Wednesday, 21 September 2022

ENTRI 230 : IKAN HARUAN VS IKAN KETUTU.


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ



Makan ikan haruan tak? tanya seorang jiran rapat.
Saya tahu suaminya selalu memancing diempangan tempat dia bekerja.

Begitulah bagaimana ikan ini sampai ketangan saya.
Rezeki yang tidak salah alamat.


Apalah ada pada rupa.
Kalau rupa cantik tiada adab, tiada guna juga. 


Ikan air tawar ini agak berlendir, bersisek nipis sahaja. Lendirnya sebagai perlindungan.
 Selalu dicari orang terutama bagi mencepat penyembuhan luka perempuan selepas bersalin dan juga selepas pembedahan.  
Sekarang ini, ramai pula doktor yang tidak menggalakkan makan ikan ini terutama bagi bersalin secara pembedahan kerana dikhuatiri organ dalaman melekat antara satu sama lain (adhesion) yang akan sebabkan komplikasi lain.
 Yang pasti, ikan ini sememangnya berkhasiat tinggi tapi untuk pembedahan, cuba elakkan.


Bertuah sungguh dapat menikmati ikan segar yang baru dipancing. Saya makan sebagai sumber protien saja. Manalah tahu ia juga menggalak pembentukan serat kolagen pada kulit rupanya. 


Cara bersihkan, sama saja macam ikan lain juga. Tidak pula ada bau-bau yang kurang menyenangkan. Mudah saja menguruskan ikan ini.




Tulang dalamnya kelihatan istimewa berbanding ikan lain. Ikan ini tinggi kandungan asid amino dan ada omega 3 juga.


Saya putuskan untuk masak sup saja. Memang terbaiklah hasilnya.

RESEPI SUP IKAN HARUAN.

2-3 ekor ikan haruan, dibersihkan

Selabu bawang besar
3 butir bawang putih
1 inci halia
(kesemuanya dihiris halus)
Serba sedikit kayu manis, bunga cengkih,bunga lawang dan buah pelaga.
1 sudu besar rempah sup
10 tangkai cili padi (ketuk)
2-3 mug air
Sedikit daun ketumbar
1/2 biji perahan limau kasturi
Garam dan perasa pilihan.

(Boleh tambah sayur seperti carrot,saleri dan tomato)

Cara-caranya:
Tumis bahan hiris bersama rempah 4 sekawan dan cili padi hingga garing.
Masukkan rempah sup,gaul-gaul dan terus masukkan air.
Bila sudah mendidih,masukkan ikan. 
Perasakan dengan garam dan perasa.
Perah sedikit limau dan masukkan daun ketumbar.
Siap.

*******

Ingatkan jiran pemurah saya itu hanya memberi ikan haruan tetapi terselit juga 3 ekor ikan lain. Ada disebut nama tapi saya lupa pula. Ikannya bersisek lebar dan agak keras. Pejal sungguh dagingnya. Saya hubungi semula jiran tadi.

IKAN KETUTU.

Ha? Ketutu?
Tidak pernah dengar.

Ikan tu banyak khasiat kak, mesejnya lagi.

Lalu saya arahkan anak saya google.
Haruan bodoh?
Tidak nampak pulak kebodohannya.Yang ikan haruan sebenar, ada juga.
Eh mengata rezeki pula.
Astaghfirullahal'azim....

Ibu tahu tak. Ikan ni mahal.

Logik juga. Isinya tebal dan pejal.



Panggilan Snakehead Fish agak bertepatan dengan rupa fizikal ikan ini, tetapi ada pula gelaran lain yang menjatuhkan imej perkasa miliknya. Haruan Bodoh atau Ikan Hantu ini banyak bergerak diwaktu malam, juga merupakan sejenis ikan air tawar dan banyak dicari untuk penyembuhan luka juga.


Orang Cina mencari Ikan Ketutu sebagai hidangan utama pada Tahun Baru Cina kerana khasiat yang bagus untuk aliran darah. Sudah mula diternak kerana mendapat permintaan tinggi dari restoran mewah menyebabkan harganya melambung.


Albumin yang dikandung sangat perlu dalam penyembuhan luka, patah tulang dan menguatkan sistem imun badan. Jika hendak senaraikan khasiatnya yang lain memang berjelalah panjangnya,




Masakan terbaik adalah dengan mengukus sahaja, tetapi saya kurang biasa kukus ikan. Jadi saya masak lemak cili padi sajalah.
Pon sedap.


Alhamdulillah.

Terima kasih daun keladi.
Ada haruan tidak kira yang cerdik atau yang bodoh, hantarlah lagi.

Sekian.

No comments:

Post a Comment