Tuesday, 17 January 2023

ENTRI 248: SERIMUKA LABU BEBAS GLUTEN.

 بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ


Seronok sungguh bila resepi yang dicuba menjadi. Saya ikut saja arahan dalam blog berkenaan. Penulis berkenaan- Wong Heng- (plant based deliciousness) sangatlah terperinci- segala tips sangatlah membantu. Kuih ini tersangatlah sedap, seperti makan pulut bersama sekaya rasanya.
Talam dapat dipotong dengan kemas, cuma ada sedikit kecuaian kecil yang tidak saya perasan. Diakhirnya, sebelum dikukus, perlu dihentak sedikit loyang untuk keluarkan gelembung udara tetapi saya lupa pula. Kerana itulah bahagian atas talam serimuka saya ini ada bahagian yang berlubang. Tapi cuma itu sajalah. Yang lain- terbaik!

RESEPI SERIMUKA BEBAS GLUTEN.

Lapisan bawah:

Lapisan atas.

(Cara  saya- santan pekat adalah terus dari kotak, saya ubah kepada 125ml dan kurangkan air menjadi 75ml kerana mahu pulut yang terasa lemaknya. Saya guna garam 1/2 sudu teh ditambah sedikit lagi 1/8 sudu teh)

Rendam beras pulut sekurang-kurangnya 4 jam. Saya rendam semalaman dengan sekeping asam keping. 

Toskan pulut.


Masukkan santan dan garam halus- seeloknya gaulkan dahulu garam kedalam santan hingga larut.


 
Sementara itu, tuang 4 sudu besar air panas keatas 25 kuntum bunga telang dan ramas-ramas agar jus birunya keluar.

Kukus pulut tadi selama 25 minit (amaun santan yang digunakan tadi akan hasilkan pulut yang belum begitu sempurna masaknya dan jumlah 4 sudu besar air bunga telang nanti akan mencukupkan cecair yang membuatkan pulut masak sempurna.)

Sudukan air bunga telang secara rawak.

Gaul kasar dengan garfu dan tuang kedalam loyang yang telah disapu dengan sedikit minyak dan dialas dengan daun pisang. Boleh juga gunakan plastik. Gunakan loyang berukuran 8 inci samada empat segi atau bulat untuk dapat kuih yang cantik elok tingginya.

Mampatkan pulut dengan belakang sudip yang lebar. Lapisan bawah sudah siap.

Masak labu, air, organic raw cane sugar dan daun pandan. Boleh gunakan gula jenis lain juga.

(proses masak labu seeloknya dibuat sebaik pulut mula dikukus, jadi kupas labu dan sediakan bahan lain lebih awal)

Masak sehingga labu lembut (cucuk dengan garfu) dalam anggaran 10-15 minit.

Tapis untuk sukat air rebusan.

Masukkan labu kedalam pengisar.


Sukatan air rebusan yang diperlukan hanya 200 ml. Buang jika ada sedikit lebihan.

Tuang kisaran labu kedalam bekas.

Ayak keduanya-tepung beras dan tepung ubikayu kedalam kisaran labu.

Masukkan santan.

Perasakan garam untuk menaikkan lemak. Rasa dulu untuk pastikan. Saya tambah lagi sedikit garam menjadikan total garam 1/2 sudu teh.

Naikkan semula periuk kukusan dan panaskan pulut sebentar.

Tapis masuk bancuhan labu kedalam loyang. 

(Sebelum tuang, rasa sedikit dahulu kerana labu ada tahap kemanisan berbeza. Jika kurang manis, tambah sedikit lagi gula (1 sudu besar) dan pastikan kacau hingga hancur sepenuhnya.)

Cadangan saya- jangan tapis direct keatas pulut-sebaiknya tapis kedalam satu bekas lain. Kerana pada peringkat akhir tapisan, akan ada bahagian yang agak pekat/ berserat. Curah adunan yang telah siap ditapis keatas pulut dengan sentiasa gaulkannya. Saya dapati cara ini (pada percubaan kedua) dapat mengelak permukaan kuih dari berlubang. Tidak perlu lagi hentakkan loyang.


Kukus selama 30 minit. Balut penutup periuk agar wap air tidak jatuh pada permukaan kuih.

Cantik masaknya. Jika ada sedikit air atas permukaan, sudukan saja keluar. Adat kuih kategori talam ini- mesti dibiarkan benar-benar set untuk potongan yang cantik dan kemas (sekurang kurangnya 4 jam). Gunakan pisau plastik yang telah disapu dengan sedikit minyak untuk elakkan kuih melekat.



Alhamdulillah dan insyaAllah akan buat lagi kuih ini.

( Indeks Glisemik (GI) bagi beras pulut adalah 98. Jadi ambillah dalam kuantiti yang sedikit))


Sekian.

Thursday, 12 January 2023

ENTRI 247 : HOMEMADE KAYA LABU.

 بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

Bila ternampak labu dikedai runcit tempohari, terus teringat resepi kaya labu yang dikongsi dalam group MOJO. Teringin betul hendak mencuba. Hasilnya- diluar jangkaan- tersangatlah sedap. Saya terus saja bersarapan dengan kaya baru dimasak dengan roti telur goyang!

Dulu saya tidak pandai makan labu juga. Sekarang boleh saja tekak terima.

Ia semulajadi manis dan kaya dengan beta kerotin.

Sebagai permulaan, saya buat suku adunan saja.

RESEPI KAYA LABU.

100 gram labu yang telah didadu.

50 ml santan agak pekat.

25 gram gula kelapa

1/2 sudu besar minyak kelapa

1 helai daun pandan

Kukus labu selama 10-15 minit.


Masuk semua bahan kedalam pengisar. Tidak perlu habeskan gula. Kisar dan rasa dulu ikut keselesaan masing-masing, mungkin ada yang suka kurang manis.


Masak sebentar atas api sederhana. Siap!

Sedap betul! 


Inilah pertama kali saya makan roti telur goyang. Ingatkan biasa-biasa, rupanya gandingan roti garing- sapuan pure butter- kaya- telur separuh masak- serbuk lada hitam/ putih memang luar biasa.

Alhamdulillah.

Sekian.


Wednesday, 11 January 2023

ENTRI 246 : RESEPI 1 CUPCAKE PISANG BEBAS GLUTEN.

 بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

Saya mahu mencuba beberapa resepi kek pisang bebas gluten kerana ada kalanya penggunaan tepungnya sedikit berbeza. Dan saya mulakan dengan resepi dari Puan Rosmanita. Alhamdulillah kek menjadi- sangat lembab dan lembut. Saya buat separuh adunan sahaja kerana mahu bereksperimen seperti biasa.

KEK PISANG.

3 biji telur

50gram gula organik

75 gram tepung beras

25 gram tepung pulut

160 gram minyak

200 gram pisang lenyek

1 sudu kecil baking powder

1/2 sudu kecil garam halus

Putar Organic Raw Cane Sugar bersama telur.

Putar dengan kelajuan tinggi sehingga agak putih.

Boleh matikan mixer. Masukkan garam.

Ayakkan campuran tepung beras dan tepung pulut bersama baking powder.

Masukkan pisang dan minyak masak. Gaul secara kaup balik agar sebati.

Saya buat dalam acuan cupcake. 1/2 adunan akan dapat lebih kurang 7 biji.

Letakkan hirisan pisang sebagai hiasan. Bakar pada suhu 170c selama 25-35 minit.





Alhamdulillah.

Masih mencari resepi lain yang lebih menepati citarasa.

Sekian.


Tuesday, 10 January 2023

ENTRI 245 : KUIH KETAYAP BUNGA TELANG BEBAS GLUTEN.

 بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

Semalam saya terjumpa Dapur Sihat Rosmanita dialam maya. Teruja betul kerana banyak sungguh resepi kuih Melayu bebas gluten yang dikongsi. Beberapa minggu lepas, saya cuba juga buat kulit kuih ketayap dari resepi bebas gluten yang lain, jadilah juga tetapi kurang berpuas hati. Jadi hari ini saya cuba ikut resepi Puan ini. Wah cantik betul kejadiannya, malah lebih nipis dari kulit yang biasa dibuat dari tepung gandum. Puan itu menggunakan air daun pandan, tetapi saya teringin guna air bunga telang.

RESEPI KULIT KUIH KETAYAP BUNGA TELANG.

80 gram tepung beras

50 gram tepung pulut

1 biji telur

190 ml air bunga telang

2 sudu besar minyak

Secubit garam halus.

Caranya sangatlah mudah. Sebatikan saja semua bahan dengan whisk dan tapis supaya adunan benar-benar licin. Adunan agak cair- masak 1senduk atas kuali non stick. Lenggangkan macam buat creepe. Bila mula ada gelembung pada kulit kuih itu dan kelilingnya nampak sudah mengering, angkat. Tidak melekat langsung! 

Saya gunakan 7 kuntum bunga telang dan ramas dalam air suam. Sukat sebanyak 190ml. Jika terkurang, tambah lagi sedikit air pada hampas bunga dan perah.

Macam corak lace. Bahagian belakangnya pula licin.

Kulit ini sangat mudah diurus dan boleh saja ditindan kerana tidak akan melekat antara satu sama lain.


Kuih ketayap ini satu saja- inti kena power. 

Kalau diganding dengan inti kelapa muda, memang terbaiklah.


Sekian.