selalu tambah 'anasir' lain. Kadang-kadang kentang lenyek. Kali ini guna keledek sebagai agen pelembut.
Rebus ubi keledek oren, akan empuk dalam masa 15 minit.
Lenyek semasa masih panas.
Campurkan tepung pulut. Gaul rata dengan garfu atau boleh juga gunakan tangan yang bersih.
Masuk air sedikit-sedikit. Gaul rata-rata. Uli sampai jadi doh yang lembut dan tidak melekat ditangan.
Doh lembut sudah pun siap.
Saya bahagi kepada 3 bahagian dan letak pewarna.
Saya tiada stok daun pisang, jadi saya gunting daun pandan yang lebar, dalam ukuran 2 inci- muat untuk letak kuih. Sapu dengan sedikit minyak.
Panaskan air dalam periuk kukusan.
Gunakan penyepit seperti ini untuk membuat corak.
Mak saya kata, orang dulu-dulu buat corak kuih ku menggunakan upih pinang yang telah dibersihkan. Caranya- masukkan kuih ditengah, bungkus dengan upih dan putar bahagian hujung kanan dan kiri, corak jalur akan terbentuk dengan cantiknya.
(hendak kena cuba tu...)
Cubit sedikit doh- jangan besar sangat kerana kuih ini memang kena dalam saiz yang comel-comel.
Buat lubang dan isi inti kacang yang telah disejukkan. Saya ada jumpa kuih ku berinti keledek. Sedap juga.
Tutup semula kemudian gelek-gelek atas dua tapak tangan supaya permukaan jadi licin.
Sepit mana-mana yang difikirkan sesuai.
Buat 2 garis dulu kemudian 2 garis lagi diarah bertentangan.
Buat pula garis pada setiap bucu- kulit tepung tidak boleh nipis sangat supaya kuih dapat disepit dengan cantik.
Sebelum dikukus.
Susun dalam loyang supaya cantik bentuknya. Jika letak terus atas kukusan tanpa loyang, kuih akan melebar dan kurang menarik (saya sudah cuba).
Susun dalam jarak yang sesuai kerana apabila masak, ia akan mudah melekat antara satu sama lain.
Kukus selama 10 minit. Bungkus penutup periuk kukusan dengan kain bersih supaya air wap tidak jatuh keatas kuih.
No comments:
Post a Comment