Hari kemerdekaan ke 65.
BISMILLAHHIRRAHMANNIRAHIM.
Kebelakangan ini, saya sudah seperti petani. Bermain tanah. Mencari pokok. Merayau keserata kawasan kejiranan untuk mencari apa saja yang berguna. Masa terisi dengan baik. Sentiasa bergerak aktif untuk selesaikan macam-macam kerja.
Semuanya bermula apabila saya berhubungan semula dengan kawan-kawan lama. Ada seorang antara mereka begitu serius menanam pokok vanilla. Asalnya kata dia, hanya memenuhi masa sepanjang PKP dan memanafaatkan tanah yang terbiar. Tapi itulah. Semestinya bukan perjalanan yang mudah. Kami kerap saja mengusik . Sudah kaya belum? Belum nampak hasil, katanya. Mungkin tahun hadapan. Modal sudah banyak keluar. Kebun jahanam beberapa kali. Ribut lain. Banjir lain.
Adatlah kan.
Setiap kali berbalas mesej, khabar kebunnya diceritakan dahulu.
Kita bagilah sokongan moral.
Kata-kata penggalak.
Kata-kata mengingat.
Sudah kaya nanti, jangan lupa kawan.
***
Ibu cubalah tanam, usik anak saya disebelah.
Terdiam sekejap.
Berangan jugakah?
Tidak payah tanam banyak, sepokok dua jadilah....sambungnya lagi.
Saya yang memang sedang berbalas mesej laju menaip.
Macamana ek nak tanam?
Begitulah.
Esoknya, acara pecut.
Kemas kawasan belakang rumah laju-laju. Sembang dengan jiran. Ajak round pi cari tanah. Cari perkakas yang perlu. Untung juga kerap bawa balik kelapa dari kampung. Stok sabut kelapa memang banyak kerana saya atur elok dibelakang rumah. Semuanya dipermudahkan. Ada pula jiran yang bagi pasu sebab tidak larat lagi bercucuk tanam. Rezeki sungguh, sebab cadangnya mahu tanam dalam pasu saja. Maklumlah, kecil-kecilan.
Beginilah rupa awalnya. Dibuat oleh makcik yang tiada pengetahuan. Ikut naluri kemakcikan saja. Kata tanam suka-suka. Jadi tiadalah berperaturan sangat. Pancang atau tajar perlu sebab pokok ini jenis menjalar. Baru-baru hidup tidak boleh kena matahari sangat.
Sesi meround berjaya menemui batang paip terbuang dalam semak. Inilah namanya- one man's trash is another man's treasure.
Kebetulan saya memang membuang sisa sayuran dan kulit-kulit buah disatu kawasan untuk terperam menjadi baja secara semulajadi. Semua saya campak disitu. Kulit bawang, kulit telur, kulit durian, biji durian dan seribu satu macam biji buah saya campak. Semua tumbuh secara caca marba!
Untuk dapatkan pokok yang sihat, kenalah bekalkan yang organik saja. Saya letak tanah tadi didalam pasu. Rasanya bolehlah saya claim- tanah itu baja kompos. Cuma saya tiada bekalan arang. Tidak apa. Akan diusahakan nanti.
Siap sudah tajar ini. Risau jugak tumbang. Harap-harap teguhlah.
Peringkat permulaan, letaklah dibawah teduhan pokok-pokok sekitar. Kawan saya kata, ok sangat ini. Tidak kena cahaya matahari direct. Dia tidak tahu saya sudah order sun shade!
Leceh-leceh pon, saya buat juga.
Dia = kawan = coach saya telah menghantar banyak resepi. Bukan. Bukan resepi vanilla cake guna organic vanilla bean sticks.
Tapi resepi baja organik. Resepi racun organik. Saya ikutlah. Buat calculation siap-siap. Maklumlah. Skala tanaman saya terlalu kecil! Terpaksalah reduce kan amaun.
Baja liquid (cecair) untuk semburan. Untuk gemukkan pokok. Ikutkan resepinya, perlukan air sumur. Waduh apain itu? kok semua resepinya dalam bahasa Indon?
Coach saya ini pro Indon. Pekerja Indon bukan main dipuji-puji. Kerajaan Indon saja yang bagus. Saya suggest dia tukar kerakyatan. Dia haha kan saja.
RESEPI BAJA SEMBURAN MURAH/ORGANIK
2 liter air hujan (air sumur)
air kelapa tua 2 biji
1 biji kentang (kecil) rebus, dilenyek, campur sedikit air hujan dan tapis
Sedikit batang pisang yang sudah ditebang dan sudah hitam dek cuaca
sesudu garam laut
kulit telur dari 2 biji telur, kisar halus
( aduk (campur) semuanya dan letak dalam bekas bertutup)
Bisa enggak?
Sedikit batang pisang yang agak lembut dan berair. Masuk kedalam kain bersih ( saya koyakkan kain batik yang lusoh) dan perah.
Semua bergaul untuk proses microbing.
Campur serbuk kulit telur. Boleh juga tambahkan sekali kulit udang yang telah dicuci bersih, keringkan dan kisar halus.
Ya udah.
Bila semua siap diaduk, tutup dan peram selama 3 hari. Hari kedua, sudah mula berbuih.
Coach kata, kalau berbuih maknanya- jadi. Tidak sangka. Tapi ada sedikit bau yang kurang menyenangkan. Kata coach- larutan ini kena dicairkan dulu. Nisbahnya 1 : 10 dengan air hujan atau atau perigi. Haish, banyak pula aturannya.
Sembur baja sekali seminggu. Bukan tiap-tiap hari. Saya sudah mula, tapi pada tanaman yang lain.
Semakin lama, bau cairan baja ini semakin busuk!
Sudahnya saya tidak panggil baja. Saya panggil- air busuk. Bukan kepalang busuknya. Bila dispray pada pasu-pasu dihadapan rumah, baunya meresap-resap. Ah sudah! Takut juga jiran-jiran menyepit hidung sambil menyumpah.
Dilema.
Saya juga mengumpul daun-daun kering untuk dijadikan kompos daun. Hendak guna dekat mana pon belum tahu. Tidak apa. Kita siap siaga. Kena peram daun-daun ini dan sesekali direnjis air dan ditekan mampatkan. 3 minggu tempoh eraman, kemudian sedia digunakan.
Ha begitu.
Ini pula baja kompos. Lapisan paling bawah adalah tanah, kemudian dilapisi dedaun kering untuk elemen perang/coklat dan dedaun hijau untuk eleman hijau. Siram air dan padatkan. Ulang proses tadi hingga bekas penuh. Daun-daun hijau adalah sumber nitrogen yang tinggi manakala daun perang/coklat merupakan sumber karbon. Tutup dan sesekali kena gaulkan. Boleh digunakan selepas 3 bulan.
Makin pandai nampak.
Ini bukan sebarang makcik.
Tiber.
Ini pula eraman baja kompos sisa dapur. Bagus juga sebab mudah untuk saya campak apa saja lebihan sayuran, kulit buah, kulit telur, baki roti selagi belum berkulat, baki nasi dan sisa lain yang sesuai. Cebisan sisa yang besar elok digunting-gunting kecil. Perlu juga dilapisi tanah setiap hari bagi elak terbit bau yang kurang enak.
Sesekali saya buka juga. Saya berjaya kumpul selama 5 hari bermakna ada 5 lapisan sisa dapur. Kesemuanya dijangka akan terurai dan bertukar menjadi tanah dalam masa sebulan.
Part baja - done.
Coach kata hendak belanja saya benih pokok berupa keratan yang sudah dia sediakan. Katanya, paling bagus tanam keratan sepanjang 1 meter. Senang sikit hendak hidup. Buang 3 akar dan daun pada bahagian bawah dulu sebelum rendam air bawang. Tapi saya segan pula. Sebab walaupon pokoknya belum berbuah, tapi pokok yang melebihi setahun dan lebih daripada 10 meter panjang sudah boleh dipotong keratan dahannya untuk dijual sebagai benih. Seorang lagi kawan ada membisik (dalam whatsapp)...keratan dahan coach sudah sampai ke Indonesia!
Ada 1 lagi sebab kenapa saya sebolehnya tidak mahu terima.
Kak. Saya ada tanam pokok vanilla kat belakang rumah.
Berkobar saya pergi tengok.
Akak nak beli 1 meter!
Tak payah. Saya bagi.
And the rest is history.
Walaupon pokok jiran saya ini kelihatan kurang penjagaan dan bercampur gaul dengan pokok-pokok bunganya yang lain, tapi ia sudah cukup buat saya gembira campur teruja. Sebab tidak sangka. Saya tahu dia layan semua pokoknya sama rata. Semua dapat cahaya matahari yang sama.
Dah 3 tahun kak. Tak pernah berbuah. Saya beli benih RM 60 masa pergi Cameroon.
Saya hendak komen apa? Ilmu saya pon belum cukup. Baru tahap tadika.
Bila akak nak? sekejap lagi saya hantar.
Eh sabar. Nanti akak bagitahu ye. Akak kena siapkan baja kompos dulu.
Sayakan murid yang dengar cakap guru.
Petang itu pada hari yang sama, saya terlihat ada keratan-keratan pendek diletak didepan rumah.
Nafas seperti terhenti.
Kalau hendak kata bukan seperti piawaian yang diharapkan, seperti tidak tahu bersyukur pula.
Pasrah.
Jalan terus.
Mula-mula kena rendam bahagian hujung dengan air bawang untuk menggalakkan pertumbuhan akar selama 45 minit.
Hendak buang 3 daun dan akar yang mana? Sudah sah-sah setiap keratan banyak yang hanya 3 daun.
Sudah!Jangan cakap banyak.
Betulkah macam ini?
Kemudian, setiap hujung kena sapu dengan kapur makan, tujuan untuk pengeringan. Proses pengeringan selama 14 hari.
Coach ada hantar gambarajah proses. Saya apply lah apa yang saya faham. Bawah sekali, baja kompos dan letak daun-daun kering. Paling bagus, daun buluh kering. Syaratnya cuma hujung yang sudah disapu kapur, tidak boleh terkena tanah. Adalah sebabnya itu, kita ikut saja lah.
Saya bergegas ke rumah jiran yang ada tanam pokok buluh. Jadilah inikan.
***
Setiap hari saya spray sedikit air pada keratan-keratan ini.
Setiap hari saya membelek.
Boleh hidupkah?
Mana akar?
Harini hari ke 12.
Ada yang mula berubah warna.
Apa akan jadi pada perjalanan menanam vanilla saya?
Part racun organik belum buat lagi.
Update terkini: semua diatas tinggal kenangan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment