Thursday, 29 December 2022

ENTRI 238 : JUS PAGI UNTUK SIHAT.

 سْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

Saya semakin berminat dengan ilmu kesihatan. Apa saja tips yang mudah dan affordable, akan saya usaha dan istiqamah. Sudah hampir sebulan saya minum jus ini dipagi hari. Walaupon kurang sempurna, tetapi saya yakin banyak manafaat juga yang saya akan dapat.

Video asalnya adalah dari program IFHD- Intermittent Fasting Hormone Diet Programme. Daripada keterangan puan coach tersebut, sekurang-kurangnya perlukan 10 bahan ramuan dan mesti daripada yang berkualiti dan terbaik- sudah tentulah dari hasil organik. Bab itulah yang saya kalah. Walaupon bahan saya hanya dibeli dikedai runcit berdekatan rumah, namun saya jalan terus. Sudah tentulah tidak organik, kadang-kadang tidak segar juga, tapi kita buat sajalah setakat mana yang termampu.


Saya hanya fikirkan nutrient. Atau mungkin saja jus saya ini kurang berkualiti kerana terdiri daripada sayuran dan buahan yang berbaja kimia dan bersembur racun serangga juga- cuma saya tawakal sajalah. Lagi satu syaratnya adalah mesti dikisar dengan kepekatan yang betul- texture mesti halus bagi penyerapan zat maksima mungkin-maka perlukan pengisar berharga RM300 keatas berkuasa 1200 watt keatas. Hah yang itu pon saya kalahlah. Blender saya murah saja. Kalaulah saya mampu, sudah tentulah saya ikut semua aturan yang ditetapkan. 
Jadi, saya jalan terus!


Saya gunakan apa yang sesuai/ jumpa dikedai itu. Sudah tentulah tidak jumpa madu gurun. Madu murah dalam botol plastik picit tu- adalah tapi saya tidak mahulah beli. Jadi jus saya hanya rasa buah dan sayur semata dan suka-sukalah tambah bahan lain untuk cukupkan korum yang selalu saja tidak cukup.
(carrot mungkin tidak sesuai, saya yang pandai-pandai tambah)


Kadangkala kita dengar juga- tidak bagus kisar buah dan sayur, hilang zat dan serat. Puan itu mengatakan kenalah tambah sedikit ais bagi mengekalkan zat dan puan itu pula bukan sembarangan. Ilmu kimianya tinggi. Jadi kita ikutlah.

Memang puas hati sebab ada logiknya disitu. Seharian kita tidak makan dan minum, dan benda pertama yang masuk kedalam badan adalah zat dari sayur dan buah- itu kan bagus. Sebenarnya saya sudah lama makan malam seawal 7 malam. Jadi bila saya baca mengenai IF, memang tersenyum lebarlah. Sebab rupanya selama ini sudahpon buat Overnight Intermittent Fasting tanpa saya sedari. Wah syabas untuk diri sendiri!

Basic IF adalah 12:12. Bermaksud, puasa 12 jam- boleh makan 12 jam. Maknanya jika ikut rutin saya,  dinner jam 7 malam, bererti berbuka puasa jam 7 pagi esoknya tetapi saya selalunya minum jus pukul 8.30 ...bermaksud IF yang saya buat 13jam 30 minit: 10 jam 30 minit. 

Begitulah kan?

Next, saya hendak try buat 16:8. Bermaksud saya akan berbuka pukul 11 pagi.

Bilamana kita berpuasa, banyak kebaikan akan berlaku dalam badan. Percayalah!

( Ramuan berdasarkan video Puan Liyana Tan- tetapi jika tidak cukup- memadailah 10 bahan)

RESEPI JUS ANTIOKSIDAN.

1. organic chiaseed

2. aloevera gel

3. jus cranberry

4. jus manggis/delima/blackberries/resberries

5. protin sumber tumbuhan

6. madu gurun asli

7. garam laut

8. rumput asli kering

9. tomato cherry organik

10. isi buah lemon

11. saleri organik

12. timun jepun organik

13.epal hijau

14. epal merah

15. buah markisa

16. nenas

17. sedikit air (separuh blender)

18. sedikit ais

Semua bahan diatas, diletak serba sedikit.

Kalau dapat ikut betul-betul- insyaallah banyak kebaikan dan keajaiban akan berlaku. Sedap pon sedap. Cuma harga untuk bahan yang berkualiti sudah tentulah sedikit mahal. Dalam satu video lain, beliau ada juga letak Camu-Camu powder.

Jus ini adalah makanan asas yang terdiri daripada sayur, buah, mineral, enzim, protein dan lemak baik. Jika semua bahan diatas dapat disediakan- sudah lengkap sebagai jus pengganti sarapan kerana ia sangat mengenyangkan. Namun cara membersih terutama buah epal kena juga betul- semasa basuh, kikis lembut kulit luar buah dengan pisau. Itulah yang diajarkan oleh puan tersebut.

Sama-sama kita praktik dan amalkan.

Tetapi baru-baru ini saya terbaca pula artikel yang mengatakan tidak bagus kisar buah kerana akan tinggikan kandungan gula manakala kisar sayur pula akan tingkatkan lektin. 

Betulkah?

Mengunyah potongan  buah/ sayur secara perlahan akan sebabkan zat gizi termasuk gula semulajadi akan dicerna dan dipecah secara bertahap, bermula dimulut, kemudian perut dan yang terakhir di usus kecil. Proses ini membuat gula ambil masa untuk diserap dan berubah menjadi gula darah.

Logik juga kalau begitu.

Kata mereka, selagi ada gigi, selagi boleh mengunyah, makanlah buah dan sayur itu dalam bentuk asalnya.

(Tapi saya percaya ahli kimia makanan ada penjelasan yang kukuh berdasarkan ilmu yang mereka ada).

Wallahualam.

Sekian.



Saturday, 24 December 2022

ENTRI 237 : DIET BEBAS GLUTEN.

 بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

GLUTEN adalah protein dalam makanan gandum yang susah dicerna. Ia tidak memberi apa-apa zat pada tubuh. Malah ia merupakan pencetus utama radang selain GULA dan MAKANAN PROSES. Kajian mendapati kebanyakan masalah ekzema dan angin juga disebabkan oleh ambilan gluten dari sumber seperti roti, kek, biskut, mee dan lain-lain lagi dalam jangkamasa yang panjang.

Bagusnya dengan kemudahan teknologi dihujung jari, ilmu kesihatan sangat mudah diperolehi. Banyakkan membaca dan buatlah pilihan yang betul.

Menariknya kita mampu sediakan sendiri tepung bebas gluten untuk menggantikan penggunaan tepung gandum.

RAMUAN TEPUNG BEBAS GLUTEN.

3 cawan tepung beras asli

2 cawan tepung kanji kentang ( potato starch)

1 cawan tepung kanji ubikayu (tapioca starch)

**********

Cerita saya.

Memandangkan saya suka juga sesekali membuat kek, biskut dan kuih melayu- maka saya cubalah menukar cara. Tidak lagi guna tepung gandum tetapi menggabungkan tepung selain itu. Mungkin pemilihan tepung ini kurang tepat tetapi saya buat setakat termampu memandangkan masih ada lagi stok tepung-tepung tersebut. Saya gabungkan saja 3 cawan tepung beras, 2 cawan tepung jagung dan 1 cawan tepung ubikayu.

Masih lagi dalam proses mencuba.

Sebagai permulaan, saya cuba buat CARROT CUPCAKE. Buat separuh adunan sahaja. Resepi memerlukan 1/2 cawan tepung gandum iaitu bersamaan lebih kurang 65 gram. Jadi saya buatlah pengiraan- 65 bahagi 6. Dengan beberapa pengiraan matematik mudah, dapatlah hasil begini:

Tepung beras 32.5 gram

Tepung jagung 21.6 gram

Tepung ubikayu 10.83 gram

Procedure yang lain, sama saja. Hasilnya- alhamdulillah, sangat lembut dan sedap sekali. Suka betul bila menjadi- bermakna olahan campuran tepung diatas boleh diguna pakai. Saya sudah boleh ketepikan tepung gandum dalam pembuatan kek selepas ini.



Percubaan membuat kuih melayu agak berisiko tapi tidak cuba tidak tahukan.

Oleh kerana tidak tahu pengakhiran yang bagaimana akan terjadi- molek benar saya ambil langkah berhati-hati. Saya buat sukatan untuk sebiji saja kuih bakar pecah 8 ini. Sukatan tepung gandum  1/2 cawan juga- jadi saya guna saja kiraan seperti diatas. Hasilnya: Menakjubkan!

KUIH BAKAR BEREMPAH.

Garing dan sangat sempurna, alhamdulillah.




Disamping taburan bijan, saya juga taburkan flaxseeds yang telah dikisar. Apa salahnya.

KUIH KETAYAP.

Kulit terhasil daripada campuran tepung beras dan tepung pulut juga air daun pandan. Meragam juga disana sini tetapi dapat jugalah merasa keenakan kuih ini. 

SWEET POTATO  FLATBREAD.

Resepinya hanya 2 bahan: 1 cawan keledek lenyek dengan 1 cawan tepung serbaguna. Seperti biasa saya gantikan dengan campuran tepung beras, tepung jagung dan tepung ubikayu- uli dan canai nipis. Sedap cicah kari.

******

Sementara mood rajin sedang rancak- saya buat eksperimen ini pula. Tidak pernah terlintas dihati hendak mencuba sesuatu diluar kebiasaan. Sesekali apa salahnya?

MERINGUE LEMON CAKE.

Gluten free pula tu.

Tepung gandum 140 gram.

Kita buat kira-kira dahulu.

140 bahagi 6 = 23.3

Jika nisbah penggunaan tepung beras adalah 3 - Jadi 23.3 x 3 = 69.9

Gitu.

Seterusnya, nisbah tepung jagung adalah 2 Jadi 23.3 x 2 =46.6

Automatik jumlah tepung ubikayu adalah 23.3 gram sahaja.

(Genapkan saja semua titik perpuluhan).

Cara-cara baking, saya akan kongsi pada entri akan datang. Campuran tepung pula macam biasa, kenalah lalui proses ayak bersama baking powder. 



Menjadi kek sponge ini. Gebu kerana dibuat menggunakan meringue putih telur.

Memang diluar jangkaan- kek menjadi tetapi agak manislah pula. Maklum saja diluar kek juga disaluti swiss meringue yang manis sekali.

Semua resepi saya menggunakan Organic Raw Cane Sugar.

(tukar kepada gula kelapa untuk pilihan yang lebih sihat namun akan beri warna yang sedikit gelap)

*********

FLUFFY CHOCOLATE CAKE.

Ini pula kek coklat yang menggunakan 45 gram tepung kek. Setelah saya tukar, jadilah kiraannya begini:

Tepung beras 22.5 gram, tepung jagung 15 gram, tepung ubikayu 7.5 gram

Kek menjadi elok alhamdulillah.




*********

Membebaskan dari belenggu tepung gandum akan membawa kepada pilihan yang lebih sihat. Namun bagi pesakit tertentu (terutamanya pesakit diabetes), kebanyakan tepung membawa kepada kenaikan gula. Pilihan semakin terhad. 
Tepung Badam.
Tepung Kelapa.
Keduanya punya cabaran tersendiri. Bersifat berderai dan tidak elastik- memberi rasa sedikit muak.Tetapi bagi mereka yang patuh pada disiplin- itu tidak menjadi hal yang besar. Asalkan masih punya pilihan dalam mempelbagaikan makanan, itu sudah cukup baik.

Saya pernah membeli tepung almond. Agak mahal juga.
Akhirnya saya memilih untuk membuat sendiri tepung kelapa. Cuma penggunaan tepung ini dalam resepi-resepi tertentu, tidaklah banyak. Setakat beberapa sudu saja kerana sifatnya yang menyerap air. Oleh kerana keduanya tidak ada unsur gluten yang beri effect kenyal, maka perlukan 'gam' seperti telur dan lainnya. Ini menyebabkan resepi keduanya kuat rasa telur. Bagi menghilangkan rasa telur, ramai yang mula gunakan 'gam' lain seperti psyllium husk dan xanthan gum.

COCONUT FLOUR BREAD.

Sebanyak 7 butir telur digunakan dalam resepi ini. Amaun tepung kelapa sebanyak 90 gram.




Bagi saya, tiada rasa roti langsung. Texture lebih pada kek tetapi rasanya tidak dapat diterima tekak. Saya respect sungguh mereka yang sangat menjaga pemilihan tepung dan tidak kisah rasa-rasa 'pelik' ini. Asal kenyang dengan bacaan gula terjaga, itu lebih penting. 

********

CHOCOLATE CASTELLA CAKE.

Menggunakan cara masak steam-bath.

Amaun tepung kelapa yang digunakan cuma 1/4 cawan. Manakala telur yang digunakan adalah 5 biji. Rasa telur ditutup dengan 4 sudu besar serbuk koko.



Saya memang peminat coklat tegar, saya cuba juga untuk 'berdamai'dengan 'rasa pelik' kek ini. Texturenya sangat lembut dan jiggly.


Setelah disejukkan kedalam peti ais, barulah tekak boleh terima.

*******

Dalam masakan harian masyarakat Melayu yang banyak sekali menggunakan tepung gandum, bolehlah digantikan secara perlahan-lahan. Sebagai contoh- cekodok atau jemput-jemput atau cucur. Boleh gunakan nasi sebagai gantian tepung, rasanya lebih sedap dan tidak liat. Kisar saja 1 cawan nasi bersama sebiji telur dan setengah cawan air suam. Tuang kedalam satu bekas. Tambah 4 sudu besar tepung jagung atau tepung ubikayu. Bahan lain,terpulang. Letaklah apa jua yang sesuai-hirisan bawang, daun sup, hirisan lobak merah,hirisan cili padi, ikan bilis atau apa jua yang berkenan dihati. Jangan lupa perasakan dengan garam dan lada sulah. Memang sedap!


Begitu juga dengan cekodok pisang. Gantikan saja dengan tepung beras, telur dan sedikit tepung ubikayu. Hasilnya tidak mengecewakan.


Kesedapan Roti John terletak pada kekuatan rasa filling didalamnya. Jadi, tidak ada roti bukan masalah besar. Gantikan saja dengan terung yang dipanggang hingga lembut. Sedap juga, tetapi texture terung agak liat juga. Tapi fikirkan khasiat yang akan didapati. Sungguh berbaloi!


********
Saya cuba juga buat roti tapi semuanya menuju kehancuran.


Agaknya yis hanya mahukan gluten. Tidak mahu sebarang bentuk kerjasama yang lain- terus meragam dan bantat.


Doh yang diperap dengan yis tidak mahu naik.


Selepas bakar, ia jadi berat sebab tidak mengembang.

Setelah 3 percubaan, enough.
No more bread!

Saya belum buat biskut. 
Insyaallah, akan diusahakan.

Banyak pengorbanan perlu dilakukan bagi menyahut cabaran pemakanan sihat. Ramai saja yang tidak ambil peduli walaupun sudah punya penyakit dan dibawah ambilan ubat hospital. Saya sendiri tidak dapat teruskan cita-cita untuk amalkan tepung tanpa kenaikan gula. Cuma saya akan cuba elakkan penggunaan tepung gandum, itu masih lagi mampu.

Sekian.


Thursday, 22 December 2022

ENTRI 236 : CARA BUAT TAHI MINYAK TIDAK SAMPAI 1 JAM.

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ 


Apa saja mengenai kelapa, memang akan menarik perhatian. Sesekali gagal juga lebih-lebih lagi melibatkan pembuatan VCO (virgin coconut oil). Saya masih mencuba tanpa putus asa. Disebabkan projek hasilkan VCO itulah, tiba-tiba tercetus idea.

Begini.

Saya cuba kurangkan masa untuk membuat minyak kelapa dengan cara mengaplikasi cara pembuatan VCO itu sendiri. Saya akan jelaskan dibawah:

Melalui pembacaan, ramai yang telah melalui pengalaman membuat minyak kelapa dan hasil sampingannya iaitu tahi minyak- memakan masa yang amat lama. Jika dikampung-kampung, ada yang ambil masa 4 jam. 

Era semakin maju. Kita kena pantas seiring masa.

Saya beli kelapa parut dari kedai runcit RM 3.50 sebiji. Saya beli 3 biji tetapi hanya menggunakan sebiji untuk mencuba kaedah ini.



Proses awalnya masih sama. Kisar dengan sebaiknya air suam.



Juga melalui proses tapis dan perah.


Tapis sekali lagi kedalam plastik yang bersih.


Ikat dengan ketat. Biarkan pada suhu bilik seberapa ketika sehingga air (yang digunakan untuk mengisar) turun kebawah dan pati santan berada diatas. Proses ini tidak lama- tidak sampai 1 jam.


Logiknya : masa lama yang diperlukan untuk dapatkan minyak adalah masa bagi mengeringkan air. Jadi apabila air ini sudah dibuang siap-siap, maka proses memasak akan dapat dipendekkan.
Make sense, right?


Gunting hujung plastik dan buang air ini. Bila air hampir habis- cepat-cepat cekup hujung plastik itu untuk halang pati santan ikut keluar.


Masukkan pati santan yang pekat ini terus kedalam kuali yang sesuai.


Masak dengan api sederhana sehingga mendidih. Pastikan sentiasa kacau.


Ini keadaan santan setelah 15 minit.


Keadaan setelah 1/2 jam. Seakan makin mengering dan kental. Kacau terus untuk pastikan pemasakan yang sekata.


Setelah 40 minit- keadaan masih nampak kering tanpa terbit minyak. Bersabar dan terus balik-balikkan. Pastikan api sudah dikecilkan kerana butiran tahi minyak sudah terbentuk.

 
Pada minit yang ke 45, butiran semakin berubah keperangan dan mula menggaring. Pada masa inilah minyak akan mula terbit. Sentiasa kacau kerana proses ini agak cepat.


Balik-balikkan tahi minyak untuk pastikan tahap mana yang kita mahukan. Warna sudah totally brown. Padamkan api.


Tapis tahi minyak. Memang garing penuh rasa lemak. Biarkan seketika untuk minyak jatuh sepenuhnya.


Tapis sekali lagi melalui corong yang diletakkan tisu kapas. 
Sangat berpuas hati dengan hasilnya walau tidak begitu banyak.

Alhamdulillah.

******

Sebenarnya sebelum ini- saya pernah beberapa kali membuat VCO. Kali pertama- gagal. Saya buat banyak pembacaan. Menukar teknik. Percubaan kedua- berjaya. Begitu juga dengan cubaan ke 3. Bila sudah tahu cara yang pasti berhasil, sudah tentulah akan stick pada cara itu saja kan? Tetapi rupanya langit tidak selalu cerah. Entah mengapa percubaan ke 4- gagal. Sukar betul untuk diramal. Saya buang saja santan masam itu. Tetapi akhirnya, saya buat juga lagi. Kali ini juga berakhir dengan kegagalan. 
Mengapa  oh mengapa?
..sehingga kini- tidak temui jawapan.
Tetapi saya ada terbaca- santan masam itu jangan dibuang. Masak untuk dapatkan minyak!
 Oh..itu memang berita baik. Tidaklah rasa membazir sangat.  


Ini pati santan (dari 3 biji kelapa) yang saya peram semalaman (24jam). Sepatutnya ia sudah membentuk 3 lapisan tetapi malangnya tidak. Saya akan masak curd (lapisan atas) dalam kuali. Plastik ini saya gunting sedikit dihujungnya untuk buang air pada lapisan bawah.

  
Terus masukkan baki curd yang masam kedalam kuali.


Miracle tak sampai 10 minit minyak terbit dengan meriahnya. Selalu kacau seperti biasa.


Tapis bila tahi masam ini sudah keperangan. Rasanya masih masam dan kenalah dibuang. Tapis minyak sekali lagi untuk pastikan minyak benar-benar bersih.


3 biji kelapa akan dapat hasilkan minyak sebanyak ini. Saya berkira-kira, untuk penuhkan 1 botol ukuran sebegini- saya mungkin perlu beli kelapa parut sebanyak RM35.

Pengalaman yang mengujakan.


Sekian.

Semoga perkongsian membawa manafaat.