Wednesday, 11 January 2023

ENTRI 246 : RESEPI 1 CUPCAKE PISANG BEBAS GLUTEN.

 بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

Saya mahu mencuba beberapa resepi kek pisang bebas gluten kerana ada kalanya penggunaan tepungnya sedikit berbeza. Dan saya mulakan dengan resepi dari Puan Rosmanita. Alhamdulillah kek menjadi- sangat lembab dan lembut. Saya buat separuh adunan sahaja kerana mahu bereksperimen seperti biasa.

KEK PISANG.

3 biji telur

50gram gula organik

75 gram tepung beras

25 gram tepung pulut

160 gram minyak

200 gram pisang lenyek

1 sudu kecil baking powder

1/2 sudu kecil garam halus

Putar Organic Raw Cane Sugar bersama telur.

Putar dengan kelajuan tinggi sehingga agak putih.

Boleh matikan mixer. Masukkan garam.

Ayakkan campuran tepung beras dan tepung pulut bersama baking powder.

Masukkan pisang dan minyak masak. Gaul secara kaup balik agar sebati.

Saya buat dalam acuan cupcake. 1/2 adunan akan dapat lebih kurang 7 biji.

Letakkan hirisan pisang sebagai hiasan. Bakar pada suhu 170c selama 25-35 minit.





Alhamdulillah.

Masih mencari resepi lain yang lebih menepati citarasa.

Sekian.


Tuesday, 10 January 2023

ENTRI 245 : KUIH KETAYAP BUNGA TELANG BEBAS GLUTEN.

 بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

Semalam saya terjumpa Dapur Sihat Rosmanita dialam maya. Teruja betul kerana banyak sungguh resepi kuih Melayu bebas gluten yang dikongsi. Beberapa minggu lepas, saya cuba juga buat kulit kuih ketayap dari resepi bebas gluten yang lain, jadilah juga tetapi kurang berpuas hati. Jadi hari ini saya cuba ikut resepi Puan ini. Wah cantik betul kejadiannya, malah lebih nipis dari kulit yang biasa dibuat dari tepung gandum. Puan itu menggunakan air daun pandan, tetapi saya teringin guna air bunga telang.

RESEPI KULIT KUIH KETAYAP BUNGA TELANG.

80 gram tepung beras

50 gram tepung pulut

1 biji telur

190 ml air bunga telang

2 sudu besar minyak

Secubit garam halus.

Caranya sangatlah mudah. Sebatikan saja semua bahan dengan whisk dan tapis supaya adunan benar-benar licin. Adunan agak cair- masak 1senduk atas kuali non stick. Lenggangkan macam buat creepe. Bila mula ada gelembung pada kulit kuih itu dan kelilingnya nampak sudah mengering, angkat. Tidak melekat langsung! 

Saya gunakan 7 kuntum bunga telang dan ramas dalam air suam. Sukat sebanyak 190ml. Jika terkurang, tambah lagi sedikit air pada hampas bunga dan perah.

Macam corak lace. Bahagian belakangnya pula licin.

Kulit ini sangat mudah diurus dan boleh saja ditindan kerana tidak akan melekat antara satu sama lain.


Kuih ketayap ini satu saja- inti kena power. 

Kalau diganding dengan inti kelapa muda, memang terbaiklah.


Sekian.


Sunday, 8 January 2023

ENTRI 244 : RESEPI KACANG KUDA.

 بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ



Sejujurnya memang jarang makan kacang kuda sebelum ini. Makanan tinggi protein ini tidak sepatutnya dilepaskan kerana ia mampu menstabil hormon dan dikatakan superfood bagi otak wanita!
Saya beli 1/2 kilo dengan harga RM 5.90 sahaja. Kacang ini perlu direndam semalaman dan direbus pula selama sekurang-kurangnya 1 jam. Ada juga petua merendam bersama sedikit baking powder, mungkin agar lebih cepat lembut. Boleh letak sedikit garam sewaktu merebus.


Orang Malaysia jarang memanafaat air rebusan  kacang kuda, rupanya berkhasiat juga. Ia dipanggil AQUAFABA. Boleh diminum kerana kandungan protein dan lain-lain nutrisi yang terkandung didalamnya. 
Bagi orang Inggeris, boleh pula Aquafaba ini diputar menjadi meringue bagi menggantikan putih telur. Wah saya bab eksperimen ni, memang sukalah. Tapi setelah mencuba, temui juga macam-macam masalah yang akhirnya menemu jalan buntu. Ia bukanlah semudah yang dilihat. Hasil pembacaan saya- lebih mudah jika menggunakan air kacang kuda didalam tin kerana ia sudah sedia pekat- mudah untuk mengembang.  Mungkin saya perlu masaknya semula agar menjadi sedikit likat untuk diputar menjadi meringue. Tapi saya percaya- tidaklah semudah menyebutnya.
Saya sebenarnya sudah pasang angan tinggi. Hendak buat Vegan Aquafaba Chocolate Ice Cream. Kemudian mahu cuba pula Vegan Chocolate Cake with Aquafaba (walaupon saya bukan vegan).
Tapi itulah.

Selain itu, saya cari juga resepi lain yang boleh di explore.

Hummus.
Asyik dikatakan sedap. 


Mari makcik hentam keromo buat Hummus. 
Tahini? Salah satu ingredient yang saya tidak ada. Google. Owh pes bijan. Senang saja. Tapi malang bijan sudah kehabisan pula. Tidak mengapa. Saya jalan terus.

Hasilnya- ginilah.
Rasa- macam pelik. Masam. Rasa bawang putih mentah lagi.
Mungkin kerana ketiadaan tahini?
Mungkin saya perlu buang kulit kacang ini terlebih dahulu.
Mungkin.


Rupa pon jauh dari apa yang terpapar dalam google images. 
Tidak smooth. Tapi saya makan saja. Kenalah appreciate usaha sendiri.

Ok next!



Don't judge the book by it's cover. 
Sebenarnya vice-versa. 
Bagaikan air soya tawar tapi jika air soya dibubuh pemanis- terus jadi sedap. Saya cuba juga letak- out juga rasanya. 
Ok no more.
 
Hampas dari buat susu tadi saya simpan. Dalam kepala sudah ada gambaran.



Vade kacang kuda memang boleh layan. Tapi hampasnya bersifat berderai. Kena juga dibantu dengan menambah beberapa sudu tepung. Saya letak tepung ubikayu, hirisan lada hijau, hirisan bawang merah, hirisan daun ketumbar, garam, serbuk lada hitam dan lada putih.
Walla!
 


Apapon, Indian Style Pan Fried Chickpea memang terbaik. Sangatlah sedap. Caranya mudah saja. Tumis hirisan bawang merah, bawang putih, hirisan cili hijau, daun kari, biji sawi. Bila agak garing masukkan 1/2 sudu teh serbuk kari. Gaul rata. Masukkan kacang kuda yang telah direbus. Perasakan. Tabur dengan hirisan daun ketumbar.
Walla!

Sekian.


ENTRI 243 : PENGAT KELEDEK DENGAN BIJI SELASIH DAN BARLI.

 بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

Gabungan yang sungguh mantap dan berkhasiat. 

Resepinya boleh diagak. Kukus keledek. Rendam biji selasih. Rebus biji barli. Kemudian susun ikut kreativiti dan tuangkan kuah. Walla!

Untuk kuah- saya gunakan santan dan gula merah beserta secubit garam. Masak dan adjust rasa ikut kesukaan. Boleh gunakan gula kelapa untuk pilihan yang lebih sihat.

Potong dadu dan kukus keledek oren ini dalam anggaran 10-15 minit. Ia adalah antara makanan yang tinggi antioksidan.



Rendam 1 sudu besar biji selasih dengan air masak selama 5 minit, kemudian tapis.


Rendam barli selama 2 jam dan rebus sehingga kembang (30-45 minit ), toskan.


Semua real food yang dicipta Allah ada khasiat yang pelbagai dan tersendiri. Keledek, biji selasih dan barli masing-masing kaya dengan nutrisi dan merupakan sumber yang bagus untuk diambil bagi menampung keperluan badan selain kaya serat.
Boleh saja tambah bahan lain seperti labu, chia seed dan ubikayu jika suka.

Buatlah pilihan bijak.

Sekian.

ENTRI 242 : CHOCOLATE PEANUT BUTTER GANACHE.

 بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ


Saya memang peminat tegar coklat dan kacang tanah. Memang pantanglah ternampak resepi yang rasa-rasa boleh dibuat, terus saja masuk dapur. Ikut nasib juga. Ada yang menjadi. Ada yang tidak. 

Asalnya saya terbaca 'Creamy And Moist Vegan Chocolate Cake-no eggs, no butter'. Ha suka sangatlah tu kan. Cuma saya tangguhkan dulu sebab hendak tunggu anak-anak balik- tapi satu yang tidak berjaya ditangguhkan adalah ganache nya (topping) yang nampak tersangatlah sedap. Otak bagi signal-hold dulu- tidak bermakna topping tanpa kehadiran kek. Tapi tangan degil laju mencapai spatula!

*********

1/3 cup of powdered sugar

2 tablespoon of unsweetened cocoa powder

1 cup of natural peanut butter

Bahan-bahan pon ringkas sangat. Kebetulan saya memang suka panggang kacang tanah untuk kudapan menambah lemak baik. Kepakaran saya adalah suka mengolah ikut naluri. Natural peanut butter memanglah tiada. Yang ada- otak. Saya masuk kacang kedalam food processor dan putar bersama sedikit garam halus dan beberapa sudu minyak kelapa (untuk buat peanut butter)

Saya guna Organic Raw Cane Sugar dan kisar kering. Jika ada stok powdered sugar- maka sangat mudah sebati dalam pes, tetapi ikut cara saya ini- akan ada texture yang sedikit kasar. 

Seterusnya masukkan saja serbuk koko dan gula. Amaun gula saya kurangkan 2 sudu besar. Untuk dapatkan texture yang halus, tambahlah sedikit minyak kelapa. Food processor saya bukanlah jenis yang berkuasa tinggi. Jadi saya keluarkan dan masuk kedalam pengisar kering.


Rasa sedikit untuk adjust apa yang perlu ditambah. Tidak sangka juga- rasanya sedap betul! Putar lama sedikit untuk pes yang lebih halus.

Rasanya saya patut masak sebentar untuk hancurkan gula agar lebih smooth tapi kalau macam ini pon sudah kena sangat dengan tekak. 

Makan dengan biskut- pon sedap, alhamdulillah.

Sekian.

ENTRI 241 : HOMEMADE SAUERKRAUT.

 بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

Sejak dulu pemahaman masyarakat tentang probiotik dan prebiotik agak kurang jelas. Yang biasa kita dengar minuman kultur yang pelbagai perasa itulah salah satu sumber probiotik yang bagus. Diberi pula kepada anak-anak konon untuk kesihatan usus padahal penuh dengan gula dan perisa. Begitulah hidup tanpa ilmu.

*******

Secara ringkasnya- PROBIOTIK adalah bakteria baik yang sangat diperlukan untuk kesihatan usus manakala PREBIOTIK adalah makanan kepada probiotik. Keseimbangan keduanya sangat penting.

Sumber probiotik- bakteria hidup yang terdapat dalam makanan fermentasi seperti tempe, kimchi, budu, tapai, yogurt asli, belacan, tempoyak, miso. Ada juga dalam bentuk suplemen.

Sumber prebiotik mudah saja- serat sayuran, buah dan kekacang. Jika tiada serat ini- bakteria baik tidak mampu hidup.

Hari ini saya terbaca mengenai Sauerkraut, salah satu makanan fermentasi di Jerman/Rusia. Ia merupakan makanan tradisi sebagaimana kimchi di Korea. Sebab ianya sangat mudah, tidak salah saya cuba buat. Ala-ala jeruk kobis.

Kobis segar berubah menjadi sauerkraut dibawah pengaruh bakteria asid laktik, yang dilepaskan semasa proses penapaian. Satu sudu sauerkraut saja mengandungi hidangan vitamin K setiap hari. Banyak  kebaikannya yang jika disenaraikan, memang berjela.

Dipendekkan cerita- marilah terus buat.

Saya gunakan suku saja kobis bulat. Hiris nipis panjang dan basuh bersih. Toskan.

Buang empulur dibahagian tengah.

Agak-agak saja garam halus ini. Jangan terlalu banyak, untuk elak terlalu masin.

Ramas-ramas kobis ini selama 5 minit hingga keluar air yang banyak. Ia akan sedikit mengecut.

Masukkan kedalam bekas yang sesuai. Tekan-tekan agar kobis mampat.

Gunakan alu lesung yang bersih untuk mampatkan.

Syaratnya- semua sayuran mesti terendam. Tutup bekas dengan longgar dan biarkan pada suhu bilik selama 3 hingga 4 hari. 

Selepas sehari sudah ada tindak balas. Alhamdulilah, sudah sedikit masam membawa maksud, bakteria sudah bekerja. Selepas 3 hari bolehlah dimasukkan kedalam petisejuk dan tutup ketat. Ambillah dalam jumlah yang sederhana setiap hari sebagai juadah sampingan.

Pengambilan sebanyak 200gm sehari dapat mengelak kekurangan vitamin dan mineral- tetapi perlu juga diambilkira bahawa kita makan juga makanan berkhasiat yang lain, jadi ambillah dalam porsi yang sesuai.

Hari ini saya cuba sertakan sesudu besar sauerkraut sebagai sampingan lunch . Wah memang boleh sangat sangat! Gandingan baik kari sayur- ikan goreng- sauerkraut. Alhamdulillah selepas ini saya akan serius untuk buat lagi. 

Menu malam:

Nasi goreng belacan campur isi ikan kembung : featuring sauerkraut.

******

Gabungan beberapa bahan lain juga dapat meningkatkan zat seperti memasukkan epal atau lobak merah, bit, cranberry, jintan, bunga lawang dan pelbagai lagi yang menjadi resam budaya masyarakat yang mengamalkannya.

Hari kedua:

Air sudah kering dan rasa semakin masam. Saya tutup ketat dan masukkan kedalam petisejuk. Ia boleh bertahan selama 6-8 bulan, tetapi jika diambil setiap hari- tidaklah sampai begitu lama.

Teringat masak asam pedas masyarakat Melayu lama (pengaruh Baba Nyonya) yang  suka masukkan jeruk sawi.  Jadi sekarang kita ada pilihan. Masukkan saja sauerkraut!


Sekian.

Semoga perkongsian membawa manafaat.

(Saya sedang mendalami resepi kimchi pula,untuk projek seterusnya)