Wednesday, 27 July 2016

ENTRI 189 : NOVELIS.

Dengan lafaz Bismillah bicaraku bermula...


Cahaya mentari menerjah menyimbah masuk menyusup-nyusup menerang ruang. Aku bingkas bangun, Jari menujal suis yang ditengah-tengah. Anakku masih leka disitu, menulis sebuah buku kecil.  Entah apa kandungannya tidak menarik perhatianku. Disisi pembaringannya tersepuk segumpal kain baju yang masih bersisa haba, baru saja diangkat dari ampaian besi yang sudah menampak karat disana-sini dengan dawai penyidai yang paling depan sudah mulai longgar terjuih. Sudah usang benar.
          Anak itu kemudian tergolek-golek membelek nota kecil biru bergambar kartun 'Pooh' dimuka hadapan, key chain yang sengaja digantung pada spiral binding pada bahagian atas berdecing-decing terbuai-buai. Aku memandang kosong, membiar bunyi decingan key chain menerobos kerongga telinga, memberi sedikit hiburan pada jiwa-jiwa yang bermenung. Pandanganku terarah kepada jam bulat jenama Seiko yang tergantung tinggi diatas rak televisyen. Pukul 2.17 petang. Ruang tamuku itu tidaklah seluas mana. Disudut kanan kuletak sebuah almari buku berwarna coklat gelap yang walaupun kecil saiznya namun  bisa membesarkan semangat dan kecintaanku.
         Ku capai novel Salina, karya agung A Samad Said, anak kelahiran Melaka yang terletak dicelah-celah barisan novel yang berdiri dalam satu garisan.Tercatat ditepi sudut yang paling kanan sebelah bawah, namaku ditulis oleh tanganku yang ketika itu masih muda. Diikuti tarikh yang dicop dengan dakwat merah 16 FEB 1994. Dibahagian belakang terlekat tanda harga yang sudah agak kabur, kuagak harganya RM 12.00 mengikut samar-samar bentuk angka yang tertera.

Mimpi ke apa?

Sebenarnya teringin berbahasa bak A Samad Said- orangnya sangat pandai menggambar. Itu resam novelis. Mereka penggambar yang sangat alert dan mendalam sehingga yang membaca pon mampu membayang bagaimana rupa, situasi dan keadaan dalam penceritaan.

Jadi hari ini pada jam 2.17 petang, saya cuba menjadi penggambar.
Susah.
Ha ha.
Good try anyway...

Sedang memburu IMAM- karya sasterawan negara Abdullah Hussein.
Dimanakah dia ? Saya sudah lupa siapa yang meminjam.
Sekarang mengaruk cari balik.
Pada jam 2.17 petang ini juga - satu keazaman baru timbul- mahu mengumpul / membaca novel karya sasterawan-sasterawan negara dan setaraf dengannya sahaja sebab sekarang ini, bersepah novelis baru yang buku tebal kemain tapi isi- sorry to say...kurang kepuasan.
Terbit kesalan tidak sudah kerana keazaman itu timbul pada masa yang salah. Alangkah bermaknanya jika dapat direalisasi pada masa muda belia dulu.
 Ah percaturan Tuhan itu kan ada sebab musabab.


Sekian.

No comments:

Post a Comment