Thursday, 24 March 2016

ENTRI 178 : FATWA 3.

Dengan lafaz Bismillah bicaraku bermula...


Sambungan huraian seterusnya.


PENGGUNAAN INDELIBLE INK DALAM PILIHANRAYA MALAYSIA.

Berdasarkan hasil ujikaji yang telah diberi oleh pakar kimia beserta hujjah-hujjah, adalah diputuskan Indelible Ink tidak mengandungi bahan najis yang diharamkan syarak, tidak mendatangkan mudharat pada kesihatan dan tidak menghalang air sampai kekulit.

Huraian:
a-  Indelible Ink adalah dakwat yang tidak boleh dipadam. Satu calitan pada jari pengundi akan memberi tanda coklat kehitaman untuk mengelak penipuan undi. India sebagai pengeluar dakwat ini telah menggunakan cara ini sejak 1962 lagi juga meluas diguna dinegara China, Ghana dan Denmark. Ujikaji komposisi kimia yang dilakukan oleh Jabatan Kimia Malaysia mendapati dakwat ini terdiri dari tiga bahan utama iaitu Air, Ethanol 55% dan Silver Nitrate.

b-  Dakwat ini hanya akan mendatangkan kesan pada kesihataan jika termakan atau terminum.

c-  Indelible Ink pada kuku akan hilang dalam masa tiga hari dan jika terkena kulit akan ambil masa tujuh hari. Untuk kegunaan pilihanraya, pihak SPR hanya akan mencalit dalam kuantiti yang sedikit dan dapat bertahan sekurang-kurangnya 24 jam.

d-  Penggunaan alkohol ( Ethanol ) bukan isu kerana pada asasnya jika sebuah bekas mengandungi alkohol dibuka, proses meruapan akan berlaku dan ia akan mengurangkan kandungan alkohol tersebut.

e-  Indelible Ink ini boleh telap air dalam keadaan serta merta maka sesuai untuk tujuan ibadah yang mensyaratkan air perlu sampai kekulit dan tiada keperluan hingga sampai ke sel bawah kulit.


o HUKUM IBADAH BAGI PESAKIT PENGGUNA BEG KOLOSTOMI.

Pesakit yang menggunakan beg kolostomi dikatagorikan sebagai mengalami keadaan dharurat dan tidak dianggap menanggung najis. Oleh itu mereka tidak perlu mengosongkan atau membersihkan beg kolostomi setiap kali berwudu' atau menunaikan solat.

Huraian :
a-  Saluran penghadaman selepas perut adalah terdiri dari usus kecil ( terbahagi kepada duodenum, jejunum dan ileum ) dan usus besar (kolon). Mana-mana bahagian usus ini jika dibawa keluar terbuka kedinding abdomen akan dipanggil dengan tambahan nama 'stomi'. Istilah 'kolostomi' merujuk kepada keadaan sebahagian usus besar didalam abdomen dibuka dan pembukaannya itu disalur kedinding abdomen dan dilekat pada kulit.

b-  'Stoma' ini boleh bersifat sementara atau kekal. Najis dalam usus besar mengandungi jumlah bakteria yang sangat tinggi yang boleh membunuh manusia dalam masa dua hari jika ianya bocor. Oleh itu sebarang jahitan baikpulih mempunyai risiko besar jika bocor.

c-  Pengeluaran najis melalui cara ini tidak akan dapat dikawal sama sekali oleh pesakit. Biasanya mereka akan diajar cara-cara menguruskan stoma sebelum dibenarkan pulang.

d-  Prinsip pensyariatan dalam Islam adalah tidak membebankan dan mengambil kira kesulitan yang dihadapi oleh umatnya dalam usaha melaksanakan kefarduan yang diwajibkan.


o PENGGUNAAN GERAF TISU DALAM AMALAN PERUBATAN.

Hukum penggunaan geraf tisu dalam amalan perubatan adalah harus selagi tidak disalah guna untuk tujuan lain.

Huraian :
a-  Bank tisu membekalkan geraf tisu manusia atau haiwan untuk kegunaan klinikal keatas pesakit. Ia penting untuk mengurangkan penderitaan pesakit terutamanya kesengsaraan pesakit kanser, pesakit lecuran juga dalam kes menyelamatkan anggota dari dikerat keseluruhannya- hanya yang sakit dibuang dan diganti dengan geraf tulang untuk penyambungan. Ia juga untuk kemudahan pesakit arthritis dan failed joints replacements.

b- Dua bank tisu telah ditubuhkan di Malaysia iaitu Pusat Pengajian Perubatan Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan dan di Unit Tenaga Nuklear, Bangi, Selangor. Bank-bank ini telah mula memproses selaput amnion dan tulang manusia serta haiwan. Semua kerja-kerja pemprosesan dilakukan dibawah keadaan bersih dan terkawal.

c- Selaput amnion didapati dari ibu-ibu bersalin yang sihat dan bebas penyakit  merbahaya. Hanya ibu beragama Islam dimaklumkan sebelum amnion diambil. Ia akan dicuci, dibuang kotoran, lendir dan darah, direndam dalam larutan Natrium Hipoklorid untuk membunuh virus HIV jika ada dan dibasuh beberapa kali dengan lautan garam hingga jernih. Kemudian dikering ,dibungkus dan diberi sinaran untuk disuci kuman. Setakat ini amnion telah diguna untuk ramai pesakit lecuran dan kosnya lebih murah berbanding jika menggunakan antibiotik dan 'dressing'. Yang utama pesakit tidak menderita sakit kerana kulit akan tumbuh dengan baik tanpa parut yang ketara.

d-  Tulang pula didapati dari tulang kepala pinggul yang dibuang dari pesakit dan tulang dari lembu. Tulang ini akan diproses, dinyah virus HIV dengan kaedah haba 'pasteurization', dicuci beberapa kali, dikering, dibungkus dan juga diberi sinar untuk basmi kuman.

e-  Konsepnya adalah untuk menghapus kemudharatan dan memberi kemudahan.


CADANGAN MENGGUGURKAN JANIN PENGIDAP/ PEMBAWA THALASSEMIA.

Makruh menggugurkan janin yang berumur satu hingga 40 hari sekiranya tidak mendatangkan bahaya pada nyawa ibu dan mendapatkan persetujuan kedua-dua suami isteri. Jika usia janin sebelum 120 hari hukumnya adalah harus sekiranya ia cacat, berpenyakit dan mendatangkan bahaya pada ibu. Pengguguran menjadi haram sekiranya kandungan melebihi 4 bulan dan boleh dianggap melakukan jenayah melainkan untuk menyelamatkan nyawa ibu atas kecacatan yang teruk.

Huraian :
a-  Thalassemia adalah sejenis penyakit autosomal recessive sel-sel darah merah dimana berlaku kekurangan sintesis rantaian globin. Ini mengakibatkan eritropoesis yang tidak berkesan, hemolisis (sel pecah ) yang kronik dan anemia. Ianya adalah penyakit bawaan keturunan melalui genatik.

b-  Mereka ini memerlukan pemindahan darah dan rawatan membuang unsur besi seumur hidup yang melibatkan kos yang tinggi. Kelebihan unsur ini dalam tubuh akan menyebabkan kegagalan jantung, pendek tubuh badan, masalah baligh dan diabetes mellitus. manakala kekerapan pemindahan darah pula mendedahkan kepada jangkitan hepatitis B, Hepatitis C dan HIV. Pilihan rawatan lain adalah transplantasi sum-sum tulang atau pun darah tali pusat.

c-  Memandangkan implikasi .kos yang tinggi, satu strategi baru adalah mengurangkan kelahiran seterusnya mengurangkan beban penderitaan mereka.


HUKUM PENGGUNAAN AIR BARU ( NEWATER ). 

Air baru adalah bersih dan harus digunakan dari sudut hukum syarak.

Huraian :
a-  Air baru ( newater ) diperkenalkan oleh negara Singapura dihasilkan menerusi proses pemulihan dan pembersihan ketat bekalan air kumbahan menggunakan teknologi dwimembran.

b-  Tiga proses utama untuk hasilkan newater adalah Penurasan Mikro iaitu kaedah penyulingan air sisa kumbahan dengan menggunakan penapis sebagai agen penuras microscopic yang mampu menapis sehingga sekecil 0.2 mikron. Ia dapat menghilangkan kekeruhan air juga mengasing bakteria dan protozoa. Proses kedua adalah Osmosis Songsang yang mana tekanan diguna keatas air untuk mengalir melalui membran yang separa serap untuk menuras benda bukan organik seperti nitrat, klorid, sulfat dan sebagainya, juga melibatkan benda organik yang dinyahjangkitan, hidrokarbon yang berbau, pesticide dan lain-lainnya. Proses ini mengguna membran sehalus 0.0001 mikron yang mampu menuras 95% jumlah pepejal larut malah menapis virus. Proses seterusnya adalah Teknologi Sinaran Ultra Violet Penyahjangkitan untuk menjamin pembasmian bakteria dan virus dengan lebih padu.

c-  Kemudian air ini akan dituras untuk menyaring partikal atau benda halus dan didedah kepada cahaya UV untuk menghapus bakteria dan virus.

d-  Sehubungan itu, Majlis Ulama Besar Kerajaan Arab Saudi memutuskan air tersebut hukumnya suci setelah dikitar semula dan boleh digunakan untuk mengangkat hadas, membersih kotoran dan sah bersuci dengannnya. Walaupun begitu, mereka berpendapat, sekiranya masih ada punca lain maka keutamaan hendaklah kepada air yang didapati dari sumber alam.



Sekian.
Semoga perkongsian membawa manafaat.

ENTRI 177 : FATWA 2.

Dengan lafaz Bismillah bicaraku bermula.....



Saya kongsikan beberapa perkara menarik yang dikupas dalam buku ini pula.



Topik pilihan

GELATIN DALAM UBAT.

Penggunaan gelatin dalam ubat masa sekarang adalah harus kerana dharurat dan sekiranya telah ada bahan halal yang dapat menahan ubat dari cepat rosak, maka penggunaan gelatin dalam ubat tidak lagi diharuskan.

Huraian
a-   Gelatin ialah sejenis protein terbitan yang larut dalam air,dihasil menerusi proses hidrolisis separa keatas collagen. Collagen adalah unsur protein yang terdapat dalam tisu-tisu konektif haiwan. Kulit khinzir, kulit lembu, urat-urat dan tulang binatang merupakan bahan mentah utama untuk menghasilkan gelatin.

b-  Menurut Encyclopedia Of Chemical Technology, kebanyakan gelatin A (proses asid) yang dikeluarkan di Amerika Syarikat diperbuat dari kulit khinzir. Di Eropah pula kulit anak lembu dan tulang lembu merupakan bahan mentah utama. Penggunaan kulit khinzir semakin meningkat kerana proses pengeluaran gelatin darinya lebih cepat.

c-  Pada masa ini kapsul yang terdapat dipasaran atau hospital dan klinik-klinik kerajaan adalah diperbuat dari campuran bahan gelatin yang diimport dari luar negara digunakan sebagai bahan untuk menahan ubat dari rosak.

d-  Menurut Jumhur Ulama', penggunaan bahan-bahan  yang haram atau yang bercampur dengan najis untuk tujuan perubatan adalah haram. Walaupun begitu, menggunakan ubat dari benda yang najis selain benda yang memabukkan dalam keadaan dharurat adalah harus dimana tiada bahan lain yang boleh menggantikannya.


o HUKUM BAHAN PEWARNA (COCHINEAL) DALAM ISLAM.

Bersetuju dan meluluskan penggunaan pewarna (cochineal) dalam makanan berasaskan piawaian tidak melebihi dari 0.003% - 0.006%.

Huraian :
 a-  Cochineal ialah bahan pewarna yang diambil dari sejenis serangga kecil. Serangga ini direbus (menghasilkan warna merah perang) atau dipanggang dalam ketuhar (menghasilkan warna kelabu) atau atas kuali panas (menghasilkan warna hitam) dan kemudian dikeringkan. Lima kilogram serangga cochineal dapat menghasilkan satu kilogram pewarna carmine.

b- Cochineal berasal dari Amerika Tengah dan Mexico. Penggunaannya dalam makanan setelah diposterurkan amat sedikit iaitu dengan kadar 0.003% - 0.006%.

c-  Penggunaan Cochineal didapati boleh membunuh mikrob-mikrob yang beracun dan ia tidak merbahaya kepada manusia ,juga tidak memberi kesan sampingan.

d-  Mengikut pandangan Imam Malik dan Abu Hanifah dalam bukunya, penggunaan serangga ini dibolehkan kerana ia sejenis binatang yang darahnya tidak mengalir.


o HUKUM SUNTIKAN PELALIAN VAKSIN MENINGOCOCCAL MENINGITIS OLEH ORANG ISLAM.

Hukum menggunakan vaksin pelalian 'Meningococcal Meningitis Mencevac' yang diambil dari sumber lembu adalah harus manakala menggunakan vaksin pelalian ' Meningococcal Meningitis Monumue' yang mengandungi unsur khinzir adalah haram.

Huraian :
a-  Penyakit ini adalah berjangkit disebabkan bakteria Nesseria Meningitides. Jangkitan menyebabkan radang pada selaput otak dan saraf tunjang.Ia berjangkit melalui hubungan secara langsung dengan titisan mulut dan hidung pesakit yang dijangkiti. Tempoh pengeraman jangkitan adalah 2-10 hari dan pengidap mula merasa demam, loya, bisa kepala dan sakit tengkuk.Tanpa rawatan awal, kadar kematian adalah melebihi 50%. Diagnosa penyakit ini melibatkan ujian makmal khas seperti ujian cecair tulang belakang ( celebral spinal fluid ).

b-  Kadar penularan di Malaysia agak rendah walaupun di Benua Afrika Utara mencatat kes tertinggi . Langkah utama pencegahan adalah melalui penjagaan kesihatan yang baik, elak tempat yang sesak dan mendapatkan pelalian. Ia boleh melindungi dari jangkitan kuman bagi tempoh terhad mengikut jenis yang digunakan.

c-  Kerajaan Arab Saudi mendapati risiko jangkitan penyakit ini dikalangan jemaah haji dan umrah adalah tinggi dan atas sebab itu maka semua bakal haji dan umrah telah diwajibkan mendapatkan pelalian yang sah sebelum visa dikeluarkan. Satu suntikan vaksin 'Mengingococcal Meningitis jenis A,C,Y,W135 yang juga dikenali sebagai vaksin 'Meningococcal Meningitis Quadrivalent(ACYW125)  memberi perlindungan selama 3 tahun.

d-  Pada masa ini terdapat 2 jenis jenama vaksin dalam pasaran yang didaftar dan diluluskan oleh Biro Farmasi Kementerian Kesihatan iaitu:

1. MONUMUNE INJECTION
Pengeluar: Syarikat Aventis Pharma, Malaysia
(bahan mentah yang diguna- sumber bovine (lembu), porsin (khinzir) dan avian (itik) dan bahan yang diguna termasuk susu,limpa dan bulu itik.)

2.MENCEVAX INJECTION.
Pengeluar: Syarikat GlaxoSmithKline Pharmaceuticals
(produk ini tidak mengandungi bahan dari sumber binatang kecuali laktosa dari susu lembu)
Vaksin ini diguna oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Semoga perkongsian memberi manafaat.



Sekian.

ENTRI 176 : FATWA 1.

Dengan lafaz Bismillah bicaraku bermula....



Mahu ikut rasmi padi, saya ambil langkah proaktif- jinakkan diri dengan bacaan ilmiah.
Buku pemberian abah beberapa tahun lalu dibelek. Dulu pandang sebelah mata.
 Buku apalah yang orang tua ni bagi?
Rupanya penuh info yang patut kita, orang Islam tahu dan ambil tahu.


 Kandungannya : berkenaan keputusan muzakarah jawatankuasa fatwa kebangsaan yang menyentuh soal-soal akidah, ibadah, muamalat, perubatan, zakat, munakahat, sosial dan syariah. 
Sangat bagus sebab banyak selesaikan keraguan dan rasa was-was. 
Antara topik yang menarik perhatian:


o  Menetapkan bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah mengikut ajaran berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak. Ajaran lain seperti aliran Syi'ah adalah bercanggah dengan hukum syarak dan undang-undang Islam.

o Senaman Yoga berasal dari masyarakat Hindu yang menggabungkan amalan fizikal, unsur keagamaan, mantera dan pemujaan untuk mendapat ketenangan dan kemuncaknya adalah penyatuan dengan tuhan. Oleh itu ia adalah tidak sesuai dan boleh merosakkan akidah seorang muslim. Tetapi jika dilakukan gerakan fizikal sahaja tanpa unsur-unsur diatas- ianya tidak menjadi kesalahan.

o  Penggunaan ubat bagi pesakit jantung dalam bulan Ramadan dibolehkan tanpa dimasukkan melalui rongga anggota dengan syarat diyakini air liur tidak masuk melalui rongga.

o  Adalah harus bagi polis dan tentera meninggalkan sembahyang Jumaat kerana melaksanakan tugas-tugas keselamatan dengan syarat tidak meninggalkan 3 kali berturut-turut.

o  Mayat pesakit AIDS wajib dimandi, kafan, sembahyang dan kebumi seperti mayat orang Islam yang lain dengan mengikut garis panduan oleh Kementerian Kesihatan agar memakai sarung tangan, muka dan mencuci tangan dengan klorox.

o  Sembahyang jamak kerana rawatan penyakit kronik yang memakan masa yang lama seperti rawatan hemodialisis buah pinggang dihospital dan seumpamanya adalah harus.

o  Pengidap penyakit kronik yang tiada harapan sembuh seperti pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan hemodialisis dan seumpamanya tidak wajib menunaikan haji tetapi wajib melaksanakan badal haji jika mampu dari segi kewangan.

o  Konsep, struktur dan undang-undang MLM ( multi level marketing ) yang diluluskan kerajaan adalah harus dan tidak bercanggah dengan konsep perniagaan Islam.

o  Melabur dalam skim ASN dan ASB serta dividen atau bonus yang diterima adalah harus.

o  Harga zakat fitrah bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia adalah berdasarkan harga setempat yang ditetapkan oleh BERNAS bagi beras Super tempatan Gred A mengikut timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.60 kilogram manakala bagi negeri Sabah adalah beras Vietnam White Rice dan Thai White Rice bagi negeri Serawak juga mengikut timbangan satu gantang Bahgdad bersamaan 2.70 kilogram.

o  Kordial yang mengandungi bahan citarasa (flavour) yang dimasukkan alkohol sebagai tujuan penstabilan adalah harus sekiranya alkohol itu bukan dihasil dari proses pembuatan arak dan kuantitinya adalah sedikit iaitu tidak memabukkan.

o  Hukum menggunakan bakteria kultur yang dipencilkan daripada sebarang najis bayi sebagai agen pemangkin dalam yogurt adalah harus dengan syarat telah melalui pengasingan dan penyucian yang sejajar dengan hukum syarak kerana bakteria yang terdapat dalam najis bayi itu adalah mutannajis.

o  Haram menggunakan cuka wain (wine vinegar) yang diproses dan dicampur dengan bahan-bahan luar- walaupun begitu sekiranya perubahan dari cuka wain kepada cuka berlaku dengan sendirinya, maka ia adalah halal.

o  Ikan yang dipelihara dalam kolam ternakan dan seumpamanya adalah haram dimakan sekiranya sengaja diberi makan najis seperti daging khinzir, bangkai dan sebagainya.

o  Perusahaan menternak katak bagi tujuan eksport adalah haram kerana ia adalah binatang dua alam manakala bagi siput babi pula adalah harus dieksport untuk tujuan sebagai bahan makanan keluar negara.

o  Pihak tertentu hendaklah menghentikan penyuntikan hormon PSH-P kepada binatang ternakan yang halal bagi tujuan pembiakan, peningkatan dan sebagainya kerana ia berasaskan otak khinzir.

o  Pameran melibatkan barang purba didalam kubur dan keranda mumia boleh diteruskan tetapi mayat mumia tidak harus dipamer sama ada Islam ataupun bukan. Pameran patung adalah ditegah oleh Islam.

o  Haram menggugurkan kandungan janin yang telah berumur lebih 120 hari ( 4 bulan ) kerana dianggap satu jenayah bunuh keatas janin yang telah ditiup roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa si ibu.
manakala pengguguran janin berusia sebelum 120 hari adalah harus sekiranya ia cacat dan berpenyakit teruk sehingga boleh mengancam nyawa ibu.

o  Orang Islam boleh membuat wasiat kepada orang bukan Islam tidak melebihi 1/3 daripada hartanya.

o  Amalan membawa bunga ke kubur adalah tidak digalakkan dari perspektif agama.

Sukanya baca ini:

o  Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki adalah diharuskan bagi wanita sama ada telah berkahwin atau belum selagi mana tidak menimbulkan fitnah.

Alhamdulilah dapat banyak sangat informasi baru. Sebenarnya ada 71 perkara yang dibincangkan, saya cuma pilih 21 topik yang saya ringkaskan.

Jika buku ini menyatakan secara ringkas keputusan perbincangan mereka yang arif yang telah berlangsung pada masa dan lokasi yang berlainan melibatkan pihak berlainan yang berkenaan, ada sebuah lagi buku berkaitan yang memberi huraian yang lebih terperinci. 
Terasa cetek benar pengetahuan dalam otak ni.

So untuk next entry saya akan tulis topik huraian yang rasanya kita patut tahu serba sedikit mengenainya.


Sekian.

Tuesday, 22 March 2016

ENTRI 175 : BLOG SAYA.

Dengan lafaz Bismillah bicaraku bermula.....



Usia blog saya insyaAllah akan mencecah dua tahun 11 April ini. 
How fast time flies...

Before that, teringat kisah sebelum 11 April dua tahun lalu....

Fikir punya fikir saya membulat nekad. 
Mahu menulis tapi tidak tahu apa. 
Dulu scorer subjek karangan Bahasa Melayu sewaktu sekolah menengah. Itu yang konfiden semacam. Terpengaruh juga dengan novel tebal dua tiga inci yang jadi koleksi  peribadi sewaktu bujang. 
( antara yang famous, novel Salina, Imam dan banyak lagi yang lesap entah kemana disapu sepupu sepapat yang meminjam tapi terus lupa hendak pulang).
Minat juga dengan novelis Serawak penulis cerita suspen, Ramli Awang Mursyid.
 Minat itu seakan lenyap, bertukar 360 darjah, mengulit pula majalah masakan dan kewanitaan.
Begitulah.

Sejurus kerja-kerja mengkelek anak selesai secara rasmi, saya mula rasa kosong.
 Kena isi something yang saya minat dan percaya boleh lakukan.

" Macamana hendak tulis novel?"
Adik perempuan memberi reaksi dan memek muka yang seolah berkata..       
" ....are you crazy..?"
Ok faham.
Forget it.

" Ibu mahu buat blog"
Anak bujang tersenyum sinis.
" Buatkan ibu blog."
Itu arahan mandatori.
Dia terus buatkan dari A- Z.
Terpaksa melayan kerenah emaknya yang macam-macam,
" Tak boleh bu..."
" Ibu kata boleh!"
Stress budak itu
Prinsip saya, kalau naluri rasa boleh, saya akan paksa sampai dapat.
At last.

Ee sukanya sudah ada blog.
Walaupun anak itu mengejek juga " ...ada ke orang nak baca? "
Ada ibu kisah.
Tidak pernah ambil pusing perkara itu.

Saya tulis saja.
Tidak pernahlah periksa jumlah pembaca.
Tahun berlalu.
Rasa mahu tergelak bila tengok sudah ramai viewer.
Sukar dipercaya.

Pageviews untuk hari dan saat ini adalah : 22,350 !
Angka yang sangat ok bagi blogger yang tidak dikenali.

Tapi bila sudah begitu, timbul pula rasa tanggungjawab.
Saya buat post mortem.
Baiki mana yang terlepas pandang.
Baiki bahasa yang kurang perisa.

Post apa yang dapat high rating?
Gubahan memang laku macam goreng pisang cheese.
Generasi sekarang kan suka belajar dari Encik Google.
( Entri 76- Gubahan Coklat/ Gula-gula (2) yang mendapat 6877 pageviews,
...ditulis dalam bulan September 2014)


Apa salahnya belajar melalui internet?


Blog ini medan terbaik untuk saya terus berkarya, mencurah pengalaman dan berkongsi ilmu yang memberi manafaat.
 Itulah harapan yang tulus dari lubuk hati.
Semoga niat murni dipermudahkan oleh Nya.


Sekian.
Wallahualam.

Monday, 21 March 2016

ENTRI 174 : ASAS.

Dengan lafaz Bismillah bicaraku bermula....


Aku mula membaca...

" Asas dunia adalah Mekah kerana dunia diratakan bermula disitu. Asas langit-langit adalah 'Ariba iaitu langit lapisan ketujuh. Asas bumi adalah 'Ajiba iaitu lapisan bumi yang ketujuh yang paling bawah. Asas syurga adalah Syurga ' Adn iaitu pusat semua syurga yang mana diatasnya diasaskan pembinaan syurga. Asas neraka adalah Jahannam iaitu kerak neraka lapisan yang ketujuh yang paling bawah yang mana diatasnya dibina kerak-kerak lapisan neraka. Asas segala makhluk adalah Adam. Asas para nabi adalah Nuh. Asas Bani Israel adalah Ya'akub. Asas segala kitab ialah al-Qur'an. Asas al-Qur'an ialah al-Fatihah. Asas al-Fatihah ialah Bismillah al-Rahman al-Rahim. Maka apabila engkau sakit atau mengadu kesakitan, maka hendaklah engkau mengamalkan surah al-Fatihah- nescaya engkau akan sembuh..."

Oh begitu....
Jari jemari menyelak lagi...

Ah mengapa terasa terlalu banyak yang aku tidak tahu...
Rupanya terlalu lama terbuai diulit inderawi.
Gharib.
Mengapa begitu?
Sesal dan sebal.

Aku manusia akhir zaman.
Sombong dan bongkak.

Dunia ini rupanya tidak menjanjikan apa-apa kecuali kealpaan.
Manhaj tanpa akar agama, ah itu realiti -walau jumhur tidak mahu mengaku.

Ya Qarim...
Aku sungguh tidak mampu setanding barisan anbiya', siddiqin, syuhada' mahupun mereka para solihin..
Namun aku beristiqamah dengan Sab'u al- Mathani...
Dan aku lalu terus membaca lagi.....

" Penurunan al-Qur'an adalah pada malam Lailatul Qadar didalam bulan Ramadan- ia bermula dari Lauh Mahfuz ke Bait al-Izzah dilangit dunia lalu malaikat Jibrail ( a.s ) menurunkannya sedikit demi sedikit...."

Wahai Penciptaku...
Dekatkan aku padamu agar Islamku bukan hanya pada nama.
Ameen....


Sekian.