Tuesday, 14 October 2014

ENTRI 88 : DONAT PINTAL.

Bismillah....


Donat bersalut coklat memang menjadi kegemaran. Ada beberapa resepi yang boleh diikuti.
Kali ini saya nak share resepi donat pintal.


DONAT PINTAL

200 gm tepung roti
20 gm gula pasir
140 ml susu segar ( suam )
20 gm butter / marjerin
1 sudu teh yis kering
1/2 sudu teh garam.
Sedikit coklat masakan / gula halus


Antara bahan-bahannya adalah tepung roti (tepung berprotin tinggi), gula pasir, marjerin, garam halus dan sedikit yis kering.


  Kita gunakan sedikit susu segar yang disuamkan sedikit. Jangan panas sangat sebab yis boleh mati.


Mulakan dengan menyatukan tepung, gula dan garam. Kacau rata dengan garfu. Buat lubang ditengahnya kemudian masukkan susu suam dengan yis. Kacau-kacau.


Masuk pula marjerin. Gaul rata dan keluarkan. Letak atas dulang yang ditabur sedikit tepung untuk proses menguli.


Uli selama 5 minit. Masuk satu bekas bersih dan tutup dengan kain bersih yang lembab. Perap 1 jam.


 Selepas 1 jam, doh sudah pun kembang ( jiran ajar saya- kalau nak perap adunan yang guna yis- masuk saja dalam bonet kereta, dalam itu kan panas). Tapi untuk kali ini saya letak atas peti ais



 Tumbuk-tumbuk doh tadi untuk keluarkan angin. Ambil sedikit dan gentel memanjang. Bentukkan agar ia dapat dipintalkan.


   Lebih kurang macam ini.


Bila sudah siap, tutupkan dengan kain, biar ia naik menembam lagi.
 Untuk 1 adunan ini memang tidak dapat banyak.


   Ia semakin menggebu , lembut dan montel sekali.


Goreng secara deep fry. Api jangan besar supaya garing dengan cantik.


  Tos atas tisu serap minyak.


  Boleh salut dengan gula halus atau ada juga yang saya jumpa- kisar 1/2 cawan susu tepung dengan 1/3 cawan gula pasir.
Sedapnya.


Nak lagi sedap, salut dengan coklat masakan.


Cairkan sedikit coklat masakan secara double-boiler- saya masukkan periuk berisi coklat masakan kedalam kuali yang berisi dua cawan air mendidih, biarkan coklat mencair sepenuhnya.




  Hias ikut kesukaan.


Puas hati sebab dapat makan panas-panas.
Lagi best dapat makan ramai-ramai, sebab mesti ada incident berebut-rebut.


Sekian.



ENTRI 87 : AGAR- AGAR CENDOL

Bismillah...


Masih ada lebihan cendol sewaktu buat talam cendol tempohari. Saya ambil keputusan untuk gunakannya kali ini. 

RESEPI AGAR- AGAR CENDOL.

1 peket agar-agar tali ( 20 gm )
( rendam 4 jam )

Lapisan bawah
1/3 agar-agar 
2 cawan air
1/3 cawan gula merah
1 helai daun pandan

Lapisan atas
2/3 agar-agar
3 cawan air
1/2 cawan gula pasir
1 cawan santan
secubit garam
1/2 cawan cendol
1/4 cawan kacang merah yang telah direbus



Baca arahan, berat yang berlainan memerlukan jumlah cairan yang berbeza.Yang ini berat agar-agarnya adalah 20 gm yang memerlukan 1500ml cecair ( 6 cawan cecair ). 
Rendam dahulu selama 4 jam.


Saya akan guna kacang merah. Cukup 1/4 cawan  kerana ia akan mengembang. Rendam dahulu dan rebus dengan api sederhana selama 1 jam. Bila sudah lembut, toskan air dan sejukkan. Untuk lebih mudah, boleh juga gunakan kacang dalam tin, lebih lembut dan sedap rasanya.


Sementara itu boleh mula masak untuk lapisan bawah. Gunting 1/3 daripada agar-agar yang telah direndam tadi. Sediakan juga gula merah, air dan daun pandan.


Masak dalam periuk - dalam anggaran 8 minit ia akan hancur sepenuhnya, baru masukkan gula merah dan daun pandan. Biar gula hancur baru tapis.


Biarkan 3 minit, baru sudukan kedalam acuan pilihan yang telah dibasahkan dengan air. Sudukan separuh sahaja. Boleh juga gunakan loyang. Biarkan agar-agar membeku pada suhu bilik.


Sediakan bahan lapisan atas. Baki agar-agar, air, gula dan santan bercampur secubit garam


     2 bahan ini untuk mencantikkan agar-agar.


Masak agar-agar. Dalam masa 8 minit ia akan hancur, kemudian masuk pula gula pasir. Bila gula sudah pun larut masuk pula santan yang telah digaul dengan secubit garam halus. Tutup api. Masuk cendol. Gaul perlahan supaya mesra. Rehatkan 3 minit sebelum disudu kedalam acuan.


Cucuk dengan garfu permukaan agar-agar yang telah mengeras tadi, masukkan sedikit kacang merah dan sudukan agar-agar bercendol pula.


 Bila sudah mengeras pada suhu bilik, alihkan kedalam peti ais.


Boleh keluarkan dan simpan dalam satu bekas -simpan semula dalam peti ais. Jangan letak bertingkat kerana lapisan agar-agar gula merah akan berbekas warnanya bila diletak atas permukaan putih agar-agar bercendol.







Sungguh sedap makan sejuk-sejuk.
Silalah cuba.


Sekian.




ENTRI 86 : HAJI.

Bismillah.


Wajah keduanya masam mencuka. Yang seorang bersilang kaki, seorang lagi berpeluk tubuh.
    " Ha macamana ?"
Tersentak dibuatnya.
Masih buntu.
    " Tak pun, duduk dengan maklong"
    " Ha?....tak nak !"
Anak mata abah membulat kearah mereka berdua. 
Mahu tinggal bersama nenek jauh beribu kilometer?
Bertukar sekolah hanya untuk tempoh sebulan?

Mahu ditinggalkan dengan siapa mereka ini ?
 ...akhirnya tetap tidak selesai...


Kuala Lumpur.

Fikiran menerawang jauh....
Membayangkan  kondominium yang bakal berdiri megah di kawasan Cheras itu nanti. Pelan lantai sudah pun siap, cuma perlukan lakaran  design luarannya saja. 
Modern?...tudor..?..classical..?
Buntu juga.
Tiba-tiba.....
Idea datang. 
His kenapalah tidak terfikir sebelum ini?
Cepat-cepat capai telefon ofis. Beberapa punat ditekan.

" Hello assalamualaikum, abah ke tu...?"

Cuti sebulan. Tanpa gaji.

Selesai masalah. 
Dapatlah dia dan emak berangkat ketanah suci tahun itu dengan hati tenang.

******

Kokokan ayam saling bersahutan. Jam didinding menunjuk angka 6. Kedua-dua masih bersekolah rendah. Saya perlu siapkan mereka yang akan berjalan kaki kesekolah bersama kawan-kawan sekampung yang lain.. Sebulan jadi suri rumah. Sebulan bukannya lama dan kerja saya bukannya susah. Adik beradik lain ada komitmen lain yang menuntut mereka tinggal diluar.
Sesekali begini, bermalas-malasan, tiada bebanan kerja, tiada kerja lebih masa, tiada masalah jam di jalanraya, ah tenangnya hidup!


Kami dalam posisi berdiri. Kebetulan hari ini ramai pula. Kedua tangan 'memagar' mereka. Takut pula mereka terjatuh atau hilang imbangan.
Mana tahu. Pemandangan dikiri dan kanan jalan silih berganti.
 Memerhati lagi.
Eh eh kenapa ke kiri? Bukankah sepatutnya ke kanan dahulu?
Cepat-cepat loceng ditekan. Bas terus berhenti. 
Kami kedepan. Saya bertanya mengapa.
  " Kenapa tidak cakap?..kena beritahu saya awal sebab kadang-kadang tidak ada orang pun nak pergi kesana..."
La iya ke?
 Salah sendiri.

Menapaklah kami 3 beradik sejauh 3 kilometer ke taman perkampungan perlancongan itu...
Oh betapa penatnya. Disana kami perlu menapak lagi untuk melawat sebuah demi sebuah rumah yang mewakili setiap negeri di Malaysia ini.
Akibatnya- banyaklah gambar-gambar yang saya ambil berlatar belakangkan muka masam budak berdua itu.
Heh heh.


Kuala Lumpur ( sebulan kemudian )

Perkara pertama yang saya mesti buat setibanya ditanah ini, menyerbu ke mesin ATM.
Musykil.
Gaji bulan tidak dipotong?   
Rezeki .  

Alhamdulillah.


Itu cerita 18 tahun yang lalu. Bila diingat-ingat memang tergelak. 
Dalam setiap doa tidak lupa dititip semoga diberi rezeki, kelapangan dan kudrat oleh Allah untuk saya ke sana pula. Ameen.



Sekian.

 


Wednesday, 1 October 2014

ENTRI 85 : TALAM CENDOL.

Bismillah.


Honestly memang tidak pernah makan.
Tapi rasanya mestilah sedap macam cendol.

Teringin sangat nak buat sebab berkurun sudah salin resepinya.


TALAM CENDOL.

Lapisan bawah:

200 gm cendol

200 gm tepung beras
250 ml santan
450 ml air
120 gm gula castor
1 sudu besar tepung jagung
1 sudu teh garam halus.

Lapisan atas :

300 gm gula merah
50 gm gula castor
500 ml air
( masak bersama - sejukkan )
150 gm tepung gandum
250 ml santan pekat
3 biji telur
1/2 sudu teh garam halus

Cara membuatnya :


 Mula sekali kena siapkan air gula : gula merah, gula castor dan air dimasak bersama. Saya suka masukkan helaian daun pandan yang disimpul untuk lebih aroma. Bila semua gula sudah hancur, tutup api dan sejukkan. 
Lepas ini kita buat c e n d o l.
Saya kan sudah pandai buat cendol. 


  4 helai daun pandan diracik dan diblend dengan 1 1/2 cawan air. Tapis.


Kita akan gunakan 1/2 cawan tepung jagung, 1 sudu besar tepung beras, dan secubit garam halus.


 Satukan semua bahan kering dengan air daun pandan dan letak 1 sudu kecil air kapur. Sebab kita hendak letak dalam kuih, so warna hijaunya mestilah terang. Tambah setitik dua pewarna hijau.


Masukkan bancuhan kedalam kuali. Mulakan dengan api paling perlahan- sentiasa kacau, besarkan sedikit saja api,bancuhan mula memejal. Gaul rata-rata supaya proses masaknya sekata. Sekejap saja ia semakin likat dan berkilat. Tutup api.


Siapkan bekas berlubang dan sebesen kecil air sejuk. Masukkan bancuhan likat tadi kedalam bekas berlubang  dan tekan dengan belakang tupperware yang agak rata. Cendol akan keluar dan jatuh kedalam air sejuk. Memang kiut.



Cendol ini perlu ditos agar ia tidak berair ketika mahu guna nanti.


Siapkan periuk kukusan dan masuk daun pandan didalamnya. Sediakan loyang yang dilengser dengan sedikit minyak dan alas dengan plastik agar kuih mudah dikeluarkan dan tidak mudah melekat.


Sementara tunggu air dalam periuk kukusan mendidih- kita siapkan dulu bahan untuk buat lapisan cendol. Kita akan gunakan tepung beras, santan, air dan gula castor.


Selain itu kita juga perlukan sedikit tepung jagung dan sedikit garam halus. Satukan saja semuanya dengan whisk dalam periuk.


Sebaik air dalam periuk kukusan mendidih- terus buka api dan panaskan dengan api sederhana sehingga naik wap dan sedikit likat.Tutup api. Pastikan cendol sudah pun stand by.


Terus masukkan cendol ( tinggalkan 2 sudu besar )- Tuangkan kedalam loyang yang sudah dialas dengan plastik tadi. Taburkan baki cendol atas permukaan. Kukus selama 25 minit. Jangan lupa balut penutup periuk dengan kain bersih untuk elak wap air jatuh keatas kuih atau boleh saja tutup loyang dengan aluminium foil.


Kita sediakan pula bahan untuk lapisan atas. Kita perlukan tepung gandum, telur santan pekat dan sedikit garam halus.


Campurkan kesemua bahan diatas dan gaul rata dengan whisk . Tuangkan air gula yang kita sudah sejukkan awal tadi. Letakkan atas dapur - tunggu sehingga lapisan cendol tadi masak. Sebaik cukup masa, turunkan loyang berisi lapisan cendol. Sudah boleh panaskan bancuhan air gula pula, hingga naik wap dan likat.


Cakar- cakar permukaan lapisan cendol dan tuang bancuhan. Kukus semula selama 30 minit lagi.


 Lapisan atas yang telah pun masak dan masih lembut, gambar dibawah adalah lapisan mula-mula tadi.


 Untuk mempercepatkan proses penyejukan- letak loyang dalam dulang berisi air. Nampaknya permukaan kuih semakin keras dan cantik. Untuk kuih talam sebegini ia akan benar-benar sejuk dalam masa 4 jam.


Tips untuk mudah potong kuih talam- gunakan pisau plastik yang disapu sedikit minyak masak. Kuih yang sudah sejuk saja dapat dipotong dengan kemas dan terbentuk.






Rasanya teramatlah sedap.
Makan sikit. Barulah teringat-ingat.

Walaupun saya buat kuih ini sebagai hidangan petang namun kerana ada tekak yang cerewet, terpaksa pula buat cekodok khas untuk dia yang tidak mahu makan kuih ini.
Biasa dia!


    "...sedap betul cekodok ni bila cicah sardin...kan bu..."


Dan kuih tadi terpaksa saya panjangkan untuk jiran tetangga.


Sekian.


ENTRI 84 : KELUARGA AL QURAN 2.

Bismillah.....


14 tahun pengalaman menjadi ibu, barulah saya sedar. Bukan mudah untuk merancang masa depan anak. Tidak juga merancang, sebab kami seperti go with the flow....
Lewanya.
Saya memang  terkesan apabila membaca kisah ibu bapa yang tahu dari awal dimana mahu meletakkan anak mereka. Memang ada rupanya orang-orang tegas sebegini. Tiada kompromi.
 Ambil ikhtibar. Ini kisah sebahagian kecil yang saya tahu. Yang tidak tahu mungkin ramai. Ibu bapa begini memang layak dijadikan mentor/idola dalam aspek mendidik  kearah Al Quran.

 Johan qariah peringkat antarabangsa ke 51, berasal dari negeri Perak ini menguasai 7 jenis taranum.
Diceritakan bapanya yang berbangsa Yemen itu sangat garang sewaktu beliau kecil sehinggakan bila terdengar bunyi kereta bapanya pulang, bertaburan anak-anak lari masuk kebilik masing-masing. Peha mereka dua beradik juga lebam-lebam akibat dicubit kerana kesalahan semasa membaca Al Quran. Sibapa begitu bersungguh-sungguh menghantar kemana sahaja tempat untuk anak-anaknya mendalami Al Quran. Sekarang sianak sudah pun menjadi public figure. Sering saja keluar tv.


Ada satu kisah lain yang sangat menyentuh hati. Saya pasti ibu-ibu lain juga akan turut begitu bila mendengar cerita berkenaan seorang remaja ini. Dia dijemput dalam program Halaqah bagi berkongsi pengalaman bagaimana beliau dapat menjadi hafiz dalam masa yang begitu muda. 
Dinegara orang.
Seorang diri. 
Tanpa sesiapa. 
Bila mendengar luahan hatinya, dia seperti tersiksa pula. 
Mungkin pada peringkat awal dia stress. 

Ceritanya : 
Ibu bapanya menyuruhnya pergi ke Mesir seorang diri dan berpesan. Jangan balik selagi tak hafal Al Quran ( sibapa hanya bekalkan wang melalui bank )
Rasanya ramai kaum ibu yang menitiskan air mata mendengar ceritanya itu. 
Pandai-pandailah bawa diri. Cari tempat tinggal dan tempat menimba ilmu. Lebih syahdu, setahun disana, menjelang raya, dia menghubungi si ibu dan bertanyakan samada dia boleh balik sekejap kerana dia terlalu rindukan keluarga. Teringin sangat nak merasa juadah raya di rumah sendiri namun tidak dilayan siibu, sebaliknya ditanya soalan-
 Sudah habis hafal Al Quran? Selagi belum habis,jangan balik....
ceritanya  penuh emosi. Airmatanya bergenang. 
(saya musykil sungguh- kenapa anak ini tampak tertekan sungguh.)
Kami kaum ibu yang menonton ini memanglah emosi terlebih.
Saya yakin, mesti ada yang sinikal akan berkata- dahsyat betul maknya itu!
Sianak tiada pilihan- terpaksa berhempas pulas menghafal kerana mahu pulang. 
Akhirnya dia berjaya. 
Kisahnya telah dikomersialkan, selalu pula menjadi jemputan bagi menyuntik motivasi.

Kerana ketegasan itulah sianak berjaya. 
Kita ibu bapa moden selalu kalah dengan anak. Ikut sahaja kemahuan mereka yang tidak mahu, dengan alasan tidak minat. 
Tidak merasalah kita punyai anak yang hafal Al Quran kerana kelemahan cara didikan kita sendiri.

Saya teringat cerita kakak kepada kawan anak saya. Anak ini memanglah cemerlang. Sehabis UPSR dia ditawarkan ke sebuah SBP. Tidak sampai 4 hari bersekolah, surat tawaran dari sebuah MRSM program Ulu Albab / tahfiz sampai ketangan bapanya. Dan si bapa menggunakan kuasa veto untuk memaksa si anak bertukar sekolah. Menangis,tidak mahu kerana sudah sayang kawan-kawan baru. Dan sekarang, alhamdulillah dia dapat sesuaikan diri disana.

Satu lagi yang menarik, berkenaan imam besar yang pernah saya ceritakan pada entri ke 81.
Sebenarnya dia sudah pun berkahwin dengan seorang ustazah. Ditebak mengenai latar belakang pendidikan isterinya pula- cerita si isteri, " Bapa saya kata kalau nak masuk universiti- boleh, tapi dengan satu syarat. Mesti aliran agama. Bidang lain tidak boleh!!"
Saya terkesima.
Adakah kita mampu jadi setegas itu?

Apapun pilihan ditangan kita.
Saya sedih kerana masih belum mampu menjadi seperti ibu bapa diatas. Bagi saya, mereka amat menghayati agama.
Contoh terbaik.


Sekian.
Semoga Tuhan mempertingkatkan iman kita.
Ameen.